Tuesday, October 5, 2010

DISIPLIN DAN KESUNGGUHAN BEKERJA DALAM ISLAM

DISIPLIN TERHADAP DIRI

Islam memang menitikberatkan disiplin terhadap diri dan keluarga kerana dengan adanya disiplin seseorang itu atau sesebuah keluarga itu akan mendapat kejayaan hidupnya. Mengenai diri, Islam menggesa umatnya supaya mendisiplinkan diri dengan sifat-sifat terpuji atau dengan kata-kata lain, berakhlak mulia seperti bercakap benar, amanah, adil dan sebagainya. Ketiadaan sifat-sifat ini boleh menjejaskan iman seseorang seperti yang disebut oleh nabi kita Muhammad s.a.w.:-

“Tanda orang munafik itu tiga perkara: Bila bercakap dusta, bila berjanji mungkir dan bila diaamanahkan mengkhinati.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pendita Zaaba pernah membingkiskan dalam sebuah pantun:-

Siakap senohong,

Gelama ikan duri,

Bercakap bohong,

Lama-lama mencuri.

Dengan sifat amanah seseorang itu akan dipandang mulia kerana amanahlah Nabi Muhammad s.a.w. diberi gelaran “Al-Amin” dan mendapat kepercayaan dari seorang peniaga kaya iaitu Siti Khadijah untuk memperdagangkan perniagaannya.

Selain dari sifat-sifat terpuji ini, Islam telah menentukan beberapa disiplin kepada seseorang supaya berusaha dan membiasakan diri bertemankan orang yang baik tingkah lakunya kerana kawan boleh mempengaruhi seseorang samaada ke arah kebaikan atau keburukan. Lihatlah sabda Nabi s.a.w. menceritakan tentang kawan:-

“Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda (Agama) seseorang itun terletak pada kawannya, maka hati-hatilah kamu akan siapa yang akan kamu kawani.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu awasilah orang yang akan menjadi kawan kita dari sifat-sifat yang keji dan tercela. Dalam sebuah hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda:-

“Bandingan seseorang kawan yang baik dan kawan yang tidak baik laksana penjual minyak wangi dan dapur pembakar tukang besi, tidak sia-sia engkau berkawan dengan penjual minyak wangi (kerana) sama ada kamu dapat membelinya atau kamu memperolehi baunya, sementara dapur tukang besi pula (mungkin) akan membakar badan kamu atau pakaian kamu atau kamu perolehi baunya yang busuk.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Dalam persoalan masa, Islam menyuruh penganutnya supaya tidak membuang masa dengan sia-sia, di tempat-tempat hiburan atau di kedai-kedai kopi, di panggung wayang dan sebagainya. Adalah lebih baik masa itu dihabiskan di tempat-tempat selain dari itu.

Islam juga menentukan kepada umatnya supaya jangan menghalakan pandangan kepada sesuatun yang haram. Oleh kerana ciri-ciri haram dan tidak baik sangat mudah ditemui di mana-mana sahaja terutama dalam masyarakat sekarang. Oleh itu usaha yang bersungguh-sungguh perlu diambil untuk menghindarkan diri dari situasi itu. Langkah yang patut diikuti terdapat dalam firman Allah s.w.t.:-

“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesunggungnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”

(Al-Nur: 30)

Islam juga telah menetapkan disiplin ke atas seseorang dalam kehidupannya sehari-hari seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal iaitu melazimkan diri dengan perkara-perkara yang halal kerana pembesaran fizikal seseorang dari sesuatu yang haram itu mengakibatkan balasan yang tidak baik. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda:-

“Seseorang lelaki jauh perjalanannya (dlam musafir) bergerbang rambutnya serta berdaki, menadah tangannya ke langit (dan berdoa) ke hadrat Tuhan, sedangkan makanannya (dari yang) haram, minumnya (dari yang) haram, dan pakaiannya (dari yang) haram, dan makan dengan cara haram, apakah Aku terima akan permintaannya?”

(Riwayat Muslim)

Disiplin berikutnya yang ditentukan oleh Islam ke atas umatnya ialah tidak bersifat sombong dan sebagainya yang disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran, firmannya:-

“Dan janganlah engkau memalingkan muka kamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong, takbur dan membangga diri. Dan sederhanakanlah langkah kamu semasa berjalan, juga rendahkanlah suara kamu (masa bercakap). Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara kaldai.”

(Luqman: 18 & 19)

2 comments:

a.samad jaafar said...

alhamdulillah.. dapat juge membaja iman..

Fid"s said...

Yup memang dalam Islam kita mesti mempunyai disiplin untuk terus maju kehadapan terutama dalam bidang ekonomi. Bersikap jujur dalam perniagaan dan berusaha untuk memberi kebaikan kepada orang lain dalam perniagaan