Tuesday, September 29, 2009

IBADAT HAJI - UMRAH DAN ZIARAH

1. NIAT IHRAM
Iaitu niat masuk mengerjakan haji atau umrah atau kedua-duanya sekali. Sesiapa yang berbuat demikian maka ia dianggap sudah berihram dan haramlah ke atasnya melakukannya setengah-setengah perkara yang sebelum ihramnya diharuskan seperti memakai pakaian yang bersarung bagi lelaki, menutup muka dan kedua tapak tangan (pergelangan tangan) bagi perempuan, menebang atau mencabut pokok di Tanah Haram dan lain-lain daripada perkara pantang larang dalam ihram.
Niat Ihram Haji tertakluk kepada cara haji yang akan dikerjakan.
A. Cara-cara mengerjakan haji
Para ulama' bersependapat bahawa cara mengerjakan haji itu ada tiga iaitu:-
1. Haji Ifrad
2. Haji Tamattu'
3. Haji Qiran
1. Haji Ifrad:-
Mengerjakan haji dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan umrah
2. Haji Tamattu':-
Mengerjakan umrah terlebih dahulu dalam bulan-bulan haji. Kemudian dikerjakan haji dalam tahun itu juga. Cara ini dikehendaki seseorang itu berniat ihram umrah sahaja dan ditunaikan segala rukun-rukun serta wajib-wajibnya. Apabila tiba waktu haji hendaklah ia berihram haji pula. Cara ini dikenakan dam mengikut syarat-syaratnya.
3. Haji Qiran:-
Berniat mengerjakan haji dan umrah serentak dalam bulan-bulan haji dengan mengerjakan amalan-amalan haji sahaja atau berniat mengerjakan umrah sahaja tetapi sebelum tawaf ia berniat mengerjakan haji.
Peringatan:-
1. Mengikut pendapat Mazhab Syafi'ie, Haji Ifrad adalah lebih afdal dengan syarat hendaklah dikerjakan umrah di dalam tahun itu juga.
2. Terdapat setengah bakal-bakal haji berniat ihram haji (Haji Ifrad) tetapi mengikut perbuatan orang yang berniat ihram umrah seperti ia bercukur atau bertahallul selepas Sa'ie sebagaimana orang yang mengerjakan umrah. Ini hendaklah dijaga dan diambil perhatian supaya jangan sampai ibadat hajinya tidak sempurna.
B. Memakai Pakaian Ihram:-
Sebelum seseorang itu berniat ihram di Miqat hendaklah ia memakai pakaian ihram. Bagi lelaki ialah dua helai kain lepas (tidak bercantum), sehelai dipakai untuk menutupkan auratnya di antara pusat dan lutut dan sehelai lagi dibuat selendang. Disunatkan berwarna putih.
Pakaian ihram bagi perempuan pula hendaklah menutup semua badan kecuali muka dan dua tapak tangan (pergelangan tangan hendaklah terbuka sebagaimana di dalam sembahyang).
C. Sebahagian daripada sunat-sunat sebelum berihram ialah:-
1. mengerat kuku
2. menanggalkan buku ketiak, ari-ari, mengandam misai, janggut dan rambut
3. mandi sunat ihram
4. memakai minyak rambut dan bau-bauan
5. memakai pakaian ihram berwarna putih
6. sembahyang sunat ihram
7. membanyakkan bacaan talbiah slepas berniat
Setelah sempurna memakai pakaian ihram bolehlah berniat untuk mengerjakan haji atau umrah atau kedua-duanya sekali bagi orang yang mengerjakan Haji Qiran
Perhatian:-
Perempuan yang di dalam haid atau nifas boleh bermiat haji atau umrah atau kedua-duanya
D. Perkara-perkara yang dilarang semasa berihram:-
Sebaik sahaja seseorang itu berniat haji atau umrah maka wajiblah menjaga pantang larang ihram seperti berikut:-
1. menutup kepala atau sebahagian daripadanya seperti memakai songkok, serban dan sebagai-nya tetapi tidak menjadi larangan sekiranya berteduh di bawah batang pokok atau payung (bagi lelaki).
2. memakai pakaian bersarung sama ada berjahit atau sebagainya seperti seluar, baju kemeja, sarung kaki (bagi lelaki)
3. menutup muka (bagi wanita)
4.memakai sarung tangan (bagi lelaki dan wanita)
5. memakai bau-bauan pada badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menyedutnya ke dalam gidung (bagi lelaki dan wanita)
6. memakai minyak pada kepala atau janggut (bagi lelaki dan wanita)
7. menanggalkan rambut atau menghilangkan mana-mana bulu di anggota badan (bagi lelaki dan wanita)
8. mengerat atau membuang kuku (bagi lelaki dan wanita)
9. memotong, menebang atau mencabut pokok atau tumbuhan di Tanah haram (bagi lelaki dan wanita)
10. memburu binatang buruan yang halal dimakan atau membinasakannya sama ada di Tanah Haram atau di Tanah Halal (bagi lelaki atau wanita)
11. bersetubuh
12. melakukan perkara pendahuluan bersetubuh seperti bercium, berkucup-kucupan atau berpeluk yang menaikkan nafsu syahwat
13. akad nikah sama ada ijab atau qabul untuk diri sendiri atau mewakili orang lain.

No comments: