Tuesday, April 23, 2013






Penduduk Baram masih menanti BN tepati janji

Jofri Jaraiee, 23 Apr 2013
Menurut laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini lebih daripada 6,000 anggota masyarakat Orang Ulu dari lebih 350 rumah panjang di Tinjar, Baram pasti akan menikmati jalan yang baik apabila jalanraya yang bernilai RM101 juta sepanjang 35.7 kilometer siap pada tahun 2013 dalam kawasan tersebut.
Keratan akhbar “The Borneo Post” bertarikh 10hb Januari 2009 dengan tajuk “RM150 million allocated for Lapok road: Lihan” juga dirujuk.

Jalan Lapok dari Beluru Bakong ke Tinjar yang dinaiktaraf telah digunakan sejak tahun lapan puluhan lagi.

Keadaan jalan ini masih tidak banyak berubah dan masih dalam keadaan teruk seperti beberapa tahun yang lalu. Inilah satu-satunya cara perhubungan dan pengangkutan darat untuk masyarakat di Ulu Baram ke bandar-bandar di Sarawak.

Sudah bertahun-tahun keadaan jalan ini berlumpur, banyak lubang sebesar periuk dan mudah ditenggelami air semasa musim hujan.  Jalanraya rosak akibat kenderaan berat yang berulang-alik membawa barang muatan yang melebihi had yang dibenarkan.

Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini di parlimen mendapati projek membina dan menaik taraf jalan luar bandar di negeri Sarawak bermasalah malahan terdapat juga projek yang disifatkan sebagai “projek sakit” dan perlu diberikan perhatian.

Laporan itu juga mendapati projek pembinaan jalan yang telah siap tidak mengikut spesifikasi kontrak dan kualiti pembinaan jalan, keselamatan dan keselesaan jalan tidak memuaskan pengguna jalan raya hasil daripada maklum balas yang diperoleh dari orang ramai.

Menurut laporan tersebut lagi, “kebanyakkan projek yang tidak mengikut piawaian tersebut telah menimbulkan pelbagai masalah seperti jalan terlalu berbukit, turapan bitumen nipis, jalan tidak rata, jalan cepat rosak dan berlubang.”

Sejak dua tahun kebelakangan ini, jalanraya ini telah menjalani kerja-kerja naik taraf yang dilakukan oleh beberapa kontraktor. Walaupun terdapat juga sebahagian jalanraya tersebut sudah dibaikpulih tetapi masih banyak lagi yang masih dalam keadaan yang tidak sesuai untuk pengguna jalanraya. Terdapat banyak jalan yang sempit dengan selekoh tajam dan laluan lorong kecil di sepanjang jalan dimana ianya licin, beralun, curam, banjir dan lubang periuk besar.

Walau bagaimanapun, perkembangannya agak perlahan dengan banyak halangan yang lain datang / timbul di sepanjang jalan di mana ianya sangat berbahaya kepada pengguna jalanraya sekiranya mereka tidak berhati-hati.

Penduduk harap kerajaan menepati janji

Menurut penduduk Baram yang tinggal di Ulu Baram, mereka amat menghargai usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk menaik taraf jalan tersebut tetapi mereka mahu jalan tersebut siap secepat mungkin dan ini akan mempercepatkan perjalanan mereka yang memakan masa berjam-jam untuk sampai ke bandaraya Miri umpamanya.

Mereka mahu jalan raya tersebut siap secepat mungkin tanpa ada halangan-halangan baru yang diwujudkan, mereka mahu halangan tersebut dapat dikurangkan jika boleh atau perlu dihapuskan segera. Mereka sudah terlalu lama menderita akibat menggunakan jalan yang teruk selama ini. Janji mesti ditepati.

Kita menggesa agar pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan segera membina dan memperbaiki jalan raya tersebut untuk kemudahan penduduk Baram. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat dihargai.

Penulis ialah Yang Dipertua PAS Miri, Sarawak.

*** ENAM JAM DUDUK DALAM HILUX DARI LONG SAN ULU BARAM KE MIRI. ITU KALAU CUACA BAIK. KALAU HUJAN BOLEH JADI SAMPAI 12 JAM DOK DALAM HILUX ITU. MEMANG MEMENATKAN.

No comments: