Pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 - 2010 mempertingkatkan tuntutan akauntabiliti dikalangan pemimpin sekolah. Perubahan tersebut juga didorong oleh perubahan dalam masyarakat yang bertambah kompleks. Tuntutan yang baru memerlukan pemimpin sekolah mengubahsuaikan amalan pengurusan dan pentadbiran untuk menghadapi cabaran tersebut. Pengurusan disiplin pelajar dan pengelolaan aktiviti sekolah tidak boleh mengabaikan aspek perundangan kerana amalan dan dasar sekolah semakin dipengaruhi oleh undang-undang. sikap masyarakat yang sedia menyaman pihak sekolah bermakna ibu bapa rela menuntut keadilan daripada mahkamah. Pembangunan kapasiti kepimpinan sekolah perlu melengkapkan pemimpin dengan pengetahuan undang-undang yang sesuai supaya amalan yang betul dari perspektif undang-undang boleh mengurangkan risiko didakwa terhadap pihak sekolah.
Sistem pentadbiran negara menyediakan satu rangka dan struktur undang-undang seperti Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi hak individu dan menjamin kebebasan tertentu. Sekolah mengembangkan dasar, prosedur dan peraturan untuk memastikan bahawa langkah yang sesuai digunakan untuk menyediakan tempat yang selamat. Pemimpin sekolah perlu menjalankan kewajipan perundangan dengan betul supaya setiap pelajar dilindungi daripada kecederaan fizikal. Mahkamah akan campur tangan dalam urusan sekolah apabila pihak sekolah gagal menjalankan tanggungjawab perundangannya dengan baik.
Sistem perundangan juga melindungi hak perlembagaan pelajar. Hak pelajar telah menimbulkan satu kontroversi pada masa ini kerana timbulnya beberapa kes yang baru. Pada masa ini, institusi sekolah dikehendaki mematuhi prinsip perundangan yang betul sebelum membuat sesuatu keputusan berkaitan dengan disiplin pelajar. Keputusan yang tidak betul mendedahkan pemimpin kepada dakwaan tertentu. Perkembangan dan pengaruh undang-undang dalam pendidikan juga perlu diteliti implikasinya terhadap pemimpin dan guru di sekolah.
Pada masa dahulu, pemimpin sekolah mempunyai autoriti penuh dalam pengawasan disiplin pelajar. Guru juga mempunyai autoriti penuh dalam melaksanakan disiplin sekolah. Autoriti tersebut diterima oleh masyarakat sebagai norma biasa. Ia jarang dicabar oleh masyarakat khususnya ibu bapa. Penggunaan hukuman merotan biasa dilakukan tanpa apa-apa pertikaian kerana pemimpin dan guru diberi kepercayaan penuh oleh masyarakat yang beranggapan bahawa pelaksanaannya dilakukan dengan niat yang baik. Secara tidak langsung, unsur keyakinan demikian berjaya menyumbang membentukkan iklim sekolah yang sihat. Walau bagaimanapun, persepsi tradisional masyarakat terhadap autoriti pemimpin dan guru telah berubah pada abad dua puluhan.
Trend begini disebabkan oleh faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman adalah kepada guru dan kepimpinan sekolah yang menggunakan kuasa yang keterlaluan seperti mendera serta mencederakan pelajar semasa pelaksanaan hukuman dijalankan. Faktor luaran pula adalah disebabkan perkembangan ekonomi negara yang pesat. Kesedaran individu ke atas hak mereka juga menjadi perubahan ini. Matlamat pendidikan utama adalah untuk melahirkan individu yang bebas, berdikari dan berfikiran kritis. Perkembangan intelek, sosial, emosi dan fizikal pelajar yang menjadi tumpuan utama pembangunan pendidikan membawa implikasi yang signifikan. Ini akan membantu menambahkan pengetahuan dan kesedaran mengenai hak asasi individu.
Pemimpin sekolah dan guru mempunyai tanggungjawab yang berat daripada segi perundangan hasil daripada kewajipan perundangan yang muncul semasa ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah untuk dididik. Bagi masyarakat pula mempunyai ekspektasi yang tinggi bahawa pihak sekolah sentiasa mengutamakan keselamatan pelajar. Pemimpin sekolah mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap pelajar dan perlu menjalankan tanggungjawab perundangan dengan baik.
Pemimpin sekolah akan menghadapi cabaran yang baru dan lebih sofistikated pada masa akan datang. Mereka akan mengalami tekanan yang lebih berat sebab tuntutan untuk akauntabiliti pendidikan akan bertambah. Tekanan ini datangnya daripada ekspektasi tinggi ibu bapa dan Kementerian Pelajaran. Disamping itu, pihak media juga seringkali melaporkan insiden yang mengancam keselamatan pelajar dan tanggungjawab pemimpin sekolah.
Pengurusan sesebuah sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan merupakan satu cabaran yang rumit daripada segi perundangan. Pemimpin sekolah yang proaktif dan sedia menghadapi cabaran ini dapat menguruskan sekolah dengan penuh yakin. Segala keputusan dan tindakan yang diambil berdasarkan peraturan dan prinsip perundangan yang jelas membantu pemimpin sekolahmengurangkan risiko dakwaan.
No comments:
Post a Comment