Tuesday, September 8, 2009

PENGENALAN AL-QURAN (1)

PENGERTIAN AL-QURAN
Al-Quran ialah kalamullah yang mengandungi mukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Jibril a.s., ditulis dalam mashaf, dipindahkan kepada kita secara mutawatir dan menjadi ibadat dengan membacanya.
Susunan Al-Quran terdiri daripada cantuman 28 huruf Hijaiyah yang mana keseluruhan Al-Quran mengandungi 323,671 huruf, 77,437 kalimah, 6,236 ayat, 114 surah, 30 juzuk, 60 hizib dan 240 maqra'
KELEBIHAN AL-QURAN
Antara kelebihan Al-Quran ialah:-
1. Mukjizat teragung
2. Mukjizat Nabi yang kekal hingga hari Kiamat
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:-
"Dan kelebihan kalamullah ke atas seluruh kalam (perkataan) seperti kelebihan Allah ke atas sekalian kejadian-Nya."
PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN
Al-Quran diturunkan melalui beberapa peringkat iaitu:-
1. Al-Quran diturunkan ke Luh Mahfuz, Cara turun dan wujudnya Al-Quran di Luh Mahfuz pada waktu yang tidak diketahui kecuali Allah.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:-
"Bahkan ialah Al-Quran yang mulia. Diturunkan ke Luh Mahfuz."
2. Al-Quran diturunkan ke Baitul Izzah di Langit Dunia pada Lailat al-Qadr dalam satu jumlah (sekali gus).
3. Al-Quran diturunkan dengan perantaraan Jibril a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. secara beransur-ansur.
CARA PENURUNAN WAHYU
1. Melalui mimpi seperti mimpi Nabi Ibrahim a.s. menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.
2. Melalui suara seperti Allah S.W.T. berbicara dengan Nabi Musa a.s.
3. Wahyu turun seperti bunyi loceng
4. Melalui Jibril a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam bentuk manusia
NAMA-NAMA KITAB SUCI DAN JUMLAHNYA
Oleh sebab ramai Rasul utusan Allah, banyak catatan dan pesanan yang disampaikan. Ada yang disebut sebagai lembaran-lembaran (suhuf) dan ada pula dalam bentuk buku (kitab). Suhuf diturunkan kepada Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Musa a.s.. Manakala kitab pula diturunkan kepada Nabi-Nabi berikut:-
1. Kitab Al-Taurat diturunkan kepada Nabi Musa a.s.
2. kitab Al-Zabur diturunkan kepada Nabi Daud a.s.
3. Kitab Al-Injil diturunkan kepada Nabi Isa a.s.
4. Kitab Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
FAKTOR DINAMAKAN KITAB SUCI
1. Bebas daripada campur tangan manusia
2. Kandungan sesuai dengan fitrah manusia
3. Kandungannya tidak bercanggah di antara satu sama lain
KEISTIMEWAAN AL-QURAN
Perbezaan lebih khusus antara Al-Quran dengan ucapan yang lain (hadis Qudsi dan hadis Nabawi) ialah Al-Quran merupakan firman Allah S.W.T., di turunkan dengan lafaz dan makna yang jelas dengan perantaraan Malaikat Jibril a.s., kemudian tersebar dalam bentuk-bentuk tetap dan tidak dapat ditiru dan mendapat jaminan Allah S.W.T.. Ini berdasarkan firman-Nya yang bermaksud:-
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."
FADHILAT MEMBACA AL-QURAN
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Daripada Ibnu Mas'ud r.a. katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Sesiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan diganda sepuluh. Aku tidak bermaksud (Alif Lam Mim) itu satu huruf akan tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf." (Riwayat al-Tirmizi)
FADHILAT MENGAJAR AL-QURAN
Sabda Rasulullah s.a.w yang bnermaksud:-
"Sesiapa yang mengajar Al-Quran kepada anaknya secara melihat mashaf, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu dan yang terkemudian dan sesiapa yang mengajar secara menghafaz, Allah akan membangkitkannya di hari akhirat seperti bulan purnama dan dikatakan kepada anaknya, bacalah! Tiap-tiap kali dia membaca satu ayat daripadanya Allah mengangkat darjat bapanya hinggalah sampai akhir ayat yang dihafaznya.

No comments: