Tuesday, April 12, 2011

ADIGURU KRAF TENUNAN MUGAH

ADIGURU KRAF TENUNAN MUGAH
(PUAN SABNAH BINTI DULLAH)

Kain tenun mugah, di antara kain tenunan etnik masyarakat Sabah yang amat sinonim dengan suku kaum Irranun dan Rungus. Kain benang kapas ini menjadi pakaian kebesaran suku kaum Rungus terutama semasa majlis perkahwinan, hari perayaan atau semasa upacara adat yang lainnya. Manakala suku kaum Irranun pula bertanggungjawab menenun dan menjadi pembekal kain tenun mugah.

Di antara penenun kain mugah yang disegani adalah Puan Sabnah Dullah. Beliau dilahirkan pada tahun 1945 di Kampung Merabau, Kota Belud, Sabah dan dibesarkan dalam keluarga yang mahir menenun. Sejak berusia 10 tahun, beliau diajar menenun oleh ibu dan neneknya. Dengan kemahiran menenun ini, beliau menyara enam orang adik beradik selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia.

Setiap helai kain tenun mugah yang beliau hasilkan dihiasi dengan reka corak yang tersendiri. Alam semulajadi seperti flora dan fauna, corak-corak geometrik dan unsur kosmos diadun menjadi reka corak kain tenunan beliau. Antara corak yang dihasilkan seperti anunon, tuara, bakaki, bunga emas, tiatali, siku keluang dan sunding yang kemudiannya menjadi ikutan penenun-penenun kain mugah di sekitar Kampung Merabau.

Kepakaran Puan Sabnah dalam menghasilkan kain tenun mugah telah menempatkan beliau sebagai salah seorang penenun kain mugah yang handal dan disegani terutama di sekitar Kota Belud. Bagi memastikan seni kemahiran tangan ini tidak pupus, beliau memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada penenun-penenun muda di sekitar kampung Merabau.

Kegigihan dan kepakaran beliau ini dijejaki oleh Kraftangan Malaysia dan telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenun Mugah pada tahun 2002. Skim latihan yang lebih terancang diatur oleh Kraftangan Malaysia dan beliau telah dilantik sebagai juru tunjuk dalam program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bagi tenunan kain mugah.

TENUNAN MUGAH
Kepekaan terhadap persekitaran terutama alam semulajadi menghasilkan corak menarik pada kain mugah dan menjadikan kain tenunan tangan ini kebanggaan dan kesenian masyarakat Irranun. Kepakaran penenun terpamer melalui kemahiran menyulam reka corak dan motif di antara benang pakan dan loseng.

petikan dari Adiguru Kraf (Master Craftsperson)

No comments: