Showing posts with label PBS. Show all posts
Showing posts with label PBS. Show all posts

Friday, November 9, 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

STANDARD PRESTASI
Standard Prestasi (SP) merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan  satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Standard Prestasi memandu pentaksir bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.

 Standard Prestasi juga menjadi sumber rujukan oleh semua pihak yang terlibat dalam pendidikan secara langsung dan tidak langsung seperti murid, guru, ibu bapa serta pihak yang berkepentingan untuk menunjukkan dengan jelas matlamat yang ingin dicapai dalam sistem pendidikan.

Dengan menggunakan Standard Prestasi:-
1. Murid tahu dengan jelas apa yang perlu dikuasai atau dicapai, apa yang ditaksir dan kualiti yang diharapkan dalam sesuatu pentaksiran.
2. Guru tahu matlamat yang akan dicapai dalam pendidikan murid di sekolah, apa yang ditaksir dan kualiti yang harus ada pada setiap murid.
3. Ibu bapa tahu apa yang telah dikuasai atau dicapai oleh anak-anak mereka selepas melalui proses pendidikan untuk satu tempoh tertentu.
4. Pihak yang bekepentingan tahu hasrat dan matlamat kurikulum dan sistem pendidikan negara dan kualiti yang ada pada murid yang keluar daripada sistem pendidikan tersebut.

Selain itu, Standard Prestasi juga boleh dijadikan kayu ukur standard pendidikan negara dan sebagai alat untuk membandingkan dengan standard pendidikan negara lain.

Pernyataan Standard diletakkan dalam kategori mengikut Band (Band 1, Band 2, Band 3, Band 4, Band 5 dan Band 6) yang disusun mengikut hierarki dan dijelaskan dengan deskriptor yang menyatakan tingkah laku terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi individu.

Wednesday, October 3, 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

Bidang akademik terdiri daripada:-
1. Pentaksiran Sekolah (PS) dan
2. Pentaksiran Pusat (PP),
manakala bidang bukan akademik terdiri daripada:-
1. Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan
2. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Kedua-dua bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.

Oleh itu, PBS yang dilakukan di sekolah rendah adalah merangkumi:-
1. Pentaksiran Sekolah (PS),
2. Pentaksiran Pusat (PP),
3. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan
4. Pentaksiran Psikometrik (PPsi)
Keempat-empat jenis pentaksiran di atas adalah disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

1. Pentaksiran Sekolah (PS):-
Pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah yang berkenaan.
a) Pentaksiran formatif dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.
b) Pentaksiran sumatif dijalankan pada akhir setiap unit pembelajaran. Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah ujian bulanan dan ujian penggal. PS berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning).

2. Pentaksiran Pusat (PP):-
Pentaksiran yang ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.

3. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK):-
Pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah yang ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum.

4. Pentaksiran Psikometrik (PPsi):-
Pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability dan acquired ability), kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan
masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak
berasaskan kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran.