Tuesday, April 27, 2010

PENERAPAN PENGETAHUAN DAN PENGALAMAN

"Orang yang mempelajari kebijaksanaan tanpa menerapkannya dalam kehidupan adalah seperti orang yang memasuki ladangnyatanpa menaburkan benih."

Diri seseorang itu boleh diibaratkan sebagai sebuah perpustakaan. Kita akan namakan sebagai perpustakaan berbicara atau perpustakaan berjalan. Ini adalah disebabkan seseorang itu ada memiliki ilmu pengetahuan dan juga pengalaman dalam pelbagai perkara dalam kehidupannya. Oleh itu kita perlu menimba ilmu pengetahuan dari seseorang tambahan pula sekiranya orang itu mempunyai kelebihan-kelebihan yang tertentu.

Kita perlu ingat bahawa pengetahuan yang kita miliki itu tidak mendatangkan apa-apa hasil seandainya kita tidak melakukan sesuatu terhadap ilmu pengetahuan yang kita miliki itu. Oleh itu perlakuan kita terhadap ilmu pengetahuan yang kita miliki itu adalah penting dari kita terus membiarkannya terus terpendam. Ilmu pengetahuan yang kita miliki juga sepatutnya dalam memandu diri kita ke arah perbuatan yang positif.

"Mempengaruhi orang lain dengan harta benda yang ada tidak akan kekal dan berpanjangan melainkan idea, ilmu pengetahuan dan pengalaman yang telah kita curahkan."

Umpamanya, seseorang guru bimbingan dan kaunseling di sesebuah sekolah itu sewajarnya mempunyai latar belakang pendidikan psikologi. Namun begitu, keperibadiannya yang mungkin biadab wajar tidak boleh ditonjolkan. Itulah sebabnya ramai antara kita sekarang ini yang tidak sesuai dan selesa dengan kerjaya masing-masing iaitu bercanggah antara ilmu pengetahuan yang dimiliki dengan perbuatan yang dilakukannya.

Janganlah kita menganggap kedudukan yang dibebani tanggungjawab berdasarkan pada apa yang kita ketahui. Kita sewajarnya berkemampuan untuk menerapkan setiap ilmu pengetahuan dan pengalaman yang kita miliki itu. Melalui penerapan tersebut percambahan ilmu dan juga pengalaman akan berlaku. Ilmu pengetahuan dapat diperluaskan dan dipanjangkan kepada pihak-pihak lain. Situasi seperti ini akan dapat melahirkan komuniti berilmu.

"Ilmu pengetahuan dan pengalaman hanya bermakna dan bernilai apabila ia digunakan untuk kebaikan umum."

Terdapat perbezaan yang amat ketara antara pengetahuan dengan penerapan. Pengetahuan yang salah arah merupakan sesuatu yang membahayakan. Kepercayaan dan penerapan adalah kata-kata yang amat bermakna dan berharga. Ia digunapakai oleh pertimbangan cerdas kita sebelum kita menerima dan menganalisis sesuatu sebagai fakta. Melalui keutuhan sesuatu fakta itu akan menjanjikan hasil yang agak lumayan dan dipercayai.

Sesuatu perkara yang kita praktikkan bersungguh-sungguh dan dijadikan sebagai kepercayaan maka akan ramailah yang mengikutinya. Di sini keyakinan akan dihasilkan melalui usaha-usaha yang dibuat dengan bersungguh-sungguh. Sekiranya kita tidak menerapkan sesuatu yang kita yakini maka yang pastinya kita hanya memiliki simbolnya sahaja. Kita perlu ingat bahawa bukan simbolnya yang harus diperhitungkan melainkan isinya yang menentukan nilai sesuatu hasil.

"Jangan katakan tentang apa yang harus kita ketahui tetapi tunjukkanlah."

No comments: