Sunday, October 4, 2009

KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL

ISU-ISU KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL
Dilema utama dalam kepimpinan sekolah adalah sama ada pengetua dan guru besar merupakan pengurus sekolah atau pemimpin berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kepimpinan sekolah ternyata masih tidak dapat berfungsi sepenuhnya sebagai pemimpin pengurusan dan pemimpin pengajaran atau instructional leadership yang berkesan (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006). Hughes (1975) dan Coulson (1986) telah mengklasifikasikan dua peranan pemimpin sekolah sebagai ketua eksekutif organisasi yang melibatkan peranan perhubungan dan komunikasi, serta mengurus sumber manakala peranan profesionalnya melibatkan penetapan matlamat, nilai-nilai, penyeliaan dan penilaian. Dengan itu, konsep kepimpinan instruksional harus diterjemahkan kepada tindakan yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin sekolah.
ISU PIAWAIAN DAN PENANDAARASAN
Kualiti pendidikan negara kita perlu sentiasa berada pada tahap tinggi dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Menyedari hakikat inilah Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggerakkan kepimpinan sekolah mengadakan pendekatan baru bagi membina kecemerlangan murid ke arah piawaian dan penanda aras antarabangsa, menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan.
Kita yakin semua teras dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) akan dapat dilaksanakan dengan sempurna di setiap peringkat pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Kesemua teras tersebut akan dinilai menggunakan Indeks Prestasi Utama (IPU) sebagai bukti kejayaan. Pencapaian indikator mengikut tempoh yang ditetapkan.
Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai program peningkatan kualiti untuk dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan. Selaras dengan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 1999, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mempergiatkan program tersebut termasuklah Pengurusan Kualiti Menyeluruh, Piagam Pelanggan, Pelaksanaan Inovasi dalam Perkhidmatan, Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja, peningkatan kualiti perkhidmatan kaunter, pemberian anugerah-anugerah kualiti dan MS ISO 9000.
Usaha tersebut dibuat bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara maju menjelang tahun 2020. Hakikat menuntut kita melaksanakan perubahan untuk mengangkat sistem pendidikan negara agar bertaraf dunia dan menepati kehendak semasa serta cabaran mendatang. Dalam dunia tanpa sempadan ini, anak-anak kita tidak lagi bersaing sesama mereka di Malaysia, sebaliknya bersaing dengan seluruh masyarakat dunia. Justeru, sistem pendidikan bertaraf dunia yang hendak kita bangunkan perlu bersandarkan suatu penanda aras antarabangsa agar pencapaian murid dapat diukur berbanding dengan pencapaian murid dan sekolah di negara-negara yang maju.
Sekolah perlu mempunyai tanda aras bertaraf dunia bagi membentuk murid yang kemudiannya akan memasuki universiti, yang akhirnya akan mengangkat kedudukan universiti-universiti tempatan antara universiti-universiti pilihan utama di dunia. Hasrat ini hanya akan terlaksana jika kita dapat mengatasi sembilan cabaran yang digariskan dalam Wawasan 2020. Satu daripada cabaran tersebut ialah pembangunan dalam bidang pendidikan bagi membentuk modal insan masyarakat saintifik, progresif, inovatif dan menyumbang terhadap perkembangan sains dan teknologi.
Pedagogi iaitu sains pengajaran dan pembelajaran perlu dilihat sebagai satu cabang sains dan teknologi yang sentiasa berubah, merupakan proses yang dinamik, positif dan relevan dalam era internet dan globalisasi sementara guruadalah pembelajar (learner) yang proaktif dan sentiasa merancang perubahan untuk memperbaiki pengajarannya. Justeru, proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah mempunyai kebolehan untuk membuat adapsi terhadap situasi yang berubah bagi menghasilkan outcome yang dikehendaki disamping dapat dipertingkatkan sejajar dengan kehendak pelanggan kita iaitu murid dan ibu bapa.
Kewujudan dan kecemerlangan sesebuah sekolah berkait rapat dengan pemantapan budaya ilmu dan kerancakan iklim akademiknya. Budaya ilmu serta iklim akademik ini pula boleh ditandai kematangan dan kemantapan seluruh warganya serta gandingan kerjasama daripada ibu bapa. Sehubungan itu, kita telah menyediakan prasarana intelektual dengan pelbagai insentif yang menggalakkan proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan kata lain usaha dilakukan bagi mewujudkan komuniti akademik yang mantap dari segi budaya ilmu dengan iklim akademik yang kondusif dan inovatif

No comments: