Sunday, September 13, 2009

BAITULLAH (KA'BAH)

AL-HATIM
Ulama' berselisih pendapat dalam menentukan kedudukan Al-Hatim.
Pertama:- Tempatnya ialah diantara Hajar Aswad, Hijr Ismail, Telaga Zamzam dan Maqam Ibrahim. Kata Ibnu Juraij:- "Sebab dinamakan Al-Hatim (pecah rosak) kerana orang-orang jahiliyyah bersumpah di tempat itu dan diperkenankan doa orang yang dizalimi. Ramai orang yang dizalimi berdoa di tempat tersebut dan didapati si zalim akan binasa. Demikian juga orang yang bersumpah dusta akan ditimpa bencana. Oleh kerana itu ianya menjadi penghalang kepada berlakunya kezaliman dan juga sumpah dusta hinggalah datang Islam." Dinamakan sedemikian juga kerana orang bersesak-sesak berdoa di tempat ini.
Kedua:- Al-Hatim ialah Hijr Ismail. Pendapat ini diriwayatkan daripada Ibnu Abbas . Sebab dinamakan Al-Hatim ialah kerana tempat ini diruntuhkan daripada Ka'bah. Ka'bah telah dibina tinggi oleh orang Quraisy dan Hijr Ismail dikeluarkan darinya. Dinamakan sedemikian juga kerana orang Arab meninggalkan pakaian mereka di tempat ini sewaktu mereka hendak melakukan tawaf dan dibiarkan sehingga rosak.
Ketiga:- Dinding yang melingkungi Hijr Ismail
Keempat:- Al-Hatim ialah Al-Multazam
Kelima:- Di bawah Mizab (saluran emas)
Keenam:- Syazarwan
Pendapat pertama dan kedua adalah yang masyhur dikalangan ulama'.
AL-MULTAZAM
Tempatnya ialah diantara Hajar Aswad dan pintu Ka'bah. Jaraknya ialah 2 meter. Kata Saiyidina Abdullah bin Abbas:- "Al-Multazam terletak diantara Rukun Hajar Aswad dan pintu Ka'bah." Multazam ialah salah satu tempat yang diperkenankan doa dan disunatkan berdoa serta diletakkan pipi, dada dan lengan serta dua tapak tangan di Multazam.
Seorang sahabat Nabi s.a.w., Abdullah bin "Amr melakukan tawaf di Ka'bah kemudian beliau melakukan solat dan selepas itu mengucup Hajar Aswad, kemudian beliau berdiri diantara Rukun Hajar Aswad dan pintu Ka'bah dengan meletakkan dada, muka, dua lengan serta dua tapak tangannya di Ka'bah. Beliau berkata:- Demikianlah aku melihat Rasulullah s.a.w. melakukannya."
MIZAB
Ia merupakan saluran untuk air keluar daripada bumbung Ka'bah. Mizab pertama kali dibina oleh Quraisy sewaktu membina atap Ka'bah. Mizab ini disalur dengan emas. sebagaimana yang disebut, tempat ini juga merupakan tempat mustajab dia.
SYAZARWAN
Lapaz ini berasal daripada bahasa Parsi yang beerti pembinaan yang melingkungi mata air. Yang dimaksudkan disini ialah binaan yang membentuk melengkung di bahagian dinding Ka'bah sampai ke lantai. Binaan ini dibuat di tiga penjuru Ka'bah, tidak termasuk penjuru Hijr Ismail kerana ia merupakan binaan asal daripada Ka'bah. Tingginya daripada lantai lebih kurang 13 sm, lebarnya pula 45 sm.
Syazarwan berasal daripada dinding Ka'bah ketika ianya dibina menurut binaan Nabi Ibrahim. Apabila Quraisy kekurangan belanja mereka mengurangkan keluasan asas dinding Ka'bah bermula dari tapaknya di atas tanah.
Ada pendapat lain mengatakan bahawa Abdullah bin Az-Zubair membinanya untuk melindungi dinding Ka'bah daripada diresapi air ke dalamnya, untuk mengikat kelambu Ka'bah (kiswah) padanya serta untuk menjauhkan orang tawaf daripada menyentuh kiswah dan dinding Ka'bah.
Ulama' telah berselisih pendapat (khilaf) iaitu adakah Syazarwan termasuk dalam binaan Ka'bah atau tidak? Jika ianya dianggap sebagai sebahagian daripada binaan Ka'bah, maka tawaf yang dilakukan di atasnya adalah tidak sah. demikian juga jika meletakkan tangan atau kaki di atasnya sewaktu melakukan tawaf maka tawafnya tidak sah.
Para ulama' daripada mazhab Syafi'ie, Maliki dan Hanbali mengatakan bahawa Syazawrwan termasuk dalam binaan Ka'bah, maka tidak boleh meletakkan tangan atau memijaknya ketika melakukan tawaf. sesiapa yang melakukannya maka tawafnya adalah tidak sah.
Manakala ulama' daripada mazhab Hanafi mengatakan bahawa Syazarwan tidak termasuk dalam binaan Ka'bah, namun melakukan tawaf di luar daripadanya adalah lebih baik untuk mengelakkan daripada khilaf ulama',
Pendapat kedua ini dipersetujui oleh Sheikh 'Izzuddin Ibnu Jama'ah daripada ulama' Asy-Syafi'iyyah dan Sheikh Ibnu Taimiah.
KISWAH (KELAMBU KA'BAH)
Kiswah ialah kain hitam atau kelambu yang menutupi empat dinding Ka'bah. telah diriwayatkan bahawa orang yang pertama membuat kiswah ialah Nabi Ismail. Ada yang mengatakan bahawa Tubba' Ak-Himyari, iaitu raja Yaman yang bernama As'ad pada seribu tahun sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi rasul.
Kemudian amalan menutup Ka'bah dengan kiswah berterusan hingga sampai pada zaman Islam, ketika zaman Rasulullah s.a.w. serta khalifah selepasnya dan sampai kepada zaman kita pada masa ini.
Sebelum ini, kelambu Ka'bah diperbuat dipelbagai tempat seperti di Mesir, Yaman dan tempat-tempat lain mengikut masa dan sejarah pada waktu itu.
Pada masa sekarang, kiswah ini diperbuat di sebuah kilang khas di Makkah. Ianya mula dibuat di kilang ini oada tahun 1346H sehingga 1357H. Kemudian ianya berhenti seketika dan kelambu Ka'bah dibuat di Mesir. Pada tahun 1382H ianya dibuka kembali sehingga terbina nya kilang baru pada hari Sabtu 7 Rabiul-Awal 1397H bersamaan dengan 26 Mac 1977M di tempatnya hari ini iaitu di Ummul Jud. Semenjak itu setiap tahun ia ditukar pada pagi 9 zulhijjah iaitu pada hari wukuf.
Kiswah ini diperbuat daripada sutera asli halus. Bahan mentahnya diimport dari luar. Kemudian ia ditenun di kilang ini. sehelai kelambu memerlukan sebanyak 670 kg sutera mentah untuk memprosesnya. Setelah ditenun, ukuran panjang kain kiswah ini ialah 658 m persegi. Perbelanjaan keseluruhan untuk menyiapkan satu kelambu Ka'bah ini adalah sekitar 17 juta Riyal Saudi, termasuklah kos bahan mentah dan gaji para pekerjanya.
Di kilang ini tulisan-tulisan khat al-Quran di Ka'bah juga dibuat sebagi hadiah Khadimul Haramin kepada tetamu-tetamu kerajaan. Bendera negara Arab Saudi turut dibuat di sini untu kegunaan rasmi.

No comments: