
Selepas pembukaan kota Mekah pada tahun 8H, Rasulullah s.a.w. telah meminta kunci Ka'bah daripada Usman bin Thalhah. Baginda membuka serta memasuki Ka'bah. Setelah keluar daripadanya Rasulullah s.a.w. membaca ayat yang bermaksud:- "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
menyampaikan..." (Surah An-Nisa': 58).

Baginda memanggil Usman bin Thalhah dan menyerahkan kunci Ka'bah kepadanya sambil bersabda yang bermaksud:-
"Ambillah kunci ini wahai Bani Thalhah dan ianya akan kekal selama-lamanya di tangan kamu, tidak ada orang yang mengambilnya daripada kamu kecuali orang zalim."
Menurut Ibnu Kathir, ramai ulama' tafsir mengatakan bahawa ayat ini telah diturunkan kepada Usman bin Thalhah. Oleh itu Rasulullah s.a.w. menyerahkan kunci tersebut kepadanya.
Selepas kewafatan Usman pada tahun 42H, beliau tidak mempunyai anak lalu kunci Ka'bah telah diberikan kepada sepupunya iaitu Syaibah bin Usman bin Abi Thalhah. Kemudian anak-anak Syaibah mewarisinya secara turun termurun sehingga sekarang dan sampai Hari Kiamat, insya-Allah
. Mereka ini dikenali dengan nama 'As-Syaibiyyin'.

Sebagaimana yang tersebut dalam hadis: "Kekal selama-lamanya di tangan kamu" menunjukkan bahawa keturunan Abu Thalhah akan kekal sehingga Hari Kiamat dan penjagaan Ka'bah berada dalam tangan mereka. Ini merupakan mukjizat Rasulullah s.a.w.
Kunci Ka'bah panjangnya 40 sentimeter. Ianya disimpan di dalam beg yang dibuat daripada sutera yang bersalut emas yang dibuat di kilang kiswah di Mekah.
No comments:
Post a Comment