Sunday, June 15, 2014

GURU DAN POLITIK SEBELAH MANA?

 KESAN TERHADAP PENGLIBATAN GURU DALAM POLITIK:-
Teman tertaghek ati macer satu artikel yang libat guru ngan politik. Artikel ato tulisan ini dituleh oleh Suhaizan Kayat selaku Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat. Tulisan ini dibuat dalam blog Bila Kentong Berbunyi pada 8 Ogos 2010 (Ahad). Pastuh baghu-baghu nih ada pula yang cadangkan libatkan gughu ngan politik, idea daghi UMNO ler pulak. Mengkomer macer pastuh fiki-fikio ler samer.

Kerajaan telah membuat pindaan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah(guru-guru) Gred DG41 hingga DG 48 untuk bergiat aktif dalam politik mulai 1 Ogos 2010. Ini bermakna bahawa 190,000 guru siswazah seluruh negara diberi kebenaran bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik. Pengumuman in telah dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.  

Pindaan ini dibuat kononnya bertujuan untuk mengembalikan tugas yang pernah diamanahkan kepada guru-guru seperti pada zaman awal kemerdekaan dahulu. Allahyarham Tun Ghafar Baba dan rakan seangkatan dengannya telah berperanan secara berkesan dalam politik tanah air selepas kemerdekaan.
Isu halangan terhadap kakitangan kerajaan daripada terlibat dalam politik bermula dalam negara kita ketika Dato Onn Jaafar yang menjadi Menteri Besar Johor dalam masa yang sama mahu menubuhkan UMNO dan terlibat secara aktif dalam politik. Maka berlakunya konflik kepentingan antara British dan Dato Onn. Dato Onn mahu terlibat dalam UMNO untuk menjaga kepentingan orang Melayu. 

Dato Onn tidak mahu orang Melayu terus dijajah. British pula tidak senang dengan tindakan Dato Onn yang selalu berselisih pendapat dengan mereka. Akhirnya British memutuskan kakitangan kerajaan tidak boleh terlibat dalam politik. Dato Onn telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor dan kemudian terlibat secara aktif dalam politik UMNO.

Matlamat Pindaan

Persoalannya, mengapa baru sekarang pindaan ini dibuat dan apakah justifikasinya terhadap kelangsungan kuasa parti pemerintah UMNO dan Barisan Nasional? UMNO menghadapi masalah ketandusan kepimpinan berkualiti di peringkat akar umbi. Pada masa kini terdapat ramai para usahawan dan kontraktor sahaja yang mengisi jawatan-jawatan penting di peringkat tersebut. 

Tidak dinafikan pejuang-pejuang UMNO di peringkat awal penubuhannya adalah terdiri daripada guru-guru. Mereka adalah golongan yang berpendidikan dan sangat rapat dengan masyarakat. Hujah kerajaan terhadap pindaan peraturan ini juga nampak meragukan dan dilihat lebih untuk menyelamatkan UMNO. Pada zaman awal penubuhannya, UMNO ditunjangi oleh bangsawan di peringkat atasan dan guru-guru diperingkat akar umbi. Parti selain UMNO mempunyai pasaran yang berbeza. 

PAS sebagai contoh didokong oleh para Ulama diperingkat awal penubuhannya manakala DAP didokong oleh kalangan profesional. MCA pula didokong oleh kumpulan usahawan Cina. Oleh kerana kerajaan menggunakan hujah guru sebagai tunggak kepada UMNO semasa era kemerdekaan maka rakyat boleh faham bahawa UMNO memerlukan sentuhan semula guru-guru bagi menyegarkan kepimpinannya. Matlamat pindaan ini pun bias kepada kepentingan kelangsungan kuasa UMNO yang semakin terhakis sekarang. Adapun lain-lain matlamat itu hanyalah penyedap rasa sahaja bagi menghalalkan keputusan kerajaan sahaja.


Terdapat perbezaan yang jelas umpama langit dan bumi di antara UMNO pada era kemerdekaan dengan UMNO yang dipimpin oleh generasi kedua kelompok bangsawan sekarang ini. Semasa awal penubuhannya UMNO bergerak bersama denyut nadi rakyat demi memperjuangkan nasib mereka. Bermula daripada buah fikiran, semangat, halatuju sehinggalah ke peringkat perlaksanaannya UMNO tidak lekang daripada mahu mendekati rakyat. Bukti kesungguhannya apabila Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj, Presiden UMNO yang kedua telah menjual beberapa buah banglonya di Pulau Pinang bagi menampung kos menuntut kemerdekaan. Apabila rakyat melihat kesungguhan pemimpin UMNO maka hati rakyat menjadi hiba lalu apa yang ada ditangan diserahkan kepada perjuangan UMNO. 

Gelang, duit, jam tangan semuanya diserahkan kepada perjuangan UMNO, perjuangan rakyat pada masa tersebut. Namun segalanya telah berubah sejak Tun Dr Mahathir mengambil alih kepimpinan negara. Dasar penswastaan ditambah dengan hasil petroleum yang lumayan menjadikan UMNO lupa daratan. Semangat seperti era kemerdekaan sudah tidak ada lagi dalam UMNO. Peranan ini telah diambil alih oleh PAS. Apabila Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat membacakan ayat-ayat Al-Quran berkenaan kelebihan berjihad, rakyat tidak kira parti politik menyumbang kepada perjuangan rakyat. Itu hakikat yang telah berlaku. 

Allahyarham Tan Sri Mohammad Rahmat sendiri merakamkan dalam bukunya, detik-detik mengaibkan ketika UMNO dibatalkan. Semasa mesyuarat penubuhan UMNO (Baru), Tun Daim menggunakan songkoknya untuk memungut derma bagi penubuhan UMNO (Baru). Alangkah terkejutnya Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat apabila duit derma yang dikutip hanya dapat berjumlah RM274 termasuk RM50 duit beliau sendiri. Itu derma daripada hulubalang-hulubalang UMNO termasuk Tun Dr Mahathir yang dianggap kedekut oleh Allahyarham.

Perubahan yang berlaku dalam UMNO amat membimbangkan pemimpin UMNO sendiri. Tun Dr Mahathir sendiri telah menyatakan betapa UMNO telah busuk sampai ke usus. Tun Musa Hitam pun pernah berkata UMNO sudah terlalu tua. Tiada ubat kepada penyakit tua kecuali mati. Rasuah adalah menjadi punca utama mengapa UMNO dilihat busuk sampai ke usus. Rasuah bukan berlaku dalam peringkat tertinggi sahaja tetapi sudah sampai ke peringkat bahagian dan cawangan. Hampir tidak ada ahli UMNO yang tidak dapat terlepas daripada wabak ini. 

Dalam keadaan kekalutan seumpama ini apalah yang boleh dilakukan oleh para guru yang berada di bawah. Guru-guru boleh berperanan seperti zaman awal kemerdekaan kerana perjuangan UMNO adalah perjuangan rakyat. Guru-guru yang berhati mulia ini sudah tentu tidak boleh bersama UMNO lagi kerana UMNO sudah busuk menanti masa untuk dikafan dan ditalkinkan. Kalaupun ada guru yang tertarik dengan UMNO, tidak tahu berapa lama mereka boleh bertahan dengan prinsip menolak politik wang. Bagaimana guru-guru boleh tahan dengan godaan politik wang jika Ketua Cawangan, Ketua Bahagian, Ahli Majlis Tertinggi, Naib-naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden sendiri menabur wang semasa pemililihan. Orang UMNO kata “No Money – No Talk”. 

Guru-guru yang dibawa masuk akan disisihkan oleh UMNO sendiri jika mereka bertegas dengan prinsip menolak politik wang. Apa yang dikuatiri, guru-guru yang bersih umpama kain putih ini akan dicorakkan oleh politik wang yang ada dalam UMNO. Akhirnya rosaklah guru-guru ini akibat perbuatan UMNO. Secara mudah rakyat boleh beranggapan kerajaan membuka peluang guru berpolitik adalah untuk mengisi kekosongan kepimpinan berkualiti UMNO di peringkat cawangan-cawangan. Bukanlah untuk kepentingan negara. Kehadiran guru-guru ini diharap boleh memanjangkan kelangsungan UMNO menjadi parti pemerintah.

Kesan Kepada Pendidikan Negara

Rakyat Malaysia memahami bahawa tugas guru di sekolah semakin hari semakin mencabar. Kenakalan pelajar sekolah sungguh menakutkan. Pergaduhan, hubungan seks, anak luar nikah, dadah, buli, peras ugut dan segala macam masalah anak muda remaja ini berada di sekolah sekarang. Ibubapa menjadi resah dengan perkembangan yang berlaku. Dasar pendidikan yang sering berubah-ubah juga menambah beban kepada para guru. 

Tidak dapat dinafikan pendidikan yang baik mestilah sentiasa responsif dengan perubahan zaman tetapi perubahan yang dimaksudkan ada kalanya tidak menguntungkan mana-mana pihak kecuali kroni sahaja contohnya isu Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dasar dibuat secara tergesa-gesa akhirnya terpaksa dimansuhkan dengan melibatkan kerugian jutaan ringgit duit rakyat. Dasar-dasar yang lemah inilah yang telah banyak membebankan guru-guru. Akhirnya guru-guru terpaksa membuat semua kerja di sekolah, daripada merangka bentuk pengajaran dan pentadbiran sekolah sehinggalah tugas menghantar pelajar sakit perut balik ke rumah pun menjadi tanggungjawab mereka. 

Peruntukan pendidikan yang telah dipotong oleh kerajaan juga telah membebankan mereka. Ini sudah tentu menambah satu lagi tugas guru iaitu mencari dana sekolah untuk menampung keperluan sekolah. Tanggungjawab seorang guru pada masa kini umpama rojak . Persoalannya, adakah peranan dalam politik yang bakal dibenarkan ini tidak akan menambah beban yang sedia ditanggung ?

 Tugas hakiki sekolah adalah untuk membentuk generasi muda negara menjadi manusia berguna. Ada pun tugas-tugas lain seperti kemasyarakatan, politik, ekonomi adalah tugas sampingan mereka. Maksudnya jika tugas mendidik telah selesai bolehlah mereka menumpukan kepada perkara-perkara lain. Guru-guru Gred DG45 hingga DG 48 adalah guru-guru yang terlibat dengan pentadbiran di sekolah contohnya Ketua Bidang, Penolong Kanan dan Pengetua sendiri. Ini bermaksud tugas guru gred tersebut sudah tersedia berat di sekolah. Jika mereka terlibat dengan politik maka tidak ada pilihan kecuali mereka terpaksa melepaskan tanggungjawab pentadbiran di sekolah. 

Guru-guru yang baik di sekolah akan diberi tanggungjawab besar dalam pentadbiran. Jika mereka telah terlibat dalam politik maka kerja-kerja pentadbiran sekolah terpaksa dikosongkan. Kekosongan ini akan merugikan sekolah, guru-guru, pelajar dan ibu bapa kerana guru yang bekerja dengan penuh dedikasi ini telah memberikan fokus mereka kepada politik. Sungguh pun begitu, barangkali terdapat guru-guru yang sangat baik dari segi pengurusan masa dan tanggungjawabnya. Mereka yang mampu melaksanakan pelbagai kerja dalam satu masa ini mungkin boleh dipertimbangkan untuk berperanan dalam politik. Dalam hal ini adalah lebih elok tahap-tahap penglibatan politik dibuat secara berperingkat seperti berperingkatnya PPSMI dimansuhkan.
Bagi membantu membangunkan masyarakat yang dilanda pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik pada masa kini, guru-guru yang berkualiti ini harus didedahkan kepada sistem sosial masyarakat negara ini secara berperingkat terlebih dahulu. Maksudnya pada tahap pertama ini guru-guru tidak perlu terlibat dalam politik kepartian tetapi cukup kepada mereka terlibat dalam aktiviti NGO dan pentadbiran komuniti di peringkat akar umbi terlebih dahulu. Cadangan ini adalah lebih sesuai dengan baki masa mereka di waktu petang dan malam. Contohnya aktiviti surau, masjid, kuil, gereja, kelab belia, aktiviti kaum ibu, kebajikan kampung, sukan, koperasi dan lain-lain lagi. 

Pengiktirafan yang diterima daripada kerajaan sebelum ini sangat minima sekali. Insentif-insentif yang lebih baik seperti elaun kemasyarakatan perlu di usahakan oleh pihak kerajaan bagi menjayakan agenda ini.
Masalah utama dalam penglibatan parti politik adalah pengurusan masa. Mesyuarat tergempar parti politik boleh dibuat pada jam 12 malam, kerja parti politik boleh berterusan 48 jam tanpa henti, sumbangan orang politik diperlukan tidak kira masa. Isteri yang tidak biasa dengan jadual suaminya berpolitik akan merasakan lebih terseksa daripada bermadu empat. Bayangkan tiga hingga empat hari tidak balik rumah adalah perkara biasa bagi orang politik. 

Orang politik tidak pernah rehat kecuali mati. Ringkasnya jadual mereka sangat sukar untuk disusun. Kalau disusun pun boleh berubah pada bila-bila masa. Oleh itu adalah lebih baik guru-guru ini diberi pendedahan yang semaksimanya dalam aktiviti kemasyarakatan terlebih dahulu sebelum menceburkan diri dalam politik. Adapun mereka yang telah lama terlibat dalam politik, sudah memahami selok belok dalam dunia politik yang dibuat secara senyap-senyap sebelum ini bolehlah diberi peluang dengan kawalan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan. 

Kawalan ini bukan bermaksud jika guru berhaluan UMNO diberi peluang tetapi guru dari PAS, PKR atau DAP tidak diberi peluang. Kawalan yang dimaksudkan adalah kawalan bagi mempastikan prestasi sekolah tidak terjejas akibat daripada penglibatan guru dalam politik. Badan yang benar-benar dihormati dan telus perlu menilai kelayakan seseorang guru tersebut sebelum membenarkannya terlibat dalam politik.
 
Diskriminasi

Walaupun terdapat banyak peraturan yang memandu manusia untuk menjalankan tugas tetapi peraturan ini tidak boleh terlaksana tanpa manusia mengguna pakai peraturan tersebut . Pindaan peraturan yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan ini sangat mudah terdedah kepada diskriminasi, terutamanya melibatkan isu-isu politik. Bayangkan jika ada seorang guru yang cukup berpengaruh di Parlimen Pagoh di mana Menteri Pelajaran menjadi ahli Parlimen di sana. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dilaksanakan guru tersebut sebelum ini sehingga menjadikan beliau sangat berpengaruh di kalangan penduduk setempat. 

Kebetulannya guru tersebut daripada parti pembangkang. Kemudian guru tersebut memohon kepada pihak kementerian untuk terlibat dengan politik. Apabila dinilai dalam borang permohonannya guru ini akan bertanding di Parlimen Pagoh, apakah jaminan permohonannya akan diluluskan oleh kementerian yang secara jelas akan menjejaskan kepentingan ahli Parlimen Pagoh yang juga Menteri Pelajaran. Politik di negara belum diasaskan oleh politik kasih sayang tetapi bergerak di atas balas dendam. Pihak yang di atas akan menindas pihak di bawah. Pihak di bawah pula akan memboikot pihak yang di atas pula. 

Itulah putaran politik dalam negara setakat ini. Sebab itulah politik negara kita masih lagi mundur dibandingkan dengan negara-negara maju. Jika tidak ada diskriminasi terhadap politik kenapa Dato Seri Anwar Ibrahim tidak boleh berceramah dalam kawasan persendirian di Rengit, Batu Pahat? Bukankah Parlimen Batu Pahat diterajui oleh Timbalan Menteri Pendidikan Dato Fuad Zarkasi. Diskrimisasi terhadap royalti petroleum Kelantan, royalti Kerajaan Negeri Terengganu ditukar kepada wang ehsan, guru-guru yang menyokong pembangkang dihantar ke Sabah dan Sarawak, pensyarah PAS di pecat tetapi pensyarah UMNO dibenarkan bertugas dan negeri-negeri daripada Pakatan Rakyat telah ditohmah setiap hari dalam media arus perdana. Itu semua sekelumit contoh diskriminasi daripada pelbagai diskriminasi yang bermaharajarela dalam negara kita.

Apabila seseorang guru telah menjadi orang politik maka pergaulannya telah melepas sempadan tembok sekolah. Maka ramailah kenalannya dalam politik daripada ketua cawangan sampailah Presiden, daripada pegawai kerajaan sampailah menteri. Apa yang dibimbangi, kelak guru yang terlibat dengan politik boleh bersifat “besar kepala” dalam sekolah jika Menteri Pelajaran pun boleh dihubunginya pada jam 1 tengah malam. Maka ini akan menyusahkan pihak pentadbiran sekolah. Politik dalaman sekolah telah menjadi isu besar selepas guru terlibat dalam politik. Isu sebegini sememangnya menjadi masalah kerana budaya pilih kasih, kroni, rasuah dan sifat pentingkan diri sendiri masih berleluasa dalam negara kita. 

Maka akan berlakulah diskriminasi peruntukan sekolah berlaku selepas ini akibat daripada guru yang dibenar politik tidak sehaluan dengan pengetua. Pengetua mahu sekolah maju tetapi malangnya beliau tidak mempunyai hubungan politik yang luas . Guru yang dibenar politik bercita-cita tinggi dalam politik maka isu prestasi sekolah sudah tidak menjadi agenda penting dalam dirinya. Semua masalah ini akan berlaku disebabkan manusia tidak disetuh hatinya dengan agama. Mereka tidak meletakkan agama lebih penting daripada kehidupan dunia yang sementara ini.  

Bagi mengelakkan masalah disriminasi ini maka hendaklah dipastikan politik dalam negara ini kita berteraskan kepada kasih sayang mahu menjaga rakyat dan negara dengan agama. Selagi agenda ini belum berjaya maka selagi itulah masalah politik dalaman sekolah yang telah berlaku dan bertambah buruk selepas guru dibenarkan terlibat secara aktif dalam politik.

Kesimpulannya Kerajaan harus membetulkan matlamatnya untuk memberi kebenaran guru-guru berpolitik. Jika matlamat adalah untuk menyelamatkan UMNO daripada karam dalam pilihanraya ke-13 maka matlamat tersebut telah tersasar daripada landasannya yang sebenar. Jika benar niatnya untuk guru-guru terlibat dalam membentuk masyarakat di akar umbi maka lebih rasional mereka dipandu dengan insentif yang lebih menarik untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi . 

Bagi guru-guru mampu dan cukup memahami selok belok politik maka kebenaran melalui tapisan dan pemantauan yang ketat diperlukan. Ini penting bagi mempastikan institusi pendidikan sekolah tidak terbantut peranannya kerana guru sibuk dalam parti politik. Pendidikan politik sihat perlu dimulakan sekarang. Didik pemimpin dan rakyat menjaga negara dengan penuh kasih sayang berlandaskan agama. Pendidikan ini boleh mengelakkan diskriminasi dan politik dalam sekolah berlaku selepas ini. 

Akhirnya kita sama-sama mempunyai tugas yang besar terhadap agama, bangsa dan negara. Maka bergeraklah dengan bersungguh-sungguh bagi mempastikan rakyat dan negara selamat dunia dan akhirat.
Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat

Wednesday, June 11, 2014

KENDURI KAHWIN ORANG MELAYU?

Bila masa cuti sekolah sahaja, ramai orang mengadakan kenduri. Ini merangkumi kenduri kahwin, bertunang, buai anak atau cucu serta aqiqah. sambutan hari jadi daqn pelbagai lagi. Di sini nak diceritakan sedikit mengenai kenduri kahwin orang Malayu. Ini bukan bernakna semua orang Melayu tapi ramai orang Malayu yang melakukannya.Terdapat dua perkara yang menjadikan majlis atau kenduri kahwin orang Melayu itu tercemar. Pencemaran bunyi sentiasa berlaku apabila adanya majlis atau kenduri kahwin orang Malayu.

1. HIBURAN:-
Kebanyakan kenduri kahwin orang Melayu masa ini mesti ada hiburan. Tak kiralah sama ada menggunakan DJ atau tidak. Apa yang sering berlaku, bunyi bingit pembesar suara pasti berlaku. Mengapa perlu pembesar suara itu diletakkan suaranya sehingga ketahap yang maksima? Yang menjadi persoalan, tidakkah DJ yang mengendalikannya terfikir tetamu yang datang bukan semua yang suka bunyi yang bingit sedemikian.

Di majlis kenduri kahwin inilah masa yang agak sesuai untuk bertemu sanak saudara dekat dan jauh. Juga pertemuan yang tidak dirancang bagi kawan-kawan lama. Sambil menikmati hidangan pastinya mereka ini akan bersembang. Menceritakan kisah-kisah lampau atau pun kisah-kisah yang mendatang. Bunyi bingit dari pembesar suara itu akan menganggu perbualan mereka. Adalah memadai pembesar suara itu disederhanakan bunyinya.

Begitu juga kalau ada yang berkaraoke. Pastinya akan terjerit-jerit dengan lagu-lagu rock. Bukan tak boleh menyanyikan lagu seperti itu, tapi rendahkan suara pada pembesar suara itu. Situasi ini bukan sahaja boleh menganggu tetamu-tetamu yang datang malahan menganggui jiran-jiran sebelah rumah yang mengadakan kenduri tersebut. Bayangkan bagaimana pencemaran bunyi berlaku dari awal pagi hingga ke awal malam. Kekadang pula ada hingga jauh malam dengan persembahan kugiran dan joget lambak.

Waktu malam akan berkumpullah orang-orang muda di halaman rumah kenduri untuk bersama menikmati hiburan. Mereka bukan sahaja menunggu persembahan kugiran malahan mereka ingin turut sama berjoget lambak. Percampuran lelaki dan perempuan akan berlaku. Situasi begini semakin rancak dilakukan pada masa kini. Kenduri kahwin seolah-olah dilakukan pada awal tahun 60'an dahulu.

2. BUNYI LETUPAN:-
Mengapa bila ada kenduri kahwin orang Melayu mesti ada bunyi-bunyi letupan? Bunyi letupan ini biasanya dari letupan senapang patah atau mercun. Malahan dewasa ini ada peranan meriam buluh atau meriam tanah untuk menghasilkan bunyi letupan. Yang paling ketara apabila bunyi letupan itu berhampiran dengan tetamu yang sedang menikmati makanan. Tidak terfikirkah ada tetamu yang berusia yang sensitif dengan bunyi-bunyi letupan sebegitu?

Ada diperhatikan situasi begini menyebabkan tetamu meninggalkan majlis dengan meninggalkan hidang walaupun baru mula hendak menikmati makanan tersebut. Ada juga tetamu yang hampir histeria akibat bunyi letupan yang berlaku di majlis-majlis kenduri kahwin orang Melayu. Yang membakar mercun atau bermain meriam itu bukan sahaja dari kalangan orang muda tetapi ada juga orang dewasa yang melakukannya. Mereka akan gelak dan ketawa apabila melihat tetamu-tetamu yang sensitif dengan bunyi letupan tersebut. Ketawa akan bertambah rancak apabila ada tetamu yang melatah.

*** Mengapa tidak kita jadikan majlis atau kenduri kahwin orang Melayu ini dengan selesa? Jadikan majlis dengan suasana yang tenang. Aman dan damai. Jadikan tetamu berada dalam sutuasi yang selesa dan gembira ketika berada di majlis atau kenduri kahwin.

Wednesday, June 4, 2014

BERFACEBOOK HENDAK PAHALA KE DOSA?

Kalau kita ada facebook, kita akan dapat menghubung kawan kita dengan mudah. Yang penting kawan-kawan kita meng'add'kan kita sebagai 'friend' dalam facebook itu. Hubungan atau komunikasi tidak lagi gunakan sms handphone. Kalau ada internet kat rumah atau kat mana-mana kita boleh melayani facebook. Banyak "restoren" di mana-mana menyediakan "wifi" secara percuma. Cuma kita minta "password" untuk kemudahan kita ber"internet".

Ramai sungguh manusia yang ada akaun facebook ini. Kadang-kadang kita boleh menjumpai kawan-kawan lama. Sungguh gembira bila kita dapat menghubungi kawan yang lama berpisah. Ada yang sudah lebih 30 tahun baru berjumpa melalui facebook. Kalau seorang guru, boleh mencari bekas muridnya melalui facebook. Komunikasi yang dilakukan terlalu mudah. Yang jauh dirapatkan dan yang dekat dimesrakan. Jalinan mesra dan silaturahim dapat dijalinkan melalui facebook.

Dalam kita berfacebook itu kemungkinan terlupa untuk mengawal diri kita. Kita berkemungkinan akan melakukan perkara-perkara yang boleh menjadi pemusnah kepada diri kita. Ini secara sedar atau pun tidak sedar. Itu sebabnya apabila kita berfacebook, kita perlu mengambil yang positif dan wajar sekali kita meninggalkan yang negatif. Apabila kira di"provok"kan dengan berita sensasi yang tidak kita yakini wajar kita meninggalkannya.

Terdapat tujuh pemusnah yang merupakan dosa-dosa besar. Apakah diri kita semakin menjauhi atau semakin menghampiri dosa-dosa besar itu? Apabila kita berfacebook, cuba kita elakkan dari melakukan perkara-perkara yang menjadikan kita berdosa besar iatu dengan melakukan tujuh pemusnah kepada diri kita. Dalam Islam, adalah terlalu mudah kita mendapat dosa dan juga terlalu mudah kita mendapat pahala. Fikirlah kemanakah hendak kita letakkan diri kita apabila berfacebook.

1. SYIRIK:-
Banyak perkara yang menjurus kita melakukan "syirik" apabila kita berfacebook. Cerita-cerita mistik yang dipaparkan melalui facebook. Gambar yang pelik-pelik akan menjadikan kita teruja yang menyebabkan keyakinan kepada perkara-perkara tersebut mendalam dalam diri. Begitu juga seandainya kita begitu teruja dengan "numerologi" terutama yang berkaitan dengan kajian tarikh lahir. Begitu percaya dengan perkara yang tidak logik atau saintifik.

2. SIHIR:-
Bermacam iklan terdapat dalam facebook. Seseorang yang sedang mengalami sakit akan mudah menerima iklan-iklan berkenaan terutama yang berkaitan dengan bomoh. Mereka yang sakit lama atau tidak akan berfikir untuk berubat dengan bomoh. Bagi mereka yang tidak sakit pula ramai yang cdenderung ke arah mencari ayat-ayat pengasih, ayat pelaris dan sebagainya. Banyak kedai makan atau restoran telah menyalahgunakan ayat-ayat quran demi perniagaan mereka. Terdapat juga pelbagai iklan yang berkaitan dengan "ubat kuat" yang mudah dipercayai oleh mereka yang menyangkakan mereka itu telah lemah tenaga batin.
bersambung..........

Monday, June 2, 2014

UNIVERSITI TELUK MAK INTAN

Aku berkira-kira yang PHD akan diperolehi pada hujung tahun ini 2014. Kalau nak dikirakan memang lambat aku dianugerahkan PHD tersebut sebab kalau sampai hujung tahun ini 2014 bermakna lebih lima tahun aku bertungkus lumus nak dapat sekeping sijil tersebut. Itu pun kalau boleh tunggu sampai hujung tahun ini, 2014. Bermakna ada lebih enam bulan lagi aku akan tertulis perkataan "Dr." diawal nama aku. Macam tak percaya je aku. Itulah pejam celik, pejam celik sudah nak habis pengajian aku. Alhamdulillah. Semoga berjaya. Inilah orang kata berkat dari kesabaran. Kalau tak sabar sudah lama aku cabut lari dan mungkin hanya sekadar "master" je (sarjana le tuh).

Fikir punya fikir, aku nak berubah angin lah pulak. Kalau sekarang aku mengajar di sekolah dan digelar "cikgu", apa kata aku memohon jawatan "pensyarah" yang aku dengar banyak universiti yang hendak didirikan oleh kerajaan. Di Perak ini sudah ada Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dulunya dipanggil Institut Teknologi MARA (ITM). Sudah ada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dulunya Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) menghasil keseluruhannya manusia yang dipanggil "cikgu". Bila sudah naik taraf jadi universiti, ramai graduannya yang masih menganggur. Kesihan, asalnya nak sangat jadi cikgu, itulah mohon belajar di UPSI.

Masa inilah perlu berfikir. Kalau aku mohon UiTM, tentunya akan bertugas di Sri Iskandar. Kalau mohon UPSI pastinya akan bertugas di Proton City. Itu pun kalau nak berkhidmat dalam negeri Perak. Kalau nak keluar dari Perak juga boleh. Kalau keluar dari Perak umpamanya di Pulau Pinang terkenal dengan Universiti Sains Malaysia (USM). Aku tulis tiga-tiga universiti ini bukan apa, sebab aku pernah menuntut ilmu di situ, UiTM, masa aku dulu ITM di Sri Manjung. USM memang terkenal dengan universiti dalam taman dan UPSI di Tanjung Malim. UiTM di Sri Iskandar aku tak sempat belajar. Begitu juga UPSI di Proton City.

Kalau aku tunggu selesai PHD aku, mungkin aku boleh mohon jadi pensyarah di sebuah universiti yang baru di Perak. Tempat pun memang menarik dan aku pun pernah berkhidmat di daerah ini selama lima tahun. Teluk Intan seakan-akan mengamit aku datang. Kalau dulu aku datang dan memberi perkhidmatan aku semasa masih bujang, kali ini kalau diizinkan Allah aku datang bersama keluarga aku. Sekurang-kurangnya bersama isteri aku kerana maklumlah anak-anak pun sudah besar akan membawa haluan masing-masing. Itu terpulang kepada mereka. Mereka akan berkeluarga dan pastinya akan menetap ikut pilihan mereka.

Teluk Intan adalah berasal dari nama Telok Anson. Sebelum itu memang dikenali dengan nama Telok Mak Intan. Siapa Mak Intan itu? Sama-sama kita cari. Menara Condong adalah sinonim dengan Teluk Intan. Sekarang Teluk Intan jauh berubah apabila dibandingkan dengan masa aku mula-mula sampai di Teluk Intan. Namanya pun masa itu masih dengan nama Telok Anson. Masa itu, penyanyi terkenal Jamal Abdilah mula popular setelah menjuarai pertandingan "Bintang RTM" (Kalau aku tidak silap). Aku pasal penyanyi ini memangnya kurang arif.

Bila Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, kerajaan Barisan Nasional berjanji akan membina sebuah universiti di Teluk Intan. Seronoklah orang Teluk Intan. Kalau dilihat pada lokasi yang sesuai, memang sesuai di ladang-ladang yang begitu luas di Teluk Intan. Lihat sahaja pembinaan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) yang berdiri di tengah-tengah ladang kelapa sawit yang dikira agak jauh juga dengan bandar Teluk Intan. Bagaimana pun masih ada nama Teluk Intan pada nama universiti yang bakal didirikan melalui kempen PRK Teluk Intan.

Tuesday, May 20, 2014

SOLAT JUMAAT DI MASJID NABAWI

HARI KE 7/28 MAC 2014 (JUMAAT):-
Badan masih letih, namun digagahi juga untuk solat Subuh berjemaah di Masjid Nabawi. Setelah solat Subuh, beredar ke hotel untuk merehatkan diri sementara menunggu solat Jumaat. Isteri pula berpeluang menunaikan solat Jumaat untuk kali kedua setelah melakukannya kali pertama semasa menunaikan iabadah Haji pada tahun 2005. Anak-anak begitu teruja ketika berada di Madinah sama seperti semasa mereka berada di Mekah.

 Masjid Nabawi 

Masuk awal ke Masjid Nabawi kerana kebiasaannya solat Jumaat jemaahnya akan melempah ruah sehingga ke luar masjid. Masuk awal kerana ingin menempatkan diri di barisan hadapan terutama kawasan Raudah atau pun di luar kawasannya. Meskipun ada jemaah yang terpaksa  solat Jumaat di luar masjid namun, keseluruhan kawasan luar masjid Nabawi telah siap dibina payung yang boleh menutup seluruh kawasan luar masjid dari cahaya matahari.
Payung di luar Masjid Nabawi
 
HARI KE 8/29 MAC 2014 (SABTU):-
Selepas sarapan pagi, kami dibawa melawat tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah. Antara tempat yang dilawati ialah Majid Quba, Masjid Qiblatian (Masjid Dua Kiblat), Jabal Uhud yang pernah berlaku peperangan Uhud dan kebun kurma. Lawatan berjalan lancar dan selesa kerana kumpulan kami cuma ada tujuh orang jemaah yang dipandu oleh Haji Wahyu (Mutawif) dan Haji Syukur (Pengurus Suka Jaya Travel & Tours Sdn. Bhd.).

Gambar Masjid Quba, Madinah
 Masjid Quba

Masjid Quba adalah masjid yang pertama didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu semasa hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Madinah. Manakala Masjid Qiblatain iaitu dikenali juga dengan nama Masjid Dua Kiblat. Peristiwa ini berlaku semasa Nabi Muhammad s.a.w. sedang solat, pada rakaat pertama dan kedua, baginda s.a.w. mengadap ke arah Masjidil-Aqsa di Juruselam, manakala pada rakaat ketiga dan keempat mengadap ke arah Masjidil-Haram di Mekah iaitu setelah mendapat wahyu dari Ilahi.

Masjid Qiblatain

HARI KE 9/30 MAC 2014 (AHAD):-
Kami diminta bersiap sedia untuk berangkat pulang ke Tanah Air. Selepas solat Subuh, kami mengemaskan semua pakaian ke dalam beg dan disusun setempat agar memudahkan kami membawa turun dari bilik hotel. Kami menunaikan solat Zohor di Masjid Nabawi. Selesai solat Zohor, kami melakukan Ziarah Wida' ke Makam Rasulullah sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Jeddah.

Masjid Hudud

Sampai di Jeddah, kami sempat dibawa melawat Masjid Terapung. Masjid ini dibina di tepi Laut Merah. Ia kelihatan terapung apabila air pasang berlaku di Laut Merah. Disamping itu, kami juga dapat melawat Masjid Hudud. Di masjid inilah hukuman pancung dijalankan. Masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid Qisas. Masjid ini sebenarnya telah didirikan oleh Syeikh Ibrahim Al-Juffali iaitu orang kaya di Saudi. Jadi, masjid ini juga diberi nama Masjid Syeikh Al-Juffali.

 Tempat hukuman pancung

HARI KE 10/31 MAC 2014 (ISNIN):-
Kami berlepas dari Lapangan Terbang Jeddah melalui penerbangan Qatar iaitu QR1185. Kami singgah sebentar di Doha sebelum meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur dengan QR846. Penerbangan Qatar boleh dianggap selesa dan memuaskan penerbangan kami. Kami selamat sampai di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) pada jam 12.30 pagi. Bas sudah sedia untuk membawa kami pulang ke rumah.

... Aziz, Jeddah, kami dibawa ke Masjid Terapung di Laut Merah Jeddah
 Masjid Terapung di Laut Merah

HARI KE11/1 APRIL 2014 (SABTU):-
Sampai di rumah pada jam 4.30 pagi. Sekali lagi terima kasih kepada adinda Mohd. Isa, adinda Khodijah (isteri adinda Mohd. Isa), anak mereka Mohd. Faiz dan Anakanda Mior Nasuha (anak kekanda Hasiah) yang sudi menunggu di R&R Simpang Pulai untuk membawa kami empat beranak pulang ke rumah. Alhamdulillah, kami selamat sampai di rumah setelah selesai menunaikan ibadah umrah.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.