Di Daerah Kuala Kangsar, terdapat beberapa buah mukim. Setiap mukim ini dipimpin oleh Penghulu Mukim. Di dalam mukim ini pula ada beberapa buah kampung. Setiap kampung ada ketuanya yang digelar Ketua Kampung. Tempat-tempat lain ada yang menggelarkan "Tok Sidang". Ada pula kata "Pak Lurah". Jadi berbagai gelaran mengikut kebiasaan penduduk di kampung itu.
Di sini teman nak cerita tentang sebuah kampung di Mukim Pulau Kemiri. Terdapat sebuah kampung bernama Kampung Brotai. Asal usul kampung ini belum teman kaji dan selidik. Paling penting Kampung Brotai ini banyak rahsia yang tersimpan di situ. Teman ni memang kecik-kecik lagi sudah mengenali kampung Brotai sebab berjiran dengan kampung teman, Kampung Changkat Nering. Asal usul kampung teman akan teman ceritakan nanti. Hari ini teman nak cerita berkenaan dengan Kampung Brotai saja.
Di Kampung Brotai ini ada sebuah sungai kecil. Panjangnya pun tidaklah panjang sangat, lebih kurang satu kilometer saja. Lebarnya pula tidaklah lebar sangat, lebih kurang empat hingga lima kaki sahaja. Tetapi, di dalamnya terkandung banyak rahsia yang mungkin sudah diketahui oleh penduduk atau orang lama. Generasi baru mungkin tidak tahu atau sengaja tidak ambil tahu. Mungkin orang baru ramai yang sudah pindah keluar. Itu sebab mereka tidak tahu. Itu sebabnya di Kampung Brotai kini tinggal sebuah rumah sahaja yang masih didiami. Atau lebih tepat lagi hanya ada satu keluarga yang tinggal di situ.
Mungkin juga generasi baru walaupun tinggal di situ tetapi tidak tahu rahsia di Sungai Brotai kerana banyak yang tinggal sejarah atau kenangan. Lagipun dulu tebing kiri dan kanan Sungai Brotai ini terbentang sawah padi atau tempat teman kata bendang. Bendang di sini memang amat luas. Penduduk di situ masa dulu tak payah beli beras. Malahan boleh pula padi yang dituai itu dijual untuk menambahkan pendapatan selain dari menoreh getah.
Pertama, rahsia Sungai Brotai ini ialah airnya sangat jernih dan sejuk. Pagi-pagi sebelum pergi sekolah teman selalu mandi di sungai ini. Macam air batu sejuknya. Lepas mandi, teman bawa baliik airnya dalam timba dan dimasukkan ke dalam tempayan di rumah teman untuk dijadikan air minum. Sudah tentu airnya bersih masa itu. Sekarang? Teman pun sudah lama tak ke sana. Lagi pun susah nak pergi ke Sungai Brotai sebab dah penuh dengan pokok kelapa sawit.
Tepi tebing Sungai Brotai ini penuh pula pokok keladi. Pokok kemahang dan pokok kaduk. Pokok kaduk itu pula daunya besar-besar pula. Juga di situ terdapat bermacam jenis ulam yang tumbuh. Jadi penduduk di situ paling senang mendapatkan sayur-sayuran di tebing Sungai Brotai. Kalau tebing sungai penuh dengan berjenis-jenis sayur, dalam sungainya penuh dengan macam jenis lauk. Macam-macam jenis ikan sungai boleh dipancing di situ. Ada juga siput sungai yang boleh digulai dengan pucuk kemahang yang tentunya sangat enak di makan begitu sahaja. Di situ ada juga jenis-jenis siput yang lain seperti "kijing" dan "kemuai". Dua-dua jenis ini sedap dimasak rendang pedas.
Walaupun sekelilingnya bendang, jarang Sungai Brotai ni ada lintah. Pacat tuh biasa ler. Jadi, kalau berendam lelama dalam Sungai Brotai tuh idak ler risau ketek dik lintah. Tapi, kalau pegi ke bendang boleh jadi bukan ajer lintah, pacat pun banyak.
No comments:
Post a Comment