Showing posts with label KPM. Show all posts
Showing posts with label KPM. Show all posts

Wednesday, April 10, 2013

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) - 1

DASAR PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS):-
Empat perkara asas kepada dasar pelaksanaan PBS ialah:-
1. Punca Kuasa
2. Komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah
3. Peraturan-Peraturan Am Pentaksiran Berasaskan Sekolah
4. Dokumen Rujukan

1. PUNCA KUASA:-
Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sekolah rendah mulai tahun 2011 dan peringkat menengah rendah mulai tahun 2012 berdasarkan:-
1.1 Akta Pendidikan:-
Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) 1997, Bahagian II, Perkara 3 yang menggariskan fungsi Lembaga Peperiksaan adalah:-
a. Perkara 3 (a): untuk memberi nasihat, memantau dan membuat analisis tentang penilaian berasaskan sekolah;
b. Perkara 3(b): untuk mengendalikan semua peperiksaan mengikut peraturan-peraturan, garis panduan dan arahan tentang peperiksaan; dan
c. Perkara 3 (c): untuk mengadakan peperiksaan, untuk mengendalikan pemantauan peperiksaan dan menguatkuasakan peraturan-peraturan, garis panduan dan arahan tentang peperiksaan.

1.2 Mesyuarat Jemaah Menteri:-
Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Disember 2010 telah bersetuju supaya penambahbaikan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilaksanakan dengan memberikan penekanan kepada pentaksiran untuk pembelajaran dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning).

Selaras dengan arahan itu, Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan:-
a. Pindaan Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil. 1Tahun 2011:-
Penambahbaikan Sistem Pentaksiran Kebangsaan Bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Mulai Tahun 2011 -KP.LP.003.07.14 (3) bertarikh 22Februari 2011.
b. Pindaan Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil. 2 Tahun 2011:-
Penambahbaikan Sistem Pentaksiran Kebangsaan Bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) Mulai Tahun 2012 -KP.LP.003.07.14 (2) bertarikh 14 Februari 2011.
c. Surat Siaran Lembaga Peperiksaan Bil. 3 Tahun 2011:-
Pemakluman Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Rendah dan Menengah Rendah -KP.LP.003.07.14.05 (1) bertarikh 29 Julai 2011.
d.Surat Siaran Lembaga Peperiksaan Bil. 6 Tahun 2011:-
Penggunaan Buku Pengurusan dan Pengendalian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Sekolah Rendah -KP.LP.003.07.14.05 (3) Bertarikh 15 September2011.

2. KOMPONEN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH:-
PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum kebangsaan. Komponen PBS terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan akademik. Kategori akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala kategori bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Kedua-dua kategori ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH:-
1. AKADEMIK:-
a) Pentaksiran Pusat (PP):-
 Pentaksiran yang ditadbir, diperiksa, direkod di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan peraturan pentaksiran, instrumen pentaksiran, tugasan, garis panduan, peraturan penskoran dan penggredan dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.Pelaporan dikeluarkan LP.

b) Pentaksiran Sekolah (PS):-
Pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah yang berkenaan.
i) Pentaksiran formatif dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz,senarai semak, laporan tugasan,  tugasan rumahdan ujian.
ii) Pentaksiran sumatif dijalankan pada akhir setiap unit pembelajaran, penggal, bulan dan tahun.

PS berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning).

2. BUKAN AKADEMIK
a) Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum:-
Pentaksiran yang ditadbir, direkod dan dilaporkan di peringkat sekolaholeh guru berdasarkan penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti sukan, kokurikulum dan ekstrakurikulum. Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) dan Body Mass Index (BMI) dilaksanakan untuk menilai dan melaporkan aktiviti fizikal murid.

b) Pentaksiran Psikometrik:-
Pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate abilitydanacquired ability), kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran.

Wednesday, March 27, 2013

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS):-
PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras  dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. PBS ini mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for leraning dan assessment of learning. 

PBS mentaksir bidang akademik dan bidang bukan akademik. PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan oleh pihak sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Oleh itu PBS adalah masih tertakluk kepada LPM yang mana LPM menjadi rujukan.
Komponen PBS terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan akademik. Kategori akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP). bagi kategori bukan akademik pula adalah bterdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

PBS dilaksanakan di sekolah oleh guru sekolah. PBS dilaksanakan sama seperti Penilaian Kerja Amali (PEKA) dan Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS). Begitu juga dengan Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS), Perkara Asas Fardu Ain (PAFA), projek, kuiz, soal jawab persembahan dan lain-lain.

Wednesday, January 2, 2013

KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL

PENDIDIKAN - ISU KRITIKAL

Pendidikan begitu kritikal dan sudah menjadi agenda sejagat, penentu kepada kemajuan bangsa dan pilihan pertama dan utama bagi semua keluarga. Fenomena ini begitu genting di negara membangun dan maju hingga didapati perlu diwujudkan beberapa organisasi yang berangkai untuk memajukan pendidikan di peringkat sekolah dan pendidikan tinggi. Persaingan dengan negara-negara lain menuntut kita melakukan anjakan dalam pembangunan modal insan dari segi keupayaan dan intelek. Justeru, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia telah menetapkan "Pembangunan Modal Insan Kelas Pertama" sebagai satu daripada lima teras utama ke arah pencapaian matlamat Wawasan 2020.

Sesungguhnya kejayaan agenda pembangunan modal insan amat bergantung pada kualiti sistem pendidikan dan terasnya ialah aktiviti instruksional atau pengajaran dan pembelajaran. Potensi persepakatan dan bersepadu dalam pengajaran dan pembelajaran ternyata masih belum berjaya dan belum dimanfaatkan secara optimum. Pengajaran berkualiti tinggi masih diharapkan oleh sistem dan dengan mewujudkan guru cemerlang akan mendorong guru menjadi instructional experts yang sukat dipertikaikan. Sebagai contoh kaedah mengajar secara berpasukan atau collaborative teaching masih belum menjadi satu budaya. Masih ramai guru mengajar mengikut kehendak urutan dan cadangan dalam sukatan pelajaran, berorientasikan peperiksaan tanpa mencerna kehendak klien atau murid serta tidak menepati konsep pengajaran berpusatkan murid.

Mereka kelihatan bekerja dalam dunia masing-masing terutama dalam pengajaran. Fenomena ini memberi kesan secara langsung kepada pengurusan kurikulum di bilik darjah. Terdapat guru-guru yang mengajar tanpa set induksi, pengajaran tidak berpusatkan murid, perancangan strategik didapati tidak sistematik, kualiti pengajaran guru masih pada tahap sederhana, pengajaran disampaikan tanpa mengira pengetahuan sedia ada pada murid, kurang pemantauan dan sistem pentaksiran yang longgar. Hal ini mungkin disebabkan tanggapan bahawa guru yang mengajar kelas peperiksaan bertanggungjawab terhadap keputusan peperiksaan. Jika keputusan peperiksaan baik, beliau akan disanjung atau sebaliknya.

Tanggapan ini membuktikan kesepakatan kerja dan tanggungjawab dalam pengajaran dan pembelajaran kelas-kelas peperiksaan belum wujud dengan sempurna sedangkan hasil setiap ujian dan peperiksaan merupakan tanggungjawab semua guru di sekolah. Bahkan antara pengajaran di sekolah rendah dan menengah juga harus berkait. Justeru, kepimpinan instruksional perlu ditekankan agar dapat menjurus kepada misi sekolah bagi mencapai hasil pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.

Tuesday, January 1, 2013

KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL

PENGENALAN
Kepimpinan merupakan satu proses menggembleng tenaga insan ke arah pencapaian matlamat organisasi. Gaya kepimpinan seseorang pengurus amat penting bagi menentukan dan menjamin keberkesanan sesebuah organisasi. Disamping itu, sikap pemimpin berkenaan dalam menjalankan kegiatan mentoring dan minatnya mencari jalan untuk membangunkan kerjaya pekerjanya membawa petanda pemimpin tersebut berorientasikan pencapaian tinggi serta memiliki bakat sebagai seorang pengurus yang cemerlang. Dalam konteks institusi pendidikan, Pengetua dan Guru Besar menjadi mentor utama dalam menggerakkan aktiviti intruksional atau pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Tindakan proaktifnya membuat Penolong Kanan, Ketua Panitia serta guru-guru dapat bersama-sama berkongsi pengalaman dan tanggungjawab ke arah mencapai kecemerlangan visi dan misi institusi berkualiti yang sekali gus akan memperkukuhkan kepimpinan instruksional di sekolah.

Kepimpinan instruksional dilihat dapat mempengaruhi perkembangan bidang pedagogi iaitu sains pengajaran dan pembelajaran yang sentiasa mengalami perubahan yang dinamik, positif dan relevan dalam menghadapi cabaran-cabaran hasil daripada dunia yang sentiasa berubah bagi menghasilkan outcome sejajar dengan kehendak target clientele dalam sistem pendidikan untuk melahirkan murid yang berdaya saing dan berkualiti serta dapat menempa sejarah yang unggul serta mampu mencapai kejayaan cemerlang ke tahap terbilang.

Dalam usaha mewujudkan kepimpinan instruksional yang berkesan, pengetua dan guru besar seharusnya mampu mewujudkan iklim pengajaran dan pembelajaran yang kondusif, mengutamakan aktiviti peningkatan profesionalisme untuk semua tenaga pengajar secara berterusan disamping menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan guru agar standard dan kualiti pengajaran guru sentiasa berada di tahap yang tinggi. Selanjutnya hal ini bukan sahaja memberi impak kepada peningkatan produktiviti yang boleh meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa malah yang lebih penting bagi menarik modal dan teknologi asing. Kita harus mempergiat usaha-usaha mempertingkat kualiti dalam bidang pendidikan kerana pendidikan merupakan sumber utama dan daya penggerak penting dalam pencapaian matlamat Wawasan 2020. Pendidikan dapat menyumbang ke arah mewujudkan tenaga kerja mahir dan sebagai satu-satunya sumber penawaran guna tenaga, disamping melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab bagi menjamin keharmonian dan kemakmuran negara.

Jesteru, melalui kepimpinan instruksional Kementerian Pelajaran sedang giat mewujudkan satu standard nasional yang jelas ke arah pembaikan yang berterusan bagi menempa kemajuan yang signifikan dalam membentuk satu sistem pendidikan yang mementingkan kualiti bagi mencapai tahap minda kelas pertama. Pengetua dan Guru Besar seharusnya memastikan setiap program atau pelan strategik berjaya sepenuhnya dan sekiranya kita gagal, kita sebenarnya turut menyumbang kepada era kegagalan dan kejatuhan bangsa Malaysia pada masa mendatang.

Monday, October 15, 2012

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (2013 - 2025)

Pada Oktober 2011, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan kajian semula sistem pendidikan negara Malaysia secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu. Kerajaan telah mengambil keputusan melaksanakan kajian semula sistem pendidikan berdasarkan standard pendidikan antarabangsa yang kian meningkat, peningkatan aspirasi negara, dan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan negara dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke-21.

Dalam tempoh 11 bulan pelaksanaan kajian, Kemneterian telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam. Kajian ini juga melibatkan penyertaan pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, orang awam dan murid di seluruh negara.

Dokumen awal Pelan Pembangunan Pendidikan telah dibangunkan bagi menilai prestasi semasa sistem pendidikan Malaysia dengan mengambil kira secara objektif pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa. Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan.

Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan. Usaha yang telah dirangka dan akan dilaksanakan untuk mentransformasi sistem pendidikan negara diharap dapat difahami dengan jelas oleh masyarakat keseluruhannya. Kementerian akan mendapatkan maklum balas tentang laporan awal pelan ini daripada seluruh komuniti sebelum laporan akhir pelan ini dihasilkan pada Disember 2012.