Wednesday, September 28, 2011

BAHAN PENGAJARAN YANG BERKESAN

Segala bahan yang digunakan dalam masa pengajaran perlu disediakan dan dikumpulkan secukupnya sebelum memulakan tugas mengajar. Amalan yang bijak adalah dengan menyediakan bahan tambahan. Ini tidak merugikan kerana bahan yang tidak digunakan boleh diubah suai dan diperkenalkan dalam pelajaran berikutnya.

Sering kali bahan pengajaran diambil daripada buku teks yang ditetapkan. Lazimnya, kita perlu mendapatkan petunjuk dan maklumat tambahan daripada teks lain yang tidak didapati oleh pelajar. Selain itu, kita perlu ingat supaya menerapkan pelbagai mata pelajaran merentasi kurikulum.

Pilih secara teliti bahan yang boleh dikaitkan dengan mata pelajaran lain dan tunjukkan hubungan mata pelajaran yang diajar dalam suatu gambaran yang menyeluruh. Pelajar yang tidak gemar ataupun tidak begitu mahir dalam suatu mata pelajaran mungkin lebih tertarik dan berminat apabila memahami hubung kait perkara yang dipelajari.

Bahan pengajaran digunakan supaya dapat:-
1. Merangsang pembelajaran
2. Mengekalkan minat
3. Menambah kepelbagaian dalam pelajaran
4. Menggambarkan hubung kait antara subjek

Terdapat banyak bahan pengajaran sebagai kegunaan guru, sebahagiannya lebih mudah diperolehi di sesebuah negeri.

BUKU TEKS
Guru boleh mengajar tanpa buku teks, tetapi menghadapi lebih banyak kerumitan yang pasti menyebabkan pembelajaran kurang berkesan. Di banyak negeri, pemilihan buku teks tidak dilakukan oleh guru yang menggunakan teks itu. Oleh itu, guru tidak menghadapi masalah menentukan buku yang sesuai digunakannya di dalam kelas. Implikasinya adalah guru mesti cuba menggunakan teks yang bukan pilihan pertamanya itu dengan sebaik-baiknya.

Ada rutin yang boleh dituruti semasa pertama kali menggunakan buku:-
1. Membaca buku
2. Sediakan soalan bagi setiap bab semasa membaca
3. Sediakan bahan tambahan

BAHAN EDARAN
Bahan tambahan perlu disediakan apabila buku teks tidak meliputi setiap topik dalam sukatan peperiksaan. Guru mesti membuat kajian berkaitan bahan yang diperlukan, mengumpulkan nota untuk dibuat salinan dan mengagihkannya kepada pelajar. Gunakan spirit, dakwat pendua ataupun penyalin foto bagi membuat salinan yang diperlukan. Gunakan kedua-dua halaman kertas bagi menjimatkan perbelanjaan. Jika tiada mesin pendua, guru mesti menyediakan nota untuk ditulis pada papan hitam supaya dapat disalin oleh pelajar.

Bahan edaran juga boleh digunakan sebagai ringkasan pelajaran. Beritahu pelajar, nota ringkasan akan diedarkan jadi mereka tidak perlu mengambil nota. serta galakkan mereka mendengar dan menyertai perbincangan. Mengatur masa bagi mengedar bahan semasa pelajaran penting. Interaksi antara guru dengan pelajar akan terputus sebaik sahaja bahan edaran diletakkan di atas meja pelajar. Setiap pelajar menumpukan perhatian kepada edaran itu kerana ingin tahu apa yang diterima. Tiada faedahnya guru terus menyatakan, "Saya akan mengedarkan bahan pelajaran, tetapi jangan melihatnya sehingga saya beritahu kelak." Edarkan bahan itu hanya pada masa kita hendak menggunakannya.

Kualiti bahan edaran adalah sperti kejelasan, isi dan penyampaian. Ia perlulah yang terbaik. Pelajar, rakan-rakan serta keluarga mereka akan menilai kualiti guru melalui tahap hasil usaha guru yang ditunjukkan dalam sesuatu bahan edaran.

BUKU REKOD
Suatu aspek penting dalam pengajaran adalah untuk mengurus dan mengemas kini rekod kerja di dalam kelas serta markah dan kemajuan yang dicapai oleh setiap pelajar. Catatan khas berkenaan kerja rumah harus dibuat dan diletakkan bersama-sama rekod kerja kelas. Guru dapat menentukan kadar pengajaran berdasarkan rekod kemajuan kelas dan individu yang tepat dan jelas. Rekod ini juga dapat membantu guru menyedari bahawa perlunya bahan tambahan ataupun bahan lain dengan cepat.

Liputan setiap topik dalam sukatan boleh disemak dengan mengumpul dan sentiasa merujuk rekod kerja. Jika mahu, setiap topik boleh diperluaskan lagi sehingga mencapai keputusan yang memuaskan. Begitu juga dengan penyemakan, ia boleh dibuat berdasarkan kemajuan skema kerja.

BUKU DAFTAR KEHADIRAN
Kehadiran pelajar direkodkan dalam buku daftar kehadiran. Catatan boleh dilakukan sama ada sekali sehari, pagi dan petang ataupun pada setiap pelajaran. Tunggu seketika sebelum merekodkan kehadiran pelajar. Dengan cara ini, pembetulan dapat dielakkan apabila ada pelajar yang lewat sampai. Kadang kala rekod kehadiran pelajar diambil kira bagi penganugerahan sijil kelayakan. Ini bermakna, rekod kehadiran pelajar penting dilakukan dengan tepat dan betul.

Buku daftar pelajar adalah sumber rujukan yang berguna apabila kita bertemu pelajar kelas kita buat pertama dan masih belum tahu nama mereka. Buku ini membantu guru memilih nama pelajar untuk memberikan jawapan apabila tiada pelajar memberikan respons pada soalan yang diajukan.

PERPUSTAKAAN SEKOLAH
Semua sekolah perlu ada perpustakaan. Kini, perpustakaan adalah suatu keutamaan dalam rancangan pembinaan sesebuah sesebuah institusi pendidikan. Perpustakaan awam berhampiran dapat digunakan sepenuhnya apabila kemudahan ini tidak disediakan.

Perpustakaan ialah sumber terbaik untuk guru dan pelajar mendapatkan bahan. Besar manfaatnya bagi guru yang mengambil masa menerangkan kepada kelas baharu berkenaan lokasi, perkhidmatan yang disediakan dan manfaat yang dapat diperolehi daripada perpustakaan yang ada. Lebih baik lagi apabila guru dapat mengatur lawatan pelajar ke perpustakaan.

Terlebih dahulu, adakan perbincangan dengan perpustakaan berkenaan lawatan dirancang. Aturkan lawatan pertama pada permulaan tahun persekolahan. Lawatan seterusnya boleh meliputi bebarapa hari ataupun minggu. Sepanjang kursus, pelajar perlu diarahkan mengumpulkan maklumat khusus ataupun membuat rujukan di perpustakaan. guru mungkin dapat mewujudkan sebuah perpustakaan kecil sebagai rujukan di dalam bilik darjah yang hanya mempunyai empat ataupun lima buah buku yang sentiasa disimpan di dalam kelas bagi rujukan pelajar. Paling utama bagi perpustakaan kecil ini adalah senaskhah kamus.

Guru yang bijak akan cuba mencari maklumat berkaitan buku lama di perpustakaan tempatan, kedutaan dan sebagainya. Perpustakaan atau pusat sumber pertubuhan seperti ini sering kali menggantikan buku lama dengan terbitan terkini.

AKHBAR ATAU MAJALAH
Pelajar memang berasa seronok apabila dapat lepas daripada rutin kerana tertarik pada penggunaan bahan lain selain buku teks yang disediakan. Akhbar adalah alat bantu mengajar yang murah dan berkesan. sebagai pembaca tetap akhbar kebangsaan dan mungkin juga akhbar tempatan, kita tentu tahu adanya rencana tetap atau rencana khas berkaitan mata pelajaran diajar.

Arahkan setiap pelajar membawa satu salinan mana-mana akhbar pada tarikh yang ditetapkan dan jangan lupa ingatkan mereka pada hari sebelumnya. Akhbat lama juga berguna sebagai rujukan kelas dan mungkin boleh didapati secara percuma daripada perpustakaan ataupun pembekal. Sebelum masuk ke kelas, tandakan halaman dan sesuatu perkara lain sebagai rujukan dan buat catatan berkenaannya pada halaman depan.

Pelajar yang memulakan tabiat membaca akhbar setiap hari memperoleh lebih banyak manfaat. Oleh sebab ramai pelajar bergantung pada radio dan televisyen bagi mendapatkan berita, perkara ini hampir membunuh tabiat membaca akhbar ataupun buku. Kualiti tugas bertulis dapat meningkat dengan sendirinya apabila tabiat membaca dapat dikembangkan dalam kalangan pelajar. Selepas perhatian pelajar dapat ditarik kepada manfaat membaca akhbar, kita dapati pelajar mudah diyakinkan bahawa membaca dapat membawa keseronokan. Apabila perlu, berikan panduan cara menyertai dan menggunakan perpustakaan.

Guru boleh mencadangkan kepada pelajar supaya menyumbangkan akhbar masing-masing untuk digunakan bersama-sama kelas lain selepas selesai digunakan dalam aktiviti kelas mereka. Akhbar itu juga boleh dikumpulkan dan disimpan untuk digunakan dalam pelajaran akan datang.

HAK CIPTA
Terdapat undang-undang yang sah dan tegas dalam mengawal penggunaan bahan daripada buku, majalah dan akhbar. Kita perlu memahami undang-undang yang ada sebelum menyalin atau membuat salinan bahan daripada mana terbitan sebagai edaran dan penggunaan di dalam kelas. Biasanya pustawan sekolah ataupun perpustakaan tempatan mengetahui peraturan ini.

PERALATAN ICT
Kita perlu mengetahui aplikasi teknologi moden di dalam bilik darjah, walaupun teknologi ini masih belum disediakan di kebanyakan sekolah. Kemungkinan tidak berapa lama lagi kita berpeluang menggunakan kemudahan itu.

Kepelbagaian kaedah pengajaran menyeronokan pelajar dan mereka mengalu-alukan guru mengajar melalui ICT. Faktor baharu dapat menarik perhatian setiap pelajar dengan cepat dan perhatian mereka kekal sepnajang tayangan apabila filem yang ditunjukkan itu mempunyai kualiti yang tinggi dan disediakan secara profesional. Sebenarnya ada dua perkara berlaku dalam kaedah ini, iaitu pelajar melalui pengalaman yang menyeronokkan dan pada masa yang sama mereka juga belajar.

Guru pula mesti menonton terlebih dahulu setiap program sebelum ditayangkan kepada pelajar dan sentiasa ingat perkara berikut:-
1. Adakah berbaloi dengan masa yang diambil?
2. Nilai kandungan
3. Apakah idea utama yang dikemukakan?
4. Idea khusus
5. Kesesuaian bilik
6. Adakah kita boleh mengendalikan alat tersebut?

Tetapkan masa secukupnya bagi sesi perbincangan selepas menonton ataupun memberikan kerja rumah berdasarkan tayangan. Sebelum pelajar menonton filem, kita hendaklah menerangkan dengan jelas aktiviti yang dirancang selepas tayangan. Cara ini dapat mendorong pelajar menumpu sepenuh perhatian kepada filem yang ditonton.

Katalog sebarai filem, pita atau kaset berkaitan pendidikan boleh didapati di perpustakaan. Guru memerlukan lebih banyak bahan bagi mengemas kini, mengganti barang yang rosak dan sebagainya. Kita perlu sentiasa peka. Mungkin ada kelas atau sekolah lain yang sedang mengemas kini dan menghapus kira buku lama. Mungkin ada syarikat akan ditutup dan membuang fail dan alat tulis lama. Mungkin ada kenalan kita melanggan majalah dan akhbar yang dibuang selepas dibaca. Biasanya apabila diminta, orang akan memberikan bahan yang tidak diperlukan lagi dengan senang hati, terutama apabila ia untuk kegunaan pelajar.

No comments: