Wednesday, April 29, 2009

MAKKAH AL-MUKARRAMAH (15)

Pembinaan Ka'bah - Binaan Shith bin Adam:-
Binaan ketiga oleh Shith adalah selepas hilangnya kesan binaan Adam as. Al-Azraqi telah meriwayatkan dari Wahab bin Munabbih bahawa beliau berkata:- "Apabila diangkatkan khemah yang diturunkan oleh Allah swt kepada Adam as daripada perhiasan syurga untuk diletakkan di tapak Baitullah di Makkah selepas wafatnya Adam as , anak-anaknya pun membina di tempat itu sebuah rumah daripada tanah dan batu. Mereka dan generasi-generasi seterusnya sentiasa memakmurkan rumah itu sehinggalah ia musnah dalam banjir yang berlaku pada zaman Nabi Nuh as. Apabila tiba zaman Nabi Ibrahim as, Allah swt telah memerintahkan baginda supaya membina semula rumah itu".
Pembinaan Ka'bah - Binaan Nabi Ibrahim as dan Ismail as:-
Binaan Nabi Ibrahim as bersama anaknya Ismail as telah diceritakan oleh Allah swt dalam Al-Quran dan terdapat banyak riwayat yang sahih dalam kitab-kitab hadis mengenainya. Antaranya ialah:-
1. Firman Allah swt yang bermaksud:- "Dan ingatlah, ketika Nabi Ibrahim meninggikan (membina) asas-asas Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".
2. Firman Allah swt yang bermaksud:- "Dan ingatlah, ketika Kami (Allah) menyediakan kepada Ibrahim tempat Baitullah (dengan mengatakan) janganlah engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu pun dan sucikan Rumah-Ku ini untuk orang-orang tawaf dan orang-orang yang beribadat dan orang-orang yang ruku' dan sujud".
Pembinaan Ka'bah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as dan Ismail as adalah berdasarkan perintah daripada Allah swt iaitu selepas beberapa kali Nabi Ibrahim as datang meziarahi isteri dan anaknya Ismail as di Makkah. Pada kedatangan kali ketiga, baginda telah diperintahkan agar membina Ka'bah. Ketika itu Ismail as telah berumur 20 tahun dan ibunya telah meninggal dunia. Sewaktu Nabi Ibrahim as tiba anaknya Ismail as sedang duduk di bawah pokok berdekatan dengan telaga Zamzam sambil mengasah anak panah. Nabi Ibrahim as memberi salam dan duduk bersamanya. Baginda berkata kepada Ismail:- "Wahai Ismail! Sesungguhnya Allah swt telah memerintahkanku supaya membina Ka'bah". Ismail mnjawab:- "Taatlah perintah Allah itu". Lalu bapanya berkata lagi:- "Allah juga memerintahkan agar engkau membantuku dalam pembinaan ini". Ismail bertanya:- "Di manakah tempatnya?". Nabi Ibrahim as menunjukkan tempat yang telah ditunjukkan kepadanya oleh malaikat yang mengiringinya. Selepas itu mereka mula menggali tapak pembinaan serta berdoa:- "Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (Surah Al-Baqara:- 127).

No comments: