Wednesday, June 19, 2013

BANGSA MELAYU DI DUNIA

Sebenarnya umat Melayu ini telah berkembang ke serata dunia. Mereka bukanlah hanya tertumpu atau pun mendiami Kepulauan Melayu sahaja. Populasi Melayu ini tersebar luas di Asia, Afrika, Pasifik, Amerika Utara dan Eropah. Orang Melayu di Asia ada terdapat di Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, Kemboja, Jepun, Myanmar dan Sri Lanka.

 Bagi Afrika pula, orang Melayu ini ramai terdapat di Afrika Selatan, manakala di Pasifik terdapat di Australia dan New Zealand. Kanada dan Amerika Syarikat merupaka kawasan yang ramai orang Melayu bagi kawasan Amerika Utara. Manakala orang Melayu ramai di Eropah terutama di United Kingdom.

Sejarah telah merakamkan bahawa Ferdinand Magellan yang berbangsa Portugis adalah orang yang pertama mengelilingi dunia. Namun, ada seorang lelaki berbangsa Melayu yang dikenali sebagai Enrique of Malacca atau Henry the Black (Panglima Hitam) telah turut bersama Ferdinand Magellan dalam ekspedisi mengelilingi dunia tersebut. Magellan telah terbunuh di Filipina. Enrique (Panglima Hitam) meneruskan pelayaran ke Sabah dan melengkapkan pelayarannya.

Tun Perak adalah merupakan seorang Bendahara Melaka. Beliau telah mencatatkan sejarah dan membuktikan bahawa orang Melayu dianugerahkan kebijaksanaan dalam politik dan pentadbiran. Kebijaksanaan Tun Perak telah mengangkat Melaka ke puncak kegemilangan. Beliau telah memberikan khidmatnya kepada empatb orang Sultan Melaka iaitu, Sultan Muzaffar Syah, Sultan Manso, Sultan Alauddin Ri'ayat Syah dan Sultan Mahmud Syah.

Dalam bidang ilmuan pula, orang Melayu tidak ketinggalan. Para ilmuan Malayu yang terkenal adalah seperti Syeikh Mohd. Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi, Hamzah Fansuri, Syeikh Abdul Malik, Shamsuddin al-Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel. Bagi Dato' Onn Jaafar, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Burhanuddin Al-Helmy pula adalah merupakan tokoh nasionalis Melayu.

 Disamping itu, orang Melayu juga mempunyai tokoh-tokoh pemikiran dan intelektual iaitu, Abdul Rahim Kajai, Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) dan Tan Sri Nordin Sopiee. Dalam bidang perundangan pula terdapat pula Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim.

Satu keistimewaan orang Melayu ialah akan terus mempertahankan pemerintahan Melayu. Usaha ini berterusan semenjak merdeka hingga masa kini. Pemerintahan Melayu adalah merupakan teras kepemimpinan dalam pentadbiran negara. Ini telah membuktikan bahawa orang Melayu mempunyai mentaliti kelas pertama.

 Dalam institusi ekonomi Islam umpamanya telah meletakkan orang Melayu dengan pakar-pakar dari negara maju. Pemimpin Melayu telah mengasaskan institusi perbankan Islam dan sistem perbankan Islam di negara ini telah menjadi panduan bagi negara-negara luar terutama negara-negara dari Tikur Tengah.

Peningkatan sistem pendidikan dalam kalangan orang Melayu tidak dapat dipertikaikan. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menggabungkan aspek pendidikan miden dan Islam ke arah melahirkan pelajar-pelajar yang berkemahiran. Mereka bukan sahaja memiliki kemahiran ilmu moden, malah boleh menguasai ilmu Islam. Pendekatan dan perkembangan ini mampu menyumbang dalam mengembalikan era kegemilangan Islam. Situasi ini juga menjadi asas lahirnya para cendekiawan Melayu.Cendekiawan Melayu ini telah menguasai pelbagai ilmu. Ini seperti mana yang telah dirintis oleh tokoh-tokoh Islam terbilang seperti Al-Biruni, Ibnu Sina, Ibnu Haitham, Al-Khawarizmi dan lain-lain.

Pencapaian masa kini merupakan rentetan daripada kejayaan masa lalu yang pernah dicipta oleh orang Melayu. Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka misalnya pernah menjadikan orang Melayu cukup terkenal di dunia. Orang Melayu telah membuktikan keunggulannya dalam mentadbir pusat pentadbiran malahan sebagai pusat perdagangan, pusat ilmu dan pusat budaya. Adakah mustahil pada hari ini negara yang ditadbir oleh bangsa yang sama berupaya menjadi perhatian dunia?








1 comment:

a.samad jaafar said...

menjadi perhatian dunia dengan blackout505.. kihkihkih..

agak menarik rencana ini..sy nak cari maklumat ttg panglima hitam tu..