Saturday, August 22, 2015

JPN PERAK SEBELUM MERDEKA

Pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak Sebelum Merdeka

Struktur pentadbiran pelajaran sebelum zaman Jepun telah dihidupkan semula oleh pemerintah Inggeris setelah Jepun keluar dari Tanah Melayu. Di negeri Perak, pihak Penguasa Pelajaran telah melantik Encik E.C. Hicks sebagai ketua jabatan berjawatan Nazir Kanan Sekolah-Sekolah (Senior Inspector of Schools) mulai dari tahun 1945 hingga tahun 1953. Pada masa itu bangunan pejabat pelajaran negeri terletak di Jalan Douglas (tapak bangunan kerajaan negeri dan pejabat Menteri Besar sekarang). Dua orang Nazir Sekolah-Sekolah membantu Nazir Kanan Sekolah-Sekolah dalam urusan pentadbiran sekolah-sekolah di kawasan Perak Utara dan Perak Selatan.

Untuk meneruskan pentadbiran sekolah-sekolah Melayu, jawatan Penolong Nazir Sekolah Melayu yang wujud sebelum perang terus dikekalkan di tiap-tiap daerah. Jawatan ini dipegang oleh orang Melayu. Diantara mereka yang memegang jawatan tersebut ialah YM Raja Kamarul Bahrin dan Encik Salleh Jabot. Memandangkan begitu banyaknya sekolah Melayu terletak di kawasan-kawasan yang terpencil di mana sistem perhubungan jalan raya tidak begitu baik dan setengahnyatidak ada langsung maka tugas Penolong Nazir terpaksa diperturunkan kepada beberapa orang Guru Pelawat. Penolong Nazir sekolah Melayu di daerah Kuala Kangsar misalnya, tidak dapat mentadbir kesemua sekolah Melayu yang kebanyakannya terdapat di sepanjang tebing Sungai Perak itu tanpa bantuan Guru-Guru Pelawat. Daerah atau jajahan Kuala Kangsar terpaksa dibahagikan kepada 7 kawasan iaitu Kroh, Grik, Lengging, Kuala Kangsar Utara, Kuala Kangsar Selatan, Karai dan Kota Lama Kanan. Di tiap-tiap kawasan ini ditugaskan seorang Guru Pelawat.

Tugas Guru-Guru Pelawat pada asa itu, antara lain ialah melawat sekolah-sekolah dengan tujuan untuk menyelaraskan pentadbiran. Mereka juga memerhati guru-guru mengajar dan memberi tunjuk ajar kepada guru-guru supaya mutu pengajaran dapat diperbaiki. Guru-Guru Pelawat juga bertugas untuk memeriksa kawasan sekolah, bangunan, padang dan perkakas-perkakas sekolah. Mereka juga ditugaskan menyediakan soalan-soalan peperiksaan akhir tahun (selalu disebut sebagai 'peperiksaan besar') bagi darjah 1 hingga 4. Soalan peperiksaan untuk darjah 5 dan 6 disediakan di Jabatan Pelajaran Perak, Ipoh. Guru-Guru Pelawat terlibat dalam mengatur pusat-pusat peperiksaan di kawasan jagaannya, menentukan pengawas peperiksaan dan seterusnya memeriksa kertas-kertas calon untuk peperiksaan darjah 5 dan 6. Selain daripada itu Guru-Guru Pelawat juga bertanggungjawab menguruskan pembayaran gaji kepada guru-guru dan kakitangan sekolah di kawasannya. Misalnya, semua Guru Pelawat di bawah Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Melayu di Jabatan Pelajaran Kuala Kangsar memanggil semua guru di kawasan masing-masing pada hari Jumaat akhir bulan untuk mengambil gaji di Sekolah Melayu Central, Kuala Kangsar. Selalunya pada hari gaji itu digunakan juga oleh Guru-Guru Pelawat untuk memberi taklimat kepada guru-guru besar atau menyampaikan sesuatu arahan baru untuk pengetahuan sekolah. Pada hari itulah juga diedarkan Majalah Guru, lidah rasmi Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS), buku-buku bacaan tambahan dan alat-alat mengajar untuk kegunaan sekolah.

Kesedaran masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya pelajaran menyebabkan bilangan kanak-kanak yang bersekolah rendah bertambah dengan pesatnya sejak tahun 1946. Perjuangan politik orang Melayu menentang Malayan Union memberi kesan yang positif terhadap perkembangan pelajaran di sekolah Melayu dan peranan Jabatan Pelajaran Perak dalam hal ehwal pentadbiran sekolah Melayu makin bertambah.

Pihak pentadbir di Jabatan Pelajaran Perak menghadapi satu masalah besa berkaitan dengan bertambahnya bilangan murid-murid yang masuk ke sekolah Melayu. Bilangan bilik darjah tidak mencukupi. Dikebanyakan tempat murid-murid terpaksa belajar di bawah pokok getah, menumpang di bawah rumah orang yang tinggal berhampiran sekolah atau menumpang bangunan sekolah pondok. Di setengah tempat orang kampung bergotong royong membaiki dan membina bangunan sekolah.

Untuk mengatasi masalah kekurangan guru, pihak pentadbir d Jabatan Pelajaran Perak ditugaskan mengambil guru-guru pelatih daru kalangan murid-murid yang telah lulus darjah 6. Pada masa cuti hujung minggu dan cuti penggal guru-guru pelatih ini diberi kursus perguruan di sekolah-sekolah pusat yang berhampiran. Untuk memberi kemudahan kepada guru-guru pelatih perempuan sebuah maktab latihan guru telah dibuka di Kampung Kepayang, yang terkenal namanya sebagai Teachers Residential Training Centre, Perak. Guru-guru pelatih ini menjalani latihan perguruan selama tiga tahun. Setelah itu mereka ditempatkan di sekolah-sekolah Melayu. Disamping itu, Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim dan Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka terus membekalkan guru ke sekolah-sekolah Melayu di Perak tetapi bilangannya amat terhad.

Usaha pentadbir Inggeris di Jabatan Pelajaran Perak dalam membantu perkembangan sekolah Melayu maih terbatas. Dalam banyak hal, tindakan untuk memajukan sekolah Melayu amat bergantung kepada arahan-arahan dari Penguasa Pelajaran di Office of Education, Kuala Lumpur. Salah satu arahan yang diterima ialah rancangan memberi minuman susu dan biskut kepada murid-murid sekolah dalam tahun 1947 untuk mengatasi masalah anak-anak Melayu yang kurang zat makanan, akibat zaman Jepun. Bagi pentadbir Inggeris, langkah memberi bantuan makanan seperti ini merupakan salah satu sebab berlakunya pertambahan bilangan murid-murid di sekolah Melayu.

Dalam tahun 1948, pihak Jabatan Pelajaran Perak diarahkan untuk memajukan pelajaran kerja tangan, perkebunan dan senaman di sekolah-sekolah Melayu. Guru-Guru Pelawat diarahkan untuk menjalani aktiviti-aktiviti pertandingan senaman antara sekolah-sekolah di kawasan masing-masing dan pertandingan bola sepak. Sebuah sekolah akan dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada pertandingan senaman dan sukan olahraga.

Perjuangan UMNO dan KPGMS dalam usaha memajukan pelajaran anak-anak Melayu dalam bidang pelajaran menyebabkan pentadbir Inggeris membawa L.J. Barnes dari England untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran. Surat kerajaan Bil. 68/1949 yang dserahkan kepada Jawatankuasa Barnes mengandungi garis panduan dalam menyediakan penyata pelajaran, iaitu:-
i) Kaedah pelajaran dalam Bahasa Melayu
ii) Cara memilih murid-murid masuk ke Maktab Latihan Melayu
iii) Jalan menaikkan mutu pelajaran sekolah dan membaiki latihan perguruan penuntut-penuntut maktab
iv) Jenis-jenis pelajaran yang diberi di Maktab Latihan Guru-Guru Melayu
v) Cara-cara yang dikehendaki bagi meninggikan mutu pelajaran murid-murid sekolah Melayu
vi) Langkah-langkah yang mustahak bagi memajukan orang Melayu dalam pelajaran Inggeris
vii) Sebarang yang patut bagi mengelokkan susunan badan seperti menubuhkan badan-badan pelajaran tempatan atau lain-lain badan tempatan yang seumpamanya.

Malangnya Penyata Barnes tidak dapat memenuhi hasrat orang Melayu untuk menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah menengah. Apa yang jelas ialah murid-murid Melayu diberi peluang untuk memasuki sekolah Inggeris di awal tahun 1950'an melalui Kelas Khas Melayu (Speacial Malay Class) selama dua tahun sebelum dinaikkan ke Darjah 6 di sekolah-sekolah Inggeris. Murid-murid dari sekolah Melayu yang lulus Darjah 5 dan 6 dengan pangkat yang baik serta lulus Bahasa Inggeris Lisan diterima masuk ke sekolah Inggeris melalui Kelas Khas Melayu.

Oleh kerana kebanyakan sekolah Inggeris terletak di bandar-bandar besar, Jabatan Pelajaran Perak berusaha membuka sekolah-sekolah cawangannya di kawasan yang terdapat ramai orang Melayu seperti Sekolah Inggeris di Padang Asam dan cawangan Sekolah Clifford di Talang untuk menempatkan murid-murid Kelas Khas Melayu. Sekolah-sekolah Inggeris juga disediakan asrama khas untuk anak-anak Melayu dar luar bandar.

Dalam tahun 1952, Prsatuan Guru-Guru Melayu Perak telah bekerjasama rapat dengan Senior Inspector of Schools, Encik E.G. Hicks dalam memilih anak-anak ahli yang berpendidikan Inggeris melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Anak-anak Melayu yang berpendidikan sekolah Inggeris lepasan Sijil Persekolahan Cambridge diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan di seberang laut iaitu di Kirkby dan Brinsford Lodge, bagi melatih guru-guru sekolah Inggeris.

Dalam tahun 1950'an peluang bagi anak-anak Melayu mendapat pendidikan sekolah menengah Inggeris diperluaskan. Jabatan Pelajaran Perak telah mengemukakan sebilangan besar bilangan anak-anak Melayu daru sekolah Melayu untuk melanjutkan pelajaran ke maktab melayu, Kuala Kangsar (Malay College Kuala Kangsar) dan Maktab Perempuan Melayu Kuala Lumpur (Malay Girls College).

Pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak tidak sahaja tertumpu kepada hal ehwal sekolah Melayu dan Inggeris. Sekolah Cina dan Tamil juga mendapat perhatian. Pentadbiran sekolah Cina di negeri ini Perak dipegang oleh seorang Penguasa Sekolah-Sekolah Cina (Superintendent of Chinese Schools) yang bertanggungjawab terus kepada Nazir Kanan Sekolah-Sekolah. Beliau dibantu pula oleh seorang Nazir (Inspector) dan tiga orang Penolong Nazir. Penolong-penolong Nazir ini membantu Guru-Guru Besar Sekolah Cina, Rendah dan Menengah di tiga wilayah, Perak Utara, Perak Tengah dan Perak Selatan.

Dalam tahun 1951, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, Sir Henry Gurney mengarahkan pembentukan satu jawatan kuasa pelajaran bagi mengkaji pentadbiran sekolah-sekolah Cina. Beliau telah membawa perunding pelajaran dari luar negeri yang berpengalaman dalam pendidikan Cina, dan Dr. Wu Teh-yao, seorang pegawai dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Mereka telah menghasilkan satu laporan yang dikenali sebagai Penyata Fenn-Wu (1951). Penyata ini mengesyorkan supaya sekolah Cina terus wujud di Tanah Melayu tetapi kandungan kurikulumnya hendaklah berasaskan kepada Tanah Melayu dan tidak kepada negeri Cina.

Penyata Fenn-Wu telah mendapat tentangan daripada orang Melayu khasnya UMNO dan KPGMS kerana tuntutan-tuntutan  orang Cina itu menggugat usaha untuk mewujudkan dasar pelajaran kebangsaan. Satu jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menyusun Undang-Undang Pelajaran 1952 dan laporan jawatankuasa ini menjadi asas penting dalam penyusunan Penyata Pelajaran Razak 1956.

Satu perubahan besar dalam struktur pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak telah wujud dalam tahun 1953 iaitu apabila Ketua jabatannya dipegang oleh Encik A.F. Hunter (1953 - 1958). Beliau tidak lagi dikenali sebagai Nazir Kanan Sekolah-Sekolah tetapi sebagai Ketua Pegawai Pelajaran (Chief Education Officer). Beliau dibantu oleh beberapa orang Pengelola Sekolah-Sekolah Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil, Penolong-Penolong Pengelola dan kakitangan perkeranian.

Tugas Ketua Pegawai Pelajaran Perak pada masa itu, pada umumnya ialah:-
i) melaksanakan Ordinan Pelajaran dan dasar-dasar pelajaran yang dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu seperti School (General) Regulations, 1951.
ii) melaksanakan rancangan-rancangan pelajaran di peringkat negeri terutama dalam hal-hal berikut:-
a) Gerakan Suluh (Operation Torch) - 1954
b) Rancangan menambah dan membaiki bangunan-bangunan sekolah
c) Melaksanakan kerja-kerja pentadbiran peperiksaan awam
d) Mengatur penyeliaan sekolah-sekolajh
e) Menyusun penempatan dan pertukaran guru-guru
f) Mengurus pembayaran gaji dan tunggakan
g) Mengurus kutipan yuran sekolah
h) Mengurus pengedaran buku-buku bacaan tambahan
i) Menguruskan pendaftaran sekolah, murid-murid dan guru
j) Mengurus pembekalan perabut dan alatan sekolah

Semasa Encik J.F. Hunter menjadi Ketua Pegawai Pelajaran Perak, usaha ke arah memajukan pendidikan kebangsaan terus dipergiatkan. Sekolah-sekolah Melayu banyak didirikan bagi menampung bilangan murid-murid yang makin bertambah terutama di kawasan-kawasan luar bandar. Bilangan sekolah-sekolah Melayu yang dibuka semasa beliau hingga sebelum menjelang merdeka ialah 27 buah.

Dalam tahun 1954, J.F. Hunter menyusun struktur pentadbiran sekolah-sekolah Melayu dengan memberi perhatian yang lebih kepada pentadbiran di peringkat wilayah, Perak Utara dan Perak Selatan. Pembahagian taggungjawab kepada Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Melayu dan Guru-Guru Pelawat makin bertambah kerana jumllah sekolah Melayu di seluruh negeri Perak telajh meningkat hingga 389 buah. Guru Pelawat Teluk Anson misalnya mengawas 22 buah sekolah. Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Melayu Taiping bertanggungjawab ke atas pentadbiran 76 buah sekolah di kawasannya.

Selepas Pilihanraya Persekutuan (27 Julai 1955), Parti Perikatan telah menang dan Dato' Abdul Razak Hussein menjadi Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu yang pertama mengambil alih tugas E.E.C. Thuraisingham, Member of Education di Office of Education, Kuala Lumpur. Office of Education bertukar menjadi Kementerian Pelajaran. Dengan keluarnya Penyata Pelajaran Razak (1956), semua peringkat pentadbiran pelajaran di negara ini mula memasuki era baru yang memberi keutamaan kepada pelajaran kebangsaan.

petikan dari buku Sejarah Perkembangan Pendidikan Negeri Perak

No comments: