Tuesday, October 20, 2009

IBADAT HAJI - UMRAH DAN ZIARAH

BAITULLAH AL-HARAM
Baitullah disebut juga dengan nama Kaabah iaitu sebuah binaan batu yang tertua sekali di dunia yang dibina untuk tujuan ibadat. Tingginya 15 meter, bentuknya hampir-hampir empat persegi dan mempunyai empat penjuru:-
a. Penjuru Al-Hajar Al-Aswad (batu hitam):-
Menghala ke timur adalah yang terpenting sekali kerana ia merupakan tempat permulaan dan penamat tawaf. Di penjuru ini terletaknya Al-Hajar Al-Aswad tingginya dari bumi lebih kurang 1.5 meter.
b. Penjuru Iraqi:-
Menghala ke arah negeri Iraq. Jarak antara penjuru Al-Hajar Al-Aswad dengan penjuru Iraqi lebih kurang 12 meter. Di sebelah sinilah terletaknya pintu Kaabah dan Multazam.
c. Penjuru Syami:-
Menghala ke negeri Syam. Jarak antara penjuru Iraqi dengan penjuru Syami itu lebih kurang 11 meter dan di sebelah sinilah terletaknya Hijr Ismail.
d. Penjuru Yamani:-
Menghala ke negeri Yaman. Jarak antara penjuru Yamani dengan penjuru Syami lebih kurang 12.5 meter dan jarak antara penjuru Yamani dengan penjuru Al-Hajar Al-Aswad lebih kurang 10.25 meter.
HIJR ISMAIL
Adalah sebahagian daripada Kaabah yang dibina oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. Maka tidak sah tawaf melalui sebelah dalam Hijr Ismail kerana dikira sebahagian daripada Kaabah juga.
MAQAM IBRAHIM
Adalah satu batu yang terdapat di atasnya kesan-kesan dua tapak kaki Nabi Allah Ibrahim a.s. membina Kaabah. Maqam ini terletak lebih kurang 9 meter ke timur dari Kaabah.
Mengenai Maqam Ibrahim disebut dalam Al-Quran Al-Karim. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:-
"Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi sekalian alam. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia."
(Ali-'Imran: 96 - 97)
SA'IE
Sa;ie ialah berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Marwah sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:-
"Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah."
(Al- Baqarah: 158)
A. Syarat-syarat Sa'ie:-
1. Hendaklah dilakukan selepas tawaf rukun dan boleh juga selepas tawaf qudum
2. Mulai daripada Bukit Safa dan disudahi di Bukit Marwah
3. Cukup tujuh kali dengan yakin iaitu dikira dari Safa ke Marwah sekali dan dari Marwah ke Safa sekali
4. Hendaklah sa'ie hingga sampai penghujung tempat sa'ie di Bukit Safa dan di Bukit Marwah pada tempat yang dikehendaki pada tiap-tiap kali. Orang yang bersa'ie dengan diusung atau berkereta sorong hendaklah mempastikan bahawa usungan atau kereta bermula dari tempat permulaan dan kesudahannya pada tempat yang dikehendaki
5. Hendaklah sa'ie di Batnul Wadi (tempat yang termaklum)
6. Tidak berniat lain yang boleh memesongkan tujuan sa'ie
B. Di antara perkara-perkara sunat semasa mengerjakan sa'ie:-
1. Keluar ke tempat sa'ie dengan melalui pintu Safa
2. Menaiki Bukit Safa dan Marwah hingga sampai ke batu-batu bukit
3. Mengadap ke arah kiblat dan mengangkat kedua-dua belah tangan serta bertakbir:-
"Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahilhamd."
Setiap kali berada di Bukit Safa dan Marwah
4. Berlari-lari anak bagi lelaki dan tidak bagi wanita apabila sampai di suatu tempat yang bertanda lampu hijau atau tiang hijau dan membaca doanya
5. Muwalat (berturut-turut)
6. Berwuduk
7. Berjalan kecuali jika uzur bolehlah menggunakan kenderaan
8. Berdoa
BERCUKUR/BERGUNTING
Maksud bercukur atau bergunting rambut ialah menggugurkan rambut kepala sekurang-kurangnya tiga helai dan yang lebih afdalnya bercukur kesemua sekali bagi lelaki dan bagi wanita hanya bergunting sahaja. Mereka yang tiada mempunyai rambut, sunat baginya melalukan mata pisau di kepalanya.
Waktu bercukur atau bergunting ialah selepas separuh malam, malam 10 Zulhijjah bagi orang yang mengerjakan haji. Bagi orang yang mengerjakan umrah ialah selepas sa'ie.
TAHALLUL
Erti tahallul ialh melepaskan diri daripada pantang larang dalam masa ihram.
A. Tahallul haji terbahagi kepada dua:-
1. Tahallul Awal ialah apabila selesai mengerjakan dua dari tiga perkara:-
a. Melontar Jamrah di Al-Aqabah
b. Tawaf rukun dan sa'ie jika sa'ie belum dibuat
c. Bercukur/bergunting
Apabila selesai melakukan tahallul awal jemaah haji terlepas daripada pantang larang dalam masa ihram melainkan tiga perkara:
a. berkahwin atau mengahwinkan (menjadi wali atau wakil wali) atau menerima wakil kahwin
b. melakukan perkara-perkara permulaan persetubuhan seperti bercium, bercumbu-cumbuan dan sebagainya.
c. bersetubuh
2. Thallul Thani apabila selesai mengerjakan ketiga-tiga perkara yang btersebut di atas pada bilangan 1, maka jemaah haji itu terlepaslah daripada semua pantang larang semasa berihram.
Peringatan:-
Mengerat, memotong, menebang, mencabut pokok dan tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram dan memburu binatang buruan yang halal dimakan di Tanah Haram adalah haram sekalipun ia telah bertahallul kerana kehormatan Tanah haram.
TERTIB PADA KEBANYAKAN RUKUN
Rukun haji itu hendaklah dikerjakan dengan tertib pada kebanyakan rukun iaitu didahulukan niat ihram dari rukun-rukun yang lain, didahulukan wuquf dari tawaf Ifadah dan didahulukan tawaf dari sa'ie, tetapi sa'ie haji boleh dikerjakan sebelum wuquf dan tawaf rukun bagi mereka yang mengerjakan Haji Ifrad dan Qiran iaitu selepas Tawaf Qudum begitu juga bercukur atau bergunting boleh dilakukan selepas wuquf dan sebelum tawaf rukun.
Adapun rukun umrah, wajib dikerjakan satu demi satu mengikut tertibnya.
Peringatan:-
Jemaah haji yang sakit dan perempuan haid atau seumpamanya dan belum bertahallul thani janganlah sekali-kali meninggalkan Makkah tanpa menyempurnakan rukun-rukun haji yang belum disempurnakannya seperti tawaf dan sa'ie kerana mereka masih dikira dalam ihram lagi. Demikian juga mereka yang belum menyempurnakan rukun-rukun umrah.
Jika perempuan itu menjadi mudarat sekiranya ia tidak musafir maka haruslah ia musafir dan mengekalkan ihramnya dan tidak halal baginya bercumbu-cumbuan dengan suaminya sehingga ia sampai ke suatu tempat yang perjalanannya tidak berdaya ia balik dari tempat itu ke Makkah kerana menyempurnakan tawaf itu barulah ia bertahallul seperti tahallul orang yang kena kepung (ihsar) dengan menyembelih kambing dan bercukur/bergunting dengan niat tahallul. Pada ketika itu barulah halal ia diwati oleh suaminya. Walaupun demikian hajinya belum sempurna ia wajib menyempurnakan rukun-rukun yang belum dibuat kalau haji fardu dan jika haji sunat tidak wajib ia membuatnya.

No comments: