
Dalam Islam, terkandung prinsip-prinsip politik merana Islam bukan sekadar akidah tetapi juga merupakan sistem hidup yang lengkap serta turut mencakupi sistem ekonomi dan politik. Istilah politik dan pelaksanaannya tidak asing lagi bagi umat Melayu kerana sejarah Melayu telah membuktikan bahawa umat Melayu telah terlibat dengan politik dan perjuangan sejak dahulu lagi.
Sejarah perjuangan politik Melayu telah lama bertapak dalam diri umat Melayu.
Perkembangan dan perubahan politik Melayu dapat dilihat melalui rentetan sejarah, antaranya:
* sistem politik tradisional dengan penglibatan raja-raja Melayu seperti sejarah Kesultanan Melayu Melaka
* perjuangan mendapatkan kemerdekaan dan kedaulatan negara
* pentadbiran kerajaan pascamerdeka (1957)
* politik selepas pembentukan Malaysia (1963)
Sistem politik tidak terkecuali daripada melalui perubahan. Misalnya, perkembangan politik yang berlaku pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, pada peringkat awalnya raja mempunyai kuasa mutlak dan mengamalkan sistem monarki. Namun, berlaku perubahan apabila Perlembagaan Tanah Melayu 1957 telah menghadkan kuasa raja-raja Melayu.
Raja-raja masa kini tidak mempunyai kuasa mutlak tetapi hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan hal ehwal berkaitan adat masih termaktub di bawah kuasa raja. Pentadbiran negara ditadbir oleh pemimpin yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Hal ini menunjukkan bahawa bidang dan sistem politik sentiasa berkembang dan menerima perubahan.

Oleh itu, diharapkan agar umat Melayu mampu menjadi model mithali sebagai ahli politik yang berwibawa dan disegani bukan sahaja melalui cerminan peribadi malah dari segi rohani, akliah, emosi dan jasmani.
Bagi merealisasikan perjuangan politik Islam sebagai model mithali, Islam menuntut agar memelihara dua perkara:
* Niat yang diredhai oleh Allah swt iaitu niat yang ikhlas bagi tujuan kebaikan dan menegakkan agama Islam dalam bentuk yang lengkap dan menyeluruh.
* Cara yang diredhai oleh Allah swt iaitu cara politik yang diharuskan dan tidak melanggar batas-batas agama dan kemanusiaan. Penglibatan dan pengendalian politik hendaklah sentiasa merujuk kepada sumber-sumber utama perundangan Islam serta memahami dengan jelas asas-asas politik dalam Islam.
Niat dan cara yang diredhai oleh Allah swt akan menjadikan berpolitik sebagai satu ibadah yang pastinya mendapat ganjaran daripada Allah swt. Di samping itu, politik yang berlandaskan Islam dalam semua bentuk pelaksanaannya merupakan salah satu bentuk dakwah. Politik yang diredhai Allah swt dan pendekatan yang diamalkan oleh Rasulullah saw dalam menegakkan pemerintahan perlu dijadikan asas dalam pentadbiran politik.

Sebuah masyarakat yang tersusun diterajui oleh kepemimpinan yang mampu menentu dan mengemudi hala tuju yang jelas dan bermakna. Menurut perspektif Islam, menegakkan institusi politik dan kepemimpinan merupakan satu kefardhuan dan juga menjadi keperluan bagi masyarakat.
Oleh itu, seseorang ahli politik perlu mempunyai kredibiliti tersendiri kerana seseorang ahli politik secara tidak langsung turut memainkan atau sekurang-kurangnya mendukung peranan seorang pemimpin. Terdapat ciri-ciri politik yang perlu bagi politik Melayu;
1. Sahsiah
2. Sikap
3. Daya tahan/Stamina
4. Kepemimpinan
5. Ilmu
6. Kemahiran
7. Penggunaan kuasa
8. Daya fikir
9. Wawasan
10. Etika kepartian
11. Daya pengaruh
12. Strategi
13. Standart/Piawaian prestasi
14. Lokus kawalan
15. Strategi daya tindak
No comments:
Post a Comment