Friday, May 20, 2011

PELAKSANAAN PENDIDIKAN WAJIB DI PERINGKAT RENDAH 2003


KP(BS)8591/Jld.XVIII(14)
27 November 2002
Semua Pengarah Pendidikan Negeri

Y.Bhg. Datuk?Dato'/Tuan/Puan,

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 14/2002
PELAKSANAAN PENDIDIKAN WAJIB DI PERINGKAT RENDAH 2003

Surat pekeliling ini adalah bertujuan untuk menjelaskan tatacara pelaksanaan pendidikan wajib di peringkat sekolah rendah 2003.

2. Akta Pendidikan 1996 telah dipinda dengan memasukkan satu seksyen baru, iaitu Seksyen 29A yang menetapkan kuasa menteri untuk mewajibkan pendidikan rendah di negara ini. Seksyen 29A(2) juga menjelaskan bahawa setiap ibu bapa yang merupakan warganegara Malaysia hendaklah memastikan bahawa jika anaknya telah mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa anak itu didaftarkan sebagai murid di sekolah tahun itu dan terus menjadi murid di sekolah rendah sepanjang tempoh pendidikan wajib.

3. Kementerian Pendidikan menetapkan untuk melaksanakan pendidikan wajib di peringkat rendah berkuat kuasa pada 1 Januari 2003.

4. Sehubungan itu, bersama-sama ini disertakan buku Garis Panduan Pelaksanaan Pendidikan Wajib Di Peringkat Rendah 2003 untuk diguna pakai sebagai penduan Y.Bhg. Datuk/Dato'/Tuan/Puan dalam melaksanakan pendidikan wajib di peringkat rendah yang bermula pada Januari 2003. Buku ini mengandungi perkara-perkara berikut:

4.1 Mekanisme permohonan penempatan, pengesahan penempatan dan pendaftaran murid Tahun 1;

4.2 Mekanisme penyiasatan murid cicir;

4.3 Risalah atau "pamplet" untuk hebahan pendidikan wajib; dan

4.4 Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Wajib) 2002

5. Bagi melicinkan pelaksanaan tersebut, khususnya dalam penyiasatan murid cicir, Akta Pendidikan 1996 di bawah Seksyen 136 telah memperuntukan pemberian kuasa untuk menyiasat seperti berikut:-

"Pada menjalankan kuasa di bawah subseksyen 136 (1) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Ketua Pendaftar Sekolah dan Guru memberi kuasa kepada Pendaftar Sekolah dan Guru, Pegawai Pendidikan di daerah dan kawasan, guru beasr, pengetua, guru penolong kanan (HEM), dan guru bimbingan di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan untuk emnyiasat apa-apa perlakuan suatu kesalahan di bawah seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 dan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Wajib) 2002, tertakluk kepada apa-apa garis panduan dan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pendaftar dari semasa ke semasa mulai 1 Januari 2003 (Rujuk Lampiran 1).

6. Kerjasama daripada Y.Bhg. datul/Dato'/Tuan/Puan adalah dipohon supaya memberi perhatian khusus terhadap kanak-kanak yang didapati tercicir dan mengambil tindakan sewajarnya bagi kes-kes berikut:-

6.1 Murid-murid yang telah mengesahkan penempatan tetapi tidak hadir mendaftar di sekolah yang telah diluluskan selepas empat belas (14) hari dari hari pertama persekolahan tahun berkenaan;

6.2 Aduan/laporan mengenai murid cicir yang diterima daripada orang awam; dan

6.3 Kes murid cicir yang ada dalam pengetahuan Sekolah/Pejabat Pendidikan Daerah/Pejabat Pendidikan Bahagian/jabatan Pendidikan Negeri.

7. Sila maklumkan kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas ini kepada semua sekolah di bawah pentadbiran Y.Bhg. Datuk/Dato'/Tuan/Puan.

Sekian, terima kasih.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

DATUK ABDUL RAFIE BIN MAHAD
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Merangkap
Ketua Pendaftar Sekolah dan Guru.

No comments: