Saturday, October 23, 2010

KERJAYA PENDIDIK DI MALAYSIA

ILMU DAN KEFAHAMAN
Ilmu dan kefahaman merupakan input yang perlu dikuasai oleh seseorang guru. Kualiti guru dilihat daripada tahap ilmu yang dimilikinya berbanding dengan ilmu yang dimiliki oleh murid. Tahap ilmu guru seharusnya lebih tinggi daripada tahap ilmu yang dimiliki oleh murid. Guru sekurang-kurangnya memiliki ijazah sarjana muda bagi mengajar murid yang belajar pada tahap sijil atau diploma. Langkah proaktif perlu diambil oleh guru bagi menambahkan ilmu yang ada dari semasa ke semasa sebagai memenuhi keperluan global dan menepati ciri guru yang bertaraf dunia.

Peningkatan ilmu pengetahuan boleh diperolehi daripada pelbagai sumber seperti mengikuti kursus secara formal daripada institusi pengajian tinggi yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kelulusan seperti kepada peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Ilmu juga boleh diperolehi daripada majlis ilmu seperti seminar, persidangan, kursus dan foram. Selain memperolehi ilmu daripada sumber yang sahih, guru wajar menguasai kaedah menjalankan penyelidikan kerana penyelidikan juga merupakan sumber ilmu yang tinggi nilainya.

KEMAHIRAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Kualiti guru seterusnya dapat dilihat daripada bagaimana seseorang guru menyampaikan ilmu kepada murid. Tugas guru tidak akan sempurna sekiranya mereka tidak dapat menyampaikan ilmu kepada murid dengan berkesan. Tahap amalan profesional, ilmu pengetahuan dan kefahaman yang tinggi tidak bererti kepada kejayaan tugas guru jika guru tidak mampu memindahkan ilmu tersebut kepada murid. Oleh itu, seseorang guru yang berkualiti ialah guru yang berjaya mengajar muridnya dengan berkesan sehingga terbina tingkah laku yang positif.

Tugas guru pada masa ini amat mencabar kerana murid semakin terdedah kepada perkembangan pesat ICT. Sumber ilmu kini bukan sahaja daripada guru, malahan boleh diperolehi daripada pelbagai media elektronik termasuk internet, televisyen dan telefon bimbit. Justeru, guru harus mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran agar dapat terus menarik minat muridnya. Untuk merealisasikan matlamat ini, guru seharusnya mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat agar dapat melengkapkan diri dengan pelbagai kaedah, teknik pengajaran dan pembelajaran terkini.

Friday, October 22, 2010

KERJAYA PENDIDIK DI MALAYSIA

PROFESIONALISME KEGURUAN
Kualiti profesionalisme keguruan merupakan kemampuan seseorang guru tersebut mengenal pasti fungsi dan tanggungjawab mereka secara menyeluruh dan mendalam. Guru menganggap tugas yang diamanahkan kepada mereka wajib dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Guru yang berkualiti profesionalisme mengutamakan kepentingan pekerjaan lebih daripada kepentingan peribadi dan tidak berminat untuk menukar profesionalisme perguruan kepada pekerjaan lain.

Kualiti profesionalisme keguruan dilihat daripada kemampuan guru mengamalkan ciri keguruan yang terpuji dan sesuai dengan tugas dan status guru. Aspek-aspek seperti sahsiah, sikap, minat, kreativiti, kemahiran berkomunikasi dan sifat-sifat kepimpinan sentiasa dijaga apabila berurusan dengan murid, rakan sekerja, ibu bapa, pihak pentadbir dan masyarakat. Untuk tujuan pengajaran, guru harus mempunyai ilmu yang luas dan mendalam, pencapaian yang istimewa dan kecekapan ikhtisas yang tinggi.

Secara umumnya, guru bertanggungjawab untuk mendidik dan mengajar murid dan juga memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan rakan sejawat untuk membangunkan personaliti pelajar ke arah melahirkan modal insan yang diperlukan oleh masyarakat dan negara. Justeru, kualiti guru harus dibuktikan dengan keberkesanan dan dedikasi mereka melaksanakan tanggungjawab, bukan sahaja kepada murid malah ibu bapa, rakan sejawat, masyarakat dan negara.

Tanggungjawab guru bukan sahaja mendidik dan mengajar murid malah juga menjaga kebajikan dan keselamatan murid, bersikap adil terhadap setiap murid tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama, merahsiakan maklumat ikhtisas murid kecuali kepada individu yang berhak dan membimbing murid dalam bilik darjah tanpa sebarang ganjaran. Dalam konteks hubungan profesionalisme antara guru dengan murid, guru akan menunjukkan perwatakan yang sesuai untuk diteladani oleh murid seperti cara berpakaian, pertuturan dan ketenangan emosi.

Tugas dan tanggungjawab guru terhadap ibu bapa murid pula adalah seperti menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak mereka, mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat antara institusi pendidikan dengan keluarga murid, kerahsiaan maklumat peribadi yang diberikan oleh ibu bapa mereka dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.

Selain itu, guru juga bertanggungjawab untuk memberikan maklumat kepada ibubapa demi kepentingan anak mereka. Guru juga perlu menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana, mengelak daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa murid. Guru juga perlu mengelak daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan murid terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

Etika hubungan profesionalisme antara rakan sejawat pula ialah tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan murid atau ibu bapa. Selain itu, guru juga sepatutnya tidak berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru dan sedia memberikan bantuan kepada rakan sejawat, terutamanya mereka yang baru menceburkan diri dalam profesionalisme perguruan.

Tanggungjawab guru kepada masyarakat dan negara diperlihatkan dalam bentuk perlakuan seperti tidak menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara ataupun bertentangan dengan Rukun Negara. Guru perlu memupuk sikap dan nilai dalam diri setiap murid yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna serta menghormati orang yang lebih tua.

Selain itu, menghormati perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama, menghormati masyarakat tempat guru berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab guru. Guru hendaklah sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan kemasyarakatan, menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara mereka dengan ibu bapa dan antara institusi pendidikan dengan masyarakat.

Akhir sekali, guru wajar memberi sumbangan untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawanan masyarakat. Guru juga mesti berpegang pada tingkah laku sopan yang diterima oleh masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian guru dengan baik.

Sunday, October 17, 2010

MENGAPA PERLU MENYIKSA DIRI SENDIRI?

"Kebiasaan yang paling merugikan adalah kebiasaan mensia-siakan hidup dengan hal-hal yang tidak berharga danm menolak hal-hal yang berharga."

Kebanyakan orang mensia-siakan bahagian hidup mereka yang baik untuk hal-hal yang tidak hakiki. Mereka menghabiskan banyak waktu dengan hal-hal yang tidak berguna. Biasa terjadi kepada para pemalas yang hanya duduk-duduk dan membiarkan waktu berlalu begitu saja kerana mereka tidak memiliki hal lain yang lebih baik untuk dilakukan. Kegiatan tanpa tujuan seperti ini boleh ditemui di berbagai tempat umpamanya bar dan kelab.

Rumah tidak sepatutnya dihiasi dan dilengkapi dengan barang-barang mewah sehingga anak-anak sebaliknya menjadi tetamu yang tidak dikehendaki. Ada berbagai rumah yang telah dikunjungi mempunyai pelbagai keistimewaan dan kemewahan semua sudut. Ada juga rumah yang turut mengandungi hiasan yang begitu indah sehinggakan keseluruhan ruang menjadi seolah-olah tidak terpakai atau digunakan.

Seharusnya, fungsi rumah yang pertama adalah tempat yang nyaman untuk diduduki. Rumah seharus menjadi sebagai tempat perlindungan. Kedua, rumah harus merupakan tempat indah yang boleh digunakan mahupun dikagumi.

Hidup terlalu singkat untuk disia-siakan. Apabila seseorang terlambat datang memenuhi jemputan makan atau janji lainnya, janganlah membiarkan hal ini merosakkan keseluruhan hari anda.

Dalam rangka mendapatkan yang terbaik dari hidup, kita harus mengatur pengerahan tenaga dan harus mengarahkannya ke arah yang tepat. Kita harus belajar menyingkirkan segala ketidaksenangan kecil yang bukan hanya melukai kita tetapi juga melukai orang lain.

Kalau kita berjumpa dengan kawan-kawan walaupun di mana-mana, adalah seringkali kita menceritakan bagaimana kita selalu menghabiskan waktu pagi, petang atau malam dengan lepak-lepak sambil minum teh tarik dan bersembang kosong. Perjumpaan ini kebiasaannya di kedai-kedai mamak atau gerai-gerai minuman.

Sungguh sangat mengecewakan menyaksikan pembaziran waktu dan tenaga seperti ini kerana kita merasa kekurangan waktu untuk dapat digunakan bagi peningkatan diri, pembudayaan diri, membantu orang lain atau mengerjakan sesuatu yang berharga.