Sunday, December 7, 2008

KECEMERLANGAN SEKOLAH

Kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada daya usaha semua gurunya kerana tugas guru adalah untuk membangunkan insan dan membimbing pelajar dari segi sosial, budaya dan akhlak.
Terdapat lima faktor yang boleh menentukan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah. Faktor-faktor tersebut adalah;
1. Guru Besar sebagai nakhoda sekolah sentiasa memastikan setiap kegiatan kurikulum dan kokurikulum berjalan lancar. Selain itu, ia hendaklah boleh mengawal masalah disiplin pelajar dengan berkesan disamping melaksanakan wawasan dan misi yang digariskan bersama guru.
2. Semua guru sentiasa komited dengan tugas yang diberikan sama ada dalam kurikulum mahu pun kokurikulum. Semua guru berfungsi sebagai guru disiplin serta memiliki akhlak danj sahsiah yang tinggi yang akan menjadi contoh dan teladan kepada setiap pelajar.
3. Semua pelajar melibatkan diri dengan aktif dalam kegiatan kurikulum dan kokurikulum. Pelajar mestilah menumpukan perhatian kepada akademik untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan pada masa sama menjalin hubungan baik dengan guru, berakhlak dan berbudi pekerti tinggi.
4. Ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pula memastikan tiada gejala negatif di kalangan pelajar. Mereka mesti memberi kerjasama erat kepada pihak sekolah dalam menjayakan program akademik dan kokurikulum. Mereka menjadi mata dan telinga kepada sekolah bagi mengawasi masalah disiplin, ponteng dan gejala penyalahgunaan dadah.
5. Persekitaran sekolah mestilah mempunyai ciri sekolah dalam taman, tenang, selamat dan sesuai sebagai tempat untuk pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, disamping kemudahan seperti makmal komputer serta pusat sumber sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan dan rujukan.
Jika kelima-lima faktor ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan, sekolah akan mencapai kecemerlangan yang berterusan dalam kurikulum dan kokurikulum. Sehubungan itu, guru memainkan peranan penting dalam memupuk nilai murni serta membangunkan sekolah. Nilai murni perlu disebarkan melalui pendidikan dalam bentuk amanat dan pesanan dalam pelbagai perkara dan situasi.

No comments: