Sunday, September 6, 2009

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Orang yang selalu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah S.W.T. diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup atau pun sesudah berada di akhirat. Disamping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca Al-Quran kelebihan melimpah juga kepada kedua ibu bapanya.
Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Dari Muaz al-Juhani telah berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. "Sesiapa yang membaca Al-Quran dan diamalkan apa yang terkandung di dalamnya, ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi dari cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi, bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkannya."
Al-Quran juga dapat memberi syafaat (pertolongan) yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T. di hari kiamat. Ini berpandukan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Dari Sa'id Salim secara Mursal telah berkata, telah berkata Rasulullah s.a.w. "Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan Al-Quran yang bukan nabi dan bukan malaikat dan sebagainya."
Hadis lain daripada Uthman Ibn Affan r.a. dari Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Sebaik-baik kamu orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain."
Dalam hadis Rasulullah s.a.w., baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong daripada ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni.
Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Daripada Ibn Abbas r.a. telah berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. "Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikit pun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong."

No comments: