Saturday, June 27, 2009

MAKKAH AL-MUKARRAMAH (23)

BINAAN QURAISY TAHUN 591 MASIHI
Ka'bah yang dibina, sekali lagi menghadapi kerosakan. Sebagaimana yang diceritakan, seorang perempuan telah menyalakan api untuk membakar kemenyan bagi mewangikan Ka'bah. Tiba-tiba bara api yang dibakarnya telah tercampak atau terpercik mengenai kelambu Ka'bah dan menyebabkan berlakunya kebakaran ke atas Ka'bah yang menyebabkan binaannya menjadi tidak kuat lagi. Selepas itu, berlaku pula banjir yang melanda Ka'bah yang menyebabkan berlaku keruntuhan pada sebahagian Ka'bah.
Selepas berlakunya peristiwa itu, para pemimpin Quraisy telah bermesyuarat untuk membina semula Ka'bah yang telah runtuh sebahagiannya. Kebetulan pada masa yang sama, sebuah kapal dagang kepunyaan saudagar Rom telah pecah di lautan Jeddah. Bersama mereka ada seorang tukang kayu yang mahir bernama Yaqum. Quraisy telah membeli kayu dari kapal tersebut untuk dijadikan binaan atap dan tiang Ka'bah.
Pihak Quraisy telah berazam untuk meruntuhkan semua binaan yang tinggal dan membinanya semula dengan asas baru kerana asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim as telah terlalu lama. Menurut As-Sinjari jarak antara binaan Nabi Ibrahim as dengan binaan Quraisy ialah 2645 tahun.
Di dalam Ka'bah terdapat sebuah telaga yang di dalamnya tersimpan harta-harta yang dihadiahkan kepada Ka'bah. Dalam telaga itu ada seekor ular berbisa yang berwarna hitam di atas belakangnya, putih di bawah perutnya dan memiliki kepala seperti kepala seekor kambing. Ular itu telah berada di situ selama 500 tahun iaitu sejak zaman Jurhum lagi. Ular tersebut bertindak sebagai pengawal harta Ka'bah kerana banyak berlaku kecurian ke atas harta Ka'bah pada waktu itu.
Ketika kaum Quraisy berada dalam ketakutan untuk meruntuhkan Ka'bah, ular itu sentiasa keluar menzahirkan dirinya. Oleh itu mereka pun berkumpul di Maqam Ibrahim dan salah seorang pemimpin Quraisy yang bernama Al-Walid bin Al-Mughirah telah menyampaikan khutbah kepada kaumnya.
"Bukankah kamu semua mahukan kebaikan untuk membina Ka'bah?".
Mereka menjawab: "Ya!".
Kata Al-Walid: "Allah tidak akan membinasakan orang yang ingin melakukan kebaikan. Tetapi ingatlah, jangan sekali-kali kamu memasukkan perbelanjaan untuk membina rumah Tuhan Kamu ini kecuali harta riba, judi pelacuran dan semua yang tidak baik dari harta kamu kerana sesungguhnya Allah swt tidak menerima kecuali harta yang baik".
Kemudian mereka pun berdoa: "Wahai Tuhan, sekiranya apa yang kami lakukan ini mendapat keredhaan Engkau maka jauhkanlah ular ini dari kami". Selepas itu datang seekor burung dari langit menuju ke arah ular yang sedang berada di dinding Ka'bah dan menyambar kepalanya serta mencampakkannya ke arah kawasan Jiyad.
Namun, perasaan takut dan dimurka dan ditimpa azab oleh Allah swt masih menebal dalam diri mereka sehingga Al-Walid sekali lagi berkata: "Aku akan mula meruntuhkannya. Aku telah tua. Sekiranya aku mati maka ianya disebabkan ajal yang sudah tiba". Beliau pun mengambil penukul dan mula meruntuhkannya, tetapi dengan tiba-tiba batu di bawah kakinya bergerak. Lantas beliau pun berdoa: "Wahai Tuhan, janganlah Engkau menakuti kami, sesungguhnya kami ingin membaikinya dan kami tidak melakukannya kecuali untuk kabaikan". Kemudian beliau terus meruntuhkan Ka'bah di bahagian dua rukun pada hari itu.
bersambung.........

No comments: