Monday, May 24, 2010

KESEMPATAN YANG SENTIASA ADA DI SISI


"Orang bijak akan membuat lebih banyak kesempatan daripada yang ditemuinya".

Mengikut Kamus Dewan, sempat bermaksud ada peluang, ada waktu dan ada masa. Apabila diberi imbuhan ke di awal dan imbuhan an di akhir perkataan ia menjadi kesempatan yang memberi maksud peluang untuk dan waktu terluang untuk.
Antara ayat yang diberi contoh ialah;
1. "Rejab mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri."
2. "Situasi yang sedemikian telah tidak memberikan kesempatan kepadanya untuk membalas."


Kesempatan sebenarnya bergantung kepada tindakan yang sepatutnya kita lakukan. Peluang atau ruang masa perlakuan tersebut akan memberi peluang untuk kita melakukannya. Oleh itu, kesempatan itu ada di mana-mana. Terpulanglah kepada kita untuk mencari dan mengambil peluang menggunakannya.

Masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan orang adalah kenyataan bahawa mereka terlalu jauh mencari-cari kesempatan. Mereka yang sebenarnya tidak tahu bahawa kesempatan itu sudah ada di tangan. Mereka ini boleh diibaratkan mengharapkan burung yang terbang tinggi, punai di tangan dilepaskan. Kebanyakan kesempatan itu tidak akan kita temui ketika atau semasa kita tercari-cari kerana sebenarnya ia sebenarnya ada di dalam diri kita masing-masing.

Kenapa harus duduk-duduk dan menunggu sesuatu padahal kita dapat menciptanya? Satu ketika, setelah Alexander memenangi suatu medan pertempuran ia ditanya, apakah ia bermaksud untuk menyerang kota berikutnya kalau ada kesempatan yang muncul? "Kesempatan? Wah, sayalah yang menciptakan kesempatan itu," jawab Alexander.

Benih kejayaan tidak terdapat kepada orang yang duduk-duduk dan menunggu kesempatan terbaik, orang yang percaya bahawa rumput jiran lebih hijau, orang yang mengharapkan bahawa suatu hari akan lebih beruntung kerana datangnya kesempatan yang lebih besar. Pada saat mereka terbukti gagal, mereka dengan berapi-api mengatakan bahawa mereka tidak mendapat kesempatan. Mereka juga mengatakan tidak ada seorang pun yang membantu. Pemerintah juga dikatakan tidak membantu mereka. Mereka tidak memulai suatu kejayaan. Mereka menuntut tentang kurangnya pendidikan tinggi.

Kita semua diberi kesempatan untuk mencapai tempat yang paling tinggi tetapi sebahagian besar orang tetap berada di bawah kerana mereka tidak bersiap-siap untuk melakukan suatu perjalanan. Seorang Presiden atau Perdana Menteri itu tidak hanya menongkat dagu boleh masuk ke parlimen. Dengan mempelajari seni membantu diri, ketetapan hati yang kuat, kerja yang tidak kenal mundur dan dengan menyingkirkan segala penghalang yang menghalang di tengah jalan, maka seseorang Presiden atau Perdana Menteri itu menciptakan kesempatan yang akhirnya membuatnya berada di parlimen.

Seperti tanaman yang tumbuh dengan perlahan-lahan sejak dari benih sehingga menjadi pokok besar, demikianlah juga kesempatan yang tumbuh di dalam diri kita masing-masing.

No comments: