Sunday, February 6, 2011

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI (SBT)

GANJARAN
Sekolah yang menerima pengiktirafan SBT diberi peruntukan khas, insentif dan latihan untuk pemimpin, guru dan anggota khidmat sokongan (AKS). Pihak pengurusan sekolah juga diberi autonomi dalam aspek berikut:-
a. pengurusan kurikulum
b. pengurusan kewangan
c. pengurusan sumber manusia berdasarkan prestasi
d. pemilihan murid

PERUNTUKAN KHAS
Peruntukan diberi supaya sekolah dapat melaksanakan aktiviti untuk mempertingkatkan prestasi sekolah dalam aspek pembangunan modal insan, pengantarabangsaan, penyelenggaraan dan ubah suai kecil serta perolehan harta modal.

LATIHAN
Pemimpin dan guru SBT akan menerima latihan yang dikendalikan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Bahagian Pendidikan Guru (BPG). IAB bertanggungjawab untuk memberi latihan kepada pemimpin sekolah manakala BPG bertanggungjawab untuk memberi latihan kepada guru.

AUTONOMI
YAB Perdana Menteri telah meluluskan pemberian autonomi yang merangkumi aspek pengurusan kurimulum, kewangan dan sumber manusia kepada SBT.

Pelaksanaan autonomi bermakna pengetua, guru besar, guru dan warga sekolah mempunyai akauntabiliti yang tinggi terhadap segala keputusan yang diambil di peringkat sekolah. Kesediaan KPM dan sekolah dalam hal ini merupakan input kritikal yang menentukan kejayaan pelaksanaannya. KPM perlu bersedia untuk memberi ruang dan kuasa supaya pelaksanaan Pengurusan Berasaskan Sekolah (PBS) dapat diperluas.

Khidmat nasihat akan diberi oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) bagi memastikan pelaksanaan autonomi di SBT dilaksanakan dengan berkesan. Agensi KPM yang terlibat untuk membantu SBT bagi mengekalkan tahap kecemerlangan sekolah adalah seperti IAB, BPG, BPK, LPM, JNJK, BPSBPSK dan lain-lain bahagian yang berkaitan.

Pemberian autonomi akan meningkatkan kualiti SBT melalui inovasi dan kreativiti masing-masing dalam pengurusan pendidikan mengikut keperluan. Inovasi dalam pengurusan akan berusaha menghasilkan murid cemerlang ke institusi pendidikan terbaik di dunia. Seterusnya, mereka akan menjadi personaliti unggul dalam bidang yang diceburi.

No comments: