Tuesday, August 17, 2010

TERPINGGIRKAH BANGSA MELAYU?

Melayu ialah suatu bangsa dan Islam ialah agama. Kewujudan bangsa Melayu itu merupakan suatu fitrah. Al-Quran memberikan asas bahawa manusia itu dijadikan berbangsa-bangsa (surah Al-Hujurat: 13). Bangsa Melayu adalah salah satu bangsa yang wujud di dunia. Islam ialah ajaran dan agama yang datang daripada Allah s.w.t. Diturunkan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w. untuk disampaikan kepada manusia supaya mendapat petunjuk dan membina taqwa.

Al-Quran turun kepada bangsa Arab yang bermula dengan Rasulullah s.a.w. kemudian berkembang kepada bangsa-bangsa lain termasuk juga kepada bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Islam ialah agama rahmat. Ajaran Islam mendukung sifat alamiah. Ajaran Islam tidak terbatas kepada bangsa Arab tetapi juga kepada seluruh bangsa yang ada di dunia ini.

Bangsa Melayu pada asalnya menganut fahaman animisme. Setelah itu ditindikkan keyakinan Melayu dengan agama Hindu dan Buddha. Melayu yang animisme, Hindu dan Buddha dibentuk oleh kepercayaan dan cara hidup yang sesuai dengan ajaran agama tersebut. Apabila Islam datang, cara berfikir, tradisi dan budaya yang dibina dan cara beribadah adalah mengikut ajaran Islam.

Islam telah membebaskan keyakinan orang Melayu daripada faktor tahyul dan syirik. Islam mengangkat minda dan intelek orang Melayu supaya berfikir selari dengan fitrah akal. Islam bukan sahaja satu sistem kepercayaan tetapi mengatur kehidupan. Islam dalam sejarahnya di Alam Melayu telah membangunkan suatu tamadun sama ada dalam kepimpinan dan kepengikutan mahupun dalam karya-karya yang terhasil serta sistem pendidikan yang berlangsung.

Bangsa Melayu menjadi hebat kerana ajaran Islam ditindikkan kepada bangsa itu. Ajaran Islam menjadikan orang Melayu beralih daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah s.w.t. yang Esa. Dari situ lahirlah kesedaran tauhid vahawa Allah s.w.t. ialah Pencipta, bukannya direka bentuk seperti berhala dan benda-benda bikinan manusia yang kemudiannya disembah sebagai tuhan.

Bangsa Melayu menjadi hebat kerana dilatih agar taat kepada imam dan pemimpin selagi imam dan pemimpin tidak melakukan perkara-perkara yang terlarang. Al-Quran, sumber utama ajaran Islam bukan sahaja menghasilkan kisah-kisah manusia terdahulu untuk dijadikan ibrah atau teladan kepada orang terkemudian tetapi mengajar bangsa Melayu mengenai prinsip-prinsip hidup, kekeluargaan, masyarakat dan negara.

Al-Quran juga mengatur kehidupan orang Melayu dengan prinsip syariah atau hukum, mengetahui benda yang makruf dan mungkar, wajib dan haram supaya orang-orang Melayu tidak melampaui batas. Daripada ajaran tersebut, bangsa Melayu membentuk budaya hidupnya selari dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Oleh itu, kekuatan bangsa Malayu tidak dapat dipisahkan dengan ajaran Islam. Islamlah yang membentuk jalan berfikir, jalur budaya dan pedoman hidup yang mendorong mereka untuk maju dan cemerlang bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Hal yang sama juga berlaku kepada bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain. Mereka mampu membina tamadun dan menghasilkan penerokaan ilmu sains dan teknologi kerana menerima perisyaratan dan pedoman daripada al-Quran.

Al-Quran menjadi sumber petunjuk untuk membangunkan jiwa tadabbur (kaji selidik), mengajak mereka berfikir tentang tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t. Terdapat hampir 2000 ayat-ayat al-Quran yang memberikan pedoman tentang perkara-perkara sains yang akhirnya mencetuskan Baghdad dan Andalusia dalam suatu siri tamadun yang amat menakjubkan.

Bangsa Melayu yang ditindikkan dengan Islam mendukung maksud ummah dalam erti kata yang luas. Al-Quran memberikan pedoman mengenai konsep khaira ummah atau umat terbaik sebagai asas kejayaan. Umat terbaik terdiri daripada kalangan bangsa yang melakukan hal-hal yang makruf dan mencegah kepada yang mungkar dan beriman kepada Allah s.w.t. Apabila bangsa Melayu cinta akan kebaikan dan bencikan kejahatan dan sentiasa menghubungkan perbuatan dan gelagatnya untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. maka bangsa Melayu menjadi sebahagian daripada umat Islam yang berjaya, maju dan cemerlang.

Bangsa Melayu bertukar menjadi sebahagian daripada bangsa yang lebih besar. Makna alamiah dalam Islam menjadikan dokongan terhadap tamadun mengatasi dokongan terhadap bangsa itu sendiri. Apabila asas-asas tamadun Islam dijadikan landasan dalam membangunkan kekuatan berfikir, kehebatan bekerja, kebaikan peribadi kepada bangsa Melayu dengan sendirinya bangsa Melayu berada dalam barisan bangsa contoh.

Bayangkan bangsa Melayu yang tidak menghayati cara hidup Islam, dapat menyebabkan kemungkaran dan kefasadan akan menjadi perkara biasa. Kezaliman dan pecah amanah menjadi amalan. kebendaan dan nafsu-nafsi menjadi matlamat dalam hidup. Akhirnya, bangsa Melayu akan kecundang dalam pertarungan sengit untuk memajukan bangsanya.

Menjadi Islam tidak harus menjadikan kita mundur kerana Islam mendorong bangsa Melayu untuk maju. Berpegang kuat ajaran Islam tidak harus dikaitkan dengan halangan untuk maju kerana tamadun Islam diambil oleh pihak Barat untuk memajukan diri mereka. Berpegang kepada watak amanah dan adil, tidak harus menyebabkan bangsa Melayu terkebelakang kerana rasuah, salah guna kuasa, lupa amanah untuk membangunkan Melayu, mementingkan diri sendiri, oportunis terhadap peluang dan kesempatan terbukti menyebabkan bangsa Melayu tiris dalam banyak bidang.

Pemahaman Islam secara dinamik dan diaplikasikan dalam budaya hidup dan bekerja bangsa Melayu adalah jawapan terbaik untuk membangunkan Malaysia mengikut acuan kita sendiri. Tidak menolak faedah berbanding dengan yang terdapat dari Barat dan Timur, mengunggulkan jati diri bangsa dengan hal yang berfaedah dan menjadi sebahagian daripada tamadun umat. Inilah asas-asas kukuh yang perlu dipertahankan oleh orang-orang melayu supaya kemajuan yang diterima tidak menolak kepentingan budaya dan adab.

No comments: