Thursday, September 24, 2015

AKAN HILANG TANAH OGHANG MELAYU?

Agus: Tanah rizab Melayu kian terancam

Tuesday, September 1, 2015

SEKOLAH QURAN

PELAJARAN QURAN DAN AGAMA

Bacaan Al-Quran dan hukum-hukum agama telah mula dipelajari oleh orang-orang Melayu dari semenjak mereka memeluk agama Islam. Tempat-tempat mengaji itu diusaha bersama oleh masyarakat Islam setempat dengan pimpinan guru-guru agama. Biasanya masyarakat Islam memberikan sedikit sebanyak hadiah atau sedekah atau hasil zakat kepada guru-guru itu sebagai menghargai khidmat sukarela mereka. Keadaan sedemikian berjalan pada satu tenggang masa yang panjang. 

SEKOLAH QURAN

 Sekolah atau kelas Quran di negeri Perak telah bermula sejak tahun 1909 dan sehingga tahun 1917 pelajaran yang diajar hanyalah setakat mengaji membaca Al-Quran. Belajar agama sekadar untuk beribadat kepada Allah, mengira, menulis dan membaca jawi. Tiap-tiap kanak-kanak dipastikan boleh membaca Al-Quran dengan tertil sehingga khatam tiga puluh juzuk dan hafal-hafal surah-surah lazim.

Guru-gurunya pula terdiri daripada orang-orang kampung yang diberi gaji oleh kerajaan diantara $5.00 dan $10.00 sebulan. Kewajipan itu dilakukan oleh mereka sebagai kerja sambilan sahaja di sebelah petang. Selain daripada gaji, pihak kerajaan hanya mengadakan buku daftar kedatangan murid. Tentang tempat, susunan pelajaran dan urusan lainnya terpulanglah kepada kebajikan guru masing-masing.

KOMITI PELAJARAN QURAN NEGERI PERAK

Dalam tahun 1917, DYMM Seri Paduka Sultan Perak telah menubuhkan sebuah jawatankuasa sekolah Quran yang pada masa itu dikenali dengan nama Komiti Pelajaran Quran Negeri Perak dan mendirikan pejabatnya di Kuala Kangsar. Seorang Guru Pelawat Quran yang pada masa itu dikenali dengan sebutan rengkas "Ba Ta Qaf" (Visiting Teacher Quran) telah dilantik  bagi menyeliakan Sekolah-Sekolah Quran yang berjumlah  pada masa itu tidak melebihi tiga puluh buah.

Dengan tertubuhnya Komiti Pelajaran Quran itu, bermulalah perubahan-perubahan yang baru dalam susunan pelajarannya. Pelajaran membaca Al-Quran beransur-ansur ditambah dengan pelajaran agama yang mustahak dalam fardhu 'ain dan fardhu kifayah. Mata pelajaran terdiri daripada Ilmu Tauhid, Feqah, Tasauf, Tajwid, Makna dan Adat Lembaga Negeri Perak. Masa belajarnya ialah diantara dua hingga tiga jam sehari di sebelah petang bertempat di bangunan sekolah Melayu. Susunan darjah ialah daripada Darjah Satu hingga Darjah Empat. Gaji guru-gurunya juga telah ditambah daripada $5.00 hingga $10.00 kepada $7.00, $15.00 dan $30.00 pada sebulan.

Dari mula ditubuhkan, sambutan ibu bapa kepada Sekolah-Sekolah Quran bertambah besar. Dalam tahun 1918 iaitu setahun setelah tertubuhnya Komiti Pelajaran Quran itu jumlah Sekolah Quran telah meningkat menjadi empat puluh buah. Bilangan itu semakin bertambah dari setahun kesetahun sehingga meliputi hampir keseluruh negeri Perak.

Tujuan Sekolah Quran diwujudkan ialah untuk membolehkan semua murid-murid membaca Quran dengan fasih dan lancar mengikut hukum-hukum tajwid sehingga khatam tiga puluh juzuk. Hafal dan tahu makna ayat-ayat dalam surah-surah lazim dan bacaan dalam sembahyang, mengetahui adat resam dan adat lembaga negeri Perak dan menyediakan mereka menjadi pegawai-pegawai rendah agama seperti pegawai-pegawai masjid, guru-guru Quran dan sebagainya termasuk juga menjadi calun utama melanjutkan pelajaran ke sekolah Arab yang lebih tinggi.

Peperiksaan yang julung kali diadakan bagi murid-murid Darjah Empat iaitu darjah yang tertinggi sekali di Sekolah Quran telah dilansungkan dalam tahun 1923 kira-kira 16 tahun setelah ia diwujudkan. Dalam peperiksaan itu seramai 89 orang murid telah lulus. Beberapa orang daripada murid-murid yang lulus itu kemudiannya telah dilantik melanjutkan pelajaran di Sekolah Arab tempatan yang lebih tinggi lagi pengajaran agamanya.

Duli Yang Amat Mulia Raja Chulan, CEG., JP., NFC., MCSC., Raja Di Hilir Perak pernah menjadi President Komuniti Pelajaran Quran Negeri Perak, Tuan Haji Zainuddin bin Haji Abas menjadi Setiausaha  Sekolah-Sekolah Quran Negeri Perak dan Tuan Haji Muhammad Saman bin Yusuf Al-Rawa sebagai Pelawat bagi Sekolah-Sekolah Quran di Negeri Perak Darul-Ridwan.

ISKANDAR SCHOLARSHIP

Didorong oleh hasrat menggalakkan pengetahuan agama, maka dalam tahun 1938, DYMM. Seri Paduka Sultan Iskandar Shah telah mengeluarkan satu hadiah pelajaran agama negeri berharga $2,000.00 setahun untuk murid-murid yang lulus Sekolah Quran dengan kejayaan yang cemerlang bagi melanjutkan pelajarannya ke Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan murid-murid yang mendapat kelulusan yang terbaik dalam peperiksaan di Madrasah Idrisiah melanjutkan pelajarannya di Mekah. Hadiah pelajaran itu dinamakan "Iskandar Scholaship".

Julung-julung murid-murid Sekolah Quran yang mendapat hadiah pelajaran Iskandar Scholarship ialah Raja Bashah bin Raja Ahmad, murid Sekolah Quran Belanja Kiri dan Ahmad bin Ibrahim, murid Sekolah Quran, Bendang Siam, Trong. Mereka memasuki Madrasah Idrisiah dalam tahun 1939/1940. Mereka kemudiannya dilantik menjadi Guru Agama Kerajaan Perak setelah menamatkan pengajiannya di Madrasah Idrisiah itu. Diantara yang mula-mula mendapat hadiah pelajaran Iskandar Scholarship ke Mekah ialah Tuan Haji Mohd. Isa. Beliau ke Mekah selepas pendudukan Jepun. Sekembalinya daripada Mekah setelah menamatkan pengajiannya di sana, beliau tidak berkhidmat dengan kerajaan bahkan menaburkan khidmat baktinya dengan mengajar agama di kampung-kampung.

PENDUDUKAN JEPUN

Dalam asa pendudukan Jepun di Tanah Melayu di antara tahun 1942 hingga 1945, Sekolah Quran tidak dapat berjalan dengan teratur. Tetapi apabila Jepun menyerah kalah kepada pihak berikut, Komiti Pelajaran Quran telah bergerak semula dan Sekolah-Sekolah Quran beransur-ansur dibuka dan berjalan seperti keadaan sebelum pendudukan Jepun.

SEKOLAH AGAMA KERAJAAN

Dalam tahun 1949 apabila Jabatan Hal Ehwal Agama, Perak (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak) diwujudkan, maka nama Sekolah Quran telah ditukarkan kepada nama "Sekolah Agaa Kerajaan". Dari semenjak itu pulalah Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan diletakkan di bawah tadbir Jabatan Hal Ehwal Agama Perak. Encik Ahmad Damanhuri bin Haji Abdul Wahab, Penghulu Mukim Durian Sebatang telah dipinjamkan memegang jawatan Setiausaha Pelajaran Quran merangkap Setiausaha majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak. Dalam tahun 1954 jawatan Setiausaha Pelajaran Quran diubah nama kepada jawatan Nadzir, Sekolah-Sekolah Agama Negeri Perak dan Encik Ahmad Damanhuri bin Haji Abdul Wahab dilantik memegang jawatan tersebut.

Dengan pertukaran nama Sekolah Quran kepada Sekolah Agama Kerajaan, maka jawatan Guru Quran diubah kepada Guru Agama Kerajaan. Jumlah Guru Agama pada masa itu ialah seramai 395 orang dengan 8 orang Guru Pelawat dan seorang Ketua Guru Pelawat Agama. Ketua Guru Pelawat Agama pada masa itu ialah Encik Mohd. Ashaari bin Mohd. Said. Bilangan Sekolah Agama Kerajaan pula sebanyak 236 buah berbanding dengan 389 buah Sekolah Melayu. Masa persekolahannya ialah disebelah petang bertempat di bangunan Sekolah Melayu.

petikan dari buku Sejarah Perkembangan Pendidikan Negeri Perak.

Thursday, August 27, 2015

PENUTUP BICARA JPN PERAK

Sebagai kesimpulan dapat rasanya dikatakan bahawa sistem pentadbiran pendidikan yang diuruskan melalui Jabatan Pelajaran Perak telah mengalami perubahan yang pesat selaras dengan pembangunan negara sekarang. Di zaman sebelum merdeka, pentadbir-pentadbir pelajaran lebih mementingkan pendidikan di sekolah-sekolah Inggeris. Sekolah Melayu hanya mendapat perhatian yang meinimum. Sekolah Cina dan Tamil dibiarkan bersendirian.


Apabila semangat kebangsaan orang-orang Melayu mula meluap-luap masyarakat Melayu mula menilai kepentingan pendidikan formal dan pelajaran tinggi. UMNO dan Kesatuan Guru-Guru Melayu memainkan peranan penting dalam usaha mengadakan sistem pendidikan kebangsaan. Bilangan sekolah Melayu bertambah sebagai bukti wujudnya kesedaran terhadap pentingnya pelajaran.
 Image result for gambar sejarah jpn perak

Selepas merdeka, Jabatan Pelajaran Perak mula melaksanakan dasar pelajaran kebangsaan, mengikut acuan sistem sekolah menengah Inggeris. Negeri Perak mendapat banyak kemudahan dalam pembinaan sekolah-sekolah menengah dalam tahun-tahun 60'an melalui Rancangan Malaysia. Secara beransur-ansur tampuk kepimpinan pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak diambil alih oleh Pegawai Pelajaran Melayu bagi menjamin pelaksanaan dasar pelajaran kebangsaan dengan lebih berkesan.

Struktur dan organisasi pentadbiran di Jabatan Pelajaran diperkemaskan dengan menambah pegawai-pegawai profesional dan perkeranian serta kemudahan-kemudahan fizikal. Pengarah Pelajaran merupakan wakil Kementerian Pelajaran di peringkat negeri, diberi tugas untuk mempastikan dasar dan polisi Kementerian Pelajaran dilaksanakan mengikut tatacara yang sama dengan negeri-negeri lain di negara ini.

Penurunan kewibawaan dan tanggungjawab dari Kementerian Pelajaran ke Jabatan Pelajaran egeri terus disalurkan ke bawah hingga ke peringkat sekolah. Dengan lain perkataan segala perubahan yang dilakukan di peringkat Kementerian akan melibatkan pula perubahan di peringkat negeri, daerah dan sekolah kerana sifat sistem pentadbiran yang berpusat.

petikan dari buku Sejarah Perkembangan Pendidikan Negeri Perak

Tuesday, August 25, 2015

JPN PERAK SELEPAS MERDEKA

Pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak Selepas Merdeka:-

Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Jabatan Pelajaran Perak masih diketuai oleh Encik A.F. Hunter. Dalam tahun 1958, Encik P. Roberts pula menjadi Ketua Pegawai Pelajaran Perak dan dalam tahun yang sama  Enciik T.S. Laidlaw menggantikan beliau hingga tahun 1959.

Antara tahun 1957 - 1959 sebahagian besar tugas pentadbiran di Jabatan Pelajaran Perak tertumpu kepada usaha-usaha melaksanakan Dasar Pelajaran 1956. Diantara usaha-usaha yang dijalankan ialah:- 
1. Sekolah Melayu ditukarkan namanya menjadi Sekolah Umum, Sekolah Redah Cina dan Tamil dinamakan Sekolah Jenis Umum. 
2. Melaksanakan jadual waktu baru di mana mata pelajaran Bahasa Kebangsaan/Bahasa Malaysia diberi perhatian yang khusus mengikut Peraturan Sekolah (Kursus Pengajian) tahun 1956.
3. Melaksanakan kelas-kelas sekolah menengah pengantar Melayu buat kali pertamanya iaitu dalam tahun 1958. Di peringkat awal ini murid-murid dari Sekolah Umum dipilih oleh pihak Jabatan Pelajaran untuk memasuki Sekolah Menengah Alam Shah, Jalan Cheras, Kuala Lumpur. 
4. Mentadbir hal ehwal peperiksaan awam seperti Lower Certificate of Education (L.C.E), Oversea School Certificate of Education (O.S.C.E), Federation of Malaya Certificate (F.M.C), Ujian Lisan Bahasa Inggeris untuk O.S.C.E, Peperiksaan Masuk ke Tingatan VI dan Higher School Certificate (H.S.E) Jabatan Peajaran Perak adalah negeri pertama dalam Malaysia (Malaya) memulakan Bahagian Peperiksaan iaitu mulai tahun 1955, Setiausaha Peperiksaannya yang pertama ialah Encik J.M. Morais (1955 - 1956). Encik A. Nadarajah menggantikan beliau dalam tahun 1957.
5. Mula mentadbir Kelas-Kelas Pelajaran Lanjutan (Further Education Classes (F.E.C) dalam tahun1958 bagi murid-murid yang telah lebih umur yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah biasa dan bagi murid-murid yang ingin mempelajari Bahasa Kebangsaan, Kelas-Kelas Pelajaran Lanjutan telah dibuka di bandar-banndar besar di bawah penyeliaan seorang guru dan kelas-kelas ini diadakan pada waktu malam.
6. Membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan kempen Minggu dan Bulan Bahasa Kebangsaan  dengan menggalakkan murid-murid sekolah mengambil bahagian dalam berbagai-bagai pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.


Dalam tahun 1960, Encik D. Bennet menjadi Ketua Pegawai Pelajaran Perak menggantikan Encik Arianayagam. Semasa beliau mentadbir Jabatan Pelajaran Perak banyak masalah telah timbul berkaitan dengan peranan Lembaga Pengurus/ Pentadbir Sekolah-Sekolah khususnya di peringkat sekolah rendah. Ramai ahli Lembaga Pengurus yang menyalahgunakan kuasa dan kewibawaan mereka dengan cuba campur tangan dalam pentadbiran sekolah kebangsaan.

Dalam tahun 60'an terdapat tiga buah Pusat Latihan Harian (Day Training Centre) untuk melatih guru-guru lepasan L.C.E. dan Cambridge School Certificate/Federal of Malaya Certificate iaitu di Teluk Anson, di Ipoh dan di Taiping. Jabatan Pelajaran Perak bekerja rapat dengan pusat-pusat tersebut dalam mengatur guru-guru yang membuat latihan mengajar.Bilangan guru-guru Inggeris amat diperlukan di sekolah-sekolah luar bandar. Untuk mengatasi kekurangan guru, pada masa itu Pengelola-Pengelola dan Guru-Guru Pelawat diberi tugas menemuduga dan memilih guru-guru sementara dari kalangan mereka yang berpendidikan Inggeris lepasan S.C./F.M.C yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke tingkatan VI. Guru-Guru Sementara ini dikenakan mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di sekolah kebangsaan. Ramai dikalangan guru-guru sementara ini mendapat peluang menjadi guru terlatih dengan memasuki maktab-maktab perguruan terutama Maktab Perguruan Bahasa, Maktab Perguruan Pulau Pinang, Maktab Perguruan  Brinsford dan Maktab Perguruan Persekutuan Lembah Pantai bagi memenuhi keperluan guru-guru untuk sekolah menengah kebangsaan.

Dalam tahun 1962, J.E.D. Ambrose pula dilantik menjadi Ketua Pegawai Pelajaran Perak, menggantikan D. Bennet. Beliau memegang jawatan tersebut hingga tahun 1965. Dalam tahun 1964, Bion Dury pernah memangku tugas Ketua Pegawai Pelajaran selama enam bulan.

Semasa pentadbiran J.E.D. Ambrose banyak usaha dijalankan bagi memenuhi keperluan Dasar Pelajaran Kebangsaan seperti yang tersebut di dalam Penyata Pelajaran Abdul Rahman Talib. Usaha mendirikan sekolah menengah kebangsaan di negeri Perak berjalan dengan lancar. Lebih 20 buah sekolah menengah telah ddirikan terutama di bandar-bandar kecil dan di kawasan petempatan baru Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan. Hampir kesemua sekolajh menengah yang dibina dalam tahun 60'an mempunyai reka bentuk yang sama. Pada mulanya sekolah-sekolah ini diberi nama Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan atau Jenis Kebangsaan dengan tujuan untuk memberi kemudahan belajar hingga Tingkatan III. Untuk mereka naik ke Tingkatan Menengah Atas (Tingkatan IV dan V) mereka terpaksa berpindah e sekolah-sekolah yang lebih besar di bandar.
J.E.D. Ambrose ditukarkan ke Sabah dan Ketua Jabatan Pelajaran Perak diambil alih oleh Dato' Idris bin Babjee yang ditukarkan dari Jabata Pelajaran Pahang. Dato' Idris merupakan anak Melayu yang pertama memegang tampuk pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak. Semaa beliaulah rancangan memperluaskan pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak disusun semula bagi memenuhi keperluan pentadbiran yang makin bertambah. Di bawah Rancangan Malaysia Pertama sebuah bangunan baru jabatan pelajaran telah dibina di belakang bangunan lama. Bilangan pegawai-pegawai profesional dan perkeranian ditambah untuk mengisi jawatan-jawatan baru. Jabatan dibahagikan kepada beberapa bahagian selaras dengan perkembangan yang berlaku di peringkat kementerian seperti Bahagian Pentadbiran, Bahagian Kewangan, Bahagian Peperiksaan, Bahagian Perkhidmatan dan Perjawatan, Bahagian Biasiswa, Bahagian Pembangunan dan Bahagian Pendaftaran Guru dan Murid.

Semasa pentadbiran Dato' Idris, banyak sekolah menengah kebangsaan telah dibuka dengan rasmi oleh Menteri Pelajaran. Dato' Idris te;ah berusaha memperbanyakkan pemberian biasiswa dari Kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan kepada anak-anak Melayu di sekolah-sekolah menengah dann beliau juga menjadi ahli Jemaah Temuduga Kerajaan Negeri Perak dalam memilih calon-calon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti di dalam dan di luar negeri.

Dalam tahun 1970, Jabata Pelajaran Perak mula melaksanakan pengajaran semua mata pelajaran sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Inggeris dalam Bahasa Malaysia (melainkan Bahasa Inggeris), mulai dari Darjah satu.

Dato' Idris bin Babjee, KMN, PMP, PJK telah bersara dalam tahun 1971 dan Encik Mohd. Ali bin Ibrahim JSM telah menggantikan beliau dan mula dipanggil sebagai Pengarah Pelajaran Perak. Encik Mohd. Ali bin Ibrahim dibantu oleh seora Timbalan Pengarah Pelajaran iaitu Encik R.N. Naidu, bekas guru geografi dari Kolej Melayu, Kuala Kangsar.

Dalam tahun-tahun 1971 - 1972, Jabatan Pelajaran Perak banyak menumpukan perhatian kepada pelaksanaan polisi-polisi Kementerian Pelajaran khususnya dalam perubahan sukatan pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah rendah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Seorang Penyelia Sains telah dilantik di Jabatan Pelajaran untuk menyelaraskan pengajaran dan pembelajarab sains dan matematik di sekolah-sekolah. Seorang Penyelia Skim Pinjaman Buku Teks juga dilantik untuk menguruskan pemilihan dan pengedaran buku-buku teks ke sekolah-sekolah. Dalam tahun 1973, Jabatan Pelajaran mula melaksanakan peperiksaan dianostik untuk darjah tiga.

Encik Mohd. Ali bin Ibrahim bertugas di Jabatan Pelajaran Perak hingga tahun 1974. Selepas itu beliau ditukarkan ke Kementerian Pelajaran untuk memegang jawatan Pengarah Latihan Guru. Jawatan Pengarah Pelajaran Perak diambil alih oleh Tuan Syed Abu Bakar Barakbah KMN. Tuan Syed Abu Bakar Barakbah merupakan seorang ketua jabatan yang banyak mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah. Hampir kesemua sekolah menengah di seluruh negeri Perak telah dilawatinya untuk meninjau masalah-masalah dan kemajuan-kemajuan sekolah.

Encik Naidu, Timbalan Pengarah Pelajaran Perak telah ditukarkan ke Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan tempat beliau telah digantikan oleh Encik Somasundram.

Perkembangan yang pesat di Kementerian Pelajaran telah membawa perubahan yang besar pula di Jabatan Pelajarab Perak. Beberapa jawatan baru diadakan bagi mengendalikan beberapa rancanga kurikulum sekolah dan kursus dalam perkhidmatan. Diantaranya, seorang Pegawai Bahasa telah dilantik untuk mempastikan sukatan pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang baru dapat dilaksanakan di sekolah-sekolah secara berkesan. Kursus dalam perkhidmatan untuk guru-guru Bahasa Malaysia yang mengajar di Tingatan IV dan V diadakan. Tiga buah pusat kursus Bahasa Malaysia untuk guru-guru bukan Melayu juga dibuka dalam tahun 1976 di Ipoh, Taiping da Teluk Anson. Kursus ini dijalankan selama tiga tahun berturut-turut bagi mempastikan semua guru bukan Melayu mendapat kemahiran asas pengetahuan Bahasa Malaysia.

Dengan tertubuhnya Unit Perpustakaan di Kementerian Pelajaran maka Jabatan Pelajaran Perak juga turut berkembang dengan menambah seorang Pegawai Perpustakaan. Seorang pegawai perangkaan dilantik untuk menguruskan retan guru dan murid dan perangkaan-perangkaan yang berkaitan dengan perancangan sekolah.

Memandangkan begitu banyaknya kerja-kerja pentadbiran yag terpaksa dilaksanakan Tuan Syed Abu Bakar Barakbah telah melantik dua orang Penyelia Kanan iaitu Encik Dzulkarnain bin Haji Abdul Rahman  dan Tuan Haji Abdul Ghaffar bin Hashim dalam tahun 1977.

Semasa Tuan Syed Abu Bakar Barakbah mnjadi Pengarah Pelajaran, yang menjadi timbalannya ialah Encik Malayapillai yang ditukarkan dari Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur bagi menggantikan Encik Somasundram yang menjawat jawatan baru sebagai Pengarah Jabatan Penuntut-Penuntut Malaysia di Washington D.C. dalam tahun 1976.

Dalam ttahun 1977, Jabatan Pelajaran Perak telah mengadakan Expo Pendidikan di SMJK Sam Tet, Ipoh. berbagai-bagai aktiviti Jabatan Pelajaran dah sekolah dipamerkan kepada orang ramai sebagai satu langkah menyedarkan masyarakat tentang perkembangan pendidikan di negeri Perak.

Dalam pertengahan tahun 1978, Tuan Syed Abu Bakar telah bertukar ke Kementerian Pelajaran untuk memegang jawatan Pengarah Bahagian Sekolah-Sekolah. Jabatan Pelajaran Perak mendapat seorang Pengarah Pelajara baru, Encik Mohd. Ghazali bin Haji Hanafiah KMN, ialah bekas Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan. Encik Mohd. Ghazali merupakan seorang Pegawai Perkhidmatan Pelajaran yang paling lama bertugas di negeri Perak, sebagai guru latihan maktab, guru siswazah, Pengetua Kolej Melayu, Kuala Kangsar dan Pengarah Pelajaran Perak.

Encik Mohd. Ghazali telah menyusun semula struktur pentadbiran Jabatan Pelajaran untuk mempertingkatkan lagi prestasi pegawai-pegawai di Jabatan Pelajaran Perak, Daerah dan Guru-Guru Besar di sekolah-sekolah.

Diantara kegiatan-kegiatan yang dijalankan di bawah anjuran Jabatan Pelajaran Perak ialah:-
i) Menubuhkan Persatuan Perpustakaan Sekolah-Sekolah Negeri Perak (PPSNP), Mesyuarat Agung PPSNP yang pertama telah diadakan pada 8 September 1979 di Sekolah Menengah Lelaki Sungai Pari, Ipoh. Upacara perasmianya telah dilakukan oleh Y.B. Encik Mohd. Khalil bin Haji Hussein, KMN, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
ii) Mengadakan Seminar Tahun Kanak-Kanak Antarabangsa di Sekolah Menengah Anglo-Chinese, Ipoh.
iii) Mengadakan Expo Pendidikan pada 6, 7 dan 8 Jun 1980 di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh.
iv) Mengadakan Musabaqah Membaca dan Mentafsir Al-Quran Peringkat Zon Utara untuk murid-murid Sekolah Menengah dan Rendah. Musabaqah ini telah diadakan di Sekolah Tunku Abdul Rahman, Ipoh.
v) Mengadakan Seminar Guru-Guru Agama Islam di Sekolah Tunku Abdul Rahman, Ipoh.
vi) Mengadakan Majlis Dakwah Islamiah dan Pameran Buku-Buku Agama Islam di Masjid Negeri untuk guru-guru dan murid-murid sekolah sekitar Ipoh
vii) Mempergiatkan lagi berbagai-bagai aktiviti kokurikulum sekolah dengan menganjurkan pertandingan ajtarra sekolah. Diantaranya, Pesta Muzik untuk sekolah rendah, Pertandingan Pancaragam Sekolah, Pemainan dan Sukan Olahraga di bawah kelolaan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Perak (MSSPK).
viii) Mempergiatkan aktiviti Pesatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Perak (PSKPP) dan Hari Guru.
ix) Menganjurkan Kursus Kepimpinan Pendidikan untuk Guru-Guru Besar Sekolah Menengah Prak di Cameron Highlands dengan kerjasama Institut Latihan Kakitangan Kementerian Pelajaran (Ministry of Education Staff Training Institute.

Pada awal tahun 1980, Encik D.S.P. Malayapillai telah bertukar ke Kementerian Pelajaran untuk memegang jawatan Timbalan Nazir Sekolah. Jawatan Timbalan Pengarah Pelajaran Perak telah diambil alih oleh Tuan Haji Hamzah bin Salas dari Bahagian Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh. disamping menguruskan pentadbiran jabatan. Tuan Haji Hamzah juga telah menjalankan bengkel mengkaji disiplin sekolah, menjadi YDP Persatuan Perpustakaan Sekolah dan aktiviti penulisan sejarah pendidikan d negeri Perak.

Semasa Encik  Mohd. Ghazali bin Haji Hanafiah memegang tampuk pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak bilangan pegawai-pegawai profesional dan perkeranian telah betambah  dan jawatan-jawatan baru diwujudkan. Bangunan Jabatan Pelajaran menjadi bertambah sesak. Dalam tahun 1980 sebuah bangunan tambahan telah dibina di bawah Rancangan Malaysia Ketiga dan mula digunakan bulan Januari 1982.

petikan dari buku Sejarah Perkembangan Pendidikan Negeri Perak,

Saturday, August 22, 2015

JPN PERAK SEBELUM MERDEKA

Pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak Sebelum Merdeka

Struktur pentadbiran pelajaran sebelum zaman Jepun telah dihidupkan semula oleh pemerintah Inggeris setelah Jepun keluar dari Tanah Melayu. Di negeri Perak, pihak Penguasa Pelajaran telah melantik Encik E.C. Hicks sebagai ketua jabatan berjawatan Nazir Kanan Sekolah-Sekolah (Senior Inspector of Schools) mulai dari tahun 1945 hingga tahun 1953. Pada masa itu bangunan pejabat pelajaran negeri terletak di Jalan Douglas (tapak bangunan kerajaan negeri dan pejabat Menteri Besar sekarang). Dua orang Nazir Sekolah-Sekolah membantu Nazir Kanan Sekolah-Sekolah dalam urusan pentadbiran sekolah-sekolah di kawasan Perak Utara dan Perak Selatan.

Untuk meneruskan pentadbiran sekolah-sekolah Melayu, jawatan Penolong Nazir Sekolah Melayu yang wujud sebelum perang terus dikekalkan di tiap-tiap daerah. Jawatan ini dipegang oleh orang Melayu. Diantara mereka yang memegang jawatan tersebut ialah YM Raja Kamarul Bahrin dan Encik Salleh Jabot. Memandangkan begitu banyaknya sekolah Melayu terletak di kawasan-kawasan yang terpencil di mana sistem perhubungan jalan raya tidak begitu baik dan setengahnyatidak ada langsung maka tugas Penolong Nazir terpaksa diperturunkan kepada beberapa orang Guru Pelawat. Penolong Nazir sekolah Melayu di daerah Kuala Kangsar misalnya, tidak dapat mentadbir kesemua sekolah Melayu yang kebanyakannya terdapat di sepanjang tebing Sungai Perak itu tanpa bantuan Guru-Guru Pelawat. Daerah atau jajahan Kuala Kangsar terpaksa dibahagikan kepada 7 kawasan iaitu Kroh, Grik, Lengging, Kuala Kangsar Utara, Kuala Kangsar Selatan, Karai dan Kota Lama Kanan. Di tiap-tiap kawasan ini ditugaskan seorang Guru Pelawat.

Tugas Guru-Guru Pelawat pada asa itu, antara lain ialah melawat sekolah-sekolah dengan tujuan untuk menyelaraskan pentadbiran. Mereka juga memerhati guru-guru mengajar dan memberi tunjuk ajar kepada guru-guru supaya mutu pengajaran dapat diperbaiki. Guru-Guru Pelawat juga bertugas untuk memeriksa kawasan sekolah, bangunan, padang dan perkakas-perkakas sekolah. Mereka juga ditugaskan menyediakan soalan-soalan peperiksaan akhir tahun (selalu disebut sebagai 'peperiksaan besar') bagi darjah 1 hingga 4. Soalan peperiksaan untuk darjah 5 dan 6 disediakan di Jabatan Pelajaran Perak, Ipoh. Guru-Guru Pelawat terlibat dalam mengatur pusat-pusat peperiksaan di kawasan jagaannya, menentukan pengawas peperiksaan dan seterusnya memeriksa kertas-kertas calon untuk peperiksaan darjah 5 dan 6. Selain daripada itu Guru-Guru Pelawat juga bertanggungjawab menguruskan pembayaran gaji kepada guru-guru dan kakitangan sekolah di kawasannya. Misalnya, semua Guru Pelawat di bawah Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Melayu di Jabatan Pelajaran Kuala Kangsar memanggil semua guru di kawasan masing-masing pada hari Jumaat akhir bulan untuk mengambil gaji di Sekolah Melayu Central, Kuala Kangsar. Selalunya pada hari gaji itu digunakan juga oleh Guru-Guru Pelawat untuk memberi taklimat kepada guru-guru besar atau menyampaikan sesuatu arahan baru untuk pengetahuan sekolah. Pada hari itulah juga diedarkan Majalah Guru, lidah rasmi Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS), buku-buku bacaan tambahan dan alat-alat mengajar untuk kegunaan sekolah.

Kesedaran masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya pelajaran menyebabkan bilangan kanak-kanak yang bersekolah rendah bertambah dengan pesatnya sejak tahun 1946. Perjuangan politik orang Melayu menentang Malayan Union memberi kesan yang positif terhadap perkembangan pelajaran di sekolah Melayu dan peranan Jabatan Pelajaran Perak dalam hal ehwal pentadbiran sekolah Melayu makin bertambah.

Pihak pentadbir di Jabatan Pelajaran Perak menghadapi satu masalah besa berkaitan dengan bertambahnya bilangan murid-murid yang masuk ke sekolah Melayu. Bilangan bilik darjah tidak mencukupi. Dikebanyakan tempat murid-murid terpaksa belajar di bawah pokok getah, menumpang di bawah rumah orang yang tinggal berhampiran sekolah atau menumpang bangunan sekolah pondok. Di setengah tempat orang kampung bergotong royong membaiki dan membina bangunan sekolah.

Untuk mengatasi masalah kekurangan guru, pihak pentadbir d Jabatan Pelajaran Perak ditugaskan mengambil guru-guru pelatih daru kalangan murid-murid yang telah lulus darjah 6. Pada masa cuti hujung minggu dan cuti penggal guru-guru pelatih ini diberi kursus perguruan di sekolah-sekolah pusat yang berhampiran. Untuk memberi kemudahan kepada guru-guru pelatih perempuan sebuah maktab latihan guru telah dibuka di Kampung Kepayang, yang terkenal namanya sebagai Teachers Residential Training Centre, Perak. Guru-guru pelatih ini menjalani latihan perguruan selama tiga tahun. Setelah itu mereka ditempatkan di sekolah-sekolah Melayu. Disamping itu, Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim dan Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka terus membekalkan guru ke sekolah-sekolah Melayu di Perak tetapi bilangannya amat terhad.

Usaha pentadbir Inggeris di Jabatan Pelajaran Perak dalam membantu perkembangan sekolah Melayu maih terbatas. Dalam banyak hal, tindakan untuk memajukan sekolah Melayu amat bergantung kepada arahan-arahan dari Penguasa Pelajaran di Office of Education, Kuala Lumpur. Salah satu arahan yang diterima ialah rancangan memberi minuman susu dan biskut kepada murid-murid sekolah dalam tahun 1947 untuk mengatasi masalah anak-anak Melayu yang kurang zat makanan, akibat zaman Jepun. Bagi pentadbir Inggeris, langkah memberi bantuan makanan seperti ini merupakan salah satu sebab berlakunya pertambahan bilangan murid-murid di sekolah Melayu.

Dalam tahun 1948, pihak Jabatan Pelajaran Perak diarahkan untuk memajukan pelajaran kerja tangan, perkebunan dan senaman di sekolah-sekolah Melayu. Guru-Guru Pelawat diarahkan untuk menjalani aktiviti-aktiviti pertandingan senaman antara sekolah-sekolah di kawasan masing-masing dan pertandingan bola sepak. Sebuah sekolah akan dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada pertandingan senaman dan sukan olahraga.

Perjuangan UMNO dan KPGMS dalam usaha memajukan pelajaran anak-anak Melayu dalam bidang pelajaran menyebabkan pentadbir Inggeris membawa L.J. Barnes dari England untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran. Surat kerajaan Bil. 68/1949 yang dserahkan kepada Jawatankuasa Barnes mengandungi garis panduan dalam menyediakan penyata pelajaran, iaitu:-
i) Kaedah pelajaran dalam Bahasa Melayu
ii) Cara memilih murid-murid masuk ke Maktab Latihan Melayu
iii) Jalan menaikkan mutu pelajaran sekolah dan membaiki latihan perguruan penuntut-penuntut maktab
iv) Jenis-jenis pelajaran yang diberi di Maktab Latihan Guru-Guru Melayu
v) Cara-cara yang dikehendaki bagi meninggikan mutu pelajaran murid-murid sekolah Melayu
vi) Langkah-langkah yang mustahak bagi memajukan orang Melayu dalam pelajaran Inggeris
vii) Sebarang yang patut bagi mengelokkan susunan badan seperti menubuhkan badan-badan pelajaran tempatan atau lain-lain badan tempatan yang seumpamanya.

Malangnya Penyata Barnes tidak dapat memenuhi hasrat orang Melayu untuk menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah menengah. Apa yang jelas ialah murid-murid Melayu diberi peluang untuk memasuki sekolah Inggeris di awal tahun 1950'an melalui Kelas Khas Melayu (Speacial Malay Class) selama dua tahun sebelum dinaikkan ke Darjah 6 di sekolah-sekolah Inggeris. Murid-murid dari sekolah Melayu yang lulus Darjah 5 dan 6 dengan pangkat yang baik serta lulus Bahasa Inggeris Lisan diterima masuk ke sekolah Inggeris melalui Kelas Khas Melayu.

Oleh kerana kebanyakan sekolah Inggeris terletak di bandar-bandar besar, Jabatan Pelajaran Perak berusaha membuka sekolah-sekolah cawangannya di kawasan yang terdapat ramai orang Melayu seperti Sekolah Inggeris di Padang Asam dan cawangan Sekolah Clifford di Talang untuk menempatkan murid-murid Kelas Khas Melayu. Sekolah-sekolah Inggeris juga disediakan asrama khas untuk anak-anak Melayu dar luar bandar.

Dalam tahun 1952, Prsatuan Guru-Guru Melayu Perak telah bekerjasama rapat dengan Senior Inspector of Schools, Encik E.G. Hicks dalam memilih anak-anak ahli yang berpendidikan Inggeris melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Anak-anak Melayu yang berpendidikan sekolah Inggeris lepasan Sijil Persekolahan Cambridge diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan di seberang laut iaitu di Kirkby dan Brinsford Lodge, bagi melatih guru-guru sekolah Inggeris.

Dalam tahun 1950'an peluang bagi anak-anak Melayu mendapat pendidikan sekolah menengah Inggeris diperluaskan. Jabatan Pelajaran Perak telah mengemukakan sebilangan besar bilangan anak-anak Melayu daru sekolah Melayu untuk melanjutkan pelajaran ke maktab melayu, Kuala Kangsar (Malay College Kuala Kangsar) dan Maktab Perempuan Melayu Kuala Lumpur (Malay Girls College).

Pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak tidak sahaja tertumpu kepada hal ehwal sekolah Melayu dan Inggeris. Sekolah Cina dan Tamil juga mendapat perhatian. Pentadbiran sekolah Cina di negeri ini Perak dipegang oleh seorang Penguasa Sekolah-Sekolah Cina (Superintendent of Chinese Schools) yang bertanggungjawab terus kepada Nazir Kanan Sekolah-Sekolah. Beliau dibantu pula oleh seorang Nazir (Inspector) dan tiga orang Penolong Nazir. Penolong-penolong Nazir ini membantu Guru-Guru Besar Sekolah Cina, Rendah dan Menengah di tiga wilayah, Perak Utara, Perak Tengah dan Perak Selatan.

Dalam tahun 1951, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, Sir Henry Gurney mengarahkan pembentukan satu jawatan kuasa pelajaran bagi mengkaji pentadbiran sekolah-sekolah Cina. Beliau telah membawa perunding pelajaran dari luar negeri yang berpengalaman dalam pendidikan Cina, dan Dr. Wu Teh-yao, seorang pegawai dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Mereka telah menghasilkan satu laporan yang dikenali sebagai Penyata Fenn-Wu (1951). Penyata ini mengesyorkan supaya sekolah Cina terus wujud di Tanah Melayu tetapi kandungan kurikulumnya hendaklah berasaskan kepada Tanah Melayu dan tidak kepada negeri Cina.

Penyata Fenn-Wu telah mendapat tentangan daripada orang Melayu khasnya UMNO dan KPGMS kerana tuntutan-tuntutan  orang Cina itu menggugat usaha untuk mewujudkan dasar pelajaran kebangsaan. Satu jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menyusun Undang-Undang Pelajaran 1952 dan laporan jawatankuasa ini menjadi asas penting dalam penyusunan Penyata Pelajaran Razak 1956.

Satu perubahan besar dalam struktur pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak telah wujud dalam tahun 1953 iaitu apabila Ketua jabatannya dipegang oleh Encik A.F. Hunter (1953 - 1958). Beliau tidak lagi dikenali sebagai Nazir Kanan Sekolah-Sekolah tetapi sebagai Ketua Pegawai Pelajaran (Chief Education Officer). Beliau dibantu oleh beberapa orang Pengelola Sekolah-Sekolah Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil, Penolong-Penolong Pengelola dan kakitangan perkeranian.

Tugas Ketua Pegawai Pelajaran Perak pada masa itu, pada umumnya ialah:-
i) melaksanakan Ordinan Pelajaran dan dasar-dasar pelajaran yang dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu seperti School (General) Regulations, 1951.
ii) melaksanakan rancangan-rancangan pelajaran di peringkat negeri terutama dalam hal-hal berikut:-
a) Gerakan Suluh (Operation Torch) - 1954
b) Rancangan menambah dan membaiki bangunan-bangunan sekolah
c) Melaksanakan kerja-kerja pentadbiran peperiksaan awam
d) Mengatur penyeliaan sekolah-sekolajh
e) Menyusun penempatan dan pertukaran guru-guru
f) Mengurus pembayaran gaji dan tunggakan
g) Mengurus kutipan yuran sekolah
h) Mengurus pengedaran buku-buku bacaan tambahan
i) Menguruskan pendaftaran sekolah, murid-murid dan guru
j) Mengurus pembekalan perabut dan alatan sekolah

Semasa Encik J.F. Hunter menjadi Ketua Pegawai Pelajaran Perak, usaha ke arah memajukan pendidikan kebangsaan terus dipergiatkan. Sekolah-sekolah Melayu banyak didirikan bagi menampung bilangan murid-murid yang makin bertambah terutama di kawasan-kawasan luar bandar. Bilangan sekolah-sekolah Melayu yang dibuka semasa beliau hingga sebelum menjelang merdeka ialah 27 buah.

Dalam tahun 1954, J.F. Hunter menyusun struktur pentadbiran sekolah-sekolah Melayu dengan memberi perhatian yang lebih kepada pentadbiran di peringkat wilayah, Perak Utara dan Perak Selatan. Pembahagian taggungjawab kepada Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Melayu dan Guru-Guru Pelawat makin bertambah kerana jumllah sekolah Melayu di seluruh negeri Perak telajh meningkat hingga 389 buah. Guru Pelawat Teluk Anson misalnya mengawas 22 buah sekolah. Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Melayu Taiping bertanggungjawab ke atas pentadbiran 76 buah sekolah di kawasannya.

Selepas Pilihanraya Persekutuan (27 Julai 1955), Parti Perikatan telah menang dan Dato' Abdul Razak Hussein menjadi Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu yang pertama mengambil alih tugas E.E.C. Thuraisingham, Member of Education di Office of Education, Kuala Lumpur. Office of Education bertukar menjadi Kementerian Pelajaran. Dengan keluarnya Penyata Pelajaran Razak (1956), semua peringkat pentadbiran pelajaran di negara ini mula memasuki era baru yang memberi keutamaan kepada pelajaran kebangsaan.

petikan dari buku Sejarah Perkembangan Pendidikan Negeri Perak

Friday, August 21, 2015

PERANAN JABATAN PELAJARAN PERAK

Secara umumnya peranan Jabatan Pelajaran Perak ialah untuk memberi pendidikan formal yang bersistematik kepada anak-anak tempatan, khususnya orang Melayu. Disamping itu ianya juga bertanggungjawab terhadap sekolah-sekolah yang ada di seluruh negeri Perak.

Di peringkat awal penubuhannya, Jabatan Pelajaran menghadapi pelbagai cabaran. Paling mencabar ialah masalah hendak mengubah sikap dan syak wasangka masyarakat Melayu terhadap matlamat pendidikan sekular ini. Selama ini masyarakat Melayu telah berpuas hati apabila anak-anak mereka sudah boleh membaca Quran dan menulis Jawi.

Sebelum tahun 1899 Sekolah Melayu hanya setakat Darjah III sahaja dengan kurikulumnya meliputi bacaan, tulisan, karangan dan Ilmu Alam. Collinge membawa inovasi dengan memperkenalkan tulisan Rumi ke dalam kurikulum Sekolah Melayu dalam tahun 1891 mulai dari Darjah III. Syak wasangka masyarakat Melayu dari golongan agama semakin melonjak dengan inovasi itu. Walau bagaimana pun, Collinge mempertahankan tulisan Rumi dan mulai tahun 1899 Darjah IV dimulakan di sekolah-sekolah Melayu dengan dimasukkan pula pelajaran Objek (bunga dan tumbuhan di Tanah Melayu) ke dalam kurikulumnya. Dalam tahun 1904, tulisan Rumi dimulakan dari Darjah II lagi.

Cabaran kedua ialah keadaan sosio-ekonomi masyarakat Melayu keseluruhannya. Ibu bapa masyarakat tani enggan menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana takut kehilangan tenaga pembantu untuk mengusahakan sawah ladang. Pendidikan formal melalui sekolah Melayu yang ada terpaksa menambahkan pula perbelanjaan untuk pakaian dan wang saku. Soalnya, apakah keuntungannya menghantar anak-anak belajar di sekolah-sekolah berkenaan?

Kajian H.B. Collinge yang tersiar dalam Annual Report on Perak dalam tahun 1896 menunjukkan output dari lulusan sekolah-sekolah di Perak tidak begitu menjaminkan pekerjaan kerana lebih dari 70% daripada kira-kira 5,183 orang muridnya kembali ke sawah ladang atau menjadi nelayan. Pekerjaan yang paling baik ketika itu ialah menjadi guru atau kerani yang bergaji kecil.

Tegasnya, satu daripada peranan Jabatan Pelajaran ialah untuk mengekalkan kedatangan murid-murid di peringkat maksima dengan cara pujukan, nasihat atau menerusi guru-guru besar atau orang-orang kenamaan tempatan. Itulah dasar yang diamalkan oleh Collinge, walaupun di Selangor ketika itu sudah ada undang-undang yang memaksa ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah.

Satu agi cabaran yang dihadapi oleh Jabatan Pelajaran Perak ialah kewangan. Untuk kelicinan pentadbiran, sejumlah wang yang mencukupi  adalah diperlukan, terutama bila bilangan sekolah dan kaki tangan bertambah. Dalam tahun 1881, perbelanjaan yang diperuntukan untuk pelajaran ialah $122.92 sen, berbanding, misalnya dengan $10,364.00 untuk Jabatan Polis ataupun jika dibandingkan dengan seluruh perbelanjaan kerajaan negeri Perak yang berjumlah lebih dari $650,000.00. Walaupun jumlah itu merupakan jumlah perbelanjaan 9 tahun sebelum tertubuhnya Jabatan Pelajaran Perak, namun ianya dapat memberi gambaran kepada kita tentang terbiarnya soal pelajaran ketika itu. Dalam tahun 1890, apabila tertubuhnya Jabatan Pelajaran Perak itu sejumlah peruntukan $1,256.00 telah diberikan kepadanya.

Masalah kewangan ini menjadi lebih kemas dengan wujudnya 'Education Code' 1899 di mana Jabatan Pelajaran terpaksa menyediakan bantuan (grants to aid) mengikut jumlah murid dan guru dan berdasarkan kelicinan sesebuah sekolah (terdahulu dari ini, bantuan diberi berdasarkan jumlah murid yang lulus dalam peperiksaan kerajaan).

Jabatan Pelajaran Perak lebih merupakan agensi yang melaksanakan polisi kerajaan British melalui 'Education Code 1899'. Selain dari bertanggungjawab terhadap bantuan kewangan ke sekolah-sekolah, ianya juga bertanggungjawab dalam pelaksanaan kurikulum mengikut sekolah-sekolah yang berlainan media.

Di sekolah Melayu, sistem 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) diperkenalkan. Contohnya:-
a) Membaca dan menulis Rumi dan Jawi
b) Karangan (dalam Darjah I dan II, karangan ini diajar dengan cara guru bercerita kepada murid dan kemudiannya murid menceritakan semula secara lisan seterusnya melakunkannya).
c) Perumpamaan dan Resaman Bahasa (untuk Darjah IV dan V)
d) Kira-Kira
e) Ilmu Alam
f) Ilmu Kesihatan
g) Tarawikh
h) Pengetahuan Am dan Kejadian Hari-Hari
i) Pekerjaan Tangan (untuk murid-murid lelaki sahaja)
j) Pekerjaan Tangan (untuk murid-murid perempuan sahaja)
k) Urusan Rumah Tangga
l) Ilmu Kejadian dan Tanaman
m) Latihan Tubuh

Di sekolah Inggeris kurikulumnya hampir sama kecuali meduia pengajarannya sahaja di dalam Bahasa Inggeris. begitu juga untuk sekolah-sekolah Cina da India mengajar bidang bahasa masing-masing dan ditambah pula dengan pelajaran Ilmu Hisab, Pengetahuan Am, Kesihatan, Tata Rakyat, Lukisan Latihan Tubuh dan Nyanyian. Dalam tahun 1920, Mandarin menjadi bahasa pengantar sekolah-sekolah Cina. Bahasa Inggeris mula diajar dari tahun 1918, sementara dalam tahun 1931Sekolah Rendah Cina Kook Ming, Kampung Koh, Sitiawan mengadakan kelas Bahasa Melayu.

Sekolah India pula mempunyai media pengajaran yang berlainan, iaitu Tamil (1900), Telegu (1933), Punjabi (1921) dan sekolah Malayalam (1914, tetapi dtutup dalam tahun1956).

Peranan Jabatan Pelajaran Perak semakin pesat dengan tertubuhnya sekolah-sekolah Menengah Inggeris, iaitu darjah IV ke atas, terutama dalam pengendalian Peperiksaan Junior Certificate dan School Certificate. Kelas menengah ini bermula dari tahun 1891. Peperiksaan School Certificate diselenggarakan bersama dengan Cambridge Local Examination Certificate. Sebelum itu hanya ada Queen's Local Scholarship yang menghantar murid-murid belajar di England.

Kesimpulannya, peranan Jabatan Pelajaran Perak di tahap-tahap awal dahulu berkembang mengikut keadaan politik dan pertambahan sekolah-sekolah dan media pengajaran. Pada amnya dapatlah dirumuskan bahawa segala-gala yang ada hubungan dengan pelajaran adalah terletak di bahu Jabatan Pelajaran Perak, antaranya ialah pentadbiran sekolah-sekolah, guru-guru, murid-murid, kewangan, kurikulum, kokurikulum, pembangunan, peperiksaan, biasiswa (diperkenalkan di Perak oleh J.P. Rodger di mana murid-murid kampung diberi peluang menduduki asrama dan belajar di sekolah-sekolah Inggeris terkemuka di bandar-bandar seperti Taiping, Kuala Kangsar dan Ipoh), dan menjalankan polisi kerajaan pusat melalui Education Code yang dipinda dari masa ke semasa.

petikan dari buku Sejarah Perkembangan Pendidikan Negeri Perak.

Thursday, August 20, 2015

TERTUBUHNYA JABATAN PELAJARAN PERAK

PENUBUHAN JPN PERAK

Sehingga tahun 1990, terdapat 64 buah sekolah Melayu dan 7 buah sekolah Inggeris di dalam Negeri Perak. Sekolah Melayu yang pertama di Perak ditubuhkan dalam tahun 1826 di Matang Gelugur, Di daerah Matang. Sekolah Inggeris yang pertama pula dtubuhkan dalam tahun 1883 dengan nama Central School di Taiping.

Sebelum perjanjan Pangkor termaktub dalam tahun 1874, hanya ada tiga buah sekolah Melayu sahaja iaitu di Matang Gelugur, Matang; di Teluk Pial, Kuala Kurau dan di Temelok, Trong. Sekolah-sekolah ini lebih merupakan sekolah Quran yang berkurikulumkan pelajaran agama Islam dan tulisan jawi. Penubuhannya adalah atas inisiatif pembesar-pembesar Melayu dan orang-orang perseorangan yang sudah pun melihat kejayaan-kejayaan pendidikan formal di Negeri-Negeri Selat.

Dengan adanya hubungan yang rapat dengan Empayar British dan adanya penempatan Residen British  dalam sistem pemerintahan negeri selepas Perjanjian Pangkor itu maka soal pelajaran formal mula mendapat perhatian Residen British. Sistem pelajaran di Eropah yang telah dibawa masuk ke Negeri-Negeri Selat, dicuba pula di Negeri-Negeri Bersekutu termasuklah Perak.

Desakan juga datang dari pembesar-pembesar negeri yang inginkan kerajaan menubuhkan sekolah-sekolah Melayu seperti yang terdapat di Negeri-Negeri Selat ketika itu. Untuk menjaga hati pembesar-pembesar Melayu dan masyarakat Melayu seluruhnya, maka tertubuhlah beberapa buah sekolah Melayu di Negeri Perak. Sehingga tahun 1890 terdapat 18 buah sekolah Melayu di Perak, iaitu dalam tempoh kira-kira 16 tahun selepas Perjanjian Pangkor. Sementara itu tiga buah sekolah Inggeris yang dikelolakan oleh Mubaligh Kristian sudah pun tertubuh dalam tempoh yang sama. 

Oleh kerana pertumbuhan sekolah yang begitu menggalakkan ketika itu dan atas desakan Residen dari masa ke semasa maka pada tahun 1890 tertubuhlah Jabatan Pelajaran di Perak. H.B. Collinge, seorang guru Sekolah Kerajaan di Melaka mengetuai Jabatan Pelajaran Perak dengan gelaran Inspector of School (Nazir Sekolah-Sekolah)

STRUKTUR ORGANISASI JABATAN PELAJARAN PERAK

Memang tidak dapat dinafikan bahawa keadaan sekolah Melayu sebelum penubuhan Jabatan Pelajaran Perak adalah terbiar. Buku-buku teks sangat berkurangan, murid-muridnya bersekolah hanya setahun dua sahaja. Tidak ada kesungguhan dari pihak Residen British untuk mengkaji atau melihat bagi memperbaiki keadaan sekolah-sekolah yang wujud ketika itu. Pendeknya, sekolah-sekolah Melayu dalam dekad tersebut berjalan sesuka hati sahaja.

Dengan tertubuhnya Jabatan Pelajaran Perak, usaha untuk memperbaiki keadaan sekolah Melayu dan sekolah Inggeris dapat dipusatkan di bawah kelolaan Nazir Sekolah-Sekolah. Dengan adanya Nazir Sekolah-Sekolah ini maka sekolah-sekolah yang wujud pada masa itu mendapat perhatian dan nasihat. Segala masalah dapat disuarakan kepada pihak kerajaan.

Setelah lebih banyak sekolah Inggeris dan Melayu ditubuhkan dan setelah mendapati keadaannya memuaskan maka tugas Jabatan Pelajaran adalah lebih penting dan memerlukan tenaga yang lebih banyak. Di peringkat Negeri-Negeri Bersekutu maka ditubuhkan jawatan Nazir Persekutuan (Federal Inspectorate) yang dijawat oleh J.M. Driver dalam tahun 1898 tetapii dimansuhkan dalam tahun 1906 selepas R.J. Wilkinson. Tegasnya, mulai dari tahun 1898, iaitu kira-kira lapan tahun setelah penubuhan Jabatan Pelajaran Perak, Inspector of School adalah di bawah arahan Nazir Persekutuan.

Disamping pertambahan sekolah di akhir-akhir abad ke 19, pihak British juga telah mulai sedar tentang minat yang mulai timbul dikalangan masyarakat Melayu terdapat pelajaran sekular dan matlamat Jabatan Pelajaran ketika itu. Kesedaran tu pula ditambah lagi dengan suara lantang Pembesar-Pembesar Melayu ketika itu yang ingin memperlengkapkan orang-orang Melayu dengan pelajaran moden untuk menghadapi cabaran dari pendatang-pendatang India dan Cina yang mula dibawa masuk oleh British.

Oleh itu, organisasi Jabatan Pelajaran menjadi lebih kompleks dan perlu diperluaskan. Pertambahan sekolah itu sendiri sudah tidak dapat diliputi oleh Nazir Sekolah-Sekolah. Dengan itu diwujudkan jawatan Assistant Inspector of School (Penolong Nazir Sekolah-Sekolah) seramai dua orang. Dalam tahun 1916, jawatan ini digelarkan 'Assistant Director of Malay Vernacular Education' yang dijawat oleh seorang pegawai perkhidmatan awam yang tahu berbahasa Melayu dan faham tentang pemikiran orang-orang Melayu. Assistant Inspector of School yang pertama ialah R.O. Windstedt. Di bawah Assistant Inspector of School  terdapat seorang Guru Pelawat Melayu (Malay Visiting Teacher). Jawatan ini ditubuhkan dalam tahun 1890 ditambah menjadi dua-tiga orang beberapa tahun kemudian. Salah seorang Pelawat Melayu yang terawal ialah Sheikh Nasir.

Dengan tertubuhnya Sekolah-Sekolah Perempuan Melayu maka diwujudkan pula jawatan 'Lady Supervisor' (Penyelia Perempuan). Jawatan ini dimansuhkan ketika ekonomi dunia meleset dalam tahun 1931.

Sebelum ini telah dinyatakan bahawa objektif Jabatan Pelajaran ialah untuk membuat penyeliaan terhadap sebarang bentuk pendidikan formal yang wujud di Negeri Perak bahkan di seluruh Negeri Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat. Disamping sekolah Melayu terdapat pula sekolah-sekolah Inggeris yang lebih merupakan sekolah 'missionary' (mubaligh) daripada sekolah kerajaan. Untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyelewengan terutama sekali dari segi pemungutan wang dan kegunaannya maka Kod Pelajaran diwujudkan untuk menyelaraskan semua sekolah dari segi bantuan kewangan dan nasihat.

Penglibatan kerajaan dalam memberi bantuan kewangan (grants) kepada sekolah-sekolah Inggeris ini menyebabkan perlunya diwujudkan satu jawatan lagi dalam pentadbiran Jabatan Pelajaran di Perak. Maka dalam tahun 1919 diadakanlah jawatan 'Chief Inspector of English Schools' yang lebih berfungsi sebagai pentadbir dalam menentukan jumlah bantuan wang yang perlu diberi kepada sekolah-sekolah daripada kerja -kerja menyelia atau melawat sekolah-sekolah tersebut.

Kod Pelajaran juga menetapkan kurikulum yang perlu ada di setiap sekolah. Antara yang dianggap penting dan perlu penyeliaan tersendiri ialah kerjatangan dan Latihan Tubuh. Maka diwujudkan pula jawatan 'Art Superintendant' dan 'Superintendant of Physical Education'. Mereka ini melatih dan melawat guru-guru yang terlibat  dalam kedua-dua mata pelajaran itu.

Kedatangan orang-orang Cina dan India masing-masing membawa bersama-sama mereka sistem pendidikan dari negara masing-masing. Dalam tahun 1900 sebuah sekolah Tamil ditubuhkan di Simpang Lima, Parit Buntar oleh masyarakat India tempatan. Dalam tahun 1919 sekolah ini menjadi sekolah kerajaan. Sementara itu, dalam tahun 1902 masyarakat Cina di Sitiawan telah menubuhkan sebuah Taman Anak-Anak Yatim di Kampung Koh, Sitiawan yang menjadi asas kepada sekolah Cina yang pertama dalam negeri Perak.

Dengan terwujudnya kedua-dua jenis sekolah ini, maka kawalan Jabatan Pelajaran Perak juga mestilah meliputi sekolah-sekolah tersebut. Dalam tahun 1924 satu jawatan  yang diberi nama "Assistant Director of Education' untuk sekolah Cina dibentuk di peringkat pusat (Kuala Lumpur). Pegawai ini mengawal pendaftaran sekolah-sekolah Cina dan juga membuat lawatan ke sekolah-sekolah tersebut dari masa ke semasa.

Dalam tahun 1930 pula diwujudkan pula jawatan "European Inspector of Tamil Schools' yang bertanggungjawab mendaftar sekolah-sekolah Tamil dan melawat sekolah-sekolah berkenaan dari masa ke semasa.

Jabatan Pelajaran Perak, walaupun tidak terlibat terus dengan sekolah-sekolah berkenaan adalah bertanggungjawab juga kepada pegawai-pegawai di peringkat pusat itu.

Sebagai kesimpulannya, di peringkat awal penubuhan Jabatan Pelajaran Perak dan sistem pentadbirannya menunjukkan bahawa telah ada seorang Nazir Sekolah-Sekolah, Penolong Nazir Sekolah-Sekolah, Guru-Guru Pelawat Melayu, Penyelia Sekolah-Sekolah Perempuan Melayu, 'Art Superintendant' dan 'Superintendant of Physical Education,' Hingga tahun 1930 jawatan-jawatan Penolong Pelawat Sekolah-Sekolah Tamil dan 'Domestic Science Mistress' menambahkan lagi kaki tangan  jabatan.

Jabatan Pelajaran Perak ketika itu berpusat di Central Schools, Taiping (dinamakan semula sebagai 'King Edward VII School' dalam tahun 1905).

petikan dari buku Sejarah Perkembangan Pendidikan Negeri Perak.

Sunday, July 26, 2015

MAKA TERGHIGHAT LER KAT BEKAS GB TEMAN

Sebenornya filem-filem P. Ramlee nih memang banyak pengajaran yang ndak disampaikan. Aper sajer tajuk ceghiter idak kigher ceghiter tuh lawak ker ato seghius ker. Kekedang tuh biler kiter nengor macam idak masuk dek akei pun tapi sebenornyer penoh dgan maksud-maksud yang tersughat dan yang tersighat. Jadi mengkomer boleh nengok dan fikiokan aper yang tersughat dan yang tersighat dalam filem "masam-masam manis' nih. 
 Image result for gambar filem masam-masam manis
MISTERI CIKGU SAARI
* Sepuluh misteri kebaikan Cikgu Saari berbanding satu keburukan yang sering kita perkatakan.....
 1. Walaupun Cikgu Saari tidur dalam kelas tetapi dia masih memberi tugasan kepada murid.
* Cikgu kini bukan saja takat tidur, kadang-kadang tak masuk kelas pun. Tugas untuk murid sebelum masuk kelas baru tercari-cari apa yang nak diberi kepada murid (bukan semua guru).
 2. Walaupun GB memarahi cikgu Saari tetapi dia tidak memarahinya di hadapan murid sebaliknya di bilik GB.
* Sekarang kita sering mendengar seorang guru dimarahi oleh GB di depan murid (bukan semua guru).
Image result for gambar filem masam-masam manis
3. GB dan Cikgu Saari saling menghormati antara satu sama lain.
* Guru sekarang tidak saling menghormati antara satu sama lain akibat pengaruh harta, kuasa, dan ego masing-masing (bukan semua guru).
4. Cikgu Saari sanggup meninggalkan kerjaya sambilan sebagai pemuzik demi tanggujawab sebagai guru.
* Guru sekarang sanggup abaikan kerjaya demi mencari pendapatan lebih seperti menjual kuih raya (bukan semua guru).
Image result for gambar filem masam-masam manis
5. Cikgu Saari sentiasa berdisiplin dan kemas semasa berada di sekolah.
* Guru sekarang tidak lagi menghiraukan etika berpakaian semasa berada di sekolah (bukan semua guru).
6. Semasa meninggalkan bilik mesyuarat dia sempat berpesan bahawa dia akan akur apa keputusan mesyuarat.
* Guru sekarang akan membantah sekiranya sebarang keputusan tidak disukainya (bukan semua guru).
7. Cikgu Saari merupakan seorang yang setia dan menghormati masa.
* Kebanyakan guru kini tidak pentingkan masa dan tidak setia pada tugas. Loceng belum berbunyi sudah menunggu di mesin untuk 'punch out'. (bukan semua guru).
 Image result for gambar filem masam-masam manis
8. Sebelum pergi ke sekolah dia hanya minum secawan kopi dan sebiji pisang. Sarapan yang seimbang pada waktu pagi.
* Guru sekarang suka mengambil sarapan yang berat pada waktu pagi dan banyak menghabiskan masa di kantin. Kalau boleh sajian sarapan macam makan tengah hari. Lepas tu mengantuk (bukan semua guru).
9. Cikgu Saari tidak pernah membawa masalah rumahtangganya ke sekolah.
* Ada guru sekarang terbawa- bawa masalah di rumah ke sekolah dan menceritakan pertelingkahan suami-isteri. Yang jadi mangsanya ialah murid (bukan semua guru).
Image result for gambar filem masam-masam manis
10. Akhirnya, Cikgu Saari menjadi guru yang berjaya.....mana tidaknya kerana pada akhir cerita dia menjadi GB (takkan jadi Menteri Pendidikan kot).
Walaupun satu keburukan yang hanya kita nampak.....tetapi banyak misteri pengajaran yang perlu kita ambil.....itulah mesej sebenarnya yang hendak disampaikan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.