Tuesday, May 19, 2009

MAKKAH AL-MUKARRAMAH (16)

Binaan Ka'bah - Binaan Nabi ibrahim dan Ismail as:-
Firman Allah swt yang bermaksud:- "Dan ingatlah, ketika Nabi Ibrahim meninggikan (membina) asas-asas Baitullah bersamaIsmail (seraya berdoa):- Wahai tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".
Firman Allah swt yang bermaksud:- "Dan ingatlah, ketika Kami (Allah) menyediakan kepada Ibrahim tempat Baitullah (dengan mengatakan) janganlah engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu pun dan sucikanlah Rumah-Ku ini untuk orang-orang tawaf dan orang-orang yang beribadat dan orang-orang yang ruku' dan sujud".
Pembinaan Ka'bah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as adalah berdasarkan perintah daripada Allah swt iaitu selepas beberapa kali Nabi Ibrahim as datang menziarahi isteri dan anaknya Ismail as di Makkah. Pada kedatangan kali ketiga, baginda telah diperintahkan agar membina Ka'bah. Ketika itu Ismail as telah berumur 20 tahun dan ibunya telah meninggal dunia.
Nabi Ibrahim as membina Ka'bah dengan dibantu oleh anaknya Ismail as di tempat yang ditunjukkan oleh malaikat. Selepas itu mereka mula menggali tapak asas binaan serta berdoa:- "Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (Surah Al-Baqarah: 127).

No comments: