Saturday, February 28, 2015

APA YANG ADA DI SUNGAI BROTAI

Kisah yang lalu, teman ceritakan benda yang boleh dijadikan makanan di Sungai Brotai. Banyak jenis ikan yag boleh kita ngail atau pancing dalam Sungai Brotai. Ikan Lampam, Ikan Puyu, Ikan Brocat atau ada orang panggil Ikan Haruan, Ikan Terobul, Ikan Keli, Ikan Ngenggoi dan memacam lagi jenis ikan. Ikan Ngenggoi ni pun sudah susah nak dapat. Yang tak pernah teman dapat kat Sungai Brotai tuh, Ikan Kelah, Ikan Tengalan, Ikan Temoleh, Ikan Jelawat dan Ikan Kerai. Mungkin ada tapi mungkin teman tak kenal lagi masa tu. Atau ikan-ikan tu tak popular macam sekarang.

Sejenis ikan lagi kalau dapat masa teman ngail ialah Ikan Tilan. Kalau teman dapat Ikan Tilan ini, mesti teman lintang pukang lari sebab teman takut dengan Ikan Tilan. Udah takut dengan Ikan Tilan, nak makan apa tah lagi. Mesti tak makannya. Ikan Tilan ni memang sahih macam ular. Badannya panjang dan licin. Ada pulak awan larat macam ular kat badannya. Geli geleman teman jadinya. Itu sebabnya teman takut dengan Ikan Tilan. Macam ular weh. Yang untungnya kekawan yang makan Ikan Tilan. Mesti mereka seronok bila teman dapat ngail Ikan Tilan. Kekawan yang dapat merasa.

Kekadang tuh kalau teman mengail atau memancing, selalu juga teman dapat tapi tak boleh jadikan lauk. Macam mana pun bila dapat teman cari kekawan bangsa India, teman jual pada mereka. Harap-harap yang membaca tulisan ini tau tang "Jelebo". Jelebo inilah yang teman dapat dan jualkan dan dapat duit boleh buat belanja sekolah. Kekadang tu ada yang spesis kecil sedikit dari Jelebo yang teman dapat. Ini kita sebut Kura-Kura. Bila ngail dapat Kura-Kura teman pasti teringat cerita Arnab lumba lari dengan Kura-Kura. Cerita ini tetap popular sampai le ni.

Kalau banyak ikan yang teman dapat, mak teman buat ikan masin atau ikan kering. Kekadang mak teman buat ikan pekasam. Ikan masin dan ikan pekasam tu memang jadi kesukaan teman. Biasanya Ikan Terobul dibuat ikan masin. Itulah hidangan istimewa teman dan orang kampung teman masa itu. Satu cerita yang teman masih ingat tentang Ikan Terobul masin ni mengenai kawan sekolah teman. Suatu hari cikgu tanya jenis-jenis ikan. Kawan teman ni pelat sikit. Dia jawab "Tobul Teeng" (Terobul Kering). Sejak hari itu lekat kekawan manggil kawan teman tu dengan nama "??Tobul Teeng". Kalau kawan teman tuh baca tulisan ini teman mintak maaf. Kenangan lalu mengusik jiwa.

Itulah istimewanya Sungai Brotai masa dedulu. Teman pun sudah lama idak pergi ke Sungai Brotai. Usahkan Sungai Brotai, kampung teman pun jarang nak balik. Bukan teman nak jadi macam "Si Tanggang". Balik pun masa raya dan cuti sekolah saja. Itulah masa boleh jenguk keluarga abang, kakak dan adik yang masih tinggal kat kampung. Yang duduk jauh, setahun sekali pun payah. Cara yang paling baik pada teman ialah buat majlis keluarga. Berhimpun ramai-ramai.

Pasni teman akan ceritakan satu lagi istimewanya Sungai Brotai ni. Harap bersabar. Sungai Brotai, walaupun kecil dan pendek tapi di dalamnya banyak khazanah pada masa dedulu. Sekarang ini pun masih ada tetapi tak ada sesiapa kut yang pegi ke Sungai Brotai. Sebabnya, nak mandi udah ada paip air dalam rumah. Nak mancing bagi yang "gila mancing", udah ada kolam mancing yang berbayar. Nak ngutip ulam-ulam, orang sekarang sudah tak reti makan ulam-ulam. Pendek kata Sungai Brotai tu nama asing kepada generasi sekarang. Generasi dulu-dulu macam teman ni pun manjangkan tengkuk dari jauh aje. Itu pun kalau ada.

Thursday, February 26, 2015

YANG TERSIMPAN DI SUNGAI BROTAI

Di Daerah Kuala Kangsar, terdapat beberapa buah mukim. Setiap mukim ini dipimpin oleh Penghulu Mukim. Di dalam mukim ini pula ada beberapa buah kampung. Setiap kampung ada ketuanya yang digelar Ketua Kampung. Tempat-tempat lain ada yang menggelarkan "Tok Sidang". Ada pula kata "Pak Lurah". Jadi berbagai gelaran mengikut kebiasaan penduduk di kampung itu.

Di sini teman nak cerita tentang sebuah kampung di Mukim Pulau Kemiri. Terdapat sebuah kampung bernama Kampung Brotai. Asal usul kampung ini belum teman kaji dan selidik. Paling penting Kampung Brotai ini banyak rahsia yang tersimpan di situ. Teman ni memang kecik-kecik lagi sudah mengenali kampung Brotai sebab berjiran dengan kampung teman, Kampung Changkat Nering. Asal usul kampung teman akan teman ceritakan nanti. Hari ini teman nak cerita berkenaan dengan Kampung Brotai saja.

Di Kampung Brotai ini ada sebuah sungai kecil. Panjangnya pun tidaklah panjang sangat, lebih kurang satu kilometer saja. Lebarnya pula tidaklah lebar sangat, lebih kurang empat hingga lima kaki sahaja. Tetapi, di dalamnya terkandung banyak rahsia yang mungkin sudah diketahui oleh penduduk atau orang lama. Generasi baru mungkin tidak tahu atau sengaja tidak ambil tahu. Mungkin orang baru ramai yang sudah pindah keluar. Itu sebab mereka tidak tahu. Itu sebabnya di Kampung Brotai kini tinggal sebuah rumah sahaja yang masih didiami. Atau lebih tepat lagi hanya ada satu keluarga yang tinggal di situ.

Mungkin juga generasi baru walaupun tinggal di situ tetapi tidak tahu rahsia di Sungai Brotai kerana banyak yang tinggal sejarah atau kenangan. Lagipun dulu tebing kiri dan kanan Sungai Brotai ini terbentang sawah padi atau tempat teman kata bendang. Bendang di sini memang amat luas. Penduduk di situ masa dulu tak payah beli beras. Malahan boleh pula padi yang dituai itu dijual untuk menambahkan pendapatan selain dari menoreh getah.

Pertama, rahsia Sungai Brotai ini ialah airnya sangat jernih dan sejuk. Pagi-pagi sebelum pergi sekolah teman selalu mandi di sungai ini. Macam air batu sejuknya. Lepas mandi, teman bawa baliik airnya dalam timba dan dimasukkan ke dalam tempayan di rumah teman untuk dijadikan air minum. Sudah tentu airnya bersih masa itu. Sekarang? Teman pun sudah lama tak ke sana. Lagi pun susah nak pergi ke Sungai Brotai sebab dah penuh dengan pokok kelapa sawit.

Tepi tebing Sungai Brotai ini penuh pula pokok keladi. Pokok kemahang dan pokok kaduk. Pokok kaduk itu pula daunya besar-besar pula. Juga di situ terdapat bermacam jenis ulam yang tumbuh. Jadi penduduk di situ paling senang mendapatkan sayur-sayuran di tebing Sungai Brotai. Kalau tebing sungai penuh dengan berjenis-jenis sayur, dalam sungainya penuh dengan macam jenis lauk. Macam-macam jenis ikan sungai boleh dipancing di situ. Ada juga siput sungai yang boleh digulai dengan pucuk kemahang yang tentunya sangat enak di makan begitu sahaja. Di situ ada juga jenis-jenis siput yang lain seperti "kijing" dan "kemuai". Dua-dua jenis ini sedap dimasak rendang pedas.

Walaupun sekelilingnya bendang, jarang Sungai Brotai ni ada lintah. Pacat tuh biasa ler. Jadi, kalau berendam lelama dalam Sungai Brotai tuh idak ler risau ketek dik lintah. Tapi, kalau pegi ke bendang boleh jadi bukan ajer lintah, pacat pun banyak.

Sunday, February 22, 2015

PEKELILING-PEKELILING IKHTISAS MENGENAI PERSATUAN (KOKURIKULUM)

Senarai Pekeliling-Pekeliling Ikhtisas mengenai kegiatan kokurikulum.

1. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1971 56
Permainan Catur di Sekolah-sekolah Menengah

2. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/77 57
Pengelolaan Walkathon di Sekolah-sekolah

3. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1982 58
Permainan Pin-table, Video Game, Game Watch

4. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1984 59
Garis Panduan berkenaan Aktiviti-Aktiviti Kebudayaan di Sekolah-sekolah

5. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1986 60
Rekod Kedatangan dan Laporan Gerak Kerja Kokurikulum Pelajar

6. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1986 61
Penyelarasan Pelaksanaan Kurikulum “Pengenalan Kepada Komputer” dan Kegiatan Kelab Komputer Sekolah

7. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1986 62
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kelab Komputer Sekolah.

8. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1988 63
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kelab Pereka Cipta Sekolah

9. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/1988 64
Penyertaan Pelajar dalam Pertandingan atau Kejohanan Sukan Anjuran Persatuan atau Badan Induk Sukan

10. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1989 65
Penyertaan Pelajar dalam Kegiatan Sukan di Sekolah

11. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1992 66
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Persatuan Silat Sekolah

12. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1994 67
Pelaksanaan Kokurikulum pada Tahun 5 dan Tahun 6 KBSR

13. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1995 68
Pelaksanaan Kadet Remaja Sekolah (KRS)

14. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1995 69
Penyertaan Pelajar dalam Pertandingan Kejohanan Sukan Anjuran Persatuan atau Badan Induk Sukan

15. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1995 70
Rancangan Kegiatan Sekolah selepas Peperiksaan UPSR bagi Murid-murid Tahun 6

16. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1997 71
Pengiktirafan Persatuan Seni Bela Diri sebagai Pasukan Pakaian Seragam Sekolah.

17. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998 72
Penglibatan Guru dan Murid dalam Aktiviti Pasukan Pakaian Seragam Anjuran Agensi Kerajaan dan Pertubuhan
Bukan Kerajaan.

18. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/2000 73
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kelab Komputer/Teknologi Maklumat Sekolah

19. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 74
Penubuhan Kelab Rukun Negara di Sekolah-sekolah

20. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000 75
Penggalakan Aktiviti Fotografi di Kalangan Murid

21. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 20/2000 76
Panduan Penubuhan Persatuan Agama Bukan Islam di Sekolah-sekolah.

Thursday, February 19, 2015

ADAB BERSAMA BUKU

Telah berkata Imam al-Shafi'i:
"Sesiapa yang mempelajari ilmu dengan beradab, maka Allah akan mencurahkan keberkatan dalam ilmunya."

Banyak ilmu tidak semestinya berkat. Ilmu yang berkat itu adalah ilmu yang berkualiti. Ilmu yang berkat adalah ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat kepada diri sendiri. Juga ilmu yang bermanfaat kepada seluruh manusia.

Bagi yang menuntut ilmu, menghormati ilmu itu sendiri adalah amat penting. Tanda menghormati ilmu adalah dengan menghormati buku atau kitab yang mengandungi ilmu tersebut. Adab bersama buku perlu dipatuhi oleh setiap pembaca. Begitu juga kepada penyampai ilmu iaitu guru perlu dihormati. Murid mesti beradab apabila berhadapan dengan guru.

Berkata Imam al-Shafi'i:
"Bukanlah ilmu itu apa-apa yang dihafal, tetapi ilmu yang sebenar ialah ilmu yang bermanfaat."

Ramai penulis yang telah mencipta nama melalui tulisan-tulisan mereka. Namun, adakah tulisan-tulisan mereka itu dapat memberi manfaat kepada pembaca buku tersebut? Terdapat karya-karya silam yang masih berkekalan hingga ke hari ini. Ini menandakan bahawa karya-karya tersebut telah memberi manfaat kepada seluruh pembaca. Ini melambangkan bahawa terdapat keberkatan dalam ilmu yang ditulis atau ilmu yang telah disampaikan.

Adab bersama buku:
1. Diri yang bersih apabila memegang buku. Sebaik-baiknya berwuduk apabila memegang buku-buku yang mengandungi ayat-ayat al-Quran.

2. Mengambil buku menggunakan tangan kanan.

3. Letak buku ditempat yang tinggi dan elakkan meletakkannya di atas lantai.

4. Jangan duduk di atas buku atau kitab. Buku juga tidak boleh dijadikan alas kepala ketika tidur.

5. Jangan pijak atau julurkan kaki kearah buku atau kitab.

Sunday, February 15, 2015

BULI DI ZAMAN SIBER

Terdapat pelbagai maksud yang berbeza dari perkataan buli. Pertama, buli memberi maksud botol kecil. Kedua memberi maksud bahagian tubuh manusia dan sebagainya yang mengelembung berisi sesuatu. Namun perkataan buli yang sering diperkatakan dewasa ini memberi maksud yang lain iaitu, suatu perbuatan dengan tujuan untuk mempermainkan atau mempersendakan seseorang untuk mendapatkan keseronokan. Buli juga dianggap satu perbuatan yang bertujuan sebagai menyesuaikan diri dengan suasana yang baharu.

Buli adalah serangan fizikal, lisan, psikologi, emosi, mendera, mempermainkan dan menakut-nakutkan seseorang yang lemah. Buli ini membabitan dua komponen. Pertama, perbuatan berbahaya yang berulang kali dan kedua ialah ketidakseimbagan kuasa. Jenis-jenis buli ialah adalah merangkumi memukul, mengancam, menakut-nakutkan dengan niat jahat, mengejek dengan nama penggilan yang tidak disenangi dan mengeluarkan kata-kata kesat. Selain daripada itu, mencuri, meroskkan harta benda, menyerang secara langsung dan tidak langsung termasuk dalam perbuatan buli selain menghasut, memulau dan menyebarkan fitnah.

Suatu ketika dulu, perbuatan buli memang menjadi suatu tradisi terutama bagi pelajar-pelajar baru yang memasuki asrama. Pelajar-pelajar "senior" akan melakukan pelbagai kegiatan kepada pelajar-pelajar "junior". Terdapat pelbagai cara atau perbuatan yang dilakukan yang mana kadang-kadang berlakunya pergaduhan atau perkelahian antara "senior" dengan "junior". Warden atau penyelia asrama perlu melakukan sesuatu agar perbuatan buli ini dapat dibenteraskan.

Semua orang tahu, isu buli ini sudah lama diperkatakan. Pelbagai respon yang kita terima. Sesiapa yang pernah duduk di asrama tidak terkecuali dengan perbuatan buli ini. Ada yang menganggap ianya sebagai keterlaluan dan ada yang menganggap ianya sebagai lumrah atau perkara biasa. Malahan menganggap buli itu sebagai satu nostalgia yang boleh mematangkan dan suatu kenangan manis untuk dikenang di masa akan datang.

Perbuatan atau budaya buli ini telah senyap seketika. Namun ianya berbangkt semula bukan sahaja kepada pelajar-pelajar yang baru menduduki asrama. Perbuatan buli ini telah menerap sampai ke aas jalan raya. Kumpulan ini digelar 'gangster jalan raya". Perbuatan buli sekarang tidak hanya ke atas fizikal. Terdapat juga dibuli melalui alam siber.

Jenis-jenis buli siber ini ialah perbuatan membuli orang di internet, Mengugut orang lain di internet, menyamar dan melihat SMS atau maklumat orang lain tanpa kebenaran. Terdapat juga segolongan pembuli yang suka mengodam maklumat online orang lain. Menulis perkara yang tidak benar atau besifat nakal tentang orang lain. Terdapat juga golongan mereka yang melakukan sesuatu yang dianggap lawak tetapi menyinggung perasaan orang lain. Beberapa platform yang digunakan oleh pembuli dalam kategori buli siber. Tertinggi melalui facebook diikuti pula melalui SMS, panggilan telefon, akaun yang digodam, yahoo massenger atau e-mel dan youtube.

Apakah perbuatan buli didedahkan oleh mangsa buli sepenuhnya? Mengikut kajian terdapat 65% mangsa buli memaklumkan masalah mereka kepada ibu bapa. Manakala 29% mangsa buli memaklumkan kepada saudara-mara dan 6% mangsa buli mengambil keputusan mendiamkan diri dan terus dibuli. Walaupun peratus yang kecil mengambil sikap mendiamkan diri, namun perbuatan buli ini perlu dihapuskan kerana banyak kesan yang ditinggalkan dalam kes buli ini.

Bagi mangsa, perbuatan buli ini memberi impak buruk yang sangat ketara kepada kanak-kanak dan juga remaja yang bersekolah. Mereka yang dibuli akan kerap ketakutan, kebimbangan, kurang keyakinan diri dan konsentrasi. Buli akan menyebabkan mereka kerap ponteng sekolah, tidak lulus dalam peperiksaan dan sering memencilkan diri daripada masyarakat. Ada diatara mereka yang mengambil keputusan yang drastik iaitu membunuh diri bagi menyelesaikan tekanan yang diterima.

Kesan kepada pembuli pula ialah, tindakan membuli merupakan tanda amaran bahawa kanak-kanak yang membuli sedang berhadapan dengan masalah dan berisiko untuk melakukan keganasan yang lebih serius pada masa hadapan. Tambahan pula jika situasi ini tidak diambil tindakan atau dirawat dengan segera. Pembuli biasanya bagi remaja lelaki akan lebih kerap melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah, vandalisme, mencuri dan ponteng sekolah. Mereka ini kalau tidak dibimbing atau dikawal akan menjadi musuh kepada negara di masa hadapan.

Saturday, February 7, 2015

KISAH RAJA BERISTERI EMPAT SETERUSNYA

Begitulah kehidupan ini. Penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Begitulah cerita Raja Berissteri Empat ini penuh dengan maksud yang tersurat dan tersirat. Yang penting fahamilah dan hayatilah cerita tersebut terutama kepada orang lelaki. Ini adalah disebabkan ramai orang lelaki yang beristeri empat. Namun, terdapat juga wanita yang bersuami empat. Bezanya? Ada lelaki beristeri empat serentak tetapi tiada wanita bersuami empat serentak.

Apakah maksud yang tersirat dalam kisah atau cerita di atas? Isteri keempat ialah badan kita. Walau sebanyak mana pun masa dan kekayaan yang kita habiskan untuk menghiasi badan supaya kelihatan cantik, namun kita akan meninggalkannya apabila mati. Bagi isteri kedua pula adalah bermaksud status, jawatan, harta dan kekayaan yang kita miliki. Apabila kita mati, semua itu akan berpindah milik ke tangan orang lain. Orang lain pula yang akan menikmati peninggalan tersebut.

Isteri ketiga pula adalah kawan-kawan dan keluarga. Walau apa pun terjadi, mereka akan sentiasa menyayangi kita dan membantu kita pada setiap detik dan ketika. Namun, mereka hanya setia bersama kita semasa kita hidup. Mereka hanya setia bersama kita hingga ke tanah perkuburan sahaja. Setelah jasad kita ditimbus tanah, mereka akan pulang meninggalkan kita bersendirian di dalam kubur. Tiada lagi kesetiaan.

Manakala isteri pertama pula adalah jiwa atau roh kita. Ia selalu diabaikan. Ia selalu disisihkan. Ia tidak pernah dilimpahi kekayaan. Ia tidak pernah dibelai dengan kemewahan. Tidak punya kuasa dan kadang-kadang diseindungi ego yang memuncak. Namun, ia adalah satu-satunya yang mengikut kita hingga ke alam barzakh. Fikir-fikirkanlah.

Tuesday, February 3, 2015

SAMBUNGAN KISAH RAJA BERISTERI EMPAT

Dipanggilnya isteri keduanya itu. "Kanda selalu meminta pendapat dan pertolongan dalam menyelesaikan urusan negara. Disaat-saat beta memerlukan, adinda sentiasa ada di sisi." kata raja memuji isteri keduanya."Dan untuk kali terakhir kanda ingin meminta pertolongan. Andai esok kanda mati, sudikah adinda mati bersama?"

"Maaf adinda tidak dapat membantu kali ini. Apa yang akan adinda lakukan ialah memastikan upacara pengembumian berjalan lancar, itu saja." tegas isteri kedua baginda bersuara.

Sabil air mata meleleh di pipi, raja memanggil-manggil isteri pertamanya. Katika itu timbul kesal yang mendalam mengenangkan tiga isterinya hanya mahu menjadi teman ketika sihat. Baginda memanggil lagi isteri pertamanya apabila tiada siapa yang muncul di tepi katilnya.

"Adinda akan bersama kanda ke mana saja tanpa mengira waktu dan keadaan." muncul suara sayu dari arah pintu kamar. Raja terkejut dan segera menoleh. Dilihat isteri pertamanya yang sering dilupakan, tercegat di muka pintu. Wajahnya sayu dan sesekali menunduk, membuatkan raja semakin sebak.

"Sepatutnya kanda menjaga adinda sejak dahulu lagi. Tapi kini dah terlambat, adinda terabai, tetapi adinda tetap setia. Kanda menyesal," raja bersuara antara dengar dan tidak.