Sunday, February 5, 2012

SALAM MAULIDURRASUL 1433

DIDIKAN ALLAH S.W.T. KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W. DENGAN AL-QURAN
Rasulullah s.a.w. sangat merendahkan diri kepada Allah s.w.t., merasa sangat kecil di hadapan-Nya dan sentiasa memohon agar dikurniakan budi pekerti yang baik dan keluhuran akhlak. Dalam doanya Baginda s.a.w. sering mengucapkan:
"Ya Allah, cantikkanlah tubuh badanku dan budi pekertiku." (Diriwayatkan oleh Ahmad)

Kerap juga Baginda s.a.w. mengucapkan:
"Ya Allah, jauhkanlah diriku dari akhlak-akhlak yang buruk." (Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Hakim)

Allah s.w.t. mengabulkan permohonannya, sebagai memenuhi janji dari firman-Nya:
"Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Mukmin: 60)

Allah s.w.t. menurunkan Al-Quran kepada Baginda Rasulullah s.a.w. sekaligus dengan adabnya sekali. Oleh sebab itu, budi pekerti Baginda s.a.w. adalah Al-Quran.

1. Baginda suka memaafkan, mengajak kepada kebaikan dan tidak melayani sikap buruk dari orang yang bodoh atau tidak mengetahui:
"Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)." (Al-A'raf: 199)

2. Melaksanakan keadilan, berbuat baik, memberi bantuan serta melarang dari perkara yang keji, kemungkaran dan kederhakaan:
"Sesungguhnya Allah memerintah berlaku adil, berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman." (An-Nahl: 90)

3. Selalu bersikap sabar:
"Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya." (Luqman: 17)

4. Memberi kemaafan dan kelonggaran pada orang yang bersalah:
"Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya." (Al-Ma'idah: 13)

5. Menolak kejahatan dengan cara yang sebaik-baiknya:
"Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat baik." (Fussilat: 34)

6. Menahan kemarahan dan memaafkan orang lain:
"Dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang maafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Ali Imran: 134)

7. Jangan berburuk sangka, tidak mengintip keburukan orang dan jangan mengumpat:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak meyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa." (Al-Hujurat: 12)

Demikianlah sebahagian kecil dari beberapa ajaran dan didikan yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. dan telah Baginda laksanakan dengan sebaik-baiknya. Sebenarnya masih banyak didikan yang terdapat dalam Al-Quran, yang tidak terhitung.

Saturday, February 4, 2012

BERDISIPLIN

Agama Islam telah menentukan beberapa amalan fardhu yang melatih bukan sahaja aspek-aspek fizikal tetapi juga kejiwaan. Kesemua amalan tersebut adalaj diasaskan kepada disiplin tertentu yang mesti dipatuhi apabila sesuatu kerja dijalankan. Contohnya apabila kita hendak mengerjakan sembahyang maka ia hanya boleh dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Boleh dikatakan seluruh isi Al-Quran mengandungi perintah-perintah dan larangan-larangan yang merupakan disiplin. Ini menunjukkan bahawa manusia tidak boleh melepaskan dirinya daripada disiplin dan sebaliknya kehidupan tanpa disiplin akan berakhir dengan huru-hara dan kacau-bilau.

Dalam tugas sehari-hari di pejabat, patuh kepada disiplin sangatlah penting. Tanpa disiplin, tugas-tugas akan menjadi kacau-bilau dan kerja tidak selesai. Arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan hendaklah dipatuhi oleh anggota bawahan. Sikap hormat menghormati antara sesama pekerja dan pegawai akan menambah kemesraan dalam jabatan dan meningkatkan semangat untuk mematuhi disiplin pejabat.

Kepatuhan terhadap disiplin menjadi sangat penting kepada pekerja-pekerja dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam semua bidang khususnya dalam bidang-bidang yang sensitif seperti menjaga rahsia kerajaan dan mengendalikan makmal-makmal perubatan serta bahan-bahan kimia yang bahaya. Pendek kata disiplin sangat penting dalam semua hal.

Minta izin sebelum memasuki sesebuah rumah:
"Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu membri salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik." (An-Nur: 61)

Mintalah izin sebelum berundur diri dari sesuatu majlis:-
"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benar beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya." (An-Nur: 62)

Akibat ketiadaan pengawasan disiplin dalam organisasi:-
"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum)." (Al-Anfal: 25)

Wednesday, February 1, 2012

KEPENTINGAN BERILMU

Kepentingan berilmu ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dengan firman-Nya yang bermaksud:
"Adakah dapat disamakan orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" (Az-Zumar: 9)

Untuk menjadi seorang pentadbir yang cekap dan berjaya, seseorang individu itu perlu mempunyai ilmu dan kemahiran bekerja yang sucukupnya. Untuk mencapai ke tahap ini, seseorang pekerja itu perlulah menambahkan ilmu pengetahuan masing-masing dari masa ke semasa. Lebih-lebih lagi ilmu yang berteraskan Islam. Sejarah telah membuktikan nilai-nilai yang yang dipakai oleh negara-negara maju melalui disiplin-disiplin ilmu yang tidak mengikut keutamaan ilmu dalam Islam telah membawa negara-negara berkenaan ke dalam kancah keruntuhan moral, adat susila dan krisis nilai.

Bagi mengembalikan nilai-nilai Islam, maka kita (pentadbir) seharusnya mengambil langkah memberi keutamaan mempelajari ilmu-ilmu Islam dan seterusnya diamalkan ke dalam kehidupan sehari-hari. Jika ini dapat dipraktikkan, isya-Allah akan lahirlah pentadbir, pengurus dan pekerja yang cekap dan tidak menyalahgunakan kecekapan itu sehingga tergelincir dari landasan yang diredhai oleh Allah SWT.

Serahkan tugas kepada orang yang berminat dan berilmu:
Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". (Yusuf: 55)

Berusaha menambah ilmu:
Dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku." (Taha: 114)

Allah mengangkat darjat orang yang berilmu:
Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang di beri ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat." (Al-Mujadalah: 11)

Orang berilmu takut kepada Allah:
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu." (Al-Fatir: 28)