Monday, October 26, 2009

SOLAT DALAM PERJALANAN

Solat fardhu lima waktu adalah kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap umat Islam. Ia wajib ditunaikan tanpa mengira tempat dan keadaan.
Bagi setiap muslim yang berjalan jauh (lebih dari dua marhalah iaitu ukuran jarak bersamaan lebih kurang 90 km atau 60 batu) atau disebut sebagai musafir, mereka tetap diwajibkan menunaikan ibadat solat lima waktu sehari semalam dan tidak boleh ditinggalkan.
Walau bagaimanapun, Allah s.w.t. memberi beberapa keringanan dan kemudahan kepada mereka untuk menunaikan solat lima waktu berkenaan.
Ada tiga cara selain menunaikannya dengan cara biasa iaitu:-
1. Qasar sahaja tanpa Jamak
Qasar adalah memendekkan solat yang empat rakaat) zohor, Asar dan Isyak) kepada dua rakaat. Perlu diingat, solat maghrib dan subuh tidak boleh diqasarkan.
2. Jamak sahaja tanpa Qasar
Jamak adalah menghimpun solat zohor dengan solat asar sama ada dalam waktu zohor atau asar dan menghimpun maghrib dengan isyak sama ada dalam waktu maghrib atau isyak. Jika dijamak dalam waktu zohor, ia dinamakan jamak taqdim (himpun awal) dan jika dijamakkan dalam waktu asar dinamakan jamak taakhir (himpun akhir). Begitu j juga jika dijamakkan dalam waktu maghrib, ia dinamakan jamak taqdim manakala jika dijamakkan dalam wakyu isyak dinamakan jamak taakhir.
Nota:-
Solat fardhu yang tidak boleh dijamakkan ialah solat asar dengan maghrib, solat isyak dengan solat subuh dan solat subuh dengan solat zohor.
3. Solat qasar dan jamak serentak
Contohnya melakukan zohor (2 rakaat) dan solat asar (2 rakaat) dalam satu waktu sama ada jamak taqdim atau jamaq taakhir.
Nota:-
Permulaan musafir dikira setelah seseorang itu keluar kawasan sama ada melalui sungai, parit, sempadan kota atau kawasan yang sudah tiada bangunan lagi. Musafir dikira berakhir apabila dia memasuki semula kawasan permulaan musafir tadi.

No comments: