Saturday, March 14, 2015

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

Orang tua-tua dahulu banyak meninggalkan kepada kita, perumpamaan-perumpamaan yang merupakan kiasan-kiasan perkataan. Kiasan tersebut perlu kita teliti sejauh manakah kepentingannya boleh membantu kita. Namun semestinya setiap perumpamaan itu mengandungi banyak pengertian. Banyak yang tersurat dan sudah tentu banyak juga yang tersirat. Apakah setiap perumpamaan yang menjadi peninggalan datuk nenek kita dahulu telah atau akan kita praktikan? Mungkinkah ianya hanyalah sebagai hiasan atau kata-kata yang kita rasa sedap dibicarakan atau didengari?

Perumpamaan tersebut sentiasa bermain di bibir setiap insan yang mengikuti perkembangannya. Perumpamaan yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Sentiasa menjadi 'evergreen', umpamanya 'muafakat membawa berkat', 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat' dan 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing', sentiasa segar sehingga kini. Ia tentunya mengandungi suatu yang tersimpan yang perlu kita huraikan. Juga ianya perlu kita terjemahkan dalam kehidupan kita seharian.

Dalam aspek ini, untuk menterjemahkan 'muafakat membawa berkat, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memastikan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta terlibat sebagai rakan dalam pendidikan. Penumpuan yang dibuat adalah untuk manfaatkan kelebihan saing pelbagai pihak bagi menyampaikan pendidikan berkualiti secara bersepadu, berkesan dan cekap.

Langkah-langkah yang diambil adalah melalui;
1. Meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan komuniti tentang peranan mereka dalam pendidikan anak-anak.
2. Menyediakan bimbingan kepada sekolah bagi memacukan proses penglibatan ibu bapa dan komuniti.
3. Mengaitkan bantuan kewangan untuk murid miskin dengan peningkatan pelibatan ibu bapa
4. Mengumpulkan PIBG untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pelibatan ibu bapa dan komuniti.
5. Meningkatkan jaringan Sekolah Amanah dan bidang lain untuk pelibatan sektor awam.

Sistem pembelajaran mengiktiraf bahawa pembelajaran berlaku di luar lingkungan sekolah dan boleh berlaku di rumah serta dalam komuniti. Sekolah sewajarnya dapat menyediakan persekitaran yang kondusif unntuk jalinan hubungan kerja positif antara sekolah dengan ibu bapa dan komuniti.

Kewujudan 'muafakat membawa berkat' dapat disalurkan atau dijalankan melalui hubungan dan kerjasama pihak sekolah dengan pihak lain yang berkaitan. Antaranya;
1. Kerjasama sekolah dengan ibu bapa
2. Kerjasama sekolah dengan komuniti

Untuk mengekalkan 'muafakat membawa berkat' serta perumpamaan yang lain, beberapa perumpamaan yang ditinggalkan kepada kita perlu dihapuskan. Melalui penghapusan tersebut maka jalinan serta jaringan sekolah dengan ibu bapa dan komuniti. Oleh itu adalah wajar, perumpamaan 'jangan jaga tepi kain' dihapuskan. 'Jaga tepi kain orang lain' boleh membantu antara sesama kita dalam mengekalkan 'muafakat membawa berkat'.

Sunday, March 8, 2015

MEMBUDAYAKAN ILMU

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana kita dapat bertemu lagi. Terima kasih kepada semua pembaca yang sudi mengikuti blog ini. Perkongsian ilmu sewajarnya menjadi amalan dengan mengamalkan budaya ilmu. Ilmu itu penting bukan sahaja di dunia ini malahan ilmu turut penting di akhirat nanti.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Apabila mati seseorang manusia itu, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah yang pahalanya selalu mengalir (sedekah jariah), ilmu yang bermanfaat serta anak soleh yang selalu mendoakan."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dari tiga perkara yang tersebut di atas, pastinya perkara yang kedua memberi kelebihan kepada kita yang bergelar guru. Melalui pengajaran dan pembelajaran, ilmu dapat disalurkan kepada penerima ilmu iaitu murid. Murid pula akan meningkat dewasa dan pastinya ilmu yang diterima olehnya itu dapat disalurkan pula kepada generasi selepasnya. Tambahan pula, ilmu yang dicurahkan itu adalah ilmu yang banyak memberi manfaat kepada semua. Para guru sewajarnya memanfaatkan masa semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Proses pengajaran dan pembelajaran penting bukan sahaja berlaku di dalam bilik darjah malahan penting juga berlaku di luar bilik darjah. Jadikanlah pengajaran dan pembelajaran yag berkesan.

Ilmu yang bermanfaat akan terus kekal membuahkan pahala selagi mana ia diamalkan. Amalan tersebut diamalkan tidak kira oleh diri sendiri ataupun oleh orang lagi. Paling penting, selagi mana ilmu itu disebarkan dan juga ilmu itu diamalkan. Rasulullah s.a.w. selalu menegaskan tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan juga kepentingan mempelajarinya. Islam meletakkan orang yang berilmu itu ke darjat yang tinggi. Imam al-Ghazali telah menegaskan bahawa ilmu itu imam, amal itu makmumnya. Begitulah pentingnya ilmu itu kepada kita. Ayat al-Quran yang pertama juga adalah berkaitan dengan ilmu. Iqra' yang membawa perkaitan dengan membaca.

Jatuh cinta sering kita kaitkan dengan remaja. Kita kaitkan antara lelaki dan perempuan. Perkaitan cinta antara dua jiwa. Namun, mengapakah tidak kita kaitkan cinta manusia dengan ilmu? Lihat sekeliling, berapa ramaikah remaja yang mampu jatuh cinta dengan ilmu? Kita perlu sedar bahawa ilmu itu jauh lebih menguntungkan berbanding harta yang menimbun. Untuk mendapatkan ilmu bukanlah mudah. Ilmu diperolehi melalui usaha yang gigih. Perlu ada ketekunan dan perlu ada pengorbanan untuk mendapatkan ilmu. Apabila kita meletakkan ilmu itu sebagai satu keperluan, kita sanggup bersusah payah untuk mendapatan.

Ilmu itu keperluan kepada semua pihak. Ilmu yang dicurahkan itu bukalahn hanya kepada murid semata-mata. Semua peringkat umur memerlukan ilmu. Menuntut ilmu bukan semata-mata kepada anak-anak, malahan orang dewasa juga penting untuk menuntut ilmu. Oleh itu, tanamkanlah dalam diri kita bahawa menuntut ilmu itu wajib ke atas semua pihak. Kita juga wajar membudayakan ilmu sepanjang hayat.

Saturday, March 7, 2015

SENYUM DAN SALAM PENGIKAT UKHUWAH (SSU)

Syukur alhamdulillah kerana saya diberi kesempatan dan peluang untuk bersama-sama warga SKSSU. Justeru, saya hulurkan salam sebagai tanda perkenalan buat semua dan sesungguhnya kita semua berada dalam satu keluarga. Keluarga yang menjadi pemangkin dalam pembentukan modal insan yang berguna dimasa hadapan. Kemantapan dan kejituan sesebuah keluarga itu akan melahirkan generasi yang berkualiti tinggi. Generasi yang berkualiti pastinya generasi yang mempunyai ilmu yang berkat dan generasi yang mempunyai ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang berkat dan bermanfaat bagi dirinya dan juga kepada umat manusia seluruhnya. Kita sebagai warga pendidik adalah sewajarnya mengambil peluang yang terbuka yang ada di hadapan kita. Oleh itu kukuhkan gandingan keluarga kita dan curahkan ilmu yang berkualiti kepada murid-murid kita. Imam al-Shafi'i pernah berkata, "Bukanlah ilmu itu apa-apa yang dihafal, tetapi ilmu sebenar ialah ilmu yang bermanfaat."

Setelah salam dihulurkan, maka akan terukirlah sebuah senyuman sebagai tanda kemesraan. Juga sebagai tanda keikhlasan dari hati kita. Sebagai tanda kejujuran yang pastinya tertanam di hati kita. Tanda keikhlasan dan kejujuran kita yang berbakti untuk menerapkan setiap ilmu kepada setiap insan yang dinamakan murid. Keikhlasan dan kejujuran kita dalam usaha kita memberi bimbingan dan juga tunjuk ajar kepada murid-murid kita. Kita juga adalah sewajarnya ingat, bahawa ilmu yang berkat itu adalah datangnya dari keikhlasan dan kejujuran hati guru. Sebuah senyuman yang manis pasti akan terukir dari sekeping hati yang ikhlas. Dari sekeping hati yang jujur. Ingatlah bahawa senyuman itu adalah sebagai seutas tali. Tali pengikat kemesraan. Tali pengikat keharmonian dalam sebuah keluarga. Pengikat hubungan antara semua ahli dalam keluarga.

Salam dan senyum pengikat ukhuwah. Ukhuwah yang merupakan persaudaraan yang akrab dalam satu keluarga yang besar. Keluarga yang sering bertolak-ansur melalui jalinan kasih sayang Islamiah. Ingatlah, bahawa apabila kita bermula dengan panggilan guru, maka akan teruslah disebut sebagai guru sampai bila-bila. Panggilan cikgu akan terus disebut sampai bila-bila. Dari hidup hinggalah matinya seorang guru. Lagi pun, kita perlu ingat bahawa salah satu atara penghubung seseorang manusia setelah ia mati ialah ilmu yang telah disampaikannya itu akan terus dimanfaatkan. Insya-Allah, semoga diperkenankan oleh Allah.

Monday, March 2, 2015

MELOMBONG BIJIH TIMAH DI SUNGAI BROTAI

Satu-satu istmewanya Sungai Brotai ialah terdapat banyaknya bijih timah. Tentu mengkome terkejut bila dengar citer teman nih. Selain dari kaya dengan hidupan airnya, pasir di dasar Sungai Brotai rupa-rupanya kaya dengan sumber mineral yang terkenal iaitu bijih timah. Masa teman sekolah rendah lagi, tiap-tiap petang teman pergi "melombong" bijih timah kat Sungai Brotai. Tiap petang teman boleh dapat sekitar 1 kati hingga 3 kati. Masa itu idak timbang pakai kilo lagi. Mengkomer bayangkan berapa teman boleh dapat dengan hanya "melombong" satu petang sahaja.

Masa itu senang sungguh nak anggarkan berapa kati kita boleh dapat. Bijih timah yang telah dibersihkan dimasukkan ke dalam cawan jenis bunga kangkung. Satu cawan pasti beratnya satu kati. Harga bijih timah basah iaitu yang belum dikeringkan sekati dapat 12 ringgit. Kalau tiga kati boleh dapat 36 ringgit dengan hanya "melombong" sepetang. Kalau seminggu kekadang tu teman boleh dapat 108 ringgit keraa teman pergi "melombong" bijih timah tiga hari saja seminggu. Kalau jual kering iaitu selepas dijemurkan hingga hilang kandungan air dalamnya akan bertambah mahal harga bijih timah itu.

Tentu mengkome kata senang bebenor weh nak "melombong" bijih timah. Cara teman dan penduduk kampung terutama penduduk Kampung Brotai "melombong" bijih timah tidaklah sampai buat "lombong palong" atau pakai "kapal korek". Kalau teman pakai "lombong palong" atau guna "kapal korek", sudah lama teman jadi orang terkaya sekurang-kurangnya di Kampung Brotai agaknya. Teman menggunakan "dulang kayu" untuk mengayak pasir dan tanah untuk dapatkan bijih timah. Dulang kayu itu dipebuat dari kayu berbentuk kuali. Setiap kali diayak pasir dan tanah dalam dulang kayu itu akan keluar dan akan tertinggal didasar atau tengah dulang itu bijih timah kerana bijih timah berat dari pasir atau tanah.

Tiap-tiap petang akan berlonggoklah penduduk dalam Sungai Brotai itu. Masing-masing dengan dulang kayu, alat penyodok dan bekas bijih timah. Pelbagai peringkat umur sama-sama berendam dalam air Sungai Brotai. Paling istimewa teruna dara pun asyik mendulang. Teruna dengan hanya memakai kain pelikat singkat ke lutut. Manakala si dara pula dengan "berketang dada" atau hanya "berkemban" sahaja. Masa itu idak pulak berlaku kejadian sumbang antara teruna dan dara. Kalau masa ini pakai cara macam itu, pasti banyak benda-benda buruk akan berlaku.