Sunday, January 3, 2010

KEPEMIMPINAN SEKOLAH

KESIMPULAN UMUM MENGENAI KEPEMIMPINAN

1. Kepemimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa dan bertindak dalam cara-cara tertentu. Dalam aspek ini pemimpin seharusnya mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang bekerja dengannya dan juga seharusnya menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Pemimpin sepatutnya berupaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah serta dapat mencapai matlamat masa hadapan.

2. Melalui kepemimpinan setiap perlakuannya boleh diperhati dan boleh juga dikaji. Stail kepemimpinan seseorang adalah kecenderungan orang itu untuk berkelakuan dengan cara-cara tertentu dalam sesuatu keadaan tertentu. Oleh yang demikian, seseorang itu boleh memperolehi kemahiran kepemimpinan dan menyesuaikannya dalam suatu keadaan dengan tidak perlu mengubah stail kepemimpinan yang sedia ada.

3. Peranan kumpulan juga lahir melalui kepemimpinan. Seseorang pemimpin boleh menonjolkan kepemimpinannya hanya melalui penglibatan dalam kumpulan. Sewajarnya ahli-ahli dalam kumpulan yang berkenaan menilai corak kepemimpinan yang ada pada diri pemimpin kumpulan tersebut.

4. Kekerapan interaksi perlu ada untuk membentuk kepemimpinan yang baik. Sekiranya seseorang pemimpin itu sentiasa mendiamkan diri dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan orang-orang bawahannya akan menjadikan kepemimpinannya kurang berkesan. Pemimpian yang sentiasa "bersembunyi" diibaratkan sebagai takut dengan bayang-bayang.

5. Nilai dan aspirasi yang dikongsikan bersama antara orang-orang bawahan dengan pemimpin akan melahirkan kepemimpinan yang berkesan. Mereka akan bergerak "sederap" iaitu mempunyai satu hala tuju disamping dapat berkongsi pengalaman serta bertukar-tukar idea yang melahirkan situasi mesra.

6. Kepemimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandang hanya satu daripada punca adanya potensi kepemimpinan. Kejayaan kepemimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa formal melalui jawatan dan penerimaan orang-orang bawahan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan.

7. Orang-orang yang cuba menggunakan terlampau banyak pujukan dan orang-orang yang menampakkan tanda-tanda mahu mengawal dan menyekat tidak akan diterima sebagai pemimpin oleh sesebuah kumpulan.

Berdasarkan kepada perkara-perkara yang telah diperkatakan di atas, jelas bahawa seandainya seseorang mahu menampakkan kebolahannya memimpin seharusnya:

1. Pemimpin sewajarnya mempunyai pengetahuan yang lebih dari orang bawahannya dalam bidang-bidang yang berkenaan.

2. Bagi seseorang pemimpin itu, sepatutnya dia sendiri yang memulakan inisiatif dan sekiranya dia hanya menunggu orang lain yang datang menemuinya dan tidak mahu memulakan sesuatu, maka susahlah baginya menjadi pemimpin yang berkesan.

3. Seseorang pemimpin itu dapat merasai apa yang dirasai oleh orang-orang bawahannya.

4. Sifat kreatif, inovatif serta mempunyai cara tersendiri patut ada pada diri seseorang pemimpin.

5. Pemimpin yang berkesan boleh memberi khidmat dan bantuan kepada orang-orang yang bekerja dengannya.

6. Seseorang pemimpin itu akan cuba menampakkan yang ianya adalah orang yang bertanggung jawab dan bertimbang rasa.

7. Boleh memberi dan menerima pendapat juga adalah sifat yang patut dimiliki oleh seseorang pemimpin.

2 comments:

ireneTEH said...

wow! besok dah balik ke sekolah, bagaimana persediaan? alat tulis? buku tulis? beg sekolah? tahun 2010mesti tambah duit belanja, hahahahaha, jangan marah!

amalhaj said...

yeh! yeh! yeh! yeh! yeh!
esok pakai baju baru, seluar baru, kasut baru, stoking baru, semuanya baru, irene jangan jealous....