Sunday, December 14, 2014

BERSYUKUR TERHADAP APA YANG ADA

BERSYUKUR
Setiap manusia mempunyai berbagai-bagai pemberian (nikmat) dari Allah s.w.t. Pemberian-pemberian asas yang biasanya diperolehi oleh setiap orang ialah kesihatan, penglihatan, pendengaran dan berbagai-bagai lagi pemberian semula jadi yang diberikan oleh Allah s.w.t. Selain daripada itu sebagai seorang anggota masyarakat sudah tentu ia memperolehi beberapa kemudahan yang jika dihitung maka sudah tentu ia akan mendorong seseorang itu bersyukur atau berterima kasih.

Sikap suka berterima kasih dapat memberikan kesedaran tentang banyaknya sumbangan yang diperolehi daripada orang lain dan kerana itu sebagai seorang yang telah menerima nikmat dan pemberian, maka adalah wajar ia mengucapkan syukur. Rasa kesyukuran yang dilafazkan itu boleh menggerakkan seseorang itu untuk melipatgandakan usahanya dalam sesuatu bidang pekerjaan.

Sikap bersyukur ini amat penting dimiliki oleh semua anggota perkhidmatan awam. Dengan adanya perasaan syukur terhadap nikmat kerja yang diberikan oleh Allah s.w.t. ini akan menjadikan kita tabah menghadapi sebarang pekerjaan. Tidak mudah mengeluh, gelisah atau naik radang terhadap masalah-masalah yang dihadapi. Juga, tidak menunjukkan reaksi yang negatif kepada setiap perkara yang tidak menyenangkan dalam pekerjaannya.

Saturday, December 13, 2014

UTAMAKAN KEBERSIHAN

BERSIH
Kebersihan merupakan satu ciri yang perlu wujud dalam kehidupan manusia yang menjalankan semua urusan. Ia merangkumi aspek rohani dan jasmani. Islam menekankan kebersihan pakaian, bangunan dan kawasan; juga bersih dalam urusan-urusan pemilikan harta dan pentadbiran. Konsep kebersihan yang menyeluruh ini merupakan salah satu nilai yang sangat penting untuk diamalkan kerana dari kebersihan ini akan terbentuklah persekitaran dan masyarakat yang sihat.

Pegawai yang menjalankan segala urusannya dengan bersih sudah tentu akan dihormati dan disegani. Sebaliknya pegawai yang rasuah, mementingkan diri dan sebagainya akan dipandang jijik dan hina. Dari segi fizikal pula kebersihan sangat diperlukan. Ia dapat menjauhkan penyakit dan menyenangkan mata memandang. Ada tempat kerja memerlukan tahap kebersihan yang sangat tinggi untuk memastikan hasil yang memuaskan seperti bilik makmal bahan radioaktif, bilik-bilik makmal yang lain, bilik rawatan dan sebagainya.

Kerja-kerja pejabat seperti penyediaan laporan, minit mesyuarat, kerja-kerja percetakan juga seharusnya dilaksanakan dengan bersih dan kemas. Keadaan ini boleh membantu meninggikan produktiviti kerana suasana pejabat yang kotor dan kerja-kerja yang tidak kemas boleh membuntukan fikiran dan menganggu kelancaran kerja.

Kesimpulannya, kebersihan dalam semua aspek adalah sangat-sangat diperlukan bagi semua kumpulan pekerja yang ingin berjaya.

BERDISIPLIN MEMBENTUK KEYAKINAN DIRI

BERDISIPILIN
Agama Islam telah menentukan beberapa amalan fardu yang melatih bukan sahaja aspek-aspek fizikal tetapi juga kejiwaan. Kesemua amalan tersebut adalah diasaskan kepada disiplin tertentu yang mesti dipatuhi apabila sesuatu kerja djalankan. Contohnya apabila kita hendak mengerjakan sembahyang maka ia hanya boleh dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Boleh dikatakan seluruh isi al-Quran mengandungi perintah-perintah dan larangan-larangan yang merupakan disiplin. Ini menunjukkan bahawa manusia tidak boleh melepaskan dirinya daripada disiplin dan sebaliknya kehidupan tanpa disiplin akan berakhir dengan huru-hara dan kacau bilau.

Dalam tugas sehari-hari di pejabat-pejabat, patuh kepada disiplin sangatlah penting. Tanpa disiplin, tugas-tugas akan menjadi kacau bilau dan kerja tidak selesai. Arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan hendaklah dipatuhi oleh anggota bawahan. Sikap hormat menghormati antara sesama pekerja dan pegawai-pegawai akan menambah kemesraan dalam jabatan dan meningkatkan semangat untuk mematuhi disiplin pejabat.

kepatuhan terhadap disiplin menjadi sangat penting kepada pekerja-pekerja dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam semua bidang khususnya dalam bidang-bidag yang sensitif seperti menjaga rahsia kerajaan dan mengendalikan makmal-makmal perubatan serta bahan-bahan kimia yang merbahaya. Pendek kata disiplin sangat penting dalam semua hal.