Sunday, January 31, 2010

CIKGU NAK KENA SUMPIT?

Pagi semalam aku terperangkap dalam kesesakan 'Thaipusam’. Semua orang sedia maklum, bandar Sungai Siput adalah merupakan salah satu tempat diadakan perarakan ‘kavadi’ sempena ‘Thaipusam’ secara besar-besaran. Aku kira bernasib baik kerana terperangkap di dalam kedai ketika aku mencari ‘dakwat’ printer aku yang sudah kehabisan.


Leka aku meneliti majalah di kedai itu, aku terdengar satu suara di telinga aku yang berkata, ‘cikgu nak kena sumpit?’ Aku terdiam dan panik seketika. Teringat kembali semasa aku mengajar di sebuah sekolah di perkampungan orang Asli. Memang kata-kata itu pernah aku dengar semasa aku di sana lantas aku menoleh ke arah suara itu.


Seorang pemuda menghampiri aku sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Ia memperkenalkan namanya kepada aku. Ia tersenyum kepada aku dan aku terus menepuk bahunya. Pemuda inilah yang aku rotan semasa di sekolah dulu. Jamli gembira kerana aku masih mengingatinya.


Kami ‘terpaksa’ berbual panjang. Aku katakan ‘terpaksa’ bukan kerana ‘terpaksa’ melayan bekas murid aku tetapi kesesakan perarakan ‘kavadi’ terus menjadi-jadi. Kereta aku yang aku ‘parking’ di sebelah ‘KFC’ juga telah terhalang oleh kereta-kereta yang lain. Jalan utama di Sungai Siput penuh sesak daripada dua lorong menjadi satu lorong dan dijadikan dua hala.


Aku gembira kerana murid yang pernah aku rotan telah berjaya dalam hidupnya. Kini telah pun bekerja sebagai seorang pembantu tadbir di sebuah pejabat kerajaan di sini. Adalah jarang sekali murid orang Asli yang mahu bekerja sebagai kakitangan kerajaan mahupun kakitangan swasta. Kebiasaannya mereka lebih suka bekerja sendiri di kampung mereka.


Aku sesungguhnya amat takut bercampur panik apabila Lemba, ayah kepada Jamli menyerang aku di sekolah. Lemba mengugut akan menyumpit aku dengan sumpit yang dibawanya. Memang aku bernasib baik, kerana dengan izin Allah, Mitam ada bersama aku ketika itu.


Mitam adalah ‘Tok Batin’ di kampung itu dan beliau juga adalah 'YDP PIBG' sekolah aku. ‘Tok Batin’ adalah ketua kepada orang-orang Asli dan merupakan orang yang paling dihormati. Memang wajar dan tepat sekali Mitam dipilih menjadi ‘Tok Batin’ kerana melalui pujukan dan nasihatnya, api kemarahan Lemba dapat dipadam segera. Kalau tidak, mungkin aku hanya tinggal nama sahaja sekarang ini.


Peristiwa itu telah banyak mengajar aku dengan pantang larang dan adat orang Asli. Rupa-rupanya, adalah menjadi pantang besar memukul murid orang Asli dengan rotan. Kepercayaan mereka adalah ‘menjadi sial’ apabila rezeki menyentuh tubuh mereka. Pada mereka, rotan adalah suci dan merupakan sumber pendapatan yang tak seharusnya tersentuh secara kasar pada batang tubuh mereka.


Dalam kesesakan perarakan ‘kavadi’ ini, secara kebetulan aku teringat dengan pantang larang yang berkaitan dengan ‘lembu’. Penganut agama ‘Hindu’ meletakkan ‘lembu’ sebagai binatang yang suci. Mereka yang beragama ‘Hindu’ tidak akan memakan daging lembu.


Jambi mengucapkan terima kasih kerana telah merotannya dahulu. Melalui berkat kena rotan itulah yang membuat dirinya berjaya dan ingin terus menjadi manusia yang berguna. Syukur, alhamdulillah, Jamli sekarang telah pun berdikari dan dapat membantu kedua orang tuanya serta adik-adiknya.


Ayahnya, Lemba juga sudah berubah, bukan sahaja panas barannya dibuang malahan pantang larang dan adat berkaitan dengan rotan juga telah ditinggalkannya. Patutlah, tiga bulan selepas aku merotan anaknya, dia datang ke sekolah berjumpa aku dan menyerahkan kepada aku tiga batang rotan yang setiap satu panjangnya hampir lima kaki.


Aku masih ingat bagaimana Lemba menangis tersesak-esak memohon maaf kepada aku. Aku memujuk dan memberitahunya bahawa aku tidak akan berdendam dengan anaknya. “Gunakan sepenuhnya rotan ini sekiranya ia dapat mengubah nasib anak-anak kami”, begitulah kata-kata Lemba semasa menyerahkan rotan-rotan yang dibawanya kepada aku.


Aku sempat memberitahu Jamli bahawa sumpit yang diberikan oleh ayahnya itu masih ada tersimpan. Sesekali aku pandang sumpit itu, maka aku akan teringat sekolah yang pernah aku mengajar. Begitu juga dengan peristiwa yang hampir meragut nyawa aku. Mungkin itulah sebabnya aku masih mengenali Jamli yang telah pun remaja sekarang.


Kami berpisah apabila kesesakan telah berkurangan. Jamli sempat memberi nombor telefonnya kepada aku. Aku kagum kerana Jamli yang pernah aku rotan tidak menaruh dendam kepada aku. Aku doakan agar Jamli akan terus berjaya dalam hidupnya di dunia dan di akhirat.

2 comments:

Unknown said...

Salam SYam. Ungkapan ini membuatkan bulu roma babah berdiri "Gunakan sepenuhnya rotan ini sekiranya ia dapat mengubah nasib anak-anak kami”. N3 yang cukup menarik dan menambat hati.

amalhaj said...

assalamualaikum tuan!
apabila adat atau pantang larang yg karut menguasai kita maka akan tertinggal kebelakang