Thursday, October 14, 2010

DISIPLIN DAN KESUNGGUHAN BEKERJA DALAM ISLAM

DISIPLIN TERHADAP MASYARAKAT
Pengertian masyarakat merangkumi skop yang amat luas termasuk jiran tetangga, teman sebaya, seterusnya masyarakat Islam seluruhnya. Dalam hal ini walau bagaimanapun perhatian akan diberikan kepada aspek-aspek ekonomi dan sosial sahaja.

Dari aspek ekonomi, Islam telah meletakkan disiplin yang lengkap iaitu dengan menggalakkan penganutnya berusaha dan bekerja keras untuk mengumpul harta-harta kekayaan sebanyak-banyaknya.

Malah Islam melarang dan membenci penganutnya yang malas bekerja seperti yang dijelaskan oleh firman Allah s.w.t.:-
"Dan janganlah kamu jadikan tangan kamu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan."
(Al-Isra': 29)

Falsafah "rezeki secupak tidak jadi segantang" dan "ulat dalam batu pun boleh makan" hanya sesuai bagi orang-orang yang malas berusaha, orang-orang yang tidak faham dengan konsep qada dan qadar dalam erti kata yang sebenar. Qadar yang sebenar tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali Allah s.w.t. Lantaran itu disuruh kita berusaha dengan bersungguh-sungguh.

"Wahai orang-orang yang beriman apabila diseru azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) kemudian setelah selesai sembahyang maka bertaburanlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah dari apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."
(Al-Jumaat: 9 dan 10)

Kedua-dua ayat tersebut, Allah s.w.t. telah menyuruh kita berusaha pada masa-masa tertentu dan melarang pula kita berusaha pada masa-masa tertentu yang lain. Ini memang sesuai dengan tenaga manusia tidak boleh bekerja terus menerus tanpa rehat, makan, minum dan sebagainya. Allah s.w.t. tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Faktor masa yang ditentukan dalam sesuatu pekerjaan itu memang menepati dengan kesihatan seseorang individu. Kerja dan usaha yang berterusan menyebabkan seseorang itu hilang upaya dan boleh menimbulkan penyakit sedangkan pencegahan itu lebih baik dari berubat "Prevention is better than cure".

Bersesuaian dengan mana-mana majikan mempunyai peruntukan masa kerja tertentu kepada kakitangannya. Pakar kesihatan telah membuat keputusan bahawa masa tidur yang mencukupi bagi seseorang itu ialah 8 jam, masa bekerja yang sepatutnya juga 8 jam manakala 8 jam lagi untuk berehat.

Pembahagian masa demikian sudah mencukupi bagi seseorang untuk berusaha bagi mencapai kebahagiaan hidup. Usaha setiap detik dan saat yang dilaksanakan itu tidak akan disia-siakan

Banyak sedikitnya pahala atau balasan bergantung atas usaha yang dilakukannya.
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya."
(Al-Najm: 39)

"Dan janganlah kamu berharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pengkat kebesaran) (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan (maka berusahalah kamu) dan permohonkan lah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah senantiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
(Al-Nisa': 32)

Al-Quran telah menggariskan bahawa keperluan asasi kehidupan seseorang tidak kurang dari empat aspek:-
1. Keperluan terhadap makanan
2. Keperluan terhadap minuman
3. Keperluan terhadap pakaian
4. Keperluan terhadap tempat perlindungan

Keperluan kepada makanan dan minuman adalah paling utama kerana kedua-dua perkara ini merupakan penyambung hidup seseorang. Manakala keperluan-keperluan terhadap pakaian dan tempat perlindungan merupakan kesempurnaan hidup seseorang.

Untuk memenuhi keperluan-keperluan asasi ini maka tidak ada sebab bagi seseorang itu mengurangkan aktiviti dan kesungguhannya dalam sesuatu pekerjaan. Sesungguhnya pekerjaan yang baik itu ialah pekerjaan yang tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.

Islam memandang rendah kepada penganutnya yang malas bekerja dan berusaha. Tetapi bukanlah pula kerana Islam memandang rendah kepada peminta sedekah, kita menengking herdik atau menjerkah mereka bila mereka meminta-minta dari kita. Sifat tengking herdik, maki hamun dan memandang hina kepada seseorang kerana kelemahannya dilarang oleh Islam.

Sesuatu rezeki tidak datang menggolek tanpa berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dengan menggunakan tulang empat kerat serta akal fikiran. Sebaik-baik rezeki adalah rezeki yang diperolehi dari usaha tenaga sendiri.

Wednesday, October 13, 2010

KERJAYA PENDIDIK DI MALAYSIA

PENGENALAN

Secara umumnya, guru ialah tonggak dalam melaksanakan tanggungjawab pendidikan berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ianya menjuruskan ke arah pembentukan insan iaitu murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tugas guru bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dipandang ringan dengan melabelkan tugas ini boleh dilaksanakan tanpa persiapan yang rapi dan teliti. Personaliti seseorang guru memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi perubahan tingkah laku pelajar ke arah melahirkan modal insan yang holistik dari sudut ilmu yang diturunkan dan ilmu perolehan.

Kerjaya sebagai guru akan menjadi lebih luas dan kompleks apabila inti pati bidang perguruan ini dikuasai dengan mendalam dan profesional. Tanggungjawab seseorang guru bermula dengan berusaha untuk menyediakan satu suasana yang kondusif agar proses pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan dengan berkesan dan penerapan nilai yang positif dapat disebatikan dengan disiplin ilmu yang diperolehi daripada guru yang berkualiti.

Di Malaysia, aspek latihan perguruan menjadi tanggungjawab dua buah kementerian. Kementerian Pelajaran Malaysia dipertanggungjawabkan untuk melatih guru sekolah guru sekolah rendah. Manakala Institusi Pengajian Tinggi Awam, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pula dipertanggungjawabkan untuk melatih guru sekolah menengah. Justeru, kedua-dua kementerian ini memainkan peranan yang amat penting delam melahirkan bakal guru yang berkualiti, berdedikasi, kompeten dan bertaraf dunia.

Bagi menjamin kualiti guru yang tinggi ini, latihan keguruan telah menekankan penguasaan terhadap tiga aspek nilai kualiti untuk diamalkan oleh guru, iaitu amalan profesionalisme keguruan, ilmu dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran. Terdapat pelbagai kategori guru di institusi sekolah di Malaysia seperti guru komputer, guru kaunseling, guru pendidikan khas, guru mata pelajaran, guru kanan, guru penolong kanan, guru besar dan pengetua. Mereka ini berperanan untuk menggerakkan jentera perubahan tingkah laku murid ketika mereka di bangku sekolah lagi.

KUALITI GURU

Kualiti guru sememangnya diberikan penekanan dalam amalan profesion perguruan. Kualiti guru mempengaruhi kemampuan guru mendidik anak bangsa dan seterusnya mencapai wawasan pembangunan ummah. Kualiti guru yang cemerlang pula menjadi sebahagian besar daripada kriteria penilaian untuk kenaikan pangkat. sebagai contoh, kriteria kualiti guru diguna pakai sebagai asas kenaikan pangkat daripada guru biasa kepada jawatan Guru Cemerlang.

Jawatankuasa penilaian kenaikan pangkat Guru Cemerlang yang diperkenalkan dalam tahun 1994 berasaskan memorandum Kementerian Pendidikan Malaysia yang dibincangkan pada peringkat kabinet yang bertajuk, "Sistem Kenaikan Pangkat Dalam Perkhidmatan Pendidikan - Cadangan ke Arah Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Pendidikan dan Menghasilkan Guru Yang Cemerlang" (April 1993).

Guru Cemerlang ialah guru yang memiliki kualiti dari segi:-
1. Kecemerlangan peribadi
2. Kecemerlangan pengetahuan dan kemahiran
3. Kecemerlangan kerja
4. Kecemerlangan komunikasi
5. Kecemerlangan potensi

Kualiti peribadi guru cemerlang adalah seperti mempunyai keyakinan diri, adil, bertimbang rasa, amanah, bertanggungjawab, kreatif, inovatif, sedia berkongsi, bekerjasama, bersikap terbuka dan positif.

Guru yang berkualiti dan berpengetahuan tinggi menjadi rujukan untuk mengatasi masalah pengajaran dan pembelajaran. Ia juga perlu peka dan prihatin terhadap keperluan dan kebajikan murid, bijak mengurus masa, bahan, sumber, alatan pengajaran dan pembelajaran. Dsamping itu ia mampu mengenal pasti keperluan dan masalah murid serta menyediakan program tindakan susulan.

Kualiti kerja guru dilihat melalui keupayaan guru meningkatkan hasil pembelajaran murid. Ini dapat dilihat berdasarkan peningkatan minat dan penglibatan mereka, kebolehan dan kejayaan membimbing di dalam dan di luar waktu pengajaran. Kekerapan memberi dan memeriksa kerja bertulis, penguasaan dan penggunaan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran juga perlu dinilai.

Kualiti komunikasi Guru Cemerlang dilihat daripada kebolehan menjadi perintis sesuatu usaha dan berjaya menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan. Ia perlu dilakukan secara bertulis mahupun secara lisan. Kualiti potensi Guru Cemerlang ialah guru yang berwawasan, sentiasa belajar untuk meningkatkan kerjayanya. Ia juga perlu terlibat dalam kursus, seminar dan bengkel serta sentiasa menyumbangkan tenaga dan kepakaran ke arah kejayaan sekolah.

Monday, October 11, 2010

LAMBAIAN KAABAH YANG AKU AMAT MERINDUINYA

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:-
"Menunaikan ibadah haji adalah suatu kewajipan manusia terhadap Allah iaitu bagi orang yang sanggup (berkuasa dan ada kemudahan untuk) mengadakan perjalanan ke Baitullah."
(Ali Imran: 97)

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:-
"Namun jihad yang paling utama adalah haji mabrur."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

"Satu solat yang dikerjakan di masjidku ini (Masjid Nabawi di Madinah) adalah lebih utama daripada 1,000 solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil-Haram. Dan satu solat di Masjidil-Haram adalah lebih utama daripada 100,000 solat di masjid-masjid lain."
(Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah daripada sahabat Jabir r.a.)

PENGENALAN HAJI
1. PENYEMPURNA RUKUN ISLAM
Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima. Ia adalah suatu iabadah yang wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam yang telah berkemampuan dengan memenuhi syarat dan rukun serta wajibnya sebagaimana yang telah ditentukan oleh hukum syara'.

Haji hanya diwajibkan satu kali dalam seumur hidup. sekiranya seseorang berjaya menunaikan haji beberapa kali maka yang lain adalah diambilkira sebagai ibadah sunat. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa Aqra' bin Haabis bertanya kepada Rasulullah s.a.w:-
"Ya Rasulullah s.a.w., apakah haji itu wajib dilakukan tiap-tiap tahun atau sekali sahaja?"
Baginda s.a.w. menjawab:-
"Ya, ia hanya wajib satu kali sahaja, maka sesiapa yang mahu menambahnya diambilkira sebagai tatawwu'/sunat."
(Hadis riwayat Abu Daud dan al-Nasai)

2. SYARAT-SYARAT YANG MEWAJIBKAN HAJI:-
Seseorang dikira telah wajib menunaikan haji sekiranya telah memenuhi beberapa syarat. Di antaranya adalah:-
a) Islam
b) Baligh dan berakal sihat
c) Merdeka yakni bukan seorang hamba abdi
d) Kuasa iaitu mempunyai kemampuan. Ini termasuklah bekalan bagi dirinya dan seluruh keluarga yang ditanggungnya selama ia tinggal menunaikan ibadah haji, aman perjalanannya, sihat tubuh badannya dan mahram bagi seorang wanita.

3. RUKUN HAJI, WAJIB HAJI DAN SUNAT HAJI:-
Di dalam ibadah haji terdapat istilah rukun haji, wajib haji dan sunat haji.

Rukun haji
ialah sesuatu perbuatan yang apabila tidak dilakukan maka akan menyebabkan haji seseorang tidak sah. Dan perbuatan tersebut tidak boleh diganti dengan sebarang dam atau denda.

Wajib haji pula adalah sesuatu yang mesti dikerjakan, namun sahnya haji pula tidak tergantung kepadanya kerana ianya boleh diganti dengan dam seperti dengan menyembelih kambing.

Adapun sunat haji ialah sebarang perbuatan yang menjadikan haji seseorang akan sempurna. Jika tertinggal ataupun ditinggalkan maka ia tidak mencacatkan ibadah hajinya dan sekiranya dilakukan maka ia mendapat pahala dan hajinya bertambah sempurna.

A. RUKUN-RUKUN HAJI:-
1. Ihram (berniat mengerjakan haji)
2. Wukuf di Arafah pada waktu yang ditentukan
3. Tawaf Ifadhah
4. Sa'i
5. Tahallul (bercukur atau bergunting)
6. Tertib (berturut-turut mengikut aturan)

B. WAJIB-WAJIB HAJI:-
1. Ihram serta berniat haji dari miqat
2. Bermalam (mabit) di Muzdalifah
3. Bermalam (mabit) di Mina
4. Melontar tiga jumrah
5. Meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan dalam ihram

C. SUNAT-SUNAT HAJI:-
1. Mengerjakan haji dengan cara ifrad
2. Membaca talbiah
3. Tawaf qudum iaitu tawaf yang dilakukan oleh orang yang tiba di Mekah sebelum tiba masanya wukuf di Arafah
4. Solat sunat tawaf dua rakaat dan lebih utama dilakukan di belakang Maqam Ibrahim
5. Bermalam di Mina pada tarikh 10 Zulhijjah
6. Tawaf wada' yang juga disebut tawaf perpisahan, dilakukan sebaik sahaja akan meninggalkan Mekah
7. Berpakaian ihram dan serba putih
8. Berhenti di Masjidil-Haram pada 10 Zulhijjah

4. RUKUN DAN WAJIB UMRAH:-
Mengenai umrah pula ia mempunyai lima rukun iaitu:-
a) Ihram dengan berniat masuk menjalani umrah
b) Tawaf
c) Sa'i
d) Tahallul
e) Tertib

Wajib umrah pula hanya dua:-
a) Ihram dari miqat
b) Meninggalkan larangan-larangan kerana ihram

5. MIQAT:-
Miqat adalah suatu ketentuan atau batas bagi seseorang untuk memulakan haji atau umrah. Miqat ada dua iaitu Miqat Zamani dan Miqat Makani.

Miqat Zamani adalah ketentuan masa atau waktu bagi memulakan ihram. Untuk ibadah haji ia bermula pada 1 Syawal sehingga sebelum terbit fajar pada sepuluh hari bulan Zulhijjah. Adapun untuk umrah ia boleh dilakukan bila-bila masa sepanjang tahun

Miqat Makani pula adalah suatu ketentuan tempat bagi seseorang itu untuk menjalani ihram. Miqat Makani ini tiada sebarang perbezaan antara calon-calon haji atau calon-calon umrah. Bagi jemaah Malaysia, jika terus menuju Mekah maka miqadnya adalah di Yalamlam. Jika ke Madinah dulu maka miqatnya adalah di Bir Ali.

6. PANTANG LARANG KETIKA IHRAM:-
Sebaik sahaja seseorang itu telah berniat ihram maka ia akan terpenjara atau terikat oleh larangan-larangan sebagaimana berikut:-
a) Memakai pakaian berjahit atau menutupi seluruh tubuh bagi lelaki
b) Menutup kepala atau sebahagiannya seperti memakai kopiah atau songkok bagi lelaki
c) Menutup muka atau sebahagiannya bagi wanita
d) Memakai sarung tangan bagi wanita
e) Memakai wangi-wangian
f) Bersetubuh atau pendahuluannya dan bercumbuan untuk menaikkan nafsu
g) Melangsungkan akad nikah atau menikahkan
h) Memotong atau menghilangkan kuku, rambut atau bulu-bulu badan yang lain
i) Memburu atau membunuh haiwan sama ada yang halal atau yang haram
j) Memotong atau mencabut pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) di tanah Haram
k) Memindahkan sesuatu dari tanah Haram seperti batu atau lain-lain