Thursday, September 24, 2009

BERPAKAIAN MELAMBANGKAN KEPERIBADIAN

Pakaian yang rapi dan baik adalah merupakan sebahagian yang hakiki dari penampilan peribadi kita. Penampilan peribadi adalah salah satu sifat dari keperibadian yang menyenangkan, maka penting bagi kita untuk tetap mengingatkan peraturan umum mengenai cara berpakaian.
Kita tidak boleh mengemukakan pendapat tentang karakter dan selera orang hanya dengan melihat pakaiannya. Namun, cara berpakaian yang keterlaluan akan memberi kesan tentang pemahaman yang keliru pada diri orang yang berkaitan. Orang yang mempunyai selera yang baik, akan berhati-hati mengelakkan beberapa karakter tertentu mengenai pakaiannya. Dia tentu sentiasa bersih demi dirinya sendiri, namun juga bagi orang lain. Ia akan berpakaian seperti juga dalam percakapannya. Sesuai dengan selera dan bentuk yang umum di tempat yang didatanginya.
Apabila ia berpakaian lebih baik daripada orang lain, maka ia akan dikatakan sebagai pesolek, sebaliknya kalau ia berdandan lebih buruk dari orang lain, ia akan dikatakan pula tidak pandai menguruskan diri. Kemungkinan ia akan ditolak. Disamping itu juga cara kita berpakaian akan mempengaruhi kesan orang lain tentang umur kita. Kita perlu berpakaian secara rapi apabila kita bersama orang lain yang berpakaian rapi. Kita berpakaian sederhana ketika orang lain juga sederhana.
Cara kita berpakaian juga perlu untuk menampakkan keselesaan kita. Kadang-kadang kita kita tidak selesa apabila berpakaian tertentu dan tidak berasa senang. Bagaimana pun kita perlu berpakaian dengan baik dan sesuai kepada kita dan juga majlis atau acara yang kita hadiri.
Ketika kita sudah berpakaian dengan baik untuk hari yang hendak kita jalani, janganlah kita memikirkan hal lain. Kita jangan ada keraguan atau ketakutan terhadap apa yang kita pakai. Kita perlu ada keyakinan dan perlu bersahaja seolah-olah kita tidak menjadi tontonan sama sekali.
Sikap bersederhana dalam hal berpakaian seperti juga dalam hal yang lain. Bersederhana adalah cara yang paling baik. Berpakaian mesti selalu rapi, bersih dan tidak berlebihan. Hindarilah pemakaian pakaian yang kaku, terlalu nipis atau ekstrim, berkedut dan slekeh. Paling utama, kita sebagai orang Islam, berpakaianlah dengan cara Islam iaitu menutup aurat.

No comments: