Tuesday, August 23, 2011

MAKANAN DAN MINUMAN YANG HARAM (2)

6. BINATANG YANG BOLEH HIDUP DI DARAT DAN DI LAUT
Binatang yang dapat hidup baik di daratan mahupun di lautan (air), seperti buaya, ketam, katak, maka hukumnya adalah haram untuk dimakan.

Sedangkan yang hanya dapat hidup di air saja, semuanya adalah halal. Baik yang berupa ikan ataupun yang lain.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:-
"Telah dihalalkan bagi kamu, menangkap binatang laut dan memakannya untuk kesenangan bagi kamu dan bagi orang yang berjalan untuk berbekal dalam perjalanan." (Al-Maidah:96)

Dan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:-
"Laut itu suci airnya, halal bangkainya." (Hadis Riwayat Malik dan lainnya).

Yang menjadi penyebab haramnya makanan itu ada lima:-
1. Nas dari Al-Quran dan hadis
2. Kerana disuruh membunuhnya
3. Kerana dilarang membunuhnya
4. Kerana menjijikkan (kotor)
5. Kerana membahayakan

7. BINATANG BURUAN
Binatang buruan yang diburu dengan menggunakan bantuan binatang bertaring atau burung bercakar seperti anjing dan burung helang, hukumnya boleh, dan binatang yang ditangkap adalah halal, asal memenuhi syarat-syarat berikut:-
1. Binatang yang berburu (anjing atau helang) itu sudah terlatih untuk dipakai berburu. Tandanya ialah kalau disuruh ia patuh dan kalau dilarang ia berhenti
2. Kalau ia dapat menangkap binatang, tidak dimakannya
3. Membaca bismillah ketika melepaskannya
4. Kalau binatang yang ditangkapnya itu masih hidup, wajib disembelih. Dan kalau sudah mati, halal dimakan

Apabila syarat-syarat tersebut di atas tidak dipenuhi, maka hukum binatang buruan itu menjadi haram. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang berbunyi:-
"Yang mati kerana dimakan oleh binatang buas." (Al-Maidah:3)

Dan sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:-
"Jika engkau lepaskan anjingmu yang terlatih dan engkau sebut nama Allah ketika melepaskannya, kemudian ditangkap dan dibunuh binatang itu, maka makanlah binatang itu. Tetapi kalau hasil tangkapannya itu dimakannya, maka janganlah engkau makan, sebab aku takut barangkali ditangkapnya untuk dirinya sendiri." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

8. MINUMAN KERAS
Yang dimaksud dengan minuman keras di sini adalah semua minuman yang mengandungi alkohol dan dapat memabukkan, seperti arak, bir, dan lain-lain yang sejenis. Hukum meminum minuman keras itu adalah haram dan termasuk dosa besar, bagi sesiapa saja yang meminumnya.

Allah Ta'ala berfirman:-
"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya minuman keras (arak, bir, dan lain-lain), judi, berhala, dan mengundi nasib itu adalah pekerjaan yang keji dari pekerjaan syaitan, sebab itu hendaklah kamu jauhi, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan." (Al-Maidah:90)

Disamping minuman keras, apa saja yang emmabukkan juga diharamkan. Seperti sanda Nabi s.a.w. yang berbunyi:-
"Tiap-tiap sesuatu yang memabukkan itu, hukumnya haram." (Hadis Riwayat Muslim)

Dan tidak hanya banyak saja, sedikit saja juga haram.
"Sesuatu yang memabukkan, banyak atau sedikit sama-sama haram." (Hadis Riwayat An-Nasai dan Abu Daud).

Betapa tidak diharamkan, semua itu menyebabkan mudarat yang sangat besar terhadap kesihatan akan dan jasmani manusia. Seseorang ahli kesihatan telah menyatakan bahawa, tidak ada yang lebih teruk diderita oleh manusia kecuali penyakit yang disebabkan oleh minuman keras. Kalau dikaji dengan teliti, akan terbukti bahawa sebahagian besar orang-orang gila yang ada di rumah-rumah sakit itu, disebabkan oleh minuman keras. Demikian pula orang-orang yang mengeluh bahawa dirinya dihinggapi rasa cemas, khuatir, bimbang dan lain-lain gangguan mental. tentu penyebab utamanya adalah minuman keras.

Banyak hadis yang membicarakan masalah minuman keras ini, dan kesemuanya menunjukkan celaan terhadap minuman yang memabukkan tersebut.

Di antaranya adalah sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:-
"Tinggalkanlah meminum minuman keras, sebab ia adalah kunci (pembuka) segala pintu kejahatan."
Dan sabdanya lagi:-
"Barang siapa meminum minuman keras maka keluarlah cahaya iman dalam kalbunya."
Larangan meminum minuman keras ini, tidak hanya terbatas pada meminumnya saja, tetapi juga terhadap segala apa yang berhubungan dengan minuman keras itu. Baik menjualnya, membelinya, membuatnya, membawanya dan lain-lain. Hal mana disebutkan dalam hadis berikut:-
"Nabi s.a.w. melaknat minumann keras itu dalam sepuluh macam orang:- 1. Yang memerasnya 2. Yang minta diperaskan 3. Yang meminumnya 4. Yang membawanya 5. Yang minta dihantarkan 6. Yang menuangkannya 7. Yang menjualnya 8. Yang makan harganya 9. Yang membelinya 10. Yang minta dibelikan

Dengan adanya hadis di atas maka menjadi jelaslah bahawa minuman keras itu bukan saja dilarang meminumnya, namun segala kegiatan yang berkaitan dengan minuman keras itupun dilarang. Walaupun minuman keras itu dihadiahkan kepada kawan yang bukan muslim seperti orang Yahudi atau nasrani dan lainnya, hukumnya tetap haram.

Ada sebahagian orang yang berhujah bahawa minuman keras itu dapat berfungsi sebagai ubat. Namun hal ini telah dibantah oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang berbunyi:-
"Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit sekaligus ubatnya. Dia menjadikan tiap-tiap penyakit ada ubatnya. Maka berubatlah kamu, dan jangan berubat dengan apa-apa yang diharamkan." (Hadis Riwayat Abu Daud).

Ucapan baginda Rasulullah s.a.w. lima belas abad yang silam itu telah dibuktikan oleh doktor-doktor di abad moden ini. Mereka telah mengkaji dengan saksama segala jenis minuman keras, dan akhirnya menarik kesimpulan bahawa, minuman keras itu sekali-kali tidak dapat dijadikan ubat, lantaran ia dapat menimbulkan beberapa kerosakan dalam jiwa manusia.

9. DADAH
Dadah, candu, morfin, dan lain-lain yang sejenis, hukumnya sama dengan minuman keras, sebab sama-sama dapat menghilangkan akal sihat. Orang yang minum bahan-bahan ini, akan keluar dari tabiat yang sebenarnya, kerana akalnya sudah terganggu, sehingga yang jauh menjadi dekat dan yang dekat menjadi jauh, dapat membuat akal menjadi lupa, tenggelam dalam khayalan dan lamunan yang bukan-bukan. Orang yang minum bahan ini dapat melupakan dirinya, agamanya dan dunianya, serta tenggelam dalam alam yang dibuatnya sendiri.

Selain itu, dadah mempunyai pengaruh yang lebih besar daripada minuman keras, dan lebih berbahaya daripada minuman keras. Sudah sewajarnya kalau orang-orang yang menggunakannya dijatuhi hukuman seberat-beratnya.

Monday, August 22, 2011

MAKANAN DAN MINUMAN YANG HARAM (1)


1. DAGING DAN LEMAK BABI
Tentang daging babi ini telah disebut dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:-
"Telah diharamkan atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi." (Al-Maidah:3)

Dalam ayat ini dengan jelas Allah s.w.t. telah mengharamkan memakan daging babi. Kerana daging babi itu haram hukumnya untuk dimakan, maka segala yang ada pada tubuhnya pun menjadi haram pula. termasuk, uratnya, otaknya, tulangnya, darahnya, lemaknya dan lain-lain. Hal ini berkaitan dengan kaedah hukum fikah, iaitu:-
"Menyebutkan satu bahagian yang dimaksud keseluruhan."

Sedangkan haramnya memperjual belikan daging babi itu, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Sesungguhnya Allah dan RasulNya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan berhala." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini sekali gus menjadi nas bagi kaedah di atas, sebab disebutkan yang tidak boleh diperjual belikan itu adalah babi. Sedangkan yang dimaksud dengan babi di dalam hadis itu adalah keseluruhan yang ada pada babi itu. sebab seandainya ada bahagian-bahagiannya yang halal, sudah barang tentu tidak diharamkan memperjual belikannya. Dengan demikian jelas, semua yang ada pada diri babi itu, haram hukumnya, tanpa kecuali.

