Friday, November 9, 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

STANDARD PRESTASI
Standard Prestasi (SP) merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan  satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Standard Prestasi memandu pentaksir bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.

 Standard Prestasi juga menjadi sumber rujukan oleh semua pihak yang terlibat dalam pendidikan secara langsung dan tidak langsung seperti murid, guru, ibu bapa serta pihak yang berkepentingan untuk menunjukkan dengan jelas matlamat yang ingin dicapai dalam sistem pendidikan.

Dengan menggunakan Standard Prestasi:-
1. Murid tahu dengan jelas apa yang perlu dikuasai atau dicapai, apa yang ditaksir dan kualiti yang diharapkan dalam sesuatu pentaksiran.
2. Guru tahu matlamat yang akan dicapai dalam pendidikan murid di sekolah, apa yang ditaksir dan kualiti yang harus ada pada setiap murid.
3. Ibu bapa tahu apa yang telah dikuasai atau dicapai oleh anak-anak mereka selepas melalui proses pendidikan untuk satu tempoh tertentu.
4. Pihak yang bekepentingan tahu hasrat dan matlamat kurikulum dan sistem pendidikan negara dan kualiti yang ada pada murid yang keluar daripada sistem pendidikan tersebut.

Selain itu, Standard Prestasi juga boleh dijadikan kayu ukur standard pendidikan negara dan sebagai alat untuk membandingkan dengan standard pendidikan negara lain.

Pernyataan Standard diletakkan dalam kategori mengikut Band (Band 1, Band 2, Band 3, Band 4, Band 5 dan Band 6) yang disusun mengikut hierarki dan dijelaskan dengan deskriptor yang menyatakan tingkah laku terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi individu.

Thursday, November 1, 2012

PENTAKSIRAN RUJUKAN STANDARD

Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.


Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid dalam pembelajaran merujuk kepada pernyataaan standard.

Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.