Monday, October 31, 2011

TINDAKAN TATATERTIB PEGAWAI PERKHIDMATAN AWAM

Untuk mencapai matlamat bagi meninggikan daya pengeluaran dan meningkatkan mutu kerja dalam sektor awam, syarat utama yang mesti dipenuhi terlebih dahulu ialah pegawai perkhidmatan awam perlu mempunyai sifat-sifat bersih, cekap dan amanah. Faktor yang menjadi asas penerapan sifat-sifat tersebut ialah pendidikan dan latihan. Peranan institusi pendidikan memainkan pengaruh yang amat besar dalam pembentukan peribadi seseorang individu supaya berdisiplin dan berdedikasi.

Secara umum tatatertib atau disiplin ialah peraturan-peraturan yang dipersetujui oleh sesuatu kumpulan atau organisasi bagi mewujudkan suasana yang aman dan tenteram serta menjamin keharmonian ahli-ahlinya. Disiplin juga adalah cara berfikir yang teratur yang melahirkan sifat rasional, keyakinan diri dan tabah hati seseorang. Ia juga ada kaitan dengan tatasusila, keadaan, akhlak dan kesopanan. Ini bermakna orang yang berdisiplin bukan sahaja dikehendaki oleh masyarakat tetapi juga mematuhi perlakuan yang diingini oleh masyarakat walaupun ia menyedari bahawa tidak mematuhinya bukanlah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda atau hukuman. Contoh jenis perlakuan yang diharapkan oleh masyarakat ialah seorang individu itu menepati waktu, berinisiatif, rajin, sedia membantu orang dalam kesusahan, berdisiplin dan menghormati orang lain.

Disiplin adalah perlu bagi sesuatu organisasi itu mencapai kestabilan dan objektif-objektif yang telah ditetapkan. dalam perkhidmatan awam, peraturan-peraturan mengenai tatatertib adalah merupakan satu alat kawalan bagi mewujudkan pentadbiran yang boleh mendapat kepercayaan ramai dan memenuhi tugas serta tanggungjawab kerajaan dengan adil dan saksama. tatertib atau disiplin adalah asas utama bagi membentuk negara yang teguh, berdaulat dan mulia.

Tatatertib dalam perkhidmatan awam terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Peraturan-peraturan ini mengandungi peraturan tentang kelakuan yang dibolehkan dan yang dilarang. Pegawai perkhidmatan awam perlu tahu semua larangan tersebut dan sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan tindakan tatatertib. Tindakan tatatertib/proses tatatertib juga perlu dilihat dari sudut positif, bukan semata-mata punitive dalam membentuk sikap dan perlakuan pegawai awam yang mendokong objektif perkhidmatan awam/memikul amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Peraturan-peraturan yang mengandungi peruntukan tentang tatatertib mula dipakai dalam awal tahun 1020-an di Negeri-Negeri Selat bersama-sama dengan Colonial Regulations yang berupa peraturan-peraturan bagi pegawai-pegawai yang berkhidmat di bawah pemerintahan Inggeris di negeri-negeri yang dijajahnya. Pada tahun 1956, satu bab khusus mengenai tatakelakuan dan tatatertib yang mempunyai kuatkuasa undang-undang telah diperkenalkan untuk pentadbiran kerajaan di Tanah Melayu. Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (kelakuan dan Tatatertib) 1956 ini merupakan hasil dari perakuan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Taylor yang dibentuk dalam tahun 1952 dengan tujuan untuk mengkaji perkara-perkara berhubung dengan keutuhan perkhidmatan awam.

Dalam laporan yang diterbitkan pada tahun 1955 itu, ia telah memperakukan antara lain penubuhan satu badan yang bebas untuk menyiasat perbuatan rasuah dan langkah-langkah untuk membanterasnya. Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Perintah Am Bab 'D') 1968 dan Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Awam (Kelakuan dan tatatertib) (Perintah Am bab 'D') 1969 merupakan perubahan kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1956.

Pada tahun 1980 peraturan-peraturan ini digantikan oleh Perintah-perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (bab 'D') 1980 yang berkuatkuasa pada 17 Julai 1980. Dengan pelaksanaan Sistem Saraan Baru mulai 1992 maka Perintah-perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Bab 'D') 1980 telah digantikan dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 19934 yang berkuatkuasa mulai 15 Disember 1993. Pada tahun 2002, beberapa peruntukan baru telah dimasukkan dalam peraturan ini selaras dengan kehendak semasa.

No comments: