Sunday, November 23, 2008

KEUTAMAAN MENGAJAR

Golongan guru atau pengajar perlu juga menjadikan tanggungjawab mereka yang utama adalah mengajar ilmu pengetahuan. Guru tidak boleh menyembunyikan ilmu daripada dipelajari oleh murid. Menyembunyikan ilmu adalah hukumnya haram;
"Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui salahnya perbuatan yang semikian."
(Al - Baqarah : 146)
"Dan sesiapa yang menyembunyikannya (persaksian), maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya."
(Al - Baqarah : 283)
Mempelajari ilmu pengetahuan dan sebab mempelajarinya itu kerana Allah SWT merupakan tanda taqwa kita kepadaNya. Mencari ilmu pengetahuan adalah merupakan ibadat, mentelaahkannya pula adalah sebagai tasbih, mengkaji ilmu pengetahuan adalah sebagai jihat, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui merupakan sedekah dan menyampaikan kepada ahlinya adalah suatu kebaikan.
Ingatlah bahawa Allah SWT meninggikan darjat sesuatu kaum itu kerana ilmu pengetahuan yang mereka miliki. Mereka ini dijadikan pemimpin yang menunjukkan jalan yang lurus iaitu jalan kebaikan. Mereka akan dicontohi, akhlak dan adab mereka diteladani. Begitulah betapa tingginya kedudukan orang yang mempunyai ilmu pengetahuan.
Kita perlu terima hakikat bahawa dengan adanya ilmu pengetahuan yang diberikan oleh 'alim ulama (guru-guru), seluruh manusia akan keluar dari had sifat-sifat kebinatangan dan memasuki had sifat-sifat kemanusiaan. Ini dapat dilihat seperti mana yang diperkatakan oleh Al-Hassan r.a;
"Andaikata tidak ada 'alim ulama, pastinya manusia akan menjadi seumpama binatang."
Ilmu pengetahuan adalah pemimpin segala amalan dan amalan itu hanyalah sebagai pengikutnya. Mereka yang diilhami dan dikurniakan ilmu adalah orang yang benar-benar berbahagia dan yang dihalang atau tidak diberi ilmu adalah benar-benar celaka.

No comments: