Tuesday, October 13, 2009

PERLU BERSIKAP POSITIF DAN CERIA

Tidak ada orang yang ingin berpenyakit. Kita semua bercita-cita untuk memiliki dan menikmati kesihatan yang baik. Salah satu cara terbaik untuk mendapatkan kesihatan yang baik seperti memanjangkan usia adalah dengan sejak awal membentuk kebiasaan ceria. Sentisa tersenyum dan sentiasa memperhatikan sesuatu dari sudut yang baik. Kita juga perlu lebih memandang ke atas dan bukannya kepada hal-hal yang remeh temeh.
Sungguh sangat tidak patut bagi kita untuk berkerut, menggambarkan muka sedih, khuatir dan cemas. Hal ini tidak sesuai dengan rencana Tuhan. Wajah yang nampak sakit, sengsara, cemas dan khuatir adalah buatan manusia sendiri. Sebaliknya pancaran wajah yang bahagia, ceria, penuh senyuman, gembira dan bercahaya adalah ciptaan Tuhan. Orang yang periang adalah orang yang paling bahagia, paling berguna dan paling berjaya.
Jalan menuju kejayaan ialah menjalani hidup dengan wajah penuh senyum dan menghulurkan kebaikan kepada semua orang. Kebiasaan kita berbuat baik dengan semua orang menandakan kita bersikap penuh kesediaan untuk menolong. Ini juga menggambarkan cinta kita kepada orang lain dan menjadi suatu aset kepada kita yang sedang memulakan perjalanan hidup. Senyuman dan kecenderungan bersikap yang positif tidak memerlukan modal yang besar. Ia cuma memerlukan sikap kita yang baik.
Tidak ada yang lebih diharapkan di dunia ini berbanding kedamaian dan kemakmuran. Oleh itu kecenderungan ceria dan kesediaan kita sentiasa berfikiran positif akan dapat membantu. Hal ini adalah merupakan keberkatan yang melimpah bukan hanya bagi pemilik sifat tersebut tetapi juga bagi semua orang yang berinteraksi dengannya.

No comments: