
Kualiti profesionalisme keguruan merupakan kemampuan seseorang guru tersebut mengenal pasti fungsi dan tanggungjawab mereka secara menyeluruh dan mendalam. Guru menganggap tugas yang diamanahkan kepada mereka wajib dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Guru yang berkualiti profesionalisme mengutamakan kepentingan pekerjaan lebih daripada kepentingan peribadi dan tidak berminat untuk menukar profesionalisme perguruan kepada pekerjaan lain.
Kualiti profesionalisme keguruan dilihat daripada kemampuan guru mengamalkan ciri keguruan yang terpuji dan sesuai dengan tugas dan status guru. Aspek-aspek seperti sahsiah, sikap, minat, kreativiti, kemahiran berkomunikasi dan sifat-sifat kepimpinan sentiasa dijaga apabila berurusan dengan murid, rakan sekerja, ibu bapa, pihak pentadbir dan masyarakat. Untuk tujuan pengajaran, guru harus mempunyai ilmu yang luas dan mendalam, pencapaian yang istimewa dan kecekapan ikhtisas yang tinggi.

Tanggungjawab guru bukan sahaja mendidik dan mengajar murid malah juga menjaga kebajikan dan keselamatan murid, bersikap adil terhadap setiap murid tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama, merahsiakan maklumat ikhtisas murid kecuali kepada individu yang berhak dan membimbing murid dalam bilik darjah tanpa sebarang ganjaran. Dalam konteks hubungan profesionalisme antara guru dengan murid, guru akan menunjukkan perwatakan yang sesuai untuk diteladani oleh murid seperti cara berpakaian, pertuturan dan ketenangan emosi.

Selain itu, guru juga bertanggungjawab untuk memberikan maklumat kepada ibubapa demi kepentingan anak mereka. Guru juga perlu menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana, mengelak daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa murid. Guru juga perlu mengelak daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan murid terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

Tanggungjawab guru kepada masyarakat dan negara diperlihatkan dalam bentuk perlakuan seperti tidak menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara ataupun bertentangan dengan Rukun Negara. Guru perlu memupuk sikap dan nilai dalam diri setiap murid yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna serta menghormati orang yang lebih tua.

Akhir sekali, guru wajar memberi sumbangan untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawanan masyarakat. Guru juga mesti berpegang pada tingkah laku sopan yang diterima oleh masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian guru dengan baik.
No comments:
Post a Comment