Wednesday, November 4, 2009

AMALAN NILAI DAN BUDI BAHASA

AMALAN NILAI DAN BUDI BAHASA
Penerapan dan amalan budi bahasa sama ada dalam komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan atau dalam perlakuan dan pergaulan dapat dipraktikkan dalam:-
1. Institusi Kekeluargaan
2. Institusi Kemasyarakatan
3. Institusi Pembelajaran
4. Institusi Perkhidmatan
INSTITUSI KEKELUARGAAN
"sumbur tumbuhnya pokok kelapa,
buahnya banyak bertali-tali,
turutlah kata ibu dan bapa,
takbur jangan sekali-kali."
ANTARA IBU BAPA DAN ANAK-ANAK
1. Ibu bapa wajib mendidik, membimbing dan menegur anak-anak supaya bertutur dengan baik dan betul serta mempunyai kelakuan terpuji. Ibu bapa juga mesti menunjukkan teladan terbaik tentang budi bahasa.
2. Ibu bapa harus mendidik anak-anak supaya patuh, taat, hormat dan menyayangi mereka. Elok juga kita mendidik anak-anak berkomunikasi dengan jelas, benar dan betul dan tidak khuatir untuk ditegur jika berlaku kesalahan. Disamping itu, pertuturan mestilah dalam nada yang lembut, sederhana, tidak keras atau meninggi
3. Ibu bapa juga patut mengajar anak-anak menghormati orang lain, menghargai alam sekitar, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Apabila berada di tempat makan hendaklah diajar agar tertib dan beradab semasa makan. Mereka tidak perlu gelojoh dan bersikap tamak kepada orang lain. Demikian juga baik diajar tidak berbuat kotor atau membuang sampah di merata tempat.
4. Ibu bapa perlu mendidik agar pertuturan antara anak-anak sentiasa sopan, ada perasaan setia dan saling hormat menghormati. Amat baik jika mereka sentiasa menghormati abang atau kakak dan sebaliknya terhadap adik dan yang paling kecil
ANTARA ANAK-ANAK DAN IBU BAPA
1. Tutur kata anak kepada ibu bapa hendaklah sopan, lembut dan penuh hormat. Anak-anak tidak patut menghina kedua ibu bapa di dalam apa jua keadaan sekali pun. Anak-anak tidak boleh mengatakan 'cis' kepada kedua ibu bapa atau memanggil dengan nama mereka.
2. Apabila berhadapan dengan kedua ibu bapa hendaklah berpakaian dan bertingkah laku dengan sopan. Balasan baik anak-anak kepada ibu bapa dapat dilihat apabila anak-anak berkorban untuk kedua ibu bapa dan menjaga ibu bapa apabila mereka sudah tua. Mereka patut sentiasa berdoa agar kedua ibu bapa di dalam sihat dan sentosa, panjang umur dan dimurahkan rezeki oleh Tuhan.
ANTARA ADIK BERADIK
1. Hubungan antara adik beradik adalah disusun oleh aturan kelahiran: dari sulung kepada tengah dan bongsu. Yang muda mesti hormatkan yang tua, adik menghormati kakak dan abang dengan memanggil secara baik seperti biasa dalam masyarakat: 'Abang Long', 'Abang Ngah', 'Kak Cik' atau sebagainya. Setiap pergaulan dan kelakuan antara adik beradik perlulah dengan sopan dan santun supaya sentiasa mesra dan baik. Kadangkala hubungan adik beradik boleh jadi bergaduh. Elok kita elakkan dari perselisihan dan pergaduhan ini.
2. Rasa hormat dan sopan antara adik beradik akan melahirkan kemesraan dan rasa setiakawan. Begitu juga sesama adik beradik kita saling membantu.
ANTARA SAUDARA MARA
1. Komunikasi dan pergaulan antara saudara mara juga harus berasaskan rasa hormat, sopan dan santun.
2. Kita hormat saudara mara kita kerana kita sentiasa ada hubungan darah dan perkahwinan dengan saudara mara sebelah ibu dan bapa. Begitu juga kita ada hubungan keluarga dengan mertua dan ipar.
3. Bergaul dengan saudara mara kita perlu mengikut taraf mereka dalam keluarga serta mengikut umur mereka - lebih tua atau lebih muda. Jika kita seorang anak buah atau anak saudara maka kita sentiasa menyapa bapa saudara atau emak saudara dengan panggilan pangkat mereka; "Apa khabar Pak Long?", "Sudah makan Pak Cik?". Berbahasa seperti ini amat baik dan menunjukkan sopan santun yang tinggi.
4. Kunjung mengunjung antara saudara mara adalah amat baik dan dapat merapatkan hubungan. Apabila ada upacara seperti menyambut hari lahir, perkahwinan, ada berita tentang keuzuran kita patut mengunjungi. Kadang-kadang elok juga kita bercuti bersama saudara mara.
5. Setiap anggota saudara mara patut sentiasa diperkenalkan antara satu sama lain. Perkenalan akan merapatkan hubungan dan tidak ada jarak sesama kita. Seperti kata pepatah: yang jauh didekatkan dan yang dekat sentiasa berhubungan.

No comments: