Thursday, March 3, 2011

BETUI KER KSSR ITU KERJA SUSAH SAMPAI REBAH

MENGAPA TRANSFORMASI?
Transformasi kurikulum persekolahan merupakan usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21.

Dalam proses transformasi kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat penandaarasan dengan kurikulum negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan setanding dengan pendidikan global. Melalui transformasi kurikulum, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkukuhkan serta ditambah baik dan dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).


PENAMBAHBAIKAN
Dengan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPN) dan mengekalkan prinsip KBSR, penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk, organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk membangunkan KSSR.

KSSR dilaksanakan secara berperingkat mulai 2011 bermula dengan Tahun 1 di semua sekolah rendah seluruh negara. KSSR mempunyai empat prinsip iaitu pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup.

Disamping itu, KSSR menyepadukan beberapa disiplin ilmu untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran (P & P) lebih menarik, menyeronokkan dan bermakna. Pada Tahap Satu, kurikulum diorganisasikan dalam bentuk Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif. Pada Tahap Dua, kurikulum diorganisasikan dalam bentuk mata pelajaran teras dan elektif. Mata pelajaran ini dilaksanakan secara modular.

ENAM TUNJANG
Pembentukan Insan Seimbang yang mempunyai pemikiran kritis dan kreatif serta berinovatif.
1. Komunikasi:-
- Penggabungjalinan lemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi.
2. Perkembangan Fizikal dan Estetika:-
- Perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri.
- Pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi.
3. Kemanusiaan:-
- Penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global.
- Penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan.
4. Ketrampilan Diri:-
- Pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum
5. Sains dan Teknologi:-
- Penguasaan pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik
- Penguasaan pengetahuan dan kemahiran matematik
- Penguasaan pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi
6. Kerohanian, Sikap dan Nilai:-
- Penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai

No comments: