Monday, November 30, 2009

KREATIF DAN INOVATIF








AKU MENCARI TIDURKU

Sudah beberapa hari Juha tidak boleh tidur malam maka pada suatu malam oleh kerana terlau marah dia pun keluar rumah berjalan-jalan di kawasan kampung seakan-akan mencari sesuatu. Tiba-tiba orang kampung yang berkawal di malam hari telah bertembung dengan Juha seraya bertanya: "Wahai Juha, apa yang kamu buat ni?".

Jawab Juha: "Aku sedang mencari sesuatu."

Mereka hairan lalu bertanya lagi: "Apa yang kamu cari di malam-malam buta begini?".

Jawab Juha tenang: "Sebenarnya sudah beberapa malam aku tidak boleh tidur, Sedarlah aku bahawa tidurku telah melarikan diri. Jadi aku sedang mencari-carinya sekarang ini minta dia pulang semula kepadaku."

ADAT RESAM KAUM-KAUM DI MALAYSIA

ADAT RESAM KAUM INDIA
Masyarakat India khususnya Tamil mengikuti resam adat agama Hindu meskipun ramai orang India yang beragama lain. Seperti kaum-kaum lain di Malaysia mereka juga menerima kunjungan dari jiran tetangga. Membawa buah tangan amatlah digalakkan sebagai tanda terima kasih kepada tuan rumah. Masuklah ke rumah mereka dengan kaki kanan dahulu.

Mereka menyapa dengan sebutan "vanakam" dan sentiasa bertanyakan tentang kesihatan, kerja, perniagaan atau sebagainya. tetamu sentiasa dijamu minuman atau makanan dan tetamu mesti sudi menerima hidangan dengan baik sebagai tanda hormat kepada tuan rumah. Jika menerima sesuatu, elok digunakan tangan kanan sebagai tanda kebaikan dan kesyukuran.

Keluarga amat penting dalam masyarakat Tamil. Meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah paling dihormati yang dianggap mulia. "Ibu adalah umpama Tuhan" dan anak perempuan pun dipanggil "amma" seperti seorang ibu. Demikian itu penjagaan anak perempuan amat diperhatikan terutama ketika dara.

Seorang suami pula adalah "Tuhan bagi isterinya" dan mesti sentiasa dihormati. Oleh itu proses perkahwinan ditentukan oleh seorang ketua agama yang membuat tilikan masa bertuah serta raksi pasangan berkahwin. Masa yang bertuah amatlah penting bagi segala acara dan upacara untuk mengelakkan berlakunya mala petaka ataupun nasib buruk. Untuk mengelakkan dari keadaan buruk maka biasanya perkahwinan dilakukan pada waktu tengah malam atau matahari akan naik.

Upacara perkahwinan dilakukan di rumah pengantin perempuan ataupun di kuil oleh seorang ketua agama. Pada satu kawasan empat segi di kuil itu, sami akan menyalakan api dan menyembah Tuhan untuk menyaksikan perkahwinan itu.

Seorang bayi adalah acara penting keluarga dan masyarakat. Semua saudara mara dimaklumkan apabila lahir seorang bayi. Selama 16 hari selepas lahir keluarga tidak boleh melakukan sebarang upacara agama. Pada hari ke 16 upacara penting diadakan untuk menamakan anak. Rumah akan dihiasi cantik, buaian dihiasi dan jiran-jiran dijemput bersama meraikannya.

Nama seorang anak didapati dari almanak Hindu mengikut bintang dan hari kelahirannya. Seorang ketua agama akan ditanyakan untuk mencari nama bertuah itu mengikut aksara bintangnya. Ketika menamakan, bayi itu dipangku oleh orang tua satu persatu sambil menyanyikan doa agama oleh kaum wanita. Selepas itu, saudara mara yang hadir akan memberinya gelang untuk dipakaikan sebagai tanda selamat. Pada hari ke 30, bayi itu dibawa ke kuil dan upacara diadakan dengan doa selamat.

Terdapat banyak perayaan di kalangan orang Tamil. Di sepanjang tahun, mengikut kalendar Hindu mereka mengadakan pelbagai upacara bersembahyang berkaitan musim dan perubahan tahun seperti di negeri India. Masyarakat Hindu sembahyang tiga kali sehari, pagi, tengah hari dan petang di tempat tertentu di rumah. Mereka juga pergi ke kuil untuk bersembahyang ataupun mengadakan upacara agama.

Perayaan Hindu adalah mengikut peredaran bulan dan setiap bulan ditandakan oleh bulan mengembang dan menirus. Sebanyak 21 jenis perayaan yang dilakukan termasuklah yang penting seperti "Thaiponggal", "Thaipusam" dan "Deepavali".

Thaiponggal merupakan perayaan menuai dan "masak padi baru" serta "memuja semangat padi". Ia adalah masa yang amat bertuah untuk mengadakan perkahwinan dan upacara lain. Rumah dibersihkan dan dihiasi serta "ponggal" (beras baru) dimasak di dalam periuk baru untuk dipersembahkan kepada Dewa Matahari dan juga disedekahkan kepada jiran tetangga.

Thaipusam adalah perayaan bulan "Thai" untuk membersihkan diri dengan menggunakan susu, madu dan bunga di kuil dengan persembahan kepada dewa Subramaniam. Pada masa ini dibawa "kavadi" yang berisi buah-buahan, susu dan pelbagai persembahan.

Deepavali ialah "perayaan cahaya" sebagai tanda kejayaan "cahaya" ke atas "gelap" atau "ilmu" ke atas "kejahilan" atau pun "keadilan" mengatasi "kezaliman". inilah perayaan paling utama orang Hindu dan sembahyang diadakan terutama doa arwah. Lampu dinyalakan pada pagi hari, makan dihidang di atas daun pisang dan sebiji kelapa dibelah. Ketua keluargamengusap kepala anggota keluarga dengan minyak dan kemudian mereka mandi untuk menyucikan diri dan berdoa. kemudian barulah mereka saling berjunjung ke rumah jiran-jiran dan beraya.

PANDUAN MUSAFIR

PERMULAAN DAN TEMPOH MUSAFIR
Syarat-syarat permulaan dan berakhirnya musafir hendaklah dikira mengikut ketetapan berikut:-

1. Perjalanan bermulanya musafir dikira dari perbatasan kampung atau taman perumahan tempat tinggalnya. Jika ia tinggal di kota atau bandar maka dikira dari sempadan atau perbatasan kota tersebut. Contohnya, jika ia tinggal di Kuala Lumpur, maka dikira sempadannya adalah dari sempadan Wilayah Persekutuan. Kalau ia tinggal di Ipoh, dikira daripada sempadan Bandar Ipoh. Begitulah seterusnya. Jika ia tinggal di kawasan yang tiada jalan besar atau pun tiada tanda persempadanan maka permulaan musafirnya akan dikira setelah ia melepasi akhir kawasan perumahan kampung tersebut.

2. Sepanjang perjalanan sehingga sampai ke destinasi yang jaraknya dua marhalah adalah dikira di dalam musafir dan harus mengerjakan solat qasar atau jamak.

3. Tempoh yang diharuskan seseorang musafir itu harus mengerjakan solat musafir apabila sampai destinasi yang dituju adalah tidak melebihi tiga hari penuh (tidak termasuk hari ketibaan dan hari berangkat pulang). Tetapi, setelah tiga hari sekiranya ia mengubah fikiran untuk terus tinggal di situ maka tiada lagi kelonggaran untuk menunaikan solat qasar atau jamak.

BERAKHIRNYA TEMPOH MUSAFIR
Seseorang yang musafir akan dikira tamat tempoh musafirnya yang mengharuskan solat jamak atau qasar di dalam keadaan-keadaan berikut:-
1. Apabila ia kembali ke tempat asalnya atau tempat tinggalnya yang tetap

2. Apabila orang yang bermusafir itu berniat untuk bermukim atau tinggal tetap di destinasi yang ditujui.

3. Apabila orang yang bermusafir telah berada di suatu tempat melebihi daripada tiga hari (selain daripada hari ketibaan). Dalam hal ini apabila seseorang yang musafir berniat hendak tinggal menetap di suatu tempat selama empat hari selain hari ketibaan, ia dikira telah menjadi seorang yang bermukim atau tinggal menetap, maka terputuslah tempoh musafirnya dan hilanglah kemudahan untuk mengerjakan solat qasar atau jamak.

Sunday, November 29, 2009

JADI SIAPAKAH AKU INI?

Pada suatu hari Juha telah bermusafir ke sebuah kampung yang jauh dari kampungnya. Maka dia telah menampal di belakang bajunya satu tanda supaya dengan tujuan kalau dia hilang atau sesat, senanglah orang akan mencarinya.

Setelah agak lama dia berjalan-jalan di kampung tersebut, dia pun duduk berehat sebentar di bawah sepohon pokok hingga dia terlena seketika. Sedang dia tertidur itu tanpa disedarinya seorang lelaki telah menghampirinya lalu mengambil perlahan-lahan tanda di belakang baju Juha lalu lelaki tersebut pun menampalkan di belakang bajunya.

Tidak lama kemudian Juha pun terjaga dari tidurnya dan kebetulan lelaki tadi berjalan di depan Juha. Juha pun terlihat tanda pada belakang baju lelaki tersebut. Sedarlah dia bahawa tanda tersebut adalah tanda yang telah ditampalkan di belakang bajunya. Tanpa memeriksa terlebih dahulu terus Juha berkata dalam keadaan baru bangun dari tidur: "Eh! Lelaki itu adalah aku, jadi siapakah aku ini?

KORBAN

Melalui Kamus Dewan, KORBAN memberi maksud persembahan kepada Tuhan seperti binatang yang disembelih pada hari yang tertentu. Sehubungan itu, hari-hari yang disunatkan untuk menyembelih korban ialah pada hari raya dan seterusnya tiga hari yang berikutnya. Hari raya tersebut dinamakan Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji. Dalam pemahaman penganut agama-agama selain Islam ada juga yang melakukan KORBAN sebagai persembahan kepada dewa-dewa kepercayaan mereka.

Melalui perkataan KORBAN tersebut kita boleh menambahkan imbuhan. Imbuhan tersebut boleh ditambah di pangkal perkataan mahu pun di hujung perkataan. Melalui penambahan imbuhan ini, maka akan lahirlah pelbagai perkataan yang memberi maksud yang berlainan dari perkataan KORBAN. Bagaimana pun apabila diberi penambahan imbuhan perkataan, abjad-abjad yang terkandung pada perkataan KORBAN itu ada yang bertukar. Umpamanya abjad K ditukarkan dengan abjad G.

1. BerKORBAN
2. TerKORBAN
3. DiKORBANkan
4. MenGORBANkan
5. PenGORBANan
6. QURBANi (K digantikan dengan Q dan diberi imbuhan i di akhir perkataan asalnya, maka terlahirlah sebuah filem Hindustan yang menjadi kegilaan pada masa itu - hahahehehihihohohuhu ketawalah lagi).

Untuk melakukan KORBAN sewajarnya kita berKORBAN yang mana itu adalah satu penGORBANan yang mengakibatkan nyawa terKORBAN apabila kita menGORBANkan binatang ternakan kita yang diKORBANkan itu.

Saturday, November 28, 2009

ADAT RESAM KAUM-KAUM DI MALAYSIA

ADAT RESAM KAUM CINA
Adat resam orang Cina terdiri dari pelbagai kepercayaan tentang alam dan campuran falsafah serta etika dari ahli-ahli fikir zaman kuno serta agama Buddha. Oleh kerana itu mereka kelihatan menyembah pelbagai ciri alam dari pagi hingga malam iaitu mengikut perubahan musim dan pelbagai kuasa tertentu.

Tanpa kepercayaan khusus tentang Tuhan maka keluarga dan negara menjadi tumpuan pemujaan mereka. Dalam keluarga, roh nenek moyang menjadi tumpuan pemujaan. Ia ditandakan oleh sekeping "Papan Peringatan" (tablet) yang dicatatkan nama keturunannya. Papan ini merupakan tumpuan penyembahan keluarga dan diletakkan di ruang tamu rumah untuk semua keluarga. Setelah beberapa generasi papan ini disimpan di rumah klen (huay kuan) ataupun di rumah tokong.

Hubungan antara ahli keluarga terutama antara suami dan isteri, bapa dan anak lelaki, antara adik beradik lelaki, dengan ketua negara dan antara sahabat amatlah penting. Oleh itu, mereka amat menghormati orang tua yang dipandang sebagai mempunyai kebijaksanaan.

Lebih luas dari keluarga ialah persatuan perdagangan dan juga klen yang memuja seorang leluhur atau moyang yang sama. Oleh kerana klen itu amat penting maka di kalangan orang Cina terdapat nama keluarga. Secara tradisi terdapat nama keluarga dan diturunkan melalui anak lelaki. Anak lelaki juga mewarisi harta dari bapanya.

Kepentingan meneruskan keluarga menyebabkan perkahwinan seorang lelaki adalah amat penting. Secara tradisi perkahwinan mengikut beberapa upacara yang bermula dengan merisik oleh seorang perantara hinggalah perkahwinan. Sekarang ini hanya pendaftaran menurut undang-undang saja yang diperlukan dan keraian yang mewah di restoran.

Kelahiran anak mengikuti beberapa adat pentang larang untuk menjaga kesihatan si ibu dan kandungan. Dia digalakkan tidur dan makan dengan baik, membaca buku yang baik dan melihat benda-benda yang cantik. Waktu kelahiran anak itu dibersihkan dan dibedung. Pada hari ke 29 anak itu dicukur dan rambutnya dibungkus dengan kain merah dan digantung dekat bantalnya selama 100 hari dan kemudiannya dibuang ke dalam sungai. Dia diharap akan berani pada masa hayatnya. Setelah sebulan upacara "Bulan Penuh" akan diadakan dengan meriah. Ulang tahun kelahirannya tidak diperingati kecuali oleh anaknya pada waktu tua secara besar-besaran.

Kematian adalah upacara yang amat berharga dan mahal bagi anak-anak. Keranda yang baik, tanah kuburan yang baik dan pakaian kematian yang bagus memerlukan belanja yang besar, Inilah hadiah terbaik anak kepada ibu bapanya. Jika tidak mampu, masyarakat akan pasti membantu.

Anak lelaki yang tua memainkan peranan utama memastikan upacara mandi, memberi makan, kafan dan memasukkan ke dalam keranda seperti yang dinasihatkan oleh seorang tukang tilik. Keranda dijaga hingga beberapa hari tertentu untuk lawatan dan sembahyang dan dikebumikan pada satu hari ganjil.

Upacara pengkebumian adalah acara yang amat meriah denganperaturan tertentu. Selepas pengkebumian diadakan pelbagai upacara lain terutama pembakaran colok dan alatan diperbuat dari kertas sebagai bekalan hidup di akhirat. Oleh itu banyak kepercayaan dan pantang larang yang mesti diperhatikan berkaitan kematian.

Sepanjang tahun banyak sekali perayaan yang diikuti oleh orang Cina. Setiap bulan ada saja kegiatan dan upacara serta dewanya untuk dipuja. Adat resam mereka amatlah banyak dan dilakukan mengikut perubahan "musim" terutama musim pertanian dan iklim seperti di negara China.

LIHAT! BETAPA LAJUNYA DIA LARI

Pada suatu hari, Juha telah pergi melawat ke sebuah bengkel untuk memperbaiki sampan serta kapal yang rosak. Dia pun melihat mereka menyalakan api yang besar lalu dia bertanya: "Untuk apa pula api yang besar itu?". Jawab mereka: "Bila selesai baiki kapal nanti, kami akan masak minyak hitam lalu kami akan sapukannya pada dinding kapal supaya kapal dapat belayar dengan laju di lautan nanti." Sebenarnya mereka mahu mempermainkan Juha.

Maka Juha pun pulanglah ke rumah. Pada keesokan harinya dia pun membawa keldainya ke dalam kandang untuk diganti ladamnya. Setelah menggantikan ladam keldai dia pun mengikat keldainya ke satu tiang lalu dia menyalakan api yang agak besar betul-betul di hadapan keldainya itu. Tujuannya ialah untuk berbuar seperti apa yang telah mereka perkatakan semalam di bengkel memperbaiki kapal.

Bilamana keldainya melihat api yang besar dan menjulang-julang tingginya, keldai itu berasa ketakutan terus dia meronta-ronta disentapkan tali yang mengikat. Bila terlepas sahaja, keldai itu pun lari lintang pukang melarikan diri. Begitu laju sekali keldai itu berlari hinga Juha tidak sempat untuk menangkapnya. Lantas dengan suara terkejut Juha pun berkata: "Lihat! Betapa lajunya dia berlari sekelip mata sudah hilang dari penglihatanku. Ini tak sapu minyak lagi kalau sudah sapu, pasti dia boleh berlari lebih laju dari itu."

VOLKSWAGEN - COMELNYA

FOUR SEASONS AND THE CHANGES.......

The following pics are of the same place but taken under different seasons!!

Friday, November 27, 2009

MULA BELAJAR PADA BULAN YANG KEDUA

Pada suatu hari, Juha mendengar ada seorang muda yang bermain muzik dengan amat bagus. Walaupun Juha sudah berumur hampir setengah abad, apabila mendengar berita itu, timbul juga niatnya untuk bermain muzik.
"Aku akan belajar main muzik juga," katanya.
Keesokan harinya Juha pergi ke bandar dan menemui guru muzik yang handal.
"Tuan, saya ingin belajar muzik, berapa bayarannya?"
Guru muzik itu sejenak melihatnya dan menjawab: "Murid-muridku membayar seratus ringgit untuk bulan pertama dan kemudian untuk tiap bulan berikutnya membayar lima puluh ringgit."
Juha berfikir sejenak dan kemudian berkata: "Baiklah, saya akan mulai belajar pada bulan yang kedua sahaja."

BTN TUH APER KER MENDENYER

Seingat-ingat teman, teman dah kene kursus anjuran BTN dah manyak kali. Kat sini bior ler teman senaraikan kursus-kursus yang peronah teman pegi:-
Kursus BTN di Janda Baik, Pahang Darul Makmur
(3 kali)
Kursus BTN di Ampang Pecah, Kuala Kubu Baharu, Selangor Darul Ehsan
(3 kali)
Kursus BTN di Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus
(1 kali)
Kursus BTN di Lumut, Perak Darul Ridzuan
(1 kali)
Kursus BTN di Pulau Langkawi, Kedah Darul Aman
(1 kali)
Kursus BTN di Segari, Perak Darul Ridzuan
(1 kali)
Mengkome kire ler dah braper kali teman kene pegi kursus anjuran BTN nih. Dalam manyak-manyak kursus yang teman kene pegi tuh cume ade satu ajer sijil yang deme bagi. Yang lain tuh abok pun tak payah. Bile tak ada sijil bermakna teman pegi kursus tuh tak ade rekod ler namenyer. Teman fikio-fikio, tuh ler sebabnyer manyak kali teman kene pegi kursus anjuran BTN tuh.
Tup! tup! tup! Teman dapat sorat lagi yang nyuruh teman pegi kursus BTN. Sekali lagi teman kene kursus BTN kat Langkawi, Kedah Darul Aman. Ape ke mendenyer. Tuh ler mengkome. Le nih jaman ICT mengkome oiii. Bukan baru nih dah lame dah ICT berkembang kat Melesia nih. Tak kan tak ader kepakaran kat BTN tuh. Teman dengor hebat-hebat belaka. Baik pengarahnyer mahupun kepada fasilitatornyer atau instrukturnya, memang hebat-hebat belaka.
Kat sini teman nak tanye kat sape-sape yang nak jawab. Yang tak nak jawab, boleh bace ajer dan tak payah ler jawab. Soalan teman:-
"bebeno ker kursus anjuran BTN nih bukan motif politik?
mengkome tanya le teman sebab dah 10 X teman pegi!
hahahehehihihhohohuhu............ ketawe le lagi

MESIN PENGIRA ANTIK


Thursday, November 26, 2009

PENDIDIKAN BERKUALITI - SATU PANDANGAN

UNSUR-UNSUR KUALITI DALAM PENDIDIKAN
Dilihat secara menyeluruh terdapat tiga unsur dalam pendidikan berkualiti:-
1. Kualiti tenaga manusia (guru)
2. Kualiti proses (pengajaran dan pembelajaran)
Kualiti hasil (manusia yang dikeluarkan)
Ketiga-tiga unsur inilah yang boleh mencerminkan pendidikan berkualiti. Ia bermula dengan guru yang baik. Diikuti oleh proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan diakhiri oleh keluaran yang bermutu tinggi.
Guru yang berkualiti ialah guru yang pertamanya bersikap profesional, yang mahir dalam hal-hal perguruan, tahu tentang teori dan praktiknya, tahu tentang pengajaran dan pembelajaran, peka terhadap perkembangan pendidikan, mengikuti perkembangan ilmu dan patuh kepada tatasusila profesion perguruan. Secara amnya, guru berkualiti ialah guru yang dedikasi, komited, bertanggungjawab dan sanggup berkorban. Guru itu diibarat sebagai lilin yang membakar dirinya untuk menerangi orang lain.
Proses pendidikan yang berkualiti pula ialah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Ini bermakna apa yang diajar oleh guru dapat diterima dan dihayati oleh murid. Proses yang berkualiti ini dapat digambarkan dengan suatun keadaan di mana pengajaran dan pembelajaran, baik dalam kurikulum mahu pun kokurikulum, berjalan dengan licin dalam sesebuah institusi pendidikan.
Hasil yang berkualiti bermaksud manusia yang pintar yang keluar dari sesuatu institusi pendidikan setelah dididik oleh guru dalam suatu proses pengajaran dan pembelajaran.
Jadi dapat dilihat ketiga-tiga unsur kualiti yang tersebut mencerminkan pendidikan berkualiti. Unsur kualiti tenaga manusia dan unsur kualiti proses membantu ke arah menghasilkan kualiti keluaran. Kalau guru baik dan pengajaran dan pembelajaran berkesan, hasilnya biasanya adalah baik. Begitulah sebaliknya. Namun seperti yang dinyatakan pada awal-awal lagi ukuran terakhir ialah hasil keluaran. Kalau keluaran baik, maka pendidikan disifatkan sebagai berkualiti.
Melihat kepada ciri-ciri, kriteria dan realiti yang ada, maka satu soalan akan timbul.
Apakah pendidikan sekarang berkualiti?
Jawapan yang tegas, "YA" atau "TIDAK" sangat sukar diberi. Ia bergantung kepada siapa yang menilai dan dari sudut mana.
Pembuat dasar, jawapannya adalah "YA" kerana pendidikan sekarang berjaya mengeluarkan tenaga mahir untuk keperluan negara seperti yang dicita-citakan oleh Dasar Pendidikan Negara.
Bagi pembayar cukai, pemerhatiannya berbeza. Pada suatu ketika dulu seperti dalam tahun-tahun 60'an dan 70'an, pekerjaan mengejar pendidikan. Dalam ertikata lain, lulusan sekolah, maktab dan universiti dengan senang mendapat pekerjaan. Siatuasi ini berubah sama sekali dalam tahun 80'an. Malaysia mengalami satu keadaan tidak seimbang. Ramai orang yang mempunyai kelulusan tetapi tidak banyak pekerjaan yang dapat ditawarkan kepada mereka. Ketidakseimbangan antara pendidikan dan pekerjaan ini adalah suatu yang tidak patut berlaku. Tujuan pendidikan formal seperti yang difahami oleh ibu bapa dan pelajar adalah untuk menyediakan anak-anak muda untuk hidup dan bekerja dalam sistem yang dibentuk oleh dunia moden ini.
Kesan besar daripada ketidakseimbangan antara tujuan pendidikan dan realiti ekonomi tertimpa ke atas pelajar. Mereka kecewa kerana aspirasi mereka tidak dapat dicapai. Jurang yang berlaku antara aspirasi dan peluang ini menyebabkan ketegangan berlaku dalam masyarakat. Apabila sektor ekonomi tidak dapat menyerap tenaga mahir yang ramai, maka akan timbul soalan: Apakah pelajaran yang diberi itu sesuai dengan kehendak pasaran buruh? Apakah pendidikan peka dengan perubahan-perubahan yang berlaku? Kalau demikian, institusi-institusi pendidikan harus mengkaji diri sendiri dan kemudian menyesuaikan diri dengan perubahan yang pesat berlaku. Ini sekaligus menyatakan bahawa pendidikan sekarang belum boleh dikatakan berkualiti.
Bagi seorang "moralist", lain pula pandangannya. Dalam dunia yang pesat berubah ini manusia seolah-olah kehilangan pedoman. Nilai-nilai tradisi dicabar oleh perkembangan dalam sains, teknologi, ekonomi dan politik. Nilai-nilai ini terburai dan ini dapat dilihat apabila anak-anak muda yang dididik dalam sistem sekolah yang ada, berlagak luar dari norma-norma yang biasa, baik dari segi kelakuan, pakaian dan lain-lain. Apakah sebabnya anak0anak muda berperilaku sedemikian rupa? Semua tangan akan menghala ke arah sekolah. Sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan gagal mempertahankan tahap nilai perlakuan yang baik dan gagal mengajar anak-anak muda untuk menerimabaik nilai-nilai tradisi ini. Ini bermakna pendidikan belum sampai kepada tahap yang boleh dikatakan berkualiti.
Namun bagi guru pula, iaitu pengamal pendidikan yang berada secara langsung di dalam sistem, jawapan kepada soalan itu adalah "YA" dan "TIDAK". Jawapan ini lebih realistik kerana guru merasai realitinya dari dalam dan bukan melihat seperti orang lain dari luar sistem. Guru, misalnya mengakui kualiti tinggi murid yang dikeluarkan oleh institusi-institusi pendidikan tahun demi tahun dari segi pencapaian akademik. guru juga mengakui kebolehan murid atau pelajar yang lebih baik dari yang sudah-sudah dalam kegiatan kokurikulum. Pada masa yang sama, guru mengakui sejumlah besar manusia yang dikeluarkan tidak dijamin dari segi disiplinnya. Begitu penilaian guru mengenai kualiti dalam hal-hal pendidikan. Ada "YA" dan ada "TIDAK". Dasar kepada jawapan ini ialah bahawa nilai itu adalah relatif dan subjektif.

Wednesday, November 25, 2009

AKU NAK TANAM GANDUM DAN BARLI

Pada suatu hari Juha telah pergi ke kedai gunting rambut untuk menggunting rambutnya yang telah panjang. Malang nasib Juha kerana tukang gunting tersebut sudah tua jadi matanya rabun sikit. Maka habis luka kepala Juha dibuatnya. Banyaklah darah yang mengalir di kepala Juha. Tukang gunting itu pun mengambil kapas lalu meletakkannya di tempat yang luka tersebut.
Juha bertambah sakit. Pertama sakit kepalanya yang luka dan yang keduanya sakit hatinya. Bila dia hendak bangun, tukang gunting itu berkata: "Sabarlah, sikit lagi nak siap ni." Juha yang telah hilang sabar, terus bangun seraya berkata: Cukuplah tu, sudah, sudah, hampir seluruh kepala aku kamu tanam dengan kapas, tinggallah ruang sedikit sebab aku hendak tanamkan dengan gandum dan juga barli."

ADAT RESAM KAUM-KAUM DI MALAYSIA

ADAT RESAM ORANG MELAYU
1. Adat resam masyarakat Melayu adalah berasaskan kepada ajaran agama Islam dan warisan kebudayaan mereka. Teras budaya hidup orang Melayu adalah mengerjakan sembahyang lima waktu iaitu sembahyang Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.
2. Orang Melayu biasanya saling menyapa dengan ucapan "salam" dan berjabat tangan. Kepada orang bukan Islam selalu mengucapkan "selamat pagi" atau sebagainya mengikut masa atau pun "apa khabar" saja. Mereka biasanya menunjukkan wajah yang mesra dan suara yang lembut. Kepada sesama Islam diucapkan "Assalammualaikum."
3. Pada setiap tengah hari Jumaat mereka mengadakan sembahyang Jumaat beramai-ramai di tempat ibadat bernama "masjid". Pada bulan-bulan tertentu mereka mengadakan acara ibadat tertentu seperti bulan Muharam dengan sambutan Awal Muharam, Rabi'ulawal dengan Maulidur Rasul, Syaaban dengan Nisfu Syaaban, Ramadhan dengan berpuasa selama sebulan, Syawal dengan Hari Raya Puasa, Zulhijjah dengan menunaikan haji di Mekah serta merayakan Hari Raya Haji.
4. Dari segi adar istiadat dan upacara pula terdapat beberapa jenis adat dalam edaran hidup orang Melayu menyambut kelahiran bayi. Ketika lahir seorang bayi lelaki, sebaik sahaja siap dibersihkan dan dibedungkan, bayi tersebut akan disambut oleh seorang lelaki dewasa yang menyerukan "azan" perlahan=lahan di telinganya. Bagi bayi perempuan pula ia diserukan dengan "iqamat".
5. Biasanya setelah beberapa hari, sekurang-kurangnya seminggu, seorang anak itu diberi nama dan dicukurkan rambutnya dalam satu kenduri dan bacaan "berzanji" serta doa selamat.
6. secara tradisi ibu Melayu "berpantang" selama 40 hari dengan menggunakan makanan, gerak badan dan tidak mengambil beberapa jenis makanan yang "sejuk". Ibu juga berdiang iaitu memanaskan badan di tepi unggun api ataupun "bertungku". Dia juga diurut oleh tukang urut dan memakan jamu serta dibengkung badannya dengan balutan kain panjang selama tempoh pantang itu.
7. setelah remaja kecil, kanak-kanak lelaki dikhatankan (circumcision) dan mula diajar membaca kitab suci Islam Al-Quran sampai tamat (khatam)
8. Perkahwinan berlaku pada zaman belia kira-kira pada umur 20 tahun atau lebih. Apakala seseorang lelaki telah menemui jodoh dengan seorang wanita maka ibu bapa atau wakilnya masuk meminang untuk menetapkan tarikh perkahwinan dan bayaran-bayaran tertentu seperti mas kahwin, belanja hantaran dan pelbagai keperluan lain. Setelah berkahwin, pasangan muda boleh tinggal bersama keluarga lelaki atau keluarga perempuan atau pun di rumah sendiri.
9. Apakala isteri hamil maka beberapa upacara dan pantang larang diikuti. Bagi anak pertama secara tradisi diadakan upacara "lenggang perut" untuk menjaga keselamatan kelahiran bayi. Waktu kelahiran, isteri dijaga oleh seorang bidan kampung. Sekarang urusan kelahiran dilakukan di hospital atau pun diuruskan oleh bidan yang terlatih dari Pusat Kesihatan.
10. Katika sakit, semua anggota keluarga sentiasa menjaga si sakit dan jiran-jiran digalakkan berkunjung serta mendoakan supaya selamat. Pada ketika hampir kematian, seseorang itu diajar "mengucap dua kalimah syahadah". Ketika mati, mayatnya ditutup dan dibaringkan di ruang tamu dengan mengiring menghadap kiblat atau Mekah. Dia akan dimandikan, diwangikan tubuhnya dengan geharu, dikafankan, disembahyangkan dan kemudian dikebumikan di kawasan perkuburan oleh ketua agama seperti Imam secepat yang mungkin.
11. Selepas sehari keluarganya akan mengadakan doa selamat selamatiga hari dan tujuh hari (dan secara tradisi kenduri 14, 40 serta 100 hari) dan juga kenduri arwah pada setiap tahun kematian.
12. Disamping upacara-upacara tadi terdapat juga upacara dalam sistem pertanian seperti pertanian padi, menaangkap ikan dan juga membina rumah. Ada juga kepercayaan tradisi berkaitan hantu dan kejadian alam yang mempunyai pantang larang tetapi banyak daripadanya telah dilupakan dan tidak lagi diamalkan kini.

PANDUAN MUSAFIR

JARAK PERJALANAN YANG DIHARUSKAN SOLAT QASAR
Jarak perjalanan yang mengharuskan seseorang melaksanakan solat qasar adalah dua marhalah bersumberkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:-
"Pernah seketika Ibnu Umar dan Ibnu Abbas mengqasarkan solatnya dan berbuka di dalam perjalanan sejauh empat burud iaitu enam belas farsakh (dua marhalah)."
(Riwayat Al-Bukhari).
Ukuran kadar jauh yang diistilahkan dengan dua marhalah itu ialah jarak di antara rumah atau tempat tinggal seseorang dengan tempat yang dia pergi. Adapun mengikut ukuran zaman sekarang ada beberapa pendapat antaranya:-
1. Pendapat Syeikh Abd Rahman Al-Jazaairi di dalam kitabnya "Al-Fiqhu A'ala Al-Mazahib Al-Arbaa'h" dinyatakan bahawa enam belas farsakh atau dua marhalah itu jaraknya ialah 81 km.
2. Dr. Wahbah Zuhailli di dalam kitabnya "Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh" menyebut bahawa ukuran dua marhalah itu adalah bersamaan 89 km.
3. Ada pendapat lain juga yang mengatakan jaraknya adalah bersamaan dengan 100km dan ada juga yang mengatakan 90 km.
Kesimpulannya, daripada gambaran di atas dapat disimpulkan bahawa kadar perjalanan yang diharuskan solat qasar itu mestilah tidak kurang daripada 81 km.
Walau bagaimanapun sebagai jalan selamat adalah lebih baik kita mengambil kira jarak 100 km kerana adanya pandangan yang mengatakan jarak dua marhalah itu adalah 100 km.

KETENANGAN HATI HADAPI KEHIDUPAN

"Kata-kata paling agung dalam segala bahasa manusia adalah ketenangan hati."
Ketenangan hati boleh didefinisikan sebagai kepastian akal atau perangai. Mempunyai satu semangat kesabaran. Mempunyai sifat yang penuh ketenangan dan kesediaan dalam keadaan yang sulit dan bersedia menghadapi kehilangan dengan penuh ketenangan tanpa menyalah kepada ketentuan.
Daya kekuasaan yang mengalir bersama-sama kesegaran dan harapan yang ada dalam suasana hati yang baik tidak akan menimbulkan sikap putus asa dan tidak menghalang daya yang aktif. Pertanyaan yang kita ingin kemukakan terhadap diri kita sendiri pada zaman ini adalah, "Apakah kita telah memperolehi penguasaan diri yang selengkapnya sehingga kita dapat meperlihatkan ketenangan hati dalam segala keadaan?"
Memiliki ketenangan hati dan mempunyai mentaliti yang seimbang yang memberi kita ketenangan dan tidak cemas dalam menghadapi kemalangan adalah suatu prestasi yang melampau segala prestasi. Orang yang menguasai dirinya sendiri adalah orang yang menguasai nasibnya. Ia tahu bahawa ketika segala sesuatunya berjalan tidak beres, akalnya harus tetap beres dan ia harus tetap dingin, tenang dan tenteram.
"Kita telah kehilangan segalanya," kata suami ketika ia dan isterinya memandang bara yang merupakan sisa-sisa tempat tinggal mereka. "Tidak," jawab isteri dengan penuh optimis. "Kita masih memiliki satu perkara yang paling penting di dunia. Kita saling memiliki dan kita akan dapat memulakan kembali."

DULU UNTUK SEKARANG UNTUK DULU

Pada suatu hari, Juha pergi ke tempat permandian di kota. Ia mengenakan pakaian yang buruk. Oleh itu, para pengawal di tempat permandian itu bersikap kasar kepadanya. Juha hanya diberi sepotong kecil sabun dan sehelai tuala yang sudah buruk.
Selepas mandi, Juha memberikan dua keping wang lima puluh ringgit kepada dua pengawal itu tanpa menunjukkan kekecewaan sama sekali. Tentu sahaja kedua-dua pengawal itu tertanya-tanya dalam hati, seandainya Juha dilayani secara baik-baik tentunya akan memberi wang yang jauh lebih banyak lagi.
Beberapa hari kemudian Juha muncul lagi. Kali ini pengawal-pengawal di tempat permandian itu menyambutnya dengan baik dan mesra sekali. Ia dilayani bagaikan seorang raja. Selepas mandi ia memberikan kepada kedua-dua pengawal itu dua keping wang lima ringgit sahaja.
"Wang ini adalah untuk layanan kamu berdua semasa aku masuk ke sini dulu dan wang lima puluh ringgit dulu itu adalah untuk layanan kamu sekarang ini."

Tuesday, November 24, 2009

MENGAPA PULA BERDUA-DUAAN?

oleh:- penjaga kubur
Malam minggu selepas solat maghrib, seperti yang telah dijanjikan aku memandu kereta bersendirian menuju ke Ipoh. Niat aku hanyalah satu iaitu untuk memenuhi permintaan anak murid aku Nabila Atisya. Berkali-kali Nabila Atisya menelefon aku untuk mengingatkan aku atas jemputannya itu. Aku sungguh bertuah kerana mendapat seorang murid yang sungguh pandai mengambil hati aku. Bagi aku, kejayaan yang dicapai oleh Nabila Atisya amat aku kagumi. Ketabahan dan kecekalannya menghadapi situasi pergolakan keluarganya tidak menghalang untuknya berjaya dalam UPSR.
Aku memandu sambil mendengar celoteh-celoteh juruhebah dari Radio Sinar. Sesekali mata aku menjeling bangku di sebelah aku di mana terletak bungkusan hadiah yang akan aku sampaikan nanti buat murid aku Nabila Atisya.
"Bungkusan hadiah macam nak bagi girl friend." Rungut adik perempuan aku semasa dia membalut bungkusan hadiah tersebut. Aku cuma ketawa kerana Nabila Atisya adalah cuma anak murid aku. Tidak lebih dari itu.
Aku meletakkan kereta aku di ruang letak kereta di sebelah kiri Hotel Heritage. Aku tidak perlu lama mencari kerana ruang letak kereta masih banyak yang kosong. Jam di tangan aku menunjukkan angka 7.45 yang menandakan aku tiba lebih awal lima belas minit. Aku terus mematikan engin kereta dan keluar menuju ke pintu besar hotel tersebut.
Sampai sahaja aku ke dalam dewan makan, aku terus mencari di mana Nabila Atisya dan ibunya. Puas aku mencari dan akhirnya aku terpandang seorang perempuan tersenyum kepada aku sambil melambaikan tangannya. Betul dan aku yakin perempuan itu adalah ibu Nabila Atisya.
"Mengapa seorang sahaja dan di mana Nabila Atisya?" Soal aku kepada diri aku sendiri sambil menuju ke arah ibu Nabila Atisya.
"Dah lama puan menunggu?" Tanya aku kepada ibu Nabila Atisya.
"Tak lama, baru saja saya sampai. Janganlah berpuan-puan pula dengan saya." Balas ibu Nabila Atisya dengan suara yang sungguh manja sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan aku. Aku gementar kerana sebelum ini sebelum ini belum pernah aku bersalaman dengan orang perempuan yang bukan muhrim aku. Aku terpaksa menyambut salam ibu Nabila Atisya kerana banyak mata memandang ke arah kami berdua.
"Mengapa tangan Arman berpeluh dan gementar?" Tanya ibu Nabila Atisya kepada aku sambil terus tangan aku tidak dilepaskannya. Aku semakin gementar dan tubuh aku dibasahi peluh meskipun ketika itu berada di dewan yang berhawa dingin. Aku kini dipanggil hanya dengan nama sahaja.
"Di mana Nabila Atisya?" Tanya aku sambil aku duduk di kerusi berhadapan dengan ibu Nabila Atisya. Ibu Nabila hanya tersenyum kepada aku. Aku bertambah gementar kerana aku tidak pernah berdua-duaan seperti ini. Pakaian aku semakin dibasahi oleh peluh.
"Di mana Nabila Atisya?" Aku bertanya lagi.
"Nabila Atisya balik ke rumah neneknya." Balas ibu Nabila Atisya sambil ketawa manja kepada aku. Aku menjadi panik. Lidah aku kelu untuk berkata-kata dan aku cuba bangun untuk meninggal ibu Nabila Atisya.
"Relek Arman." Pujuk ibu Nabila Atisya sambil memegang tangan aku. Aku terpaksa duduk semula kerana masih ada mata memerhati tingkah laku aku.
"Mengapa puan mungkir janji?. Aku bersuara dengan agak kuat dan perasaan marah mulai menguasai aku. Aku sesunguhnya amat menyesal kerana terlalu percaya dengan janjinya untuk membawa bersama Nabila Atisya anaknya pada malam ini.
"Nabila Atisya sungguh gembira kerana Arman dapat menemani saya di sini." Luah ibu Nabila Atisya kepada aku.
"Nabila Atisya memang berharap dinner ini hanya untuk kita berdua." Sambung ibu Nabila Atisya lagi. Aku terus menjadi tidak keruan. Nafas aku seakan berhenti apabila mendengar jawapan dari ibu Nabila Atisya.

SASARAN UTAMA GAMBARAN LENGKAP BAGI MANUSIA

Sasaran utama bagi setiap kita adalah gambaran paling lengkap dari berbagai daya dan kemungkinan yang diberikan oleh Tuhan kepada kita. Namun telah menjadi suatu fakta yang diketahui pula bahawa sebahagian besar manusia hanya menggunakan sejumlah kecil peratus kekuasaan dan kemungkinan.
Otak yang berkesan adalah otak yang seluruh kemampuannya berkembang sepenuhnya dan beroperasi secara harmoni antara satu kemampuan dengan kemampuan lainnya. Tujuan dari segala pendidikan sepatutnya membantu otak yang simetri dan seimbang.
Dari waktu ke waktu kita harus mengadakan penemuan tentang berbagai aset mental kita. Kita harus menentukan di mana kelemahan dan kekuatan kita. Barangkali ada beberapa perkara yang perlu kita sekat. Sedangkan yang lainnya perlu kita perkuat dan kita bangunkan. Kita adalah nakhoda bagi mental kita sendiri. Setiap kemampuan harus dikembangkan dan dilatih untuk mempunyai peranan yang cekap. Berjaya atau gagalnya kita dalam arena kehidupan bergantung padanya.
Ramai orang yang meskipun hanya menggunakan sedikit kekuatan mental mereka tetapi boleh dikatakan hampir mencapai kejayaan, Mencapai sasaran hasrat hati mereka. bayangkan apa yang dapat dicapai oleh 'rang-orang setengah berjaya' atau 'orang-orang hampir berjaya' ini jika mereka diajar untuk mengetahui cara penggunaan otak mereka dan diajar tentang peraturan praktikal untuk mencapai kejayaan. Kita boleh menjadi cekap dan pekerjaan kita berhasil. Kita boleh berjaya jika kita dilatih menuju garisan tersebut.
Tidak ada yang terjadi selama perkara ini tidak digerakkan terlebih dahulu oleh akal kita. Pemikiran mendahului segala tindakan. Pembangunan mental dan pemikiran tepat yang diiringi dengan usaha yang cerdas adalah kekuatan yang menggerakkan kita ke arah sasaran kita. Hanya melalui penggunaan kemampuan kita secara berkesan, kita boleh menjadi pemenang. Sipenakluk tidak sepatutnya hanya berfikir tetapi juga harus bangkit dan berbuat suatu.

Monday, November 23, 2009

TERCAPAI JUA AKHIRNYA CITA-CITAKU

Juha telah membeli seekor lembu yang besar. Lembu jantan yang baru dibelinya itu mempunyai sepasang tanduk yang besar dan tajam memang menggrunkan. Setiap kali Juha berehat sambil duduk di beranda rumahnya, Juha memandang ke arah lembunya yang sedang makan rumput. Dalam hatinya berkata:- "Aku harap satu hari nanti aku akan dapat duduk ditengah-tengah tanduknya itu."
Maka pada suatu hari ketika lembunya itu sedang leka makan rumput, Juha pun menghampiri lembunya sambil memegang kedua tanduk lembunya itu. Juha cuba untuk melompat duduk. Tanpa disedarinya lembunya mula naik angin. Juha mencuba lagi, sedang dia mahu melompat dan belum sempat Juha duduk di celah tanduk, lembu itu terlebih dahulu mennaduk Juha dengan kuat sekali. Juha terus terpelanting jatuh lalu pengsan.
Rupa-rupanya isteri Juha melihat kejadian itu. Dia menjerit meminta tolong. Orang ramai pun datang lalu menagkap lembu Juha dan dimasukkan ke dalam kandangnya. Isteri Juha terus mendapatkan Juha lalu mengoyang-goyangkan badan Juha. Juha masih belum sedar. Lalu isteri Juha menyimbahkan air ke muka Juha. Lalu Juha tersedar dari pengsan. Sedang isterinya itu menangis teresak-esak, Juha berkata dengan nada gembira:- "Alhamdulillah, walaupun sakit, apa yang aku cita-citakan selama ini tercapai akhirnya."

APE YANG MENGKOME NAMPAK?

MANUSIA TERHEBAT MEMILIKI KEBENARAN MENAKJUBKAN

Etika adalah prinsip moraliti termasuk ilmu tentang kebaikan mahupun kudrat kebenaran. Tidak ada kepuasan dalam hidup yang lebih besar dari kesedaran menjadi orang baik dan kesedaran berbuat yang benar.
Satu-satunya jalan agar hidup memberikan hasil seperti yang kita kehendaki seperti menikmati hasil dari kekayaan yang berterusan, kebahagiaan dan kedamaian akal adalah dengan tetap menjaga keharmonian kita menghasilkan kesihatan, kemakmuran, kekuatan dan kekuasaan. Begitu juga sebaliknya mengenai perselisihan (ketidaksesuaian atau ketidakkeserasian) yang selalu menghasilkan kelemahan.
Kehidupan bermoral adalah sekutu yang paling utama bagi manusia. Inilah satu-satunya cara untuk membuat hidup memberikan yang terbaik. Apabila kita melepaskan prinsip diri kita, maka keseluruhan kudrat kita menjadi tidak harmoni.
Kesedaran kita adalah kompas yang menunjukkan arah sejak kita dilahirkan sehingga mati. Ramai orang yang mengabaikan bisikan yang amat lembut dari dalam diri sendiri. Sungguh tidak mungkin untuk melarikan diri dari bisikan itu sebab bisikan dari kita sendiri yang tidak kita hargai itu selalu kembali membayangi kita. Ada orang yang cuba menyingkirkan kesedaran mereka tetapi cepat atau lambat hal ini akan muncul di hadapan mereka sebagai penentu atau hakim.
Apabila kita kehilangan rasa hormat terhadap diri sendiri, kita akan kehilangan sehabat yang terbaik. Ketika kita kembali kepada diri kita sendiri, tidak ada orang lain pun yang dapat membantu kita. Kita dapat meneruskan perjalanan untuk menghadapi berbagai kesulitan hidup, kita dapat melepasi penghalang yang nampaknya tidak dapat ditembus tetapi hilangnya hormat terhadap diri sendiri. Kekecewaan terhadap diri sendiri adalah hak yang buruk bagi kejayaan abadi dan segala kebahagiaan sejati.

Sunday, November 22, 2009

APA SEBENARNYA YANG HILANG?

Pada suatu hari, seorang teman Juha telah menemuinya di jalan seraya berkata:- "Juha, aku rasa isteri kamu itu sudah hilang akallah". Juha pelik mendengar kata temannya itu. Lalu diapun memandang ke arah muka temannya sambil berfikir tangan menggaru kepala. Lama juga dia termenung berfikir.
Melihatkan yang demikian temannya berkata lagi:- "Juha, mengapa kamu ni dan apa yang sedang kamu fikirkan? Dengan serba salah Juha pun berkata:- "Kamu kata tadi isteri aku hilang akal, setahu aku memang isteri aku tak ada akal. Jadi oleh sebab itulah aku terfikir-fikir ini apa lagi sebenarnya yang hilang?."

BAPA BENTAYAN, BENTAYAN DAN ANAK BENTAYAN

oleh:- penjaga kubur.
Hari ini terlalu banyak sekali jemputan aku terima. Ada jemputan kenduri kahwin, ada jemputan kenduri bersunat (berkhatan), ada jemputan kenduri tarik buai anak dan cukur rambut, ada jemputan kenduri bertunang, ada jemputan kenduri kesyukuran (anak atau cucu dapat 5A UPSR), ada jemputan kenduri tahlil, ada jemputan kenduri naik rumah baru dan macam-macam lagi kenduri.
Aku kira kad jemputan kenduri kahwin sahaja yang aku terima ada empat keping kad. Hari ini aku kena agih-agihkan masa aku agar dapat menghadiri setiap kenduri tersebut. Aku bernasib baik kerana jemputan yang paling jauh aku terima dari Taiping ada dua jemputan kenduri kahwin dan bersunat.
Hari ini aku nak cerita satu kisah yang berlaku di majlis kenduri bersunat. Peristiwa ini nak dikatakan sama seperti rancangan 'jejak kasih' pun boleh sebab apabila kita berjumpa dengan orang tua-tua, mulalah mereka "bersoreh" (bertanyakan asal usul kita) dan ada ketikanya kita kelu kerana tak pandai "bersoreh".
"Cikgu sudah makan?" Tegur Bentayan sambil tersenyum ke arah aku.
"Sudah, saya nak rehat kejap, lepas ni nak pergi kenduri di Chemor pulak." Balas aku.
"Bentayan, anak awak yang nak bersunat, umur berapa?" Aku pulak bertanya apabila aku lihat Bentayan menarik kerusi dan duduk di sebelah aku.
"Huh, baru lega dapat duduk, tetamu pun dah kurang". Keluh Bentayan tanpa menjawab soalan yang aku ajukan kepadanya.
"Maafkan saya cikgu. Apa yang cikgu tanya tadi?" Pinta Bentayan. Mungkin dia rasa bersalah kerana tidak menjawab soalan aku.
"Anak yang nak bersunat tu umurnya berapa?" Aku ulang semula kepada Bentayan.
"Oh! Umurnya 8 tahun, baru darjah dua. Dia sekolah di sekolah yang cikgu mengajar tu". Jawab Bentayan.
"Di sekolah tempat saya mengajar?" Soal aku kepada Bentayan dan aku berasa sedikit malu kerana tidak mengenali murid aku sendiri.
"Ya, mungkin cikgu tak berapa kenal sebab kami baru pindah ke sini. Jadi, saya sekolahkan di sekolah tempat cikgu mengajar tu kerana dekat dengan rumah saya." Terang Bentayan bagaikan menyelamatkan aku dari terus berasa malu.
"Sebenarnya cikgu, saya rasa cikgu adalah orang yang paling bertuah kerana dapat mendidik tiga generasi dalam keluarga saya." Terang Bentayan kepada aku.
"Saya kurang faham apa yang Bentayan maksudkan itu?" Balas aku kerana kurang mengerti apakah maksud yang ingin Bentayan sampaikan.
"Begini, saya dulu pernah belajar dengan cikgu. Anak saya juga sedang belajar dengan cikgu. Cikgu ingat tak yang bapa saya pun pernah belajar dengan cikgu?" Terang Bentayan kepada aku. Aku terus berimajinasi seketika. Barulah aku teringat bahawa aku pernah mengajar bapa Bentayan semasa aku mengajar di sekolah menengah dulu. Memang betullah kata Bentayan. Aku pernah mengajar bapa Bentayan, aku pernah mengajar Bentayan sendiri dan kini aku sedang mengajar anak Bentayan.
Persoalannya:-
Adakah aku sempat untuk mengajar anak kepada anak Bentayan?

APE YANG MENGKOME NAMPAK?

macam 'raja' kapcai tuh. letak pulak tuh tengah2. mengkome heboh 'parking' tak cukup. inile yang nyebabkan 'parking' tak cukup tuh. mpkk naper tak saman?

boleh 'parking' tengah jalan. ape keroje mengkome laku macam nih? oghang nak lalu pun payah. mentang2 ler mengkome pakai kreter beso. pakai kreter mewah. tak endah oghang lain.

kreter mengkome tuh tak boleh 'parking' kat sebelah gares kuning memanjang. kreter biru nih kan peduli aper. yang penting pade mengkome aselkan boleh 'parking' kreter mengkome ajer.

nengok tuh. kat 'bus stop' pun mengkome nak detak kreter. patutler teman nengok banyak bebeno bas ambik penumpang berenti tengah jalan. mane idaknyer mengkome dah kacor.

kreter ngan van tuh pun samer. tak ader pulak kener saman. mengkome nih mase ambil lesen dulu kene lulus undang2 jalan raye. kalo macam nih camaner boleh lulus yerk?

Saturday, November 21, 2009

SEMOGA DIA KELUAR NANTI

Pada suatu malam, cincin yang Juha pakai telah tercicir jatuh di dalam rumahnya. Puas dia mencari tetapi tidak juga jumpa kerana di dalam rumahnya gelap gelita tak ada lampu. Setelah agak lama mencari, dia pun letih dan dia pun keluar rumah untuk menghilangkan keletihannya. Lalu dia berdiri tercegat di depan pintu rumahnya.
Lama juga dia berdiri di situ sehingga orang yang lalu-lalang hairan kenapa Juha berdiri di depan pintu rumahnya. Lalu mereka bertanya:- "Juha, kenapa kamu berdiri tercegat di depan pintu rumah kamu?." Jawab Juha:- "Oh! Cincin kesayangan yang selalu aku pakai telah tercicir jatuh di dalam rumah. Puas aku mencarinya tetapi tidak berjumpa."
Lalu mereka pun bertanya lagi:- "Jadi, kalau begitu carilah lagi manalah tahu kamu boleh jumpa juga nanti. Bukankah lebih baik dari kamu terus tercegat di depan pintu rumah kamu tu?." Juha dengan tenang menjawab:- "Bukannya aku tak mahu cari, aku dah cari dan kebetulan dalam rumah aku tu gelap, tak ada lampu. Jadi aku rasa lebih baik aku tunggu di luar sini sebab dalam sana sangat gelap. Sudah pasti cincin aku tu akan keluar nanti sebab dia takut duduk dalam gelap seorang diri. Sebab itulah aku tunggu di sini. Kalau dia keluar, aku ambillah dia."

REDUP MATA MEMANDANG

IBADAT HAJI - UMRAH DAN ZIARAH

KELEBIHAN DAN KEMULIAANNYA MASJIDIL HARAM
Masjidil Haram meliputi Ka'bah, tempat tawaf di sekelilingnya serta semua bangunan dan halaman untuk bersolat. Ianya termasuk bahagian pembesaran yang dimulai pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. sehingga ke zaman Khadimul Haramain Raja Fahd bin Abdul Aziz.
Masjidil Haram mempunyai kelebihan yang mulia dan unik yang tidak dimiliki oleh mana-mana tempat di dunia ini. Kemuliaan ini kerana kedudukannya yang berada di Makkah. Makkah adalah merupakan bumi yang sangat mulia di mana terdapatnya binaan Ka'bah di dalamnya.
Terdapat banyak dalil-dalil dari Al-Quran yang menyebut dengan jelas tentang hubungan dan kaitan yang rapat antara Ka'bah, Masjidil Haram dan Makkah secara umum.
Pertama:- Perkataan "Masjidil Haram" bermaksud "Ka'bah". Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:-
"Kami sering melihat engkau (wahai Muhammad) mengangkat mukamu ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang engkau sukai. Palinglah mukamu ke arah Masjidil Haram".
(Al-Baqarah: 144).
Kedua:- "Masjidil Haram" bermaksud "Makkah". Firman Allah s.w.t. yang maksudnya:-
"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik (kafir) itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram selepas tahun ini".
(At-Taubah: 28).
Perkataan "Masjidil Haram" ini telah disebut sebanyak 15 kali di dalam Al-Quran. Tidak syak lagi semua dalil ini menunjukkan kelebihan serta kemuliaan Masjidil Haram dan Makkah keseluruhannya.
Masjidil Haram telah dimuliakan sejak sebelum Islam lagi. Kaum Arab tidak memasuki kawasan Haram dengan kasut mereka sebelum Islam. Mereka mengelilingi Ka'bah dengan tidak berpakaian kerana mereka percaya bahawa pakaian mereka telah dikotori oleh dosa-dosa mereka. Kaum lelaki melakukan tawaf pada waktu siang dan perempuan pada malam hari.
Sebagai memuliakan Ka'bah, Arab Quraisy juga tidak membina rumah-rumah mereka dengan bentuk empat segi tetapi dengan bentuk bulatan.

Friday, November 20, 2009

DI SINI KITA BUAT TANDAS

Pada suatu hari, Juha telah memanggil seorang tukang bina rumah untuk menyiapkan rumahnya yang telah lama terbengkalai sebab pekerjanya lari. Maka bila sampai tukang bina , Juha pun membawa masuk ke dalam bangunan rumah untuk dilihat. Bangunan rumahnya yang belum siap itu dua tingkat.
Jadi berulanagkali mereka berdua turun naik semata-mata untuk melihat dan juga untuk memastikan penyusunan yang sesuai untuk rumah tersebut. Di mana dapur, di mana ruang tamu, di mana bilik tidur dan lain-lain lagi.
Setelah agak lama mereka turun naik lalu tukang bina pun berkata kepada Juha:- "Baiklah, di sini kita buat ruang tamu." lalu mereka berjalan lagi: "Dan di sini kita buat dapur." Mereka berjalan lagi:- "Dan di sebelah atas kita buat bilik tidur." Kemudian mereka berjalan lagi dan agak lama juga tukang bina berfikir, tiba-tiba oleh kerana tukang bina terlalu letih dia pun terkentut. Apa lagi, Juha pun terbau busuk lalu secara spontan Juha pun berkata kepada tukang bina kerana tidak larat untuk melayannya:- "Ha! Di dini pula kita buat tandas."

APAKAH WAJAR BERTIGA?

oleh:- penjaga kubur
Result UPSR tahun 2009 telah pun keluar dan diumumkan oleh Guru Besar di dewan sekolah pada 19 Nivember 2009. Aku yang duduk di penjuru dewan menitiskan air mata kegembiraan. Tiba-tiba aku terfikir mengapa aku mesti menitiskan air mata? Aku kini berada disaat-saat kegembiraan. Lagi pun aku ini adalah seorang lelaki. Apakah mesti aku menangis untuk melafazkan rasa gembira? Begitu juga, apakah aku mesti menangis untuk melafazkan rasa sedih?
Sedang aku melayani lamunan aku, aku terdengar suara seorang perempuan memberi salam. Aku angkatkan muka aku ke arah suara tersebut. Di hadapan berdiri seorang perempuan yang aku kira masih muda dan bergaya. Aku kira umurnya sekitar awal 30'an dan aku percaya ianya adalah ibu kepada salah seorang murid aku. Segera aku bangun dan mengelapkan air mata di pipi.
"Mengapa cikgu menangis?". Soalnya sambil menghadiahkan sebuah senyuman yang aku rasa paling manis sejak aku mengenal perempuan selain daripada ibu, adik dan kakak aku.
"Saya menangis?" Aku terpinga-pinga dan mengemukakan pula soalan kepada perempuan itu.
"Betul cikgu! saya nampak cikgu duduk termenung dan air mata berlinang di pipi." Jelas perempuan itu.
"Maafkan saya puan, sebenarnya saya terlalu gembira di atas keputusan yang dicapai oleh murid-murid saya." Aku menjelaskannya.
"Cikgu! Saya memohon ribuan ampun dan maaf daripada cikgu." Aku terdengar suaranya bergetar dan tersekat-sekat sambil menghulurkan tangannya ke arah aku.
"Mengapa mesti puan memohon maaf daripada saya?" Soal aku tanpa menyambut huluran salam daripadanya.
"Apakah cikgu masih marah dan masih berdendam dengan saya hinggakan cikgu tak mahu memaafkan saya?" Katanya sambil aku lihat airmatanya mula mengalir di pipinya yang gebu itu dan aku lihat tangannya masih lagi dihulurkan ke arah aku.
"Saya tak faham, apa yang puan katakan itu." Aku tersentak dengan kelakuan anehnya dan sememangnya aku tak mengerti apa yang tersirat dan tersurat di hati perempuan itu.
"Tak apalah cikgu, siapalah saya untuk dimaafkan dan kalau cikgu tak mahu memaafkan saya. Biarkan saya ceritakan apa yang terbuku di hati saya." Kata perempuan itu sambil menjatuhkan tangannya setelah huluran salamnya yang tidak aku sambut.
"Cikgu! Lelaki yang memarahi cikgu melalui telefon enam bulan dulu itu adalah suami saya. Memanglah ada anak saya mengadu yang cikgu selalu mendendanya kerana tidak siap kerja rumah dan sebagainya." Terangnya kepada aku dengan panjang lebar.
Aku termenung, lantas aku teringat kembali pada suatu malam aku menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang memaki hamun aku serta memberi amaran kepada aku agar tidak mendenda anaknya lagi. Masih aku ingat, betapa kasarnya lelaki tersebut menyergah aku tanpa memperkenalkan dirinya kepada aku.
Sebenarnya, aku sendiri pun tidak tahu siapa anaknya kerana memang menjadi tanggungjawab aku sebagai seorang guru Bahasa Inggeris, akan mendidik dan mengajar anak murid aku sehingga mereka faham. Itulah sebabnya mereka aku denda jikalau tidak menyiapkan kerja rumah atau melakukan kesalahan-kesalahan lain.
Sengaja aku tak mahu mencari siapa anaknya walaupun pun pada peringkat awalnya aku cukup marah kepada murid itu kerana mengadu kepada keluarganya. Walaupun pun aku dikategorikan guru yang garang namun mereka masih menyukai aku. Ini dapat dilihat apabila hari guru setiap tahun, akulah guru yang paling banyak mendapat hadiah.
"Siapa anak puan?" Tanya aku kepada perempuan itu.
"Itu." Tunjuk perempuan itu kepada seorang murid perempuan yang sedang berjalan menghala ke arah kami.
"Nabila Atisya?" Tutur aku perlahan-lahan.
"Ya! Itulah satu-satunya anak saya, cikgu!" Kedengaran sayu suara ibu Nabilah Atisya.
Nabila Atisya adalah salah seorang murid yang aku sanjung kerana sikapnya. Tetapi mengapa hari itu Nabila Atisya boleh mengadu kepada ayahnya? Selama ini bukan tidak pernah aku mendenda Nabila Atisya kerana aku yakin, aku ingin mendidiknya menjadi murid yang cemerlang di sekolah ini dan aku percaya Nabila Atisya boleh melakukannya.
"Mana ayahnya?" Aku bertanya kepada ibu Nabila Atisya setelah aku terlamun seketika.
Tiba-tiba ibu Nabila Atisya menangis teresak-esak sambil memeluk anaknya. Aku terpegun dan terpaku melihat mereka.
"Kami telah bercerai cikgu." Luahan dalam esakan ibu Nabila Atisya.
"Maafkan saya, puan." Aku pula yang memohon maaf kerana berasa bersalah mengeruhkan suasana ketika itu.
"Cikgu, terima kasih kerana telah membantu saya sehingga mendapat 5A dalam UPSR." Nabila Atisya bersuara kegirangan.
"Tahniah, Nabila Atisya memang saya jangka boleh dapat 5A." Aku memberi penghargaan atas kejayaan Nabila Atisya.
"Ya, Allah! Ya, Tuhanku. SesungguhNya Engkau Maha Mengasihi lagi Maha Penyayang. Aku bersyukur kepadaMu Ya, Allah, kerana seandainya Engkau membuka pintu hati ini untuk mengetahui siapa lelaki yang memarahi aku dulu, aku akan melakukan satu dosa kepada kepada seorang murid aku yang bernama Nabila Atisya. Sesungguhnya aku sebagai hambaMu Ya, Allah, pasti aku berdendam dengan muridku ini. Aku bersyukur dan berterima kasih kepadaMu Ya Allah." Bisik hati kecil aku.
"Cikgu saya ingin menjemput cikgu untuk dinner pada malam minggu ini di Heritage Ipoh." pelawa ibu Nabila Atisya.
"Cikgu mesti datang tau." Rayu Nabila Atisya kepada aku.
"Siapa lagi yang datang?" Aku bertanya.
"Saya, Nabila Atisya dan cikgu." Balas ibu Nabila Atisya sambil berlalu bersama-sama anaknya meninggalkan aku terpinga-pinga.
"Cuma bertiga?" Bisik hati aku tidak percaya.

MEREKA DILAHIRKAN UNTUK BERJAYA

Apa sahaja pemikiran yang ada di fikiran kita tentang diri kita sendiri akhirnya akan dibentuk menjadi kehidupan oleh kekuatan kreatif yang ada di dalam diri kita. Pada suatu ketika, kita akan menjadi peribadi yang kita gambarkan di dalam fikiran kita. Gambaran tentang diri kita sendiri inilah yang menentukan apakah masa depan kita bahagia atau tidak? Apakah kita akan maju atau mundur? Apakah kita berjaya atau gagal?
Manusia tidak boleh bangkit lebih tinggi dari fikiran tentang dirinya sendiri yang bersarang di kepalanya. Kepastian terus menerus tentang kekurangan diri sendirilah yang lebih membuat orang jatuh dari istana kejayaan. Hal ini merupakan penyebab yang lebih kuat timbulnya kemiskinan, penyakit, kejahatan, perselisihan dibandingkan dengan berbagai sebab lain. Semakin banyak kita berfikir tentang penyakit yang ingin kita hindari, semakin dekat kita kepada penyakit itu.
Kebiasaan untuk menggambarkan kesedaran tentang kelemahan diri dalam fikiran kita akan menghancurkan kesempatan kita untuk berjaya dalam hidup. Hal ini mengikat kita untuk tetap menjadi hamba. Kita tetap menjadi hamba bagi ketakutan, kekhuatiran, suasana hati sendiri, kecemasan, lingkungan dan keseluruhan dunia luar. Kesedaran rendah diri menciptakan korban bukannya menghasilkan pemenang.
Pemikiran yang sempit sepatutnya digantikan dengan pemikiran ideal. Pemikiran tentang peribadi yang kita inginkan untuk kita miliki, bukannya peribadi yang ada sekarang ini. Ideal kita adalah suatu ramalan yang akhirnya akan kita alami. Kita harus berlatih untuk menyambut datangnya kejayaan. Untuk secara tegas mempercayai kepada kekuasaan yang diberikan Tuhan kepada kita untuk berprestasi, memenuhi sasaran kejayaan.
Sejak awal kita seharusnya mengajar anak-anak kita bahawa mereka dilahirkan adalah untuk berjaya. Terangkan bahawa pada saat mereka dilahirkan mereka telah diberi kelengkapan untuk berjaya. Tanta wawasan ini, bererti kita membiarkan mereka menempuh perjalanan hidup tanpa peralatan untuk mencapai tempat tujuan seperti yang dimaksudkan dalam penciptaan manusia oleh Tuhan.

Thursday, November 19, 2009

BULAN JATUH KE DALAM TELAGA

Pasa suatu malam, Juha telah pergi ke telaga rumahnya untuk mengambil air sembahyang. Sedang dia mahu memasukkan timba yang diikatnya dengan tali ke dalam telaga, tiba-tiba dia terlihat bulan di dalam telaganya. Juha menyangkakan bahawa bulan telah jatuh ke dalam telaga di rumahnya.
Cepat-cepat dia mencampakkan timba yang di tangannya ke dalam telaga untuk menyelamatkan bulan tadi. Kemudian dia cuba menarik perlahan-lahan. Bila mana puas dia berusaha dia pun menoleh ke atas dia pun mendapati bahawa bulan sudah berada di langit. Lantas dengan penuh gembira bercampur cemas dia pun berkata:- "Alhamdulillah, aku telah dapat menyelamatkan bulan kalau tidak sudah pasti dia akan tenggelam mati lemas di dalam telaga ini.

AMALAN NILAI DAN BUDI BAHASA

ADAT RESAM KAUM-KAUM DI MALAYSIA

PENGERTIAN ADAT RESAM

1. Adat resam adalah segala macam perbuatan yang sentiasa dilakukan pada setiap hari atau mengikut musim, pertukaran bulan mahupun tahun. Banyak kebiasaan ini merupakan cara harian kita seperti berpakaian, cara makan dan minum, jadual harian dari pagi hingga petang, cara bertemu dan bergaul dengan rakan-rakan dan kenalan ataupun cara menyapa seseorang tetamu.
Sebahagian lagi adat resam itu merupakan upacara-upacara dalam pusingan kehidupan seseorang manusia misalnya adat kelahiran, adat berkhatan (untuk orang Islam), adat perkahwinan, adat kematian dan adat memperingati kematian pada setiap tahun.
Sebahagian yang lain, adat resam merupakan upacara-upacara dalam kalendar kehidupan sepanjang tahun. Misalnya, adat berkaitan pertanian dan menanam hingga menuai padi, upacara puja pantai bagi para nelayan. Ada juga adat yang merupakan perayaan tahunan seperti menyambut Tahun Baru Cina atau Kristian, perayaan Hari Raya Puasa Islam, perayaanThaipusam dan Deepavali Tamil atau perayaan Gawai Iban dan Keamatan Kadazandusun. Adat resam adalah pancaran budi bahasa.

MUTU PEKERJAAN PENENTU KEJAYAAN

"Tergesa-gesa menciptakan sesuatu adalah pekerjaan yang sia-sia"
Setiap penemuan pada abad ini cenderung untuk mempercepatkan rentak hidup manusia, perniagaan, komunikasi dan mengubah manusia menjadi seperti komputer insani.
Semakin tinggi kecepatan kita, semakin pesat perkembangan usia kita dan semakin besar pula ketegangan emosional yang menyerang kita masing-masing. Melebihi segala zaman di dalam sejarah, kita diundang untuk menjalani kebijaksanaan yang lebih hebat, kalau kita tidak memenuhinya, kita akan tertindas oleh rentak kehidupan moden yang begitu pesat. Tidak ada zaman sebelumnya yang begitu memerlukan falsafah praktikal tentang kehidupan waras zaman kita.
Kebiasaan untuk tergesa-gesa dan terburu-buru telah melenyapkan kegembiraan hidup, memendekkan hidup, mengundang berbagai penyakit jantung dan peredaran darah, menghancurkan ketenangan dan ketenteraman dan mengurangi mutu kerja atau prestasi kerja kita.
Ketenangan adalah salah satu kualiti yang jarang ditemui pada manusia. Hal ini merupakan petunjuk tentang adanya kekuasaan. Ketenangan dikembangkan dari berbagai kualiti dan kemampuan manusia. Kurangnya ketenangan selalu merupakan tanda kelemahan yang ada pada diri kita.
Janganlah membuat sesama manusia menjadi penghuni rumah sakit jantung atau malah menjadi liang lahad. Berazamlah bahawa mulai hari ini dan seterusnya kita akan hidup dengan waras. Bahawa kita akan melambatkan rentak hidup kita dan mulai benar-benar hidup serta turut menikmati hidup. Daripada hilir mudik tidak bertujuan dan tidak sampai ke mana pun, lebih baik lambat tetapi sampai ke tempat tujuan dengan penuh selamat dan menghasilkan susuatu yang dapat dikecapi.
Kebiasaan tergesa-gesa mematikan kualiti. Para pembuat suatu bahan akan mentertawakan seseorang yang menghabiskan waktu berminggu-minggu malahan berbulan-bulan bagi menghasilkan bahan tersebut. Padahal mereka boleh membuatnya dalam beberapa hari sahaja. Mereka adalah tukang yang baik, sedangkan seseorang itu menyempurnakan pekerjaannya dengan semangat seniman. Bahkan hasil kerja seseorang itu tetap tinggi dan mahal harganya. Ini adalahkerana permintaan pasaran terhadap kerja seseorang itu sangat tinggi. Mutu pekerjaan sangat menentukan kejayaan kita.

Wednesday, November 18, 2009

ADAKAH DIA MEMBAWA KEPALANYA SEKALI?

Pada suatu hari, Juha telah diajak oleh seorang kawannya untuk pergi berburu di dalam hutan. Sedang mereka memburu tiba-tiba mereka telah ternampak seekor musang yang bagus warna bulunya. Musang itu telah masuk ke dalam sebuah gua yang berhampiran. Mereka pun seronoklah kerana kalau dapat menangkap si musang tersebut sudah pasti mereka akan dapat keuntungan yang banyak hasil dari jualan bulunya.
Mereka berdua pun menghampiri gua tersebut, tiba-tiba si kawan menjengukkan kepalanya terlebih dahulu ke dalam gua untuk meninjau-ninjau, Juha menunggu di belakang. Agak lama juga Juha menunggu tetapi si kawannya tidak juga menoleh ke belakang. Oleh kerana tidak sabar, Juha pun terus menarik badan temannya, tiba-tiba dia terperanjat kerana melihat kepala kawannya sudah tiada. Yang tinggal hanya badannya sahaja.
juha pun terus berlari pulang ke rumah, lalu menanyakan kepada isteri kawannya: "Tadi semasa suami kamu keluar adakah di bawa sekali kepalanya atau pun dia tinggalkan bersama kamu?".

PENDIDIKAN BERKUALITI

CIRI-CIRI PENDIDIKAN BERKUALITI
Oleh kerana terlalu sukar bagi kita menentukan kriteria pendidikan berkualiti, maka kita harus kembali kepada Falsafah Pendidikan Negara (FPN) untuk rujukan. Di sini (FPN) terdapat yang tersirat dan yang tersurat bagi ciri-ciri kualiti yang kita cari:-
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara".
Dari sini jelas dapat dilihat pendidikan berkualiti ialah pendidikan yang dapat menghasilkan manusia seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Manusia yang ingin dilahirkan ini ialah manusia yang mempunyai ilmu pengetahuan, yang beramal dengan ilmunya, yang baik akhlaknya dan yang bertanggungjawab serta tenang hidupnya dengan sihat tubuh badannya. Dalam aspek-aspek tersebut ada terkandung unsur-unsur kualiti seperti kecemerlangan, kepuasan hati, ketahanan dan lain-lain yang semuanya menggambarkan kebaikan.
Kita sempitkan terjemahan kita kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah secara formal dan gambaran yang kita dapat dan fahami erti pendidikan berkualiti itu;-
1. Ramai yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan-peperiksaan awam kerajaan (UPSR, PMR, SPM, STPM dan lain-lain).
2. Ramai yang cemerlang dalam bidang sukan dan permainan yang mencapai tahap yang ditentukan.
3. Ramai yang berakhlak baik. Bagi yang Islam umpamanya ramai yang melakukan ibadat, membaca Al-Quran dan sebagainya.
4. Ramai yang mempunyai kesedaran sivik yang mendalam jika dilihat melalui perbuatan mereka setiap hari.
Ciri-ciri tersebut mungkin boleh dijadikan ukuran bagi pendidikan berkualiti, namun masih terdapat beberapa kelemahannya:-
1. Ia terbatas kepada pendidikan formal.
2. Terdapat ciri-ciri kriteria yang sukar diukur tahap kualitinya. Kalau pun boleh, ianya hanya dibuat secara pandangan kasar sahaja.
FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI PENDIDIKAN BERKUALITI
Dalam konteks sistem pendidikan yang ada, khususnya yang formal dan boleh kita anggap terbaik setakat ini kerana cuba memperseimbangkan unsur-unsur kemanusiaan dan unsur-unsur keTuhanan, Terdapat enam faktor utama yang mempengaruhi pendidikan berkualiti:-
1. Kemudahan yang kondusif
Tempat belajar yang selesa amat perlu bagi menentukan apa yang diterima dengan tenang oleh murid. Bangunan, bilik darjah, kerusi, meja dan sebagainya perlulah sesuai mengikut keselesaan murid.
2. Tenaga manusia
Guru adalah amat yang penting bagi menentukan bentuk manusia yang dikeluarkan oleh sistem pendidikan, Guru yang berkesan akan mengeluarkan hasil yang baik.
3. Kurikulum
Isi pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan sangat besar mempengaruhi bentuk pendidikan yang diberi kepada murid. bentuk manusia yang dikeluarkan juga bergantung kepada kurikulum yang disediakan.
4. Murid
Murid yang normal perlu wujud untuk nenentukan hasil yang berkualiti. Murud yang tidak normal, yang terganggu inteleknya, rohaninya, emosinya dan jasmaninya tidak menolong pendidikan berkualiti.
5. Bahan bantu mengajar
Alat bantu mengajar seperti buku, alat sukan dan lain-lain yang bermutu memberi kesan kepada kualiti manusia yang dikeluarkan.
6. Kepimpinan
Pendidikan berkualiti yang bergantung kepada kepimpinan pentadbir organisasi. Kepimpinan yang dapat mewujudkan satu suasana pengurusan dan budaya kerja yang baik boleh menambah produktiviti dari segi pengajaran dan pembelajaran.

KEBAHAGIAAN DAN KEJAYAAN SEJATI

Sejarah dan pengalaman menunjukkan bahawa kemanusiaan bangkit atau jatuh akan dipikul bersama. Maka sungguh sangat masuki akal kalau kita menyedari bahawa semua makhluk adalah sebahagian dari rancangan Ilahi yang membuat kita masing-masing bertanggungjawab untuk memberi manfaat kepada seluruh umat manusia.
Kita bukanlah suatu pusat kecerdasan yang tidak bergantung sama sekali kepada apa pun tetapi hanyalah suatu gambaran dari akal dunia semesta. Sesama kita adalah diri kita sendiri sebab mereka juga adalah gambaran dari akal semesta yang satu. Kita tidak benar-benar mendapat kejayaan sejati kalau ia tidak merasa dalam darjat tertentu bahawa hidupnya adalah milik sesamanya dan bahawa yang diberikan Tuhan kepadanya itu diberikan demi kemanusiaan. Apbila kita menyedari bahawa kita sebenarnya adalah satu maka tidak boleh lain lagi bahawa kita saling mencintai seperti juga kita mencintai diri kita sendiri sebab semua orang adalah satu dengan kita. Inilah kebenaran paling besar di antara segala kebenaran.
Merenungkan penyataan segala makhluk akan meningkatkan kemanusiaan, hati terbuka dan meletakkan peraturan sosial di seluruh pelusuk dunia. Inilah sumber dari segal kedamaian dan keharmonian. Hanya dengan melakukan sesama manusia seperti melakukan kepada diri kita sendiri kita sebagai individu barulah dapat menemui kebahagiaan dan kejayaan sejati

Tuesday, November 17, 2009

RUMAH MENTUA

Pada suatu hari, seorang pemuda datang ke Kuala Kangsar dan menanyakan di mana rumah Juha. Setelah mendapat penjelasan dan panduan, pemuda itu pun pergi ke rumah Juha, selepas menunaikan solat Isyak di masjid.
Ketika terdengar ketukan di pintu, Juha mengeluarkan kepalanya dari jendela dan bertanya, "Siapa Itu?"
"Saya," jawab pemuda itu.
"Ya! tetapi saudara siapa?" tanya Juha.
"Saya ini menantu Tuhan. Mahu kah saudara menerima saya menginap di rumah ini?"
"Tunggu dulu," jawab Juha.
Juha pun memakai jubahnya dan mengenakan kasutnya, lalu keluar rumah menuju masjid, sedangkan pemuda itu mengikutinya dari belakang.
Sesampainya mereka di masjid, Juha membuka pintu masjid dan berkata.
"Silakan masuk saudara, ini adalah rumah mentua tuan."

PENDIDIKAN BERKUALITI

Kualiti bererti mutu. Justeru, berkualiti pastinya bermutu. Kualiti juga membawa konotasi nilai yang tinggi. Apabila dikatakan sesuatu yang berkualiti itu ianya pasti sesuatu yang bernilai tinggi. Atas dasar itulah akan membawa tiga pengertian kualiti yang boleh dilontarkan untuk perbincangan.
1. Kualiti boleh dianggap sebagai keunggulan atau kecemerlangan (walaupun ia sukar ditentukan kerana keunggulan atau kecemerlangan adalah nilai yang relatif).
2. Kualiti boleh dianggap sebagai pencapaian tahap pada piawai yang telah ditetapkan.
3. Kualiti boleh dianggap sebagai nilai yang sepadan dengan kos.
Kualiti itu adalah nilai. Oleh sebab itu ia tidak statik atau tetap pada sesuatu tahap. Ini bermakna apabila kita sudah sampai kepada tahap yang kita inginkan, kita dapati ada lagi tahap yang lebih tinggi yang ingin kita capai seterusnya. Bidang teknologi memperlihatkan ini dengan jelas. Kapal terbang suatu ketika dulu tahap kelajuannya boleh mencapai 200 batu sejam telah dianggap paling pantar. Namun dari semasa ke semasa kelajuan kapal terbang kini boleh mencecah lebih dari 2000 batu sejam. Begitulah bentuk kualiti dalam semua aspek yang perlu dinilai.
Selesai mengenai pengertian pendidikan dan kualili, seharusnya ada penyesuaian antara keduanya untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai pendidikan berkualiti. Melalui ketiga-tiga pengertian kualiti yang diberi, yang paling tepat untuk digunapakai bersama pendidikan ialah kualiti yang memberi maksud 'kecemerlangan'. Ini bermakna pendidikan berkualiti ialah pendidikan cemerlang atau bermutu tinggi.
Usaha memberi ilmu pengetahuan kepada manusia adalah untuk diamalkan agar menjadikan hidupnya harmonis. Ini jelas menunjukkan bahawa kualiti yang ingin dihasilkan bukanlah kualiti proses tetapi tumpuan adalah kepada kualiti keluaran (output) pendidikan.Kualiti yang akan membawa manusia mengubah diri.
Pendidikan merupakan satu perkhidmatan dan bukannya barangan yang boleh dilihat rupa, bentuk dan sebagainya. Oleh sebab itu kualitinya sangat sukar diukur kerana ia berbeza dari barangan yang menjadi keluaran kilang yang boleh dilihat, dipegang, dirasa dan boleh pula diuji ketahanannya.
Kualiti yang telah dinyatakan itu tidak ada had. Pendidikan berkualiti tiada siling atau dindingnya. Pendidikan sewajarnya terus bergerak untuk mengejar kecemerlangan dari semasa ke semasa.

BEBAS DIRI DARI BELENGGU MASALAH

"ketika kita pergi tidur, kita meninggalkan masalah- masalah kita di pakaian".
Waktu rehat dan tidur merupakan suatu yang secara mutlak bersifat hakiki untuk menjaga kesihatan yang baik. Sekitar sepertiga kehidupan alamiah kita dihabiskan di tempat tidur, namun sungguh sangat mengejutkan bahawa kebanyakan orang tidak belajar dengan betul tentang cara-cara tidur yang nyenyak.
Tidur adalah suatu keharusan. Inilah saat baik kita untuk sepatutnya secara lengkap 'menghentikan kegiatan untuk mengadakan pemulihan'. sebab memang itulah tujuan tidur. Inilah saat kita menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada alam, ketika kita membaringkan diri di sisi-Nya sehinga alam dapat memeriksa seluruh diri kita dan mengadakan pemulihan hal-hal yang rosak ketika kita gunakan pada siang hari.
Sungguh penting bagi kita untuk bekerjasama dengan alam proses rekreasi yang dilakukan-Nya. Pada saat kita menggantungkan pakaian kita dan menggantinya dengan pakaian tidur, kita harus menggantungkan pula segala pemikiran perniagaan, kerja, masalah dan kecemasan. tempat tidur bukanlah tempat untuk memikirkan urusan perniagaan dan berbagai masalah anda yang lain.
Sebagai bantuann bagi kerehatan, ada ramai orang yang terlebih dulu mandi sebelum tidur. Sama ada anda mandi dulu atau tidak sebelum berehat melalui tidur, pastikan bahawa anda telah melakukan mandi mental. Bersihkan fikiran anda dari segala yang tidak menyenangkan, tidak boleh anda terima dan tidak membahagiakan. Apabila anda ingin awet muda, jagalah agar akal anda tetap segar, murni dan bersih dengan memenuhi kepada anda pemikiran yang ceria sebelum anda tidur. Fikirkan tentang pembangunansel yang akan dilakukan oleh alam bagi anda. Fikirkan tentang berbagai tempat indah yang telah anda kunjungi. Fikirkan tentang hal-hal yang menghiburkan.
Membaca berbagai karya yang mendatangkan ilham, buku-buku tentang motivasi, berbagai pelajaran tentang peningkatan diri juga memberi sumbangan bagi kerehatan dan kesegaran akal anda.