Tuesday, September 22, 2009

ADAKAH IANYA SUATU PERSOALAN?

Dulu, hati yang aku miliki ini tidak mudah 'sensitif'. Meskipun berkali-kali, perasaan aku tersentuh, namun dapat aku kawal diri ini agar tidak mudah 'sensitif'. Kini, kekuatan aku mengawal diri aku sudah sampai ke penghujungnya. Perasaan yang 'sensitif' yang begitu payah ujud, tiba-tiba meletus dan menghamburkan laharnya di seluruh tubuh aku. Mengapa ini boleh terjadi? Mungkinkah 'persoalan' yang tiba-tiba mendadak itu, menjadi puncanya? Mungkinkah itu pencetusnya?
'Persoalan' yang terlalu berat bagi aku untuk memikulnya ini, benar-benar telah menghantui seluruh jiwa aku. Apakah 'persoalan' itu benar-benar ujud? Masakan laut itu bergelora tanpa ombak dan badainya. Justeru, terfikir dalam hati aku, 'persoalan' itu mungkin sekali pasti ujud. "Persoalan' itu patut aku mempercayainya. Meskipun 'persoalan' itu masih lagi terlalu samar dan tidak layak bagi aku untuk mempercayainya, namun ianya terlalu berat untuk aku melupainya kerana ianya ujud dari sumber yang terlalu sukar untuk aku menangkisnya. Jutaan terima kasih aku hadiahkan pada 'situasi' yang telah mendedahkan pada aku suatu 'misteri' yang begitu pahit dan ujud tanpa kerelaan aku.
Malu, sedih dan pilu terus membuak dengan perasaan geram. 'Persoalan' yang terperam dalam lubuk hati aku, telah menyentuh maruah aku sebagi seorang insan. Aku kini seperti binatang jalang yang menjijikkan. Jiwa aku selama ini tenang, bergelora kini dipukul badai dan gelombang.
Aneh, 'situasi' terlalu cepat mengubah emosi dan sentimen seorang insan. Begitu juga dengan 'persoalan' ini. manusia terlau cepat melupakan kejujuran dan keikhlasan. Walaupun ianya terpalit pada janji-janji yang sungguh suci. Mengapa?
Bila difikir-fikirkan, terasa terlalu ingin aku menyahut 'persoalan' yang menimbul ini. Terasa bagaikan aku akan mengambil suatu keputusan yang wajar demi 'persoalan' ini. Namun, kewarasan bagi lagi menguasai aku. sesuatu 'persoalan' itu boleh diselesaikan melalui kedamaian bagi membuahkan suatu keputusan. Adalah wajar, 'persoalan' ini dibereskan antara yang menimbulkan 'persoalan' dengan yang menerima 'persoalan'. Aku rasakan ini adalah lebih adil dan saksama.
Kini, aku dalam penantian. Penyelesaian harus dilakukan. Aku pohon 'persoalan' tidak meresap dan menular lebih jauh. Bagi aku, biarlah 'persoalan' ini menjalar dan terus membunuh jiwa aku ini sahaja. Tidak kepada insan lain yang turut terbunuh atau terkorban dalam 'persoalan' yang sungguh berbisa ini. Oh! Tuhanku, jauhilah 'persoalan' ini dari terus menyemarak dalam jiwa insan lain. Biarlah aku sahaja yang menanggungnya.
Masa berlalu dengan jiwa semakin gelisah. Aku mula membisikkan susuatu yang menjijikkan. Kepercayaan yang disemai mulai layu. Kejujuran yang mula menguntum mulai pudar tanpa seri dan wanginya. Aku mulai mengenal erti keliru. Keliru dengan kejujuran yang aku paparkan. Keliru dengan keikhlasan yang aku dambakan. Apakah aku berdosa oh Tuhanku, dalam tanggapan yang sering bergolak dalam hati aku? Oh! Tuhanku, berikan kekuatan, tetapkanlah keimanan. Terlalu sukar untuk aku mencari titik-titik penyelesaian bagi merungkai 'persoalan' ini. Ketenangan semakin pupus. Kedamaian mulai menjauhi. Apakah aku akan dapat mengejar dan mendakap kembali ketenangan, kesyahduan dan kedamaian itu? Hanya Engkau sahaja oh! Tuhanku, yang Maha Mengetahui.
Ibu yang tercinta. Andainya kau mengetahui 'persoalan' ini, maka remuk luluhlah hatimu. Batapa hinanya anakmu ini dengan 'persoalan' ini. Tapi ibu, kalaulah aku dapat terus memendamkannya, aku percaya, kau tentu dapat turut memendamkannya. Biarkanlah ianya terpendam dan melahirkan karat-karat yang boleh menikam jiwa. Cuma apa yang aku pinta, biarlah 'persoalan' ini pergi jauh dan tidak menghampiri dirimu, ibu. Terlalu pahit untuk kau telan, ibu. Oh! Tuhanku, Engkau jauhilah 'persoalan' ini dari menghantui jiwa ibu. Aku tak mahu hati ibu terguris lagi.
Padamu yang tersayang. Hati aku akan terguris lagi andainya 'persoalan' ini benar-benar ujud dan lahir dari bibirmu. Bagimu, mungkin 'persoalan' ini tiada risikonya tapi tidak bagi aku. Risikonya terlalu menyulitkan dan menakutkan. Andainya 'persoalan' ini benar-benar ujud, jujurlah untuk menceritakannya. Ikhlaskanlah untuk memaparkannya. Aku tetap bersedia untuk menerimanya. Itu adalah hak peribadimu, meskipun aku akan merasakan bahawa aku adalah insan yang paling malang dan yang paling hina dalam 'persoalan' ini.
Tuhanku, mengapakah menjadi kelaziman, jujur dan ikhlas itu menjadi mangsa? Mungkinkah itu merupakan suatu cabaran? Atau suatu Rahmat dari-Mu? Memang menjadi adat dan amalan, kejujuran dan keikhlasan itu terlalu kuno pada yang moden. Namun tidak pada aku yang meletakkan kejujuran dan keikhlasan sebagai tanda kejujuran. Kesetiaan akan lahir melalui kejujuran. Bagi aku di sinilah benih-benih kebahagiaan akan berputik untuk kebahagiaan dan kesejahteraan.
Akhirnya, kalaulah 'persoalan' ini tidak pernah ujud dalam dirimu, pastinya kau tahu bagaimana ianya boleh timbul. Apakah ada insan yang lidahnya boleh memutarkan kata-kata? Apakah ada insan yang ingin menyakiti hati aku? Walau bagaimanapun, aku terlalu mengharapkan 'persoalan' ini dapat diselesaikan tanpa adanya insan lain. Janganlah ada insan lain yang sama menumpang 'persoalan' ini. Bagi aku, setiap apa juga keputusan yang lahir dari 'persoalan' ini, ianya adalah cuma untuk kita berdua sahaja.

No comments: