PERMULAAN DAN TEMPOH MUSAFIR
Syarat-syarat permulaan dan berakhirnya musafir hendaklah dikira mengikut ketetapan berikut:-
1. Perjalanan bermulanya musafir dikira dari perbatasan kampung atau taman perumahan tempat tinggalnya. Jika ia tinggal di kota atau bandar maka dikira dari sempadan atau perbatasan kota tersebut. Contohnya, jika ia tinggal di Kuala Lumpur, maka dikira sempadannya adalah dari sempadan Wilayah Persekutuan. Kalau ia tinggal di Ipoh, dikira daripada sempadan Bandar Ipoh. Begitulah seterusnya. Jika ia tinggal di kawasan yang tiada jalan besar atau pun tiada tanda persempadanan maka permulaan musafirnya akan dikira setelah ia melepasi akhir kawasan perumahan kampung tersebut.
2. Sepanjang perjalanan sehingga sampai ke destinasi yang jaraknya dua marhalah adalah dikira di dalam musafir dan harus mengerjakan solat qasar atau jamak.
3. Tempoh yang diharuskan seseorang musafir itu harus mengerjakan solat musafir apabila sampai destinasi yang dituju adalah tidak melebihi tiga hari penuh (tidak termasuk hari ketibaan dan hari berangkat pulang). Tetapi, setelah tiga hari sekiranya ia mengubah fikiran untuk terus tinggal di situ maka tiada lagi kelonggaran untuk menunaikan solat qasar atau jamak.
BERAKHIRNYA TEMPOH MUSAFIR
Seseorang yang musafir akan dikira tamat tempoh musafirnya yang mengharuskan solat jamak atau qasar di dalam keadaan-keadaan berikut:-
1. Apabila ia kembali ke tempat asalnya atau tempat tinggalnya yang tetap
2. Apabila orang yang bermusafir itu berniat untuk bermukim atau tinggal tetap di destinasi yang ditujui.
3. Apabila orang yang bermusafir telah berada di suatu tempat melebihi daripada tiga hari (selain daripada hari ketibaan). Dalam hal ini apabila seseorang yang musafir berniat hendak tinggal menetap di suatu tempat selama empat hari selain hari ketibaan, ia dikira telah menjadi seorang yang bermukim atau tinggal menetap, maka terputuslah tempoh musafirnya dan hilanglah kemudahan untuk mengerjakan solat qasar atau jamak.
No comments:
Post a Comment