2. BANGKAI
Bangkai adalah haiwan yang mati dengan sendirinya, tanpa diusahakan oleh manusia dengan jalan menyembelihnya menurut ketentuan agama, atau dengan jalan berburu, termasuk juga bahagian yang terpotong dari haiwan yang masih hidup.
"Telah diharamkan atas kamu (memakan) bangkai." (Al-Maidah:3)

Dalam ayat ini, bangkai menempati urutan pertama dari makanan yang diharamkan Allah.

Haiwan yang mati kerana tercekik, atau terpukul, atau terjatuh, atau tertanduk, atau diterkam binatang buas, semuanya haram dimakan, kecuali bila sebelum matinya sempat disembelih menurut ketentuan agama.

Keharaman bangkai itu sudah jelas atas dasar ayat di atas tadi, namun ada pengecualiannya iaitu:-
a) Bangkai ikan dan belalang. Kedua-duanya halal.
Rasulullah s.a.w. bersabda:-
"Telah dihalalkan bagi kita dua macam bangkai dan dua macam darah. Kedua macam bangkai itu adalah: bangkai ikan dan belalang. Sedangkan kedua macam darah itu ialah: hati dan limpa." (Hadis Riwayat Ahmad, Syafi'i, Ibnu Majah dan Daaruquthny).

b) Bangkai dari haiwan yang tidak mempunyai darah mengalir. Misalnya, semut, lebah dan lain-lain.

Apabila di antara haiwan tadi jatuh ke dalam suatu bejana atau piring makanan dan mati di situ, maka tidak menyebabkan najis.

c) Tulang, tanduk, bulu, kuku, kulit dan gigi dan lainnya yang sejenis, dari bangkai, hukumnya suci. Sebab asalnya adalah suci, dan tidak ada dalil mengatakan najisnya. Tetapi sesuatu bahagian tubuh haiwan hidup yang dipotong, hukumnya seperti bangkai, hal ini berdasarkan pada hadis Nabi s.a.w. berikut:-
"Apa-apa yang dipotong dari haiwan, sedangkan ia masih hidup, adalah bangkai." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Thurmudzi).

3. HAIWAN YANG DISEMBELIH TIDAK MENURUT KETENTUAN AGAMA
Haiwan yang ketika menyembelihnya tidak menyebut nama Allah, hukumnya haram. Berdasarkan firman Allah yang berbunyi:-
"Maka makanlah haiwan-haiwan (halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya." (Al-An'aam:118)

Dan firmanNya:-
"Dan janganlah kamu memakan haiwan-haiwan yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya." (Al-An'aam:121)

Termasuk juga haiwan yang disembelih atas nama selain Allah, seperti disebutkan dalam ayat berikut:-
"Dan binatang yang disembelih kerana selain Allah." (Al-Maidah:3)

Atau yang disembelih untuk berhala:-
"Dan binatang yang disembelih untuk berhala." (Al-Maidah:3)

4. PENGHARAMAN SEMUA YANG MENJIJIKKAN
Dalam mengharamkan sesuatu makanan atau minuman, tentu Allah telah mengetahui akan mudarat atau bahaya yang terkandung dalam makanan dan minuman itu. Oleh itu, semua yang diharamkan Allah itu pasti ada bahayanya bagi kesihatan manusia.

Allah berfirman:-
"Dan dihalalkan bagi mereka segala yang baik-baik, serta diharamkan atas mereka segala yang kotor-kotor." (Al-A'raf:157)

Semua yang dianggap baik oleh perasaan manusia secara umum adalah baik.

Sedangkan yang dianggap kotor adalah segala sesuatu yang dianggap jijik oleh perasaan manusia secara umum, walaupun ada beberapa golongan yang tidak menganggapnya kotor. Contohnya: kahak, hingus, peluh, kutu, nyamuk, lalay dan lain-lain.

Namun dalam hal ini, Imam Syafi'i lebih mengkhususkan lagi, beliau berpendapat bahawa, yang dimaksudkan dengan At Thayyibat dalam ayat di atas adalah semua yang dianggap baik oleh orang Arab, bukan selain mereka. Yang dimaksud dengan orang Arab di sini adalah mereka yang mendiami perkampungan dan pedesaan, bukan orang-orang asli (Badwi). Demikian pula, yang dimaksud dengan Al Khabaits adalah apa-apa yang dianggap menjijikkan oleh mereka.

Imam Syafi'i mengambil perbandingan dengan orang-orang Arab itu, disebabkan oleh faktor bahawa umumnya orang Arab itu mempunyai perasaan yang halus.

Pendek kata, semua haiwan yang dianggap menjijikkan, maka hukumnya haram.

Dan termasuk juga haiwan yang menjijikkan itu adalah haiwan yang suka makan kotoran atau najis, baik ia seekor ayam, kambing, lembu, kerbau dan lain-lain. Haiwan yang gemar memakan kotoran itu disebut Jallaalah.

Dalam hadis disebutkan:-
"Rasulullah s.a.w. melarang makan daging keldai kampung dan binatang yang suka makan kotoran (Jallalah), menungganginya dan memakan dagingnya." (Hadis Riwayat Ahmad, Annasai dan Abu Daud).

Larangan terhadap haiwan yang suka makan kotoran ini selama haiwan itu masih memakan kotoran-kotoran saja. Namun kalau sudah dijauhkan dari kotoran dan diberi makanan yang baik-baik, dikenderai atau diminum susunya, maka hilang pula sebutan Jallaalah atas dirinya.

5. BINATANG BUAS
Binatang buas termasuk haiwan yang diharamkan. Berdasarkan hadis yang disebutkan oleh Imam Maliki dalam kitabnya Al Muwattha', dari sahabat Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda:-
"Memakan semua binatang buas yang bertaring hukumnya haram."

Termasuk juga kera. Kerana Rasulullah s.a.w. telah melarangnya.

Burung-burung yang menyerang dengan cakarnya, seperti burung garuda, helang, gagak dan lain-lain, menurut jumhur ulama, haram.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis yang bersumber dari sahabat Ibnu Abbas r.a.:
"Rasulullah s.a.w. telah melarang (mengharamkan) semua binatang buas yang bertaring dan semua burung yang bercakar." (Hadis Riwayat Muslim).

Maksud binatang buas yang bertaring adalah semua haiwan yang menyerang dangan taringnya, seperti: harimau, singa, kucing, anjing. Semua ini diharamkan menurut jumhur ulama. Dan semuanya disebut binatang buas.

Dan Imam Hanafi menambahkan bahawa, semua haiwan yang memangsa (pemakan daging) itu dikategorikan sebagai binatang buas, termasuk ke dalamnya gajah, tupai dan kucing. Semuanya haram.

Wednesday, August 17, 2011

BARANG YANG MERAGUKAN (SYUBHAT)

Syubhat berasal dari bahasa Arab yang membawa erti samar atau tidak jelas. Sedangkan menurut istilah dalam hukum Islam adalah setiap perkara yang tidak jelas halal haramnya.

Istilah ini bersumberkan dari sabda Rasulullah s.a.w. sebagai berikut:-
"Halal itu jelas dan haram itu pun jelas. Di antara kedua-duanya itu ada perkara yang samar yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Maka, barangsiapa yang takut melakukan hal-hal yang samar tadi, bererti ia telah menjaga dirinya dari sesuatu yang mencemarkan kehormatan diri dan agamanya. Dan sesiapa yang jatuh dalam perkara-perkara yang samar itu, maka ia telah jatuh ke dalam perkara haram. Seperti seorang pengembala yang mengembalakan ternaknya di sekitar tempat yang terlarang, dikhuatirkan ternaknya itu akan makan dari tempat yang terlarang tersebut." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Terhadap perkara yang samar-samar (syubhat) ini, Islam telah menetapkan suatu garis yang disebut sikap hati-hati (warak). Dengan sikap ini, seorang muslim diharuskan menjaga dirinya dari perkara-perkara yang samar-samar, sehingga tidak akan terjerumus ke dalam perkara-perkara yang haram.

Kerana halal sudah jelas, dan haram pun sudah jelas, tinggal perkara syubhat yang harus dijaga. Semua yang meragukan halal dan haramnya adalah syubhat. Jadi sebelum nyata apakah sesuatu itu halal atau haram, hendaklah dijauhi